التحالف السياسي على منهج النبوى و السلف الصالح
PAKATAN POLITIK MENURUT MANHAJ NABAWI DAN SALAF SOLEH
Tahaluf “تحالف” berasal dari kalimah half “حلف” (berbaris kasrah) yang bermaksud al-‘ahd “العهد”[1] atau “perjanjian / kasih sayang / kesejahteraan / aman”[2].
Adapun tahaluf “تحالف” membawa maksud “bersumpah setia untuk saling membantu[3]”
Menurut buku “Daurah Tadribiyyah PAS[4]” tahaluf ialah “perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan Bantu membantu untuk menghadapi lawan”.
Melihat kepada hadis-hadis dan sirah, kita dapati, pakatan ini telah di setujui oleh Rasulullah SAW dan kadangkala ianya dilakukan oleh Baginda SAW sendiri.
Antara bukti atas alasan yang menjelaskan keadaan tersebut adalah;
KISAH ANAS BIN MALIK
a. Daripada ‘Asim bin Sulaiman, berkata ia;
قلت لأنس أبلغك أن النبي (ص) قال لا حلف في الإسلام قال قد حالف النبي (ص) بين قريش والأنصار في داري
Maksudnya;
“Aku berkata kepada Anas; ‘Aku sampaikan kepada kamu, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, tiada pakatan didalam Islam. Lalu berkata ia (Anas), sesungguhnya Rasulullah SAW telah melakukan pakatan diantara Qurash dan Ansar di rumahku[5]”
Ibnu Hajar mengulas hadis ini didalam kitabnya yang bertajuk “Fath Al-bari” bahawa ucapan anas didalam hadis ini terkandung menginkari kenafian pakatan di dalam Islam, bahkan ianya menisbatkan lagi atas kewujudan pakatan itu. Daripada hadis ini, memungkinkan kepada kita menghimpunkan maksud kedua-duanya dengan bahawa, maksud لا حلف فى الإسلام ialah larangan pakatan berlaku di dalam jahiliyyah, ini kerana, orang-orang jahiliyyah ketika itu terlalu zalim, dan apabila dilakukan pakatan, seakan mengandungi maksud, islam juga akan berpakat dalam melakukan kezaliman.
Adapun maksud kata Anas قد حالف النبى (ص) بين قريش و الأنصار , memberi maksud kebenaran selepas dari jahiliyyah, kerana ianya mengandungi maksud memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi, melaksanakan ajaran agama dan yang seumpama dengannya[6].
Didalam kitab “‘Umdah Al-Qari” menyebut, maksud pada penafian pakatan didalam hadis yang pertama memberi maksud, larangan atas melakukan pakatan jahiliyyah. Adapun mengisbatkan pakatan didalam hadis anas pula adalah mengandungi maksud persaudaraan dalam melakukan ketaatan kepada Allah[7].
HALF AL-FUDHUL
b. Daripada Talhah bin Abdillah bin Auf;
أن رسول الله (ص) قال لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا ما أحب أن لي به حمر النعم ولو ادعى به في الإسلام لاجبت
Maksudnya;
“Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya Aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an akan satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya dizaman Islam, nescaya aku menyahutinya[8]”
Berkata Al-Qutaibi : seperti yang disampaikan kepadaku, bahawa sebab berlakunya pakatan itu adalah, Quraish telah melakukan kezaliman di tanah haram, lalu Abdullah bin Jad’an dan Zubair bin Abdul Muttalib mengajak mereka kepada pakatan atas melakukan pertolongan dan mengambil orang yang dizalimi dari tangan orang zalim. Ajakan itu telah disahut oleh Bani Hasyim dan setengah kabilah daripada Qurash[9].
Menurut Ibnu Ishaq bin Yasar, setengah kabilah Quraish itu adalah, Bani Hashim bin Abdul Manaf, Bani Al-Muttalib bin Abdul Manaf, Bani Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qusai, Bani Zuhrah bin Kilab dan Bani Taim bin Murrah.
Mereka melakukan pakatan itu di rumah Abdullah bin Jad’an, dan mereka menamakan pakatan itu dengan Half Al-Fudhul “حلف الفضول”[10].
PENJAGAAN ABU TALIB TERHADAP DIRI RASULULLAH SAW
Didalam sirah, masyhur mengatakan semasa dakwah Rasulullah SAW di Makkah, ramai dari kalangan quraish yang memusuhi Baginda SAW.
Golongan yang memusuhi Rasulullah SAW dari kalangan Quraish bukanlah dari orang lain, bahkan ianya adalah dari bapa-bapa Saudara Baginda SAW sendiri, seperti Abu Lahab[11].
Permusuhan Abu Lahab kepada Rasulullah SAW dibuktikan lagi dengan kisah dakwah secara terus terang yang dilakukan oleh Baginda SAW.
Dikala Rasulullah SAW di bukit Safa, setelah Baginda menyeru masyarakat Makkah supaya berhimpun seraya berkata;
يا بني عبد المطلب لو أخبرتكم أن بسفح هذا الجبل خيلاً أكنتم مصدقي
Maksudnya;
“Wahai Bani Abdil Muttalib, sekiranya aku khabarkan kepada kamu bahawa dibelakang bukit ini ada pasukan berkuda, adakah kamu membenarkanku?
Mereka menjawab, “Ya, kami tidak pernah mengalami dari kamu melainkan yang benar. Lalu Rasulullah SAW pun meneruskan ucapannya lagi;
إني نذير لكم بين يدي عذاب شديد
Maksudnya;
“Sesungguhnya Aku adalah pemberi amaran kepada kamu, bahawa dihadapanku ada azab yang pedih”
Lalu berkata Abu Lahab;
تبا لك إنما جمعتنا لهذا
Maksudnya;
“Binasalah untuk kamu, untuk tujuan inikah kamu himpun kami?”
Lalu turun firman Allah;
تبت يدا أبي لهب وتب # ما أغنى عنه مالك وما كسب # سيصلى نارا ذات لهب # وامرأته حمالة الحطب # في جيدها حبل من مسد
Maksudnya;
“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa # Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan # Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak # Dan (begitu pula) istrinya, pembawa kayu baker # Yang di lehernya ada tali dari sabut”
(Surah al-Lahab : 1-5)[12]
Walaupun permusuhan sebegini hebat dilakukan Abu Lahab terhadap baginda, tetapi ada dari kalangan mereka yang masih lagi menjaga Rasullah SAW, walaupun mereka tetap dengan kekufuran.
Yang dimaksudkan dengan antara bapa-bapa saudara Rasulullah SAW yang menjaga Rasulullah SAW dalam keadaan masih tetap dengan kekufuran adalah Abu Talib.
Abu Talib pernah didatangi oleh orang-orang Quraish dengan membawa ancaman yang keras terhadap beliau. Mereka menyatakan;
“Wahai Abu Talib, sesungguhnya kamu dianggap sebagai orang tua dan mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan kami. Kami telah meminta supaya kamu melarang anak saudaramu dari menjalankan kerjanya, tetapi kamu tidak melarangnya. Sesungguhnya demi Allah, kami tidak sabar lagi terhadapnya dengan kerjanya memaki ibu bapa kami, membodohkan pandangan kami dan mencela tuhan kami. Cegahlah ia daripada menjalan kerja ini. Atau pun kami dan kamu berlawan sehinggalah salah satu daripadanya dikalahkan”.
Lalu Abu Talib menyatakan kepada Rasulullah SAW;
“Wahai anak saudaraku, kaummu telah datang menemui aku dan menyatakan begini…begini… (dengan menceritakan apa yang di minta oleh pembesar Quraish), maka peliharalah dirimu dan diriku. Janganlah bebankan aku dengan perkara-perkara yang aku tidak mampu memikulnya”.
Apabila mendengar permintaan Abu Talib, Rasulullah SAW bersabda dengan tegasnya;
يا عم والله لو وضعوا الشمس في يميني والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله أو أهلك فيه ما تركته
Maksudnya;
“Wahai Bapa Saudaraku, Demi Allah, jika sekiranya mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan ini, samada ia dimenangkan oleh Allah SWT atau aku dibunuh didalam menegakkannya, nescaya aku tidak meninggalkannya”.
Lalu Baginda SAW berpaling dan berundur dengan sedihnya. Akhirnya Abu Talib memanggilnya semula. Setelah Baginda SAW datang, Abu Talib pun berkata;
“Pergilah wahai anak saudaraku. Katakanlah apa yang kamu suka. Demi Allah, Aku tidak akan sekali-kali menyerahkanmu supaya diperlakukan sesuatu”[13].
Dari kisah ini, jelas menandakan bagaimana penjagaan bapa saudara Baginda yang bernama Abu Talib terhadap Baginda, sedangkan ketika itu, Abu Talib tidak beriman kepada Allah SWT.
Penjagaan tersebut tidak pernah dinafikan oleh Rasulullah SAW. Dari itu, menjadikan hujjah bahawa boleh “berpayung” dibawah bantuan penjagaan non muslim dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah.
KISAH ‘UMARAH BIN AL-WALID
Orang-orang Quraish terlalu tertekan dengan penambahan hebat pada dakwah Rasulullah SAW. Ditambahi pula, Abu Talib yang tetap mempertahankan anak saudaranya dalam menyampaikan dakwah.
Maka datang pembesar Quraish dengan membawa seorang pemuda yang bernama ‘Umarah bin Al-Walid sebagai tukar gantikan Rasulullah SAW.
Mereka berkata;
“Wahai Abu Talib, inilah dia ‘Umarah bin Al-Walid seorang pemuda yang paling gagah perkasa dan kacak rupawan. Ambillah dia sebagai tebusan dan penolongmu. Ambillah ia sebagai anakmu dan serahkan kepada kami anak saudaramu, yang menentang agamamu dan agama nenek moyangmu, yang memecah belahkan kaummu dan membodohkan pendapat mereka. Biarlah kami bunuh dia. Kita tukar seorang demi seorang.”
Abu Talib menjawab;
“Demi Allah, alangkah jahatnya apa yang kamu kemukakan supaya aku lakukannnya. Adakah munasabah kamu serahkan kepadaku anak kamu supaya aku menanggung makan minumnya dan aku pula memberi anak saudaraku kepada kamu untuk membunuhnya. Demi Allah pendapat seperti ini tidak berlaku sekali-kali”
Jawab Mat’am bin ‘Adi
“Demi Allah wahai Abu Talib, kaummu telah mengemukakan sesuatu yang ‘Adil. Mereka berusaha untuk melepaskan dari satu perkara yang kamu sendiri tidak bersetuju dengannya. Mengapa aku tidak nampak kamu mahu menerima sedikit pun dari pandangan mereka.”
Abu Talib menjawab;
“Demi Allah, kamu tidak berlaku ‘adil terhadapku, tetapi kamu menghampakan aku, dan aku menggalakkan orang menentangku. Buatlah apa yang kamu lakukan menurut pendapat kamu[14]”
Kisah ini juga, menunjukkan betapa kuatkan seorang non muslim yang bernama Abu Talib memberi “himayah” atau penjagaan keselamatan terhadap Rasulullah SAW didalam menyampaikan dakwah Islamiyyah.
Sekiranya ianya terlarang didalam Islam, nescaya Rasulullah SAW melarang Abu Talib berbuat demikian.
KISAH PENJAGAAN ABU LAHAB TERHADAP NABI SAW
Daripada Aisyah, bersabda Rasulullah SAW;
ما زالت قريش كاعة حتى توفي أبو طالب
Maksudnya;
“Sentiasa Quraish berasa lemah, hingga matinya Abu Talib”
Daripada tsa’labah bin Saghir dan Hakim bin hizam;
“setelah kematian Abu Talib dan Khadijah, antara kedua-duanya adalah 5 hari. Baginda telah menghadapi dua musibah. Bersentiasa Rasulullah SAW tinggal di rumah, sedikit keluar dari rumah. Maka Quraish telah melakukan kepada Baginda sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini. Tindakan quraih terhadap baginda sampai ke pengetahuan Abu Lahab, dan Abu Lahab pergi berjumpa Baginda SAW dan berkata, Wahai Muhammad, pergilah kamu (keluar dan bersiar-siar), aku akan menjaga kamu sepertimana Abu Talib menjaga kamu hingga kematianku.
