Wednesday, November 15, 2006

PENGISYTIHARAN BANDARAYA ISLAM : KENAPA MESTI AF?

PENGISYTIHARAN BANDARAYA ISLAM : KENAPA MESTI AF?

Sudah lama aku tidak menulis. Hampir 2 minggu blogku kesunyian article-artikle yang selalu menjadi bahan untuk aku mendedahkan isi hatiku yang terpendam, dan ianya menjadi tatapan kepada mereka yang membacanya.

Hasil dari fikiran dan isi hatiku yang aku luahkan itu, kadangkala mendapat komen yang baik dari sahabat-sahabat alam maya, dan kadangkala menerima kritikan dan tidak lepas juga dari kutukan dan makian.

Padaku, itu adalah perkara biasa, ini kerana, orang tua-tua terdahulu ada mengatakan ‘jika kita mengenali seribu manusia, nescaya kita mengenali seribu jenis perangai manusia’.

ULANGTAHUN BANDARAYA ISLAM

Kelantan merupakan sebuah negeri yang aku banggakan. Kebanggaanku dengan negeri Che Siti Wan Kembang itu, bukan kerana aku dilahirkan dinegeri tersebut, tetapi aku berbangga kerana negeri itu adalah sebuah negeri yang diperintah oleh sebuah gerakan Islam yang terbesar di negara ini, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Kebanggaan itu bertambah lagi memuncak, apabila Menteri Besarnya seorang lelaki yang berakhlak warak, dan mempunyai karisma Islam dan ketinggian ilmu Islam yang tinggi sehinggakan digelar sebagai ‘tuan guru’.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat adalah seorang pemimpin yang di hormati ramai, samada dari pihak kawan dan lawan. Beliau merupakan satu-satunya Menteri Besar yang mengambil sikap mahu menjadikan semua sudut pemikiran, pemerintahan, ekonomi dan sebagainya berasaskan kepada Islam.

Keislaman yang mahu di tonjolkan itu, tidak sekadar retorik, seperti yang diperjuangkan oleh kelompok secular UMNO, yang hanya memperkatakan Islam, tetapi dalam pemerintahan dan dasar perjuangannya, pada hakikatnya berasaskan kepada pemahaman secular yang bercanggah dengan Islam.

Keislaman yang di tonjolkan oleh tuan guru itu jelas dengan usaha Tuan Guru dengan melahirkan banyak institusi-institusi yang berasaskan kepada Islam, seperti mewujudkan organisasi “ar-rahn” atau gadaian yang mengikut Islam, matawang dinar islam, Klinik Islam An-Nisa’, dan berbagai-bagai lagi.

Antara usaha Tuan Guru Menteri Besar adalah dengan mewujudkan dan mengisytiharkan Bandar Kota Bharu sebagai sebuah Bandaraya Islam yang pertama di negara ini.

Kewujudan bandaraya Islam itu membanggakan aku sebagai seorang anak kelahiran negeri serambi Makkah itu. Tetapi kesedihan menimpa, apabila sambutan pengisytiharan Bandaraya Islam itu disambut dengan satu program yang melalaikan iaitu, konsert yang menjemput Mawi sebagai ikon masyarakat.

Kesedihan bertambah memuncak, apabila ulangtahun sambutan meraikan penubuhan Bandaraya Islam itu disambut dengan mengadakan satu lagi konsert yang menjemput beberapa orang artis Akademi Fantasia yang padaku, tidak selayaknya dijadikan sebagai artis jemputan dari pihak kerajaan Negeri.

Mengadakan konsert tertutup kepada kaum hawa sahaja, memang tidak salah, tetapi kebimbangannya adalah, apabila jemputan artis-artis akademi Fantasia itu akan menjadikannya sebagai role model kaum hawa dari kalangan rakyat kelantan yang sudah biasa dengan pemakaian yang bercirikan Islam.

Dikala dunia hari ini di timpa sindrom bencikan ulama, dan dihebatkan lagi dengan kelahiran artis-artis yang menjadi model umat kini, tiba-tiba kerajaan Negeri menjemput artis-artis untuk dijadikan sebagai santapan rohani mereka.

Dalam isu ini, pada pandangan peribadiku, aku tidak menyalahkan kepada Tuan Guru, ini kerana, aku sangat mengenali beliau yang tidak berapa minat dengan hiburan, tetapi padaku, kesalahan itu patut disalahkan kepada beberapa individu ‘exco kerajaan Negeri yang sangat berminat dengan akademi Fantasia’, iaitu seorang exco sampah atau dikenali dengan MPKB dan Exco rumah, yang kedua-duanya ini menjadi pengarah kepada program konsert tersebut.

KEBIMBANGAN PADA KESANNYA

Kebimbangan yang aku fikirkan adalah, kesan di sebalik program tersebut. Antara kesan yang telah berlaku adalah, seperti pejuang-pejuang Islam di negeri-negeri UMNO sudah tergamam untuk melarang pihak UMNO dari mengadakan program yang berbentuk hiburan, kerana jika dilarang, pihak UMNO akan mengatakan, kami hanya meniru dari ajaran Kelantan.

Yang amat menyedihkan, didalam siri program hiburan di television, antara penyanyi-penyanyi yang mahu mengejar nama sebagai jutawan dalam satu program yang ala-akademi Fantasia, merupakan seorang anak kepada kepimpinan PAS di peringkat kawasan, di negeri Selangor.

Apabila ditanya, pemimpin itu menjawab, ‘saya tidak merasakan saya bersalah, kerana tuan guru boleh menjemput Mawi ke Kelantan’.

Kebimbangan yang paling aku rasakan adalah, apabila ramai dari kalangan pejuang-pejuang Islam nanti merasakan bahawa mereka berkerja untuk PAS tidak mendapat apa-apa pahala. Ini kerana, jika mereka membantu, bermakna mereka membantu mewujudkan program yang melalaikan manusia dari mengingati Allah.

Selama ini, pekerja-pekerja PAS sanggup bekerja tanpa mengharapkan apa-apa balasan duit dan wang, kerana mereka yaqin dengan program-program yang dianjurkan itu sebenarnya kearah mengingati Allah.

PENUTUP

Mungkin article ini kelihatan seperti menghentam, tetapi hakikatnya, article ini sekadar pandangan peribadiku yang sedang merasakan ‘Kerajaan Kelantan menguasai PAS, bukan PAS menguasai Kerajaan Kelantan’.

Kritikan ini merupakan sesuatu yang bersifat ‘mulzam’, iaitu tidak dikira sebagai sesuatu yang tepat. Sekiranya ini adalah sesuatu yang benar, terimalah ia sebagai sesuatu yang benar. Sekiranya ianya adalah sesuatu yang batil, maka jadikanlah ianya sebagai sesuatu yang batil

Wallahu ‘Alam.

‘hambo minta maaf tok guru!!!’

Sekian.

One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com

5 comments:

mfrstudio said...

adalah penting generasi muda untuk menghidupkan rasa ikhlas dalam berjuang.

saya melihat saudara amat ikhlas menegur dan berdakwah di dalam blog ini terutama untuk meletakkan PAS sebagai gerakan yang benar-benar berjuang atas jiwa jihad semata-mata kerana Allah s.w.t.

saya akan menulis dakwah kepada UMNO di dalam blog saya dan saudara teruslah menulis dakwah kepada PAS.kita lakukan usaha menulis ini seikhlas mungkin.tegurlah saya andai tulisan saya lemah dan kurang. kelak nanti satu hari, generasi muda yang ikhlas dalam UMNO dan PAS akan bersatu dan fokus pada perjuangan kita dengan satu nada iaitu mencari redha Allah dalam berjuang.

semoga ISLAM akan bersinar di bumi Malaysia.

Syaikh Al-Bakistani said...

ini bukan soal Islam liberal. sebab Islam liberal sudah salah dari sudut dasarnya.

adapun dalam ulasan ini, lebih kepada teknikal, bukan dasar.

hukum mengadakan konsert tersebut adalah harus, selama tidak bercanggah dengan Islam.

tetapi, ulasan ana ini lebih kepada kesan disebalik perlaksanaan konsert tersebut.

sebab itu, sebelum sesuatu perlaksanaan program yang berbentuk konsert, dan sebagainya, perlunya dilihat dari kesan sampingannya.

kesan itu, akan dapat disimpulkan dengan kajian secara menyeluruh kepada situasi masyarakat, jika tidak, akan melahirkan natijah yang buruk.

adakah kerajaan kelantan sudah mengadakan kajian mendalam terhadap kesan disebalik perlaksanaan konsert tersebut?

itu persoalan ana. kebimbangan yang ana kemukakan adalah kesan dari konsert MAWI yang diadakan di kelantan pada tahun lepas.

inilah kebimbangan ana..


sekian

abu.talhah said...

Ikhlas dalam UMNO tertolak selagi dasar parti itu tidak diubah kepada ISlam

syahid_zul said...

Teguran saudara ada asas yang kuat.Dan saya sanjung apa yang cuba saudara tegur.Ianya terlalu pahit untuk berleter ketika ahli keluarga sendiri membuat salah.
Saya selalu berfikir begini,setiap masalah mesti ada jalan keluar.Umpama kereta yang sedang bergerak laju.Untuk menghentikannya perlu ada brek.Jika guna emergency break pun ada kesan buruknya iaitu kereta mungkin terbabas!Begitu juga dengan masyarakat sekarang yang masih bermazhabkan hedonisme.Perlu ada brek.Saya melihat kerajaan kelantan cuba menjadi brek.Risikonya tayar mungkin haus bunganya.Tetapi alhamdulillah,penumpang masih selamat.
Mungkin bermula pada hari ini kita harus merintis jalan kearah penyelesaian.Cara dan bersrtagei.Bagai menarik rambut didalam tepung.Tapi saya tetap komited,ianya bukan jalanan yang "percuma".Ada harga yang harus dibayar...

Syaikh Al-Bakistani said...

dalam isu ini, banyak pro dan kontra.

kami dengan beberapa orang ustaz dan profesional ada melakukan beberapa perbincangan berkenaan tindakan kerajaan kelantan tersebut.

kesimpulan yang kami dapat, antaranya seperti berikut;

menganjurkan program berbentuk konsert adalah tidak salah, selama tidak melanggar syariah islamiyyah, tetapi persoalannya, adakah dalam keadaan sekarang adalah keadaan yang sesuai atau tidak? itu adalah persoalan yang wajib dijawab.

kalau kelantan melaksanakannya, adakah dalam keadaan sekarang sesuai atau tidak? sedangkan keadaan masyarakat kita yang terlalu teruk sosialnya dan sebagainya

fikir-fikirkanlah

sekian