Saturday, January 06, 2007

JANGAN PISAHKAN ANTARA TAQWA DAN ULAMA

JANGAN PISAHKAN ANTARA TAQWA DAN ULAMA

Merujuk kepada Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 5 Januari 2007, di muka surat 10. Dr. Syaari Isa telah menulis satu makalah yang membincangkan tafsiran ulama.

Perbahasan ulama yang dikemukakan adalah merujuk kepada firman Allah;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”

(Surah An-Nahl : 43 & surah Al-Anbiya’ : 7)

Yang peliknya, mengapa tafsiran ayat tersebut, Al-Fadhil Dr Syaari merujuk kepada terjemahan Al-Quran dari versi Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris, tanpa merujuk kepada bahasa asal, iaitu bahasa Arab dan ulasan dari ulama-ulama yang muktabar, agar ianya tidak tersasar dari hadafnya.

ULAMA : DEFINISINYA DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

Ulama adalah kalimah “jamak” atau “plural” dari kata “alim”. Alim didalam terjemahan bahasa melayu memberi maksud orang yang mengetahui, tanpa di khususkan kepada apa bidang sekalipun, samada dari bidang agama atau tidak.

Walaubagaimanapun, dari segi istilahnya, Saidina Ali bin Abi Talib mendefinisikan ulama sebagai “orang yang beramal dengan ilmunya dan muwafaqat antara ilmunya dan amalnya[1]”. (At-Tibyan fi Adab Hambah Al-Quran : karangan Abu Zakaria Yahya bin Syarf Ad-din an-Nawawi : 1/20)

Definisi ini lebih sesuai dengan maksud firman Allah yang bermaksud;

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Maksudnya;
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama”

(Surah Al-Fatir : 28)

Ayat ini jelas menyatakan bahawa ketaqwaan (takut kepada Allah) merupakan syarat utama untuk di isytiharkan seseorang itu ulama atau tidak.

Di dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa, disebabkan tahu atau kenalnya seseorang akan kebesaran Allah menyebabkan dia merasakan takut kepada Allah[2]. (tafsir Al-Quran Al-‘Azim : karangan Imam Ibnu Kathir : 3/554)

Jika dilihat kepakaran dalam sesuatu bidang, kepakaran tersebut kadangkala terbatas. Ini diumpamakan seperti “kaya”, sedangkan diisytihar kaya itu sendiri kadangkala berada didalam beberapa peringkat. Ada manusia itu kaya dengan RM 200 ribu, ada manusia kaya dengan RM 1 Juta, ada manusia kaya dengan Rm 4 Juta dan berbagai lagi.

Begitujuga dari sudut kepakaran dalam bidang keilmuan. Ada manusia itu pakar dalam bidang ilmu kadar “RM 200” dan ada pakar dalam bidang ilmu kadar “RM 1 Juta”, ada ada juga manusia itu pakar dalam bidang ilmu kadar “RM 4 Juta” dan seterusnya.

Maka dengan demikian, tidak perlu di persoalkan siapakah ulama, sekiranya dia mahir dalam apa juga bidang, tetapi yang perlu di persoalkan adalah sejauh manakah kepakaran dalam sesuatu bidang itu menyebabkan timbul perasaan taqwanya ia kepada Allah SWT.

SIAPAKAH ORANG BERTAQWA?

Taqwa menurut terjemahan melayu yang selalu kedengaran dari mimbar-mimbar khutbah adalah takut kepada Allah.

Walaubagaimanapun, taqwa tidak cukup di terjemah sebagai takut kepada Allah sahaja, bahkan taqwa yang sebenar adalah menurut segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Di awal surah Al-Baqarah, Allah menyatakan ciri-ciri orang bertaqwa dengan firman-Nya;

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya;
“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”

(Surah Al-Baqarah : 2)

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa orang yang bertaqwa adalah mereka yang tidak meletakkan keraguan kepada isi Al-Quran dan menjadikan Al-Quran sebagai pembimbing hidup.

Al-Quran juga menyatakan perbezaan antara golongan yang beriman dengan mereka yang di ketagorikan sebagai Ahl Kitab. Ini kerana, Ahl Kitab merupakan golongan yang telah meletakan keraguan mereka terhadap Al-Quran dengan tidak mengakui kenabian Muhammad SAW, walaupun mereka mengenali Nabi SAW.

Firman Allah;

الَّذِينَ آَتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian diantara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui”

(Surah Al-Baqarah : 146)

Maka disebabkan itu, golongan ahl kitab tidak di kira sebagai taqwa, bahkan dijanjikan azab kepada mereka, ekoran sikap mereka yang mengambil sebahagian isi kitab dan meninggalkan sebahagian isi kitab yang lain.

Firman Allah;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ

Maksudnya;
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat”

(Surah Al-Baqarah : 85)

Ketaqwaan itu dapat di fahami dengan mengambil Al-Quran sebagai panduan hidup disertai tidak meletakan keraguan kepada Al-Quran. Ketaqwaan bukan “retorik perkataan”, tetapi ianya merupakan pengamalan yang menjanjikan syurga oleh Allah SWT.

BERCAKAP MENGIKUT KADAR KEPAKARAN DALAM SESUATU BIDANG

Akhir-akhir ini, ramai manusia mula mempunyai kesedaran Islam, samada kesedaran itu di letakan pada tempat yang betul atau salah. Dari kesedaran itulah menyebabkan, sudah ramai manusia berani memperkatakan sesuatu perkara yang kadangkala ianya bukan ahli didalam bidang tersebut.

Jika seseorang yang tidak berkelayakan dalam bidang kedoktoran tidak dibenarkan merawat pesakit, dibimbangi menimpa bahaya kepada pesakit, maka begitujuga mereka yang bukan kepakaran dalam bidang agama yang ingin bercakap agama yang kadangkala melebihi batasan yang sepatutnya.

Ekoran dari itu, maka lahirlah kata-kata si Jahil dan kata-kata tersebut kelihatan seperti Alim, di guna pakai dan dijadikan modal untuk manusia menjalani kehidupan mereka.

Ingatlah pesanan Nabi SAW;

من كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ من النَّارِ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang melakukan dusta keatasku, nescaya dia telah tempah satu tempat di dalam Neraka[3]

(Sahih Al-Bukhari : 1/434. hadis no : 1229)

Wallahu ‘Alam

Sekian

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com



[1] At-Tibyan fi Adab Hambah Al-Quran : karangan Abu Zakaria Yahya bin Syarf Ad-din an-Nawawi : 1/20
[2] tafsir Al-Quran Al-‘Azim : karangan Imam Ibnu Kathir : 3/554
[3] Sahih Al-Bukhari : 1/434. hadis no : 1229.

No comments: