MANUSIA AKAN TUNDUK DENGAN KEADILAN ISLAM
Utusan Malaysia bertarikh 12 october, diruangan forum terdapat satu tulisan dari seorang pelajar yang menamakan dirinya sebagai “gadis trauma” dari Shah Alam; yang pernah diragut mendedahkan pandangannya berkenaan potong tangan terhadap peragut.
Sebelum ini, penulis pernah membaca article berkenaan pandangan seorang yang tidak bersetuju dengan tindakan memotong tangan kepada peragut dengan alasan undang-undang tersebut sebagai undang-undang yang tidak berperikemanusiaan.
Kenyataannya seperti berikut;
“Sesungguhnya, dengan sentimen Islam yang sering dipalit dengan pelbagai jenis konotasi negatif, apakah perlu untuk Malaysia sebuah negara Islam membangun mengamalkan hukuman yang tidak berperikemanusiaan?”[1]
Kenyataan yang berbau menghina Islam itu pernah di ungkapkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu, iaitu dalam lingkungan awal 90 an.
Antaranya adalah seperti berikut;
“Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai berbilang kaum dan agama”[2]
Membaca article dan kenyataan Bekas Presiden UMNO itu, sudah memadai untuk kita menyebut bahawa manusia sekarang sudah berani menghina Islam tanpa melihat kepada kesan disebalik penghinaan tersebut.
Walaubagaimanapun, membaca akhbar utusan Malaysia hari ini, rasanya segala penghinaan terhadap Islam itu terjawab, yang mana seorang anak gadis yang merupakan seorang pelajar yang pernah di ragut dapat merasakan betapa pedihnya kehidupannya didalam situasi tersebut.
INILAH KEINDAHAN ISLAM
Islam adalah satu agama yang tidak menyerupai dengan agama-agama yang lain. Agama-agama yang lain lebih berbentuk kepada peribadatan semata-mata. Perkara ini menyalahi Islam, ini kerana, Islam tidak mengajar dalam perkara urusan ibadat sahaja, bahkan Islam mengajar manusia segala sudut kehidupan.
Islam mengajar manusia perkara-perkara yang sebenarnya bersesuaian dengan kehendak fitrah insani.
Firman Allah;
فأقم وجهك للدين حنيفا فطرة الله التي فطر الناس عليها لا تبديل لخلق الله ذلك الدين القيم ولكن أكثر الناس لا يعلمون
Maksudnya;
“maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah)(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tiada pencerobohan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
(Surah Ar-Rum : 30)
Islam telah memperuntukan undang-undang kepada manusia untuk manusia menjalani kehidupannya dengan bahagia, aman dan damai.
Islam tidak menyukai tindas-menindas, kezaliman dan sebagainya. Ekoran dari itu, Islam telah mengajar manusia agar mencari kebahagiaan hidup dari sudut diri sendiri dan kebahagiaan hidup untuk orang lain.
Islam tidak mengajar manusia itu hidup dengan mementingkan diri sendiri tanpa melihat kepada kepentingan orang lain, bahkan Islam melarangnya.
Islam mengharamkan riba, kerana riba adalah salah satu cara hendak mengaut keuntungan individu dengan menzalimi dan menindas kepada golongan yang lain.
Ajaran Islam ini, jika dilaksanakan, nescara golongan non muslim akan terpaut hati dengan Islam, dan golongan muslim sudah pasti tidak akan keluar dari islam, ekoran melihat keindahan islam.
Tetapi, apa yang dapat kita lihat dari hakikat kehidupan kita di negara ini, negara yang didakwa negara Islam, tetapi gejala murtad, anak luar nikah, penindasan ah long dan sebagainya berleluasa di mana-mana. Semua ini adalah kerana Islam hanya dijadikan sebagai cara untuk mencari pengaruh semata-mata, tanpa dijadikan sebagai cara untuk mengurus kehidupan.
Dalam tindakan Jenayah, islam tidak melihat kepada keamanan dari satu sudut, bahkan Islam melihat dari pelbagai sudut. Ekoran dari itu, undang-undang rejam atau sebat kepada penzina, Islam tidak mudah-mudah menjatuhkan hukuman, tetapi hukuman tersebut dijatuhkan setelah bukti-bukti itu tepat dan syarat-syaratnya dilaksanakan.
Pensyaratan 4 orang saksi dari kalangan lelaki dalam menentukan hukuman dilaksanakan kepada penzina, merupakan cara Islam tidak menyukai kezaliman didalam melaksanakan hukuman.
Hukuman rejam atau sebat, merupakan cara Islam menakutkan penjenayah dari melakukan jenayah zina.
Melihat kepada sistem barat, keselamatan tidak dapat dilihat. Denda dengan bayaran atau penjara, tidak memadai untuk menyebabkan penjenayah berhenti melakukan jenayah, bahkan jika bayaran yang dikenakan, kemungkinan penjenayah tersebut akan membayarnya dengan tidak merasakan ianya sesuatu denda yang menyusahkan
Begitujuga dalam isu memotong tangan kepada penjenayah curi. Hukuman potong tangan terhadap pencuri telah dinyatakan oleh Allah didalam Al-Quran.
Firman Allah;
والسارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله والله عزيز حكيم
Maksudnya;
“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Al-Maidah : 38)
Tujuan menjatuhkan hukuman tersebut adalah kerana untuk menggerunkan kepada pencuri-pencuri dan memberi kesalamatan kepada mangsa kecurian.
Inilah keindahan Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia yang mahukan keamanan dan keselesaan dalam menjalani kehidupan ini.
MELAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM MESTI DENGAN IMAN
melaksanakan undang-undang Islam merupakan suruhan Allah. Ini kerana, antara maqasid terkandung didalam perlaksanaan undang-undang Islam ialah, amar Ma’ruf Nahi mungkar.
Melaksanakan amalan amar ma’ruf nahi mungkar adalah wajib Ain kepada seluruh Umat Islam.
Firman Allah;
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله
Maksudnya;
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah”
(surah Al-Imran : 110)
Sabda Nabi SAW;
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان
Maksudnya;
“Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu, dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu dengan hatinya (benci), maka itu adalah selemah-lemah Iman”[3]
Daripada kedua-dua nas ini sudah memadai untuk memahamkan kita bahawa hukum melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sesuatu yang wajib.
Melaksanakan undang-undang Islam merupakan salah satu dari cara hendak melaksanakan amar makruf nahi mungkar, maka dengan itu melaksanakan undang-undang Islam adalah sesuatu yang wajib ‘Ain.
Walaupun begitu, melaksanakan undang-undang Islam itu hendaklah berdasarkan kepada ketaqwaan dan keimanan kepada Allah, ini kerana, perlaksanaan undang-undang Islam yang tidak berasaskan kepada Iman dan Taqwa tidak akan melahirkan kejayaan.
Kita mengetahui undang-undang bunuh kepada pengedar dadah merupakan satu undang-undang yang keras, tetapi hakikatnya, pengedar dadah masih lagi berseronok di negara ini.
Penulis juga pernah mendengar (maaf tidak berfakta), tindakan kerajaan Amerika dalam awal 70 an, pernah melaksanakan undang-undang sebat kepada peminum arak, tetapi tindakan tersebut tidak berjaya.
Semua ini kerana, undang-undang itu tidak dilaksanakan atas dasar keimanan dan ketaqwaan.
Firman Allah;
ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء الأرض
Maksudnya;
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi”
(Surah al-‘Araf : 96)
Negara yang aman dan damai adalah negara yang sistem pemerintahan, kepimpinan dan rakyatnya terdiri dari kalangan mereka yang beriman dan taqwa kepada Allah.
PENUTUP
Kembalilah kita kepada Islam, untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Sekian
One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
[1]http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1010&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_04.htm&arc=hive
[2] Kenyataan Dato Seri Dr Mahathir Mohammad, 2 Mei 1992, Ucapan di papar Sabah.
[3] Sabda Nabi ini didengari oleh Abi Said Al-Khudri. Al-musnad al-mustakhraj ‘ala sahih muslim (1/136) hadis no : 175.
Friday, October 13, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment