Thursday, October 05, 2006

MURTAD : GEJALA YANG DIANGGAP ISU

MURTAD : GEJALA YANG DIANGGAP ISU

Hari ini, aku telah pergi ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk memenuhi satu pertemuan dengan seorang sahabat yang baru sahaja di ugut oleh satu organisasi Ah Long atau Ceti yang kuat berlegar di Kuala Lumpur.

Didalam pertemuan itu, aku dan seorang kawan telah berdialog panjang dengannya dan menanyakan beberapa tindakan dari pihak ceti tersebut. Sahabat itu menceritakan bahawa kesilapannya mengambil pinjaman dari ceti tidaklah boleh disalahkan kepada dirinya, bahkan kesalahan itu mesti dipersalahkan kepada tindakan yang di lakukan oleh “kaki-kaki ceti” yang mahu mencari peluang keuntungan kewangan melalui mangsa-mangsanya menggunakan kaedah “keterpaksaan”.

Walaubagaimanapun, pada pandangan aku, kesalahan meminjam wang dari ceti ini patut disalahkan kepada pihak kerajaan yang memerintah kerana tidak mengharamkan kegiatan tersebut, bahkan memberi lesen perniagaan ceti-ceti tersebut, walaupun kegiatan tersebut sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam dan akal manusia yang mencintai keamanan.

Apabila sampai tarikh pembayaran, sahabat itu tidak mampu membayar hutang ceti, ini kerana dibebankan dengan “bunga” dari hutang yang terlalu banyak.

Akhirnya, keadaan yang amat tertekan itu menyebabkan datang “bos” kepada syarikat ceti itu dan memperkenalkan dengan seorang lelaki India yang beragama kristian untuk menyelesaikan hutang-hutang yang di tanggungnya.

Amat mengejutkan, tawaran menyelesaikan hutangnya itu memerlukan kepada beberapa syarat yang amat memelikkan, iaitu dikehendaki kepadanya mengisi empat keping borang, yang antara empat borang tersebut adalah borang pertukaran agama Islam kepada agama kristian dan borang pertukaran nama dalam pendaftaran negara.

Lelaki India beragama kristian itu juga mengatakan kepadanya, selepas dia masuk kristian diwajibkan kepadanya berulang alik ke gereja pada setiap hari ahad bagi mendalami ajaran kristian dan menghayati ajaran tersebut.

KRISTIAN DAN AGENDA MEMURTADKAN UMAT ISLAM

Mendengar luahan perasaan sahabat itu, aku dapat mengambil satu kesimpulan bahawa gerakan mengkristiankan umat Islam yang didakwa oleh sesetengah penceramah dan pendakwah-pendakwah adalah satu pendedahan yang benar.

Melihat kepada keadaan di Indonesia, usaha mengkristiankan umat Islam disana sudah berjaya, ini dapat dibuktikan dengan kejadian peperangan jihad di Ambon yang berlaku lebih kurang 4 tahun lalu.

Membaca sejarah Indonesia, aku dapat mengambil kesimpulan, kemurtadan umat Islam di Indonesia, begitu mudah terjadi adalah angkara desakan pihak kerajaan Indonesia terhadap rakyatnya beramal dan beraqidah dengan “Pancasila” yang sememang bercanggah dengan Islam.

Semasa aku belajar di Kedah, Aku berjumpa dengan seorang kawan yang pernah belajar IAIN, Jambi Indonesia. Beliau menceritakan kepadaku, dia tidak habis belajar di sana, disebabkan beliau ditangkap oleh kerajaan Indonesia akibat mendedahkan kesyirikan yang berlaku didalam “pancasila” Indonesia.

Mendengar ceritanya itu, bertambah aku ingin mengetahui tentang pancasila, lalu aku bertanyakan kepada seorang cikgu yang berasal dari Acheh.

Cikgu tersebut mencadangkan kepadaku membaca beberapa buah buku berkenaan pancasila dan aku membacanya.

Antara perkara yang dapat aku fahami dari undang-undang pancasila yang diamalkan di Indonesia itu sebenarnya syirik lagi mensyirikkan.

Didalam undang-undang Pancasila, pada panca yang pertama, ianya menekan kepada kepercayaan tuhan yang esa. Didalam panca ini, di Indonesia mengiktiraf empat agama sebagai agama yang menuju ke Syurga. Agama-agama tersebut adalah, Islam, Kristian, Budha dan Hindu.

Aqidah ini ditanamkan kedalam jiwa umat Islam di Indonesia, akibatnya, aqidah Islam yang telah di tanam didalam jiwa umat islam disana menjadi rapuh dan hancur dengan kedatangan gerakan kristian di negara tersebut, ini kerana, rata-rata rakyat Indonesia menganggap agama kristian juga menuju ke syurga.

Di zaman sekarang, jika kita ke Indonesia, kita boleh berjumpa dengan rakyat Indonesia yang beragama kristian berpunca dari ibu, bapa atau datuk nenek mereka murtad dari Islam. Usaha kristian disana juga telah berjaya menghasilkan generasi kristian yang asalnya beragama islam.

Keadaan yang sama juga, sudah berlaku di Malaysia. Gerakan kristian di negara ini sudah mula menunjukkan taringnya dan hampir membuahkan kejayaan.

Manakah ianya tidak berlaku; orang yang mendakwa mereka sebagai Islam dan berjawatan tinggi didalam kerajaan sendiri menyatakan, semua agama ada sama.

Melihat kepada keadaan yang berlaku ini, persoalan yang tertimbul adalah, mengapa umat islam tidak mampu mempertahankan aqidah mereka dan tidak sensitive dengan isu sebegini?

GERAKAN MEMURTADKAN UMAT ISLAM SEMENJAK ZAMAN RASULULLAH SAW

Usaha memurtadkan umat islam tidaklah dibataskan kepada abad ini sahaja, bahkan usaha tersebut telah berlaku semenjak zaman Rasulullah SAW.

Firman Allah;

ود كثير من أهل الكتاب لو يردونكم من بعد إيمانكم كفارا

Maksudnya;
“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman”

(Surah Al-Baqarah : 109)

Imam Ibnu Kathir menyatakan didalam kitabnya “Tafsir Al-Quran al-‘Azim” bahawa ayat ini mengkisahkan tentang dua orang yahudi yang bernama Hai bin Akhtab dan Abu Yasir bin Akhtab yang telah berusaha memurtadkan para sahabat-sahabat RA[1].

Didalam tafsir As-Sa’alabi, ayat ini mengisahkan tentang sebahagian dari yahudi, iaitu Fanhas bin ‘Azura dan Zaid bin Qais yang telah berjumpa dengan dua orang sahabat Nabi, iaitu Khuzaifah bin al-Yaman dan ‘Ammar bin Yasir, selepas dari peperangan Uhud.

Kedua-dua yahudi itu berkata kepada dua sahabat, “Adakah kamu tidak melihat kekalahan tentera Islam, kalau kamu berada didalam kebenaran, nescaya kamu tidak akan kalah. Maka dengan demikian, kembalilah kepada agama kamu yang asal, kerana agama asal kamu itu adalah agama yang lebih baik untuk kamu, dan kami adalah manusia yang lebih berada dalam jalan yang benar”

Mendengar dakyah jahat dari kedua-dua yahudi tersebut, berkata Ammar bin Yasir;

فإني قد عاهدتُ ألاّ أكفر بمحمّد (ص) ما عشتُ

Maksudnya;
“Aku telah berjanji, tidak akan mengkufuri Muhammad selama aku hidup”.

Adapun Khuzaifah bin Al-Yaman berkata;

فقد رضيت بالله ربّاً وبمحمّد نبيّاً وبالإسلام ديناً وبالقرآن إماماً وبالكعبة قبلة وبالمؤمنين أخواناً

Maksudnya;
“Sesungguhnya aku redha Allah menjadi tuhan, Muhammad menjadi Nabi, Islam menjadi agama, al-Quran menjadi Imam (ikutan), Kaabah sebagai qiblat, orang mukmin sebagai saudara”

Selepas kejadian tersebut, kedua-dua sahabat itu berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menceritakan kejadian tadi, lalu bersabda Rasulullah SAW;

أصبتما الخير وأفلحتما

Maksudnya;
“Kamu berdua telah mendapat kebaikan dan kamu berdua telah berjaya”

Lalu, turun firman Allah, surah al-Baqarah ayat 109 ini[2].

Dari kisah berdasarkan kepada sebab turunnya firman Allah ini sudah jelas menunjukan bahawa, usaha memurtadkan umat Islam ini tidak dibatas pada zaman sekarang, bahkan usaha tersebut telah berlaku semenjak zaman Rasulullah SAW.

Melihat gejala murtad ini berlaku semenjak zaman Rasulullah SAW, kita dapat melihat bagaimana para sahabat dapat menanganinya dengan kekuatan aqidah yang mantap berbanding dengan umat Islam kini yang terlalu rapuh iman mereka.

Antara jawapan yang dapat diberikan adalah, umat Islam kini memahami Islam bukan dari sudut kefahaman mereka kepada Islam yang sebenar, tetapi mereka telah didedahkan dengan kefahaman Islam yang songsang.

Kefahaman Islam yang songsang ini, kadangkala berpunca dari sistem pendidikan yang dikuasai oleh pihak pemerintah, seperti mereka menjadikan pengajian Islam sebagai sesuatu pengajian sampingan, menerapkan tuduhan jahat bahawa sekolah agama merupakan tempat lahirnya pengganas, kelahiran Islam Hadhari yang di cetuskan oleh Perdana menteri sendiri dan berbagai-bagai lagi.

Penulis pernah menceritakan isu murtad didalam siri kuliah-kuliah agama yang disampai oleh penulis, tetapi amat menyedihkan, ada dari kalangan pendengar yang “UMNO KARAT” menuduh penulis sebagai Ustaz Politik, sedangkan isu yang dibincangkan adalah isu Islam yang menjadi wajib kepada setiap umat Islam memikirkannya dan bertindak.

Inilah pemikiran umat Islam yang telah dididik oleh UMNO yang sesat menyesatkan itu.

Wahai Orang UMNO, murtadnya orang Islam kini adalah berpunca dari kamu, tanggunglah azab Allah yang maha pedih itu

PENUTUP

Mudah-mudahan, dengan penulisan ini, dapat menyedarkan kita sebagai umat Islam di Malaysia dan menjadikannya pengajaran bagi menambah motivasi diri dalam berusaha kearah mengkuatkan islam didalam diri kita dan sistem pemerintahan yang ada sekarang.

Sekian

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com




[1] Tafsir Ibnu Kathir (1/154)
[2] Tafsir as-sa’alabi (1/257)

No comments: