Wednesday, November 29, 2006

ULAMA FOOTNOTE ATAU ULAMA HAKARI?

ULAMA FOOTNOTE ATAU ULAMA HAKARI?

Sudah lama aku tidak menulis didalam blog ini. Walau lama, tetapi blog ini tetap menjadi tumpuanku dikala aku online. Ini kerana, aku ingin melihat kritikan-kritikan membina dari sahabat-sahabat alam maya ini.

Apabila menyebut penulisan, selalunya tergambar dipemikiran kita tentang insane-insan yang bernama wartawan. Walaubagaimanapun, gambaran penulisan itu diberikan kepada wartawan merupakan gambaran yang berbentuk juzii, bukan berbentuk kulli. Ini kerana, penulisan itu, bukan kepunyaan para wartawan sahaja, bahkan ianya kadangkala menjadi medan dakwah dalam memahamkan manusia dengan Islam.

ULAMA HARAKI DAN ULAMA TIDAK HARAKI

Jika kita kembali ke zaman Rasulullah SAW, Para Sahabat dan salaf as-soleh, mungkin kita tidak pernah mendengar perkataan yang menyebut “ulama haraki”. Walaubagaimanapun, kalimah tersebut diungkapkan dizaman kebelakangan ini, atau lebih dikenali dengan gelaran “zaman khalaf”.

Walaupun gelaran itu timbul di zaman “khalaf”, tidak bermakna gelaran itu salah dari sudut Islam. Ini kerana, kaedah fiqh ada menyatakan;

الحكم يدور على المسمى لا الإسم

Maksudnya;
“hokum itu berlegar pada benda yang dinamakan, bukan pada nama”


Banyak perkara yang dahulunya tidak wujud dizaman salaf, tetapi diwujudkan nama tersebut dizaman ini. Setelah diperhatikan dari segi tasawwurnya atau musammanya (benda yang diberi nama) atau gambarannya, ianya merupakan sesuatu yang sama dengan apa terkandung di zaman salaf.

Dan kadangkala juga, di lihat dari segi musammanya, ianya salah dari sudut syariat, tetapi dilihat dari namanya, ianya tidak bercanggah dengan islam.

Kelahiran amalan perkahwinan mis-yar, yang diterjemah didalam bahasa melayu dengan perkahwinan jalanan, merupakan satu amalan yang diharuskan didalam Islam, walaupun apabila dilihat dari segi namanya, agak janggal dan tergambar di pemikiran kita, seakan-akan ianya menyerupai zina atau pelacuran.

Ini kerana, musamma bagi kahwin mis-yar adalah berkahwin oleh lelaki dengan perempuan dengan tidak memberi tanggungjawab yang sepatutnya diberikan oleh suami kepada isteri. Dan tidak memberi tanggungjawab itu dengan kerelaan dan keizinan dari pihak perempuan.

Memahami dari musamma itu, di fahami bahawa kahwin mis-yar dari segi hukumnya adalah sesuatu yang di izinkan oleh syariat. Ini kerana, Saudah binti Zam’ah yang merupakan salah seorang isteri Rasulullah SAW, telah mengizinkan kepada Rasulullah SAW untuk mengambil malam gilirannya diberikan kepada Aisyah[1].

Dari keizinan itu, kita dapat lihat bahawa hokum melakukan kahwin mis-yar, bukanlah sesuatu yang menyalahi syariat, tetapi apabila dilihat dari namanya, yang diterjemah kedalam Bahasa Melayu yang bermaksud, Kahwin Jalanan, seakan-akan ianya seperti diharamkan oleh Syariat.

Begitujuga berkenaan dengan panggilan nama “ulama haraki”. Kalimah ini timbul dikala lahir dari kalangan ulama-ulama yang tidak masuk dalam bidang dakwah, tetapi terlalu focus kepada bidang keilmuan semata-mata.

Ekoran dari itu, ulama-ulama keilmuan itu, tidak memahami kaedah “ijtihad tanzil atau tatbiq” didalam menyampaikan dakwah islamiyyah, walaupun dia merupakan ulama yang mahir dalam nas, atau tidak salah digelarkan dengan ulama footnote.

Melihat kepada Sirah dan hadis Nabi SAW. Baginda merupakan seorang Nabi yang fatonah dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah, yang dipenuhi dengan pelbagai kaedah-kaedah dalam menarik minat manusia kepada Islam. Kefatonahan itu merupakan kekuatan ijtihad tanzil dan keharakian Baginda SAW.

Antara hadis yang membuktikan demikian adalah, bagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Aisyah R.Ha;

أَلَمْ تَرَيْ أَنْ قَوْمَكِ بَنَوْا الْكَعْبَةَ وَاقْتَصَرُوا عن قَوَاعِدِ إبراهيم فقلت يا رَسُولَ اللَّهِ ألا تَرُدُّهَا على قَوَاعِدِ إبراهيم قال لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ

Maksudnya;
“Adakah tidak kamu melihat, sesungguhnya kaum kamu telah membina Kaabah dan membataskan kepada Qawaed Ibrahim. Lalu aku (Aisyah) berkata, Wahai Rasulullah SAW, apakah tidak kamu menjadikannya atas Qawaed Ibrahim? Menjawab (Rasulullah SAW), kalaulah tidak kerana kaum kamu baru dengan Islam[2].

Melihat kepada hadis ini, kita dapat melihat bagaimana baginda SAW merupakan seorang قضاة بعقل الدعاة (orang yang berhukum, tetapi mempunyai akal pendakwah). Ini merupakan kekuatan ijtihad tanzili dan keharakian yang ada pada diri Rasulullah SAW yang selayaknya ada pada setiap insane yang bergelar ulama’.

Disebabkan masa berselisih masa, ulama-ulama sudah dipenuhi dengan kehidupan yang bercampur dengan pelbagai macam pemikiran, yang akhirnya dapat melahirkan ulama-ulama yang bercakap Islam, tetapi hakikatnya, mereka mencari keuntungan diri.

Mereka dilantik menjadi mufti, tetapi kemuftian mereka sekadar membincangkan sesuatu yang penting, tanpa menilai kepada sesuatu yang lebih penting.

Mereka mampu bercakap tentang keharaman dan ketahyulan kayu kokka, tetapi mereka tidak pernah membincangkan tentang keharaman dan ketahyulan pemerintahan secular yang merosakan aqidah umat Islam.

Amat menyedihkan lagi, mereka bukan sekadar tidak mahu membincangkan soal keharaman dan ketahyulan kepimpinan secular, bahkan mereka sendiri sudah masuk didalam system sekular dan mengikut arus perjalanan aliran system tersebut.

Dari situlah, lahirnya ulama-ulama yang dikatakan sebagai ulama yang hebat dalam “nassi” atau lebih dikenali sebagai ulama footnote, sedangkan mereka merupakan ulama yang lemah dari segi ijtihad tanzili dan haraki.

KEPENTINGAN FOOTNOTE DAN HARAKI

Dizaman kini, ulama yang mempunyai kekuatan haraki sememangnya wujud, tetapi amat menyedihkan footnote mereka dalam mengemukakan hujjah amat lemah.

Dizaman kini juga, ulama yang mempunyai kekuatan footnote juga wujud, tetapi mereka lemah dari sudut haraki.

Kewujudan ulama-ulama yang mempunyai kekuatan footnote dan kekuatan harakinya amat ketara sedikitnya.

Footnote didalam mengemukakan hujjah merupakan sesuatu yang penting. Ini dibimbangi kenyataan yang dikatakan datang dari Imam As-Syafii, tetapi hakikatnya, itu merupakan pandangan yang bukan dari As-Syafii.

Mungkin itu tidak memberi bahaya kepada keislaman, tetapi amat bahaya akan timbul, apabila sesuatu yang bukan perkataan Rasulullah SAW dikatakan sebagai sabda Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW;

من كذب علي متعمداً فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya;
“Barangsiapa yang melakukan penipuan atasku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya daripada neraka[3]

Juga amat lemah, jika sebilangan ulama-ulama yang mempunyai kekuatan footnote itu, tetapi mempunyai kelemahan dalam harakinya.

Dalam keadaan sedemikian, kadangkala mereka sendiri telah menjebakkan diri mereka sebagai manusia yang bersekongkol dengan kezaliman. Sedangkan kezaliman itu dilarang oleh Allah dari disekongkolinya.

Firman Allah;

ولا تركنوا إلى الذين ظلموا فتمسكم النار

Maksudnya;
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka”

(Surah Huud : 113)

Imam Al-Qurtubi ada mengemukakan perkataan Qatadah dalam mentafsirkan makna “larangan cenderung” itu sebagai berkasih sayang atau mentaati orang-orang yang melakukan kezaliman[4].

Secular adalah amalan jahiliyyah moden yang mengajak manusia supaya tidak berhukum dengan hokum Allah. Kalau mereka mahu berhukum pun, mereka mengambil hukuman yang bersesuaian dengan hawa nafsu mereka dan menolak sebahagian yang lain.

Amalan ini di larang oleh Allah dengan firman-Nya;

أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب

Maksudnya;
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat”

(surah al-Baqarah : 85)

Walaupun ayat ini merupakan khitab yang ditujukan kepada orang yahudi, tetapi khitab ini juga merupakan satu cara Allah hendak membuatkan manusia membandingkan cara yahudi terdahulu dan manusia sekarang didalam mengingkari kitab.

Kalau yahudi terdahulu, mengimani taurat sebahagian dan mengkufuri sebahagian yang lainnya, maka begitujuga, sama dengan secular yang terdiri dari kalangan orang melayu yang beriman dengan sebahagian al-quran dan mengkufuri sebahagian daripada al-quran.

Tidak melaksanakan hukuman Allah, disertakan dengan keredhaan hukuman manusia merupakan amalan yang bercanggah dengan Islam dan boleh membabitkan kegoncangan kepada aqidah Islamiyyah yang akhirnya menatijahkan orang yang melakukan kezaliman.

Firman Allah;

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أنزَلَ اللَّهُ فَأُوْلَائِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya;
“barangsiapa yang tidak berhukum dengan barang yang diturunkan oleh Allah, maka mereka daripada kalangan orang yang zalim”

(Surah Maidah : 45)

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa, orang yang tidak berhukum dengan hokum Allah, mereka merupakan manusia yang telah melakukan kezaliman.

Tiba-tiba, ada dari kalangan ulama-ulama footnote yang tidak haraki, mula memberi sokongan kepada golongan pemerintahan secular, seakan-akan dia telah memberi keredhaannya didalam pemerintahan secular itu dengan kezaliman.

PENUTUP

Menukilkan pandangan ulama berdasarkan fakta yang tepat merupakan sesuatu yang penting. Ini dibimbangi berlaku penipuan didalam menyampaikan maklumat Islam.

Kekuatan ijtihad tanzil atau haraki merupakan sesuatu yang penting juga, ini kerana, dengannya terhindar diri dari bersekongkol dengan kelompok manusia yang melakukan kezaliman.

Maka dengan demikian, kedua-dua sudut tadi merupakan sesuatu yang kuat menguatkan dan wajib dibina bagi setiap manusia yang bergelar ustaz.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Dr One G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com

[1] (At-tashil fi ‘ulum at-Tashil : 1/159 )(sahih Bukhari : 2/916) hadis no : 2453.
[2] (Saheh al-Bukhari : 4/1630) hadis no : 4214.
[3] Saheh Al-Bukhari (1/52) hadis no : 107.
[4] Tafsir Al-Qurtubi (9/108)

Saturday, November 18, 2006

HUKUM MERATAPI KEMATIAN

HUKUM MERATAPI KEMATIAN

Di jawab oleh ;
Wan Ji bin Wan Hussin[1]

Soalan;

a. Apakah hukum meratapi kematian seseorang?
b. Apakah haram juga menangisi kematian tersebut tanpa meratapinya?
c. Apakah orang yang mati itu diseksa dengan sebab ratapan manusia yang masih hidup?

Jawapan;

Dengan Nama Allah. Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, Para sahabat R.A dan seluruh umat Islam, samada sudah mati atau masih hidup;

MERATAPI KEMATIAN

Meratapi atas kematian adalah sesuatu yang dilarang oleh Syariah Islamiyyah.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Sabda Nabi SAW;

ليس مِنَّا من ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَةِ الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya;
“Bukan dari kalangan kami, mereka yang memukul muka, mengoyakkan baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah[2]

Didalam Kamus Dewan, meratap bermaksud, “menangis sambil mengeluarkan kata-kata, mengeluh (sambil menjerit, menangis dll)”[3]

Mengeluh dengan kematian seseorang adalah sesuatu yang diharamkan oleh Syariah dan dibawah katagori amalan-amalan jahiliyyah.

Daripada Abdullah bin Mas’ud juga, Sabda Nabi SAW;

إيَّاكُمْ وَالنَّعْيَ فإن النَّعْيَ عَمَلُ الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya;
“jauhi dirimu dari ‘an-na’yu’, kerana ‘an-na’yu’ adalah amalan jahiliyyah[4]

Menurut Imam As-Syaukani, ‘an-na’yu’ didalam bahasa arab bermaksud, memberi khabar kepada manusia tentang kematian.

Adapun maksud ‘an-na’yu’ didalam istilah syariah adalah, “mengkhabarkan kepada manusia atas kematian seseorang disertai dengan kesedihan dan menyebut dengan musibah yang akan menimpa[5]

Memahami makna ‘an-na’yu’ mengikut istilah syariah, difahami bahawa ‘meratapi’ keatas kematian adalah amalan yang diharamkan oleh Syariah Islamiyyah.

Adapun memberi khabar kepada manusia dengan kematian atas tujuan untuk menjemput untuk hadir menunaikan solat Jenazah atau sebagainya, maka itu tidak dibawah katagori amalan jahiliyyah yang diharamkan, bahkan ianya adalah diharuskan didalam Islam.

Ini berdalilkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW memberi tahu kepada kami tentang kematian tiga orang ketua yang terbunuh didalam satu peperangan, iaitu Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawwahah[6].

Juga, Rasulullah SAW memberitakan tentang kematian raja An-Najasyi pada hari tersebut.[7]

APAKAH MENANGISI KEMATIAN SI MATI ADALAH PERKARA YANG DIHARAMKAN?

Menangisi atas kematian yang diharamkan adalah, menangis yang disertai dengan suara. Adapun menangisi kematian seseorang dengan kadar menitiskan air mata sahaja, maka itu tidak diharamkan oleh Islam.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf, ketika kematian Ibrahim, iaitu salah seorang anak-anak Rasulullah SAW. Berkata Abdur Rahman bin Auf;

أخذ النبي (ص) بيدي فانطلقت معه الى ابنه ابراهيم وهو يجود بنفسه قال فأخذه النبي (ص) ووضعه في حجره حتى خرجت نفسه قال فوضعه ثم بكى فقلت تبكي يا رسول الله وأنت تنهى عن البكاء فقال إني لم أنه عن البكاء ولكن نهيت عن صوتين أحمقين فاجرين صوت عند نعمة لهو ولعب ومزامير شيطان وصوت عند مصيبة لطم وجوه وشق جيوب وهذه رحمة ومن لا يرحم لا يرحم

Maksudnya;
“telah memegang oleh Nabi akan tanganku, lalu aku pergi bersama Baginda kepada anaknya, Ibrahim yang sedang nazak. Lalu mengambil oleh Nabi SAW akan Ibrahim dan meletakkannya pada pangkuan Baginda hingga menitis air mata baginda SAW. Lalu aku (Abdur Rahman) berkata, Wahai Rasulullah SAW, kamu menegah dari menangis. Menjawab Baginda SAW, aku tidak menegah kamu dari menangis, tetapi aku melarang dua suara yang hodoh, iaitu suara nikmat kelalaian dan seruling Syaitan dan suara ketika ditimpa musibah, memukul muka dan mengkoyak baju. Adapun ini (menitis air mata tanpa suara ketika kematian) adalah tanda kasih sayang dan barangsiapa yang tidak belas kasih, nescaya dia tidak dibelas kasih[8]

Dari hadis ini menjelaskan maksud sebenar larangan menangis yang dimaksudkan oleh nabi ketika kematian adalah menangis yang boleh melahirkan suara atau dinamakan juga dengan “meratap” seperti diperbahasan lepas.

APAKAH SI MATI AKAN DIAZAB DENGAN RATAPAN ORANG YANG MASIH HIDUP?

Si mati tidak diazab dengan ratapan orang yang masih hidup. Ini berdasarkan kepada firman Allah;

وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya;
“seseorang yang berdosa tidak menanggung dosa orang lain”

(surah al-Isra’ : 15)

Adapun maksud hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar, iaitu sabda Nabi SAW;

إنَّ الْمَيِّتَ يُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ

Maksudnya;
“sesungguhnya si mati di azab dengan sebab tangisan ahli keluarganya”[9]

Melihat kepada zahir hadis ini, seakan-akan Rasulullah SAW menyatakan azab kepada si mati disebabkan ratapan yang dilakukan oleh orang yang masih hidup.

Walaubagaimanapun, menurut As-Syaikh Idris Al-Marbawi didalam kitabnya “bahrul Mazi”, beliau mengatakan bahawa, yang dimaksudkan si mati akan diazab dengan sebab tangisan atau ratapan ahli keluarganya adalah sekiranya si mati itu menyuruh atau redha dengan perbuatan menangisi dan meratap atas kematiannya[10].

Pandangan As-Syaikh Idris Al-Marbawi ini bersesuaian dengan hujjah yang dikemukakan oleh Abu Hurairah yang dinukilkan oleh Imam As-Syaukani didalam kitabnya “nail al-awtar”[11].

Wallahu ‘Alam

Sekian

One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Mudir Maahad At-Tarbiyyah Darul Fiqh Wa Tahfiz Al-Quran.
[2] Nail al-Awtar , karangan Imam As-Syaukani : (4/155) saheh al-Bukhari (1/435) hadis no :1232.
[3] Kamus Dewan , edisi ketiga ; hlmn 1109
[4] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/96)
[5] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[6] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[7] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[8] Majma’ az-Zawaid, karangan Ali bin Abi Bakar al-Haisami (3/17)
[9] Nail al-Awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/155)
[10] Bahrul Mazi, As-Syaikh Idris Al-Marbawi (7/134)
[11] Nail Al-Awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/156)

Wednesday, November 15, 2006

PENGISYTIHARAN BANDARAYA ISLAM : KENAPA MESTI AF?

PENGISYTIHARAN BANDARAYA ISLAM : KENAPA MESTI AF?

Sudah lama aku tidak menulis. Hampir 2 minggu blogku kesunyian article-artikle yang selalu menjadi bahan untuk aku mendedahkan isi hatiku yang terpendam, dan ianya menjadi tatapan kepada mereka yang membacanya.

Hasil dari fikiran dan isi hatiku yang aku luahkan itu, kadangkala mendapat komen yang baik dari sahabat-sahabat alam maya, dan kadangkala menerima kritikan dan tidak lepas juga dari kutukan dan makian.

Padaku, itu adalah perkara biasa, ini kerana, orang tua-tua terdahulu ada mengatakan ‘jika kita mengenali seribu manusia, nescaya kita mengenali seribu jenis perangai manusia’.

ULANGTAHUN BANDARAYA ISLAM

Kelantan merupakan sebuah negeri yang aku banggakan. Kebanggaanku dengan negeri Che Siti Wan Kembang itu, bukan kerana aku dilahirkan dinegeri tersebut, tetapi aku berbangga kerana negeri itu adalah sebuah negeri yang diperintah oleh sebuah gerakan Islam yang terbesar di negara ini, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Kebanggaan itu bertambah lagi memuncak, apabila Menteri Besarnya seorang lelaki yang berakhlak warak, dan mempunyai karisma Islam dan ketinggian ilmu Islam yang tinggi sehinggakan digelar sebagai ‘tuan guru’.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat adalah seorang pemimpin yang di hormati ramai, samada dari pihak kawan dan lawan. Beliau merupakan satu-satunya Menteri Besar yang mengambil sikap mahu menjadikan semua sudut pemikiran, pemerintahan, ekonomi dan sebagainya berasaskan kepada Islam.

Keislaman yang mahu di tonjolkan itu, tidak sekadar retorik, seperti yang diperjuangkan oleh kelompok secular UMNO, yang hanya memperkatakan Islam, tetapi dalam pemerintahan dan dasar perjuangannya, pada hakikatnya berasaskan kepada pemahaman secular yang bercanggah dengan Islam.

Keislaman yang di tonjolkan oleh tuan guru itu jelas dengan usaha Tuan Guru dengan melahirkan banyak institusi-institusi yang berasaskan kepada Islam, seperti mewujudkan organisasi “ar-rahn” atau gadaian yang mengikut Islam, matawang dinar islam, Klinik Islam An-Nisa’, dan berbagai-bagai lagi.

Antara usaha Tuan Guru Menteri Besar adalah dengan mewujudkan dan mengisytiharkan Bandar Kota Bharu sebagai sebuah Bandaraya Islam yang pertama di negara ini.

Kewujudan bandaraya Islam itu membanggakan aku sebagai seorang anak kelahiran negeri serambi Makkah itu. Tetapi kesedihan menimpa, apabila sambutan pengisytiharan Bandaraya Islam itu disambut dengan satu program yang melalaikan iaitu, konsert yang menjemput Mawi sebagai ikon masyarakat.

Kesedihan bertambah memuncak, apabila ulangtahun sambutan meraikan penubuhan Bandaraya Islam itu disambut dengan mengadakan satu lagi konsert yang menjemput beberapa orang artis Akademi Fantasia yang padaku, tidak selayaknya dijadikan sebagai artis jemputan dari pihak kerajaan Negeri.

Mengadakan konsert tertutup kepada kaum hawa sahaja, memang tidak salah, tetapi kebimbangannya adalah, apabila jemputan artis-artis akademi Fantasia itu akan menjadikannya sebagai role model kaum hawa dari kalangan rakyat kelantan yang sudah biasa dengan pemakaian yang bercirikan Islam.

Dikala dunia hari ini di timpa sindrom bencikan ulama, dan dihebatkan lagi dengan kelahiran artis-artis yang menjadi model umat kini, tiba-tiba kerajaan Negeri menjemput artis-artis untuk dijadikan sebagai santapan rohani mereka.

Dalam isu ini, pada pandangan peribadiku, aku tidak menyalahkan kepada Tuan Guru, ini kerana, aku sangat mengenali beliau yang tidak berapa minat dengan hiburan, tetapi padaku, kesalahan itu patut disalahkan kepada beberapa individu ‘exco kerajaan Negeri yang sangat berminat dengan akademi Fantasia’, iaitu seorang exco sampah atau dikenali dengan MPKB dan Exco rumah, yang kedua-duanya ini menjadi pengarah kepada program konsert tersebut.

KEBIMBANGAN PADA KESANNYA

Kebimbangan yang aku fikirkan adalah, kesan di sebalik program tersebut. Antara kesan yang telah berlaku adalah, seperti pejuang-pejuang Islam di negeri-negeri UMNO sudah tergamam untuk melarang pihak UMNO dari mengadakan program yang berbentuk hiburan, kerana jika dilarang, pihak UMNO akan mengatakan, kami hanya meniru dari ajaran Kelantan.

Yang amat menyedihkan, didalam siri program hiburan di television, antara penyanyi-penyanyi yang mahu mengejar nama sebagai jutawan dalam satu program yang ala-akademi Fantasia, merupakan seorang anak kepada kepimpinan PAS di peringkat kawasan, di negeri Selangor.

Apabila ditanya, pemimpin itu menjawab, ‘saya tidak merasakan saya bersalah, kerana tuan guru boleh menjemput Mawi ke Kelantan’.

Kebimbangan yang paling aku rasakan adalah, apabila ramai dari kalangan pejuang-pejuang Islam nanti merasakan bahawa mereka berkerja untuk PAS tidak mendapat apa-apa pahala. Ini kerana, jika mereka membantu, bermakna mereka membantu mewujudkan program yang melalaikan manusia dari mengingati Allah.

Selama ini, pekerja-pekerja PAS sanggup bekerja tanpa mengharapkan apa-apa balasan duit dan wang, kerana mereka yaqin dengan program-program yang dianjurkan itu sebenarnya kearah mengingati Allah.

PENUTUP

Mungkin article ini kelihatan seperti menghentam, tetapi hakikatnya, article ini sekadar pandangan peribadiku yang sedang merasakan ‘Kerajaan Kelantan menguasai PAS, bukan PAS menguasai Kerajaan Kelantan’.

Kritikan ini merupakan sesuatu yang bersifat ‘mulzam’, iaitu tidak dikira sebagai sesuatu yang tepat. Sekiranya ini adalah sesuatu yang benar, terimalah ia sebagai sesuatu yang benar. Sekiranya ianya adalah sesuatu yang batil, maka jadikanlah ianya sebagai sesuatu yang batil

Wallahu ‘Alam.

‘hambo minta maaf tok guru!!!’

Sekian.

One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com

Wednesday, November 08, 2006

PENGAJIAN TAFSIR : SURAH AL-BAQARAH AYAT 132

SURAH AL-BAQARAH : 132

(ووصى[1] بها[2] إبراهيم بنيه[3] ويعقوب[4])( يا بني)( إن الله اصطفى لكم الدين)( فلا تموتن إلا وأنتم مسلمون[5])

Maksudnya;
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam".



[1]

Ada Qiraat membaca dengan “أوصى” bacaan ini dari Nafi’ dan Ibnu Omar. Walaubagaimanapun, bacaan “وصى” lebih Mubalaghah atau melampaui dari makna “أوصى” kerana, “وصى” mengandungi makna “memberi wasiat berkali-kali. (samarqandi (1/121))

Menurut ahli Bahasa Arab. Makna wasiat adalah melampauikan/merebakkan sesuatu perbuatan baik atau perkara yang menghampirkan diri kepada Allah terhadap orang lain. (Baidhawi (1/404))


[2]

Mewasiat Ibrahim akan anak-anaknya dan cucu-cucunya supaya kekal atas “Millah Ibrahim” iaitu agama atau cara hidup Nabi Ibrahim AS. Iaitu atas agama Islam.


[3]

Anak-anak Ibrahim yang diwasiatikan itu seramai 4 orang, iaitu ;

a. Ismail.
b. Ishak
c. Madyan
d. Madan. (samarqandi (1/121) Baidhawi (1/305))

Ada ulama mengatakan, anak-anak Nabi Ibrahim adalah seperti berikut;

a. Siti Hajar : Ismail : hidup bersama Ibrahim
b. Siti Sarah : perempuan dari Qibtiyyah (mesir) : Ishaq : hidup bersama Ibrahim
c. Qanturak binti Yaqtan Al-Kin’aniyyah “قنطوراء” daripada Arab ‘Aribah, Ibrahim berkahwin dengannya selepas kematian Sarah (As-Sa’alabi (1/280)) : anak-anaknya;
a. Mudun
b. Madyan : dia adalah peneroka kepada sebuah tempat yang bernama Madyan. Sempena dengan namanya sendiri.
c. Bisyan
d. Zamran
e. Asybaq
f. Syuh (Ad-Dur Al-Mansur (1/336))

[4]

a. Adakah Ya’qub sudah dilahirkan ketika Ibrahim masih hidup?

Imam Al-Qurtubi mengatakan, Ya’qub tidak sempat dengan Ibrahim. Ibnu Kathir berpendapat, Ya’qub dilahirkan oleh isteri Ishak dimasa Ibrahim dan Sarah masih hidup lagi. (Tafsir Ibnu Kathir (1/186))

Dalil sempat Ya’qub dengan Ibrahim adalah firman Allah;

فبشرناها بإسحاق ومن وراء إسحاق يعقوب

Maksudnya;
“maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Ya'qub”

(Surah Hud : 71)

b. dalam ayat ini, Ibrahim memberi wasiat itu tidak sekadar kepada anak-anaknya sahaja, bahkan Ibrahim memberi wasiat juga kepada cucu-cucunya juga.


c. nama penuh siti sarah adalah “SARAH BINTI HARAN BIN AHWAR” (Al-Baghawi (2/392))

d. pesanan Ibrahim kepada anak dan cucunya adalah dengan Syahadah “لا اله الا الله”.

Tujuan pesanan tersebut adalah kerana kebimbangan Ibrahim terhadap anak-anak dan cucunya dalam menghadapi tipu daya Syaitan.

e. Wasiat Ibrahim itu telah mewasiat pula oleh Ya’qub kepada anak-anaknya seramai 12 orang, ketika beliau masuk kenegeri Mesir dan beliau melihat orang-orang mesir ketika itu menyembah berhala. Lalu dia kumpul 12 orang anaknya untuk memberi wasiat seperti wasiat Nabi Ibrahim itu.

Anak-anak Ya’qub adalah seperti berikut;

a. Rubil
b. Syam’un
c. Yahuza
d. Naftali
e. Lawi
f. Ziyalun
g. Yashjar
h. Dan/dun
i. Istirqafa
j. Jadu
k. Yusuf
l. Bunyamin

[5]

a. ASBAB AN-NUZUL

Iaitu pastikan kematianmu didalam keadaan kamu dalam keadaan Islam, iaitu menyerahkan dirimu bulat- bulat kepada Allah.

Ayat ini telah diselewengkan oleh yahudi ketika bercakap mereka dengan Nabi SAW, berkata mereka;

ألست تعلم أن يعقوب يوم مات أوصى بنيه بدين اليهودية

Maksudnya;
“adakah kamu tidak mengetahui, sesungguhnya Ya’qub pada hati matinya memberi pesanan supaya kekal atas agama Yahudiyyah” (samarqandi (1/122))

Lalu turun ayat ini sebagai menjawab tuduhan jahat yahudi itu.

b. Ibnu Kathir menyatakan, maksud dengan jangan kamu mati, melainkan dalam keadaan Islam, ialah cantikkan kematianmu iaitu kamu kena mati dengan Islam, ini kerana, apabila kamu mati dalam keadaan kufur, atau dalam melakukan maksiat, kamu akan dibangkitkan dalam keadaan sepertimana kamu mati dahulu.

c. ada juga ulama mentafsirkan maksud “jangan kamu mati melainkan Islam” adalah “jangan kamu renggangkan antara Islam dan kehidupanmu” ini kerana, setiap manusia tidak mengetahui bila masa kematiannya. Maka hendaklah melazimi hidup ini dengan Islam.

d. Al-Fudhail bin I’yadh : maksud “muslimun” adalah “orang yang baik sangkanya kepada Allah” ((al-Baghawi (1/118))

Daripada Jabir bin Abdillah, aku dengar Rasulullah berkata 3 hari sebelum kewafatan Baginda;

لا يموتن أحدكم إلا وهو يحسن الظن بالله عز وجل

Maksudnya;
“Jangan salah seorang dari kamu mati melainkan dia baik sangka terhadap Allah” (Al-Baghawi (1/118))