Tatkala baginda SAW berjalan dikawasan Makkah, golongan Ibnu Ghailatah telah mencela Rasulullah SAW, lalu datang Abu Lahab seraya menjerit,
“Wahai Orang-orang Quraish”, mendengar jeritan itu, semua quraish berpaling kearah Abu Lahab.
Abu lahab menyambung ucapannya,
ما فارقت دين عبد المطلب ولكني أمنع ابن أخي أن يضام حتى يمضي لما يريد
Maksudnya;
“Aku tidak bercerai dengan agama Abdul Muttalib, tetapi aku menegah anak saudaraku dari dizalimi, hingga dia bebas untuk berjalan dimana sahaja yang dia mahu”.
Tindakan Abu Lahab itu tidak disenangi Quraish, lalu Rasululullah SAW di datangi oleh Abu Jahal dan ‘Uqbah bin Abi Mu’it untuk bertanyakan soalan tentang kedudukan Abdul Muttalib selepas kematiannya, antara syurga atau neraka.
Baginda SAW menjawab;
“Dia bersama kaumnya (iaitu neraka)”
Jawapan itu telah dikhabar oleh Abu Jahal dan ‘Uqbah bin Abi Mu’it kepada Abu Lahab, lalu Abu Lahab berjumpa datang berjumpa dengan Baginda dan bertanyakan persoalan yang sama.
Lalu Baginda SAW menjawab;
“Dia bersama kaumnya”
Abu Lahab tidak memahami maksud perkataan itu, lalu menceritakannya kepada Abu Jahal dan ‘Uqbah. Lalu kedua-dua quraish itu menyatakan bahawa, maksudnya adalah neraka.
Mendengar jawapan Abu Jahal dan ‘Uqbah itu, Abu Lahab pergi pula berjumpa dengan Rasulullah untuk kepastian dan bertanya;
يا محمد أيدخل عبد المطلب النار
Maksudnya;
“Wahai Muhammad, Adakah Abdul Muttalib masuk neraka?”
Menjawab Baginda SAW;
ومن مات على ما مات عليه عبد المطلب دخل النار
Maksudnya;
“Barangsiapa mati seperti matinya Abdul Muttalib, maka dia masuk neraka”
Mendengar ucapan itu, berkata Abu Lahab;
لعنه الله والله لا برحت لك إلا عدوا أبدا وأنت تزعم أن عبد المطلب في النار
Maksudnya;
“Laknat Allah, demi Allah, tidak aku meninggalkan kamu melainkan sebagai musuh selama-lamanya. Dan kamu menyangka bahawa Abdul Muttalib didalam neraka”
Selepas dari itu, permusuhan Quraish terhadap Baginda semakin kuat[15].
Kisah ini membuktikan bahawa, setelah kematian Abu Talib dan Isterinya yang disayangi, iaitu Khadijah, Baginda SAW telah diberi keamanan (himayah) oleh Abu Lahab yang merupakan seorang yang telah dijanjikan neraka didalam Al-Quran sendiri.
RASULULLAH SAW MEMINTA PENJAGAAN (HIMAYAH) DARIPADA MAT’AM BIN ‘ADI
Setelah dakwah Rasulullah SAW bersama Zaid bin Harithah di Taif mendapat tentang hebat. Baginda dan Zaid telah mengambil langkah supaya masuk balik ke Makkah.
Semasa di Wadi An-Nakhlah beberapa hari, Zaid telah bertanya kepada Rasulullah SAW;
“Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kita hendak masuk Makkah, sedangkan mereka (Ahli Makkah) telah menghambat kita?”
Lalu Rasulullah SAW menjawab;
يا زيد إن الله جاعل لما ترى فرجا ومخرجا وان الله ناصر دينه ومظهر نبيه
Maksudnya;
“Wahai Zaid, Sesungguhnya Allah menjadikan akan apa yang kamu lihat sebagai adanya kelapangan dan jalan keluar dan Allah pasti memberi pertolongan kepada agamanya dan memenangkan nabi-Nya”
Rasulullah SAW pun pulang ke Makkah, tetapi Rasulullah SAW tidak tergesa-gesa. Baginda menyusun cara untuk memasuki makkah semula dengan pergi ke Gua Hira’ terlebih dahulu dan menghantar seorang utusan dari keturunan Bani Khuza’ah untuk berjumpa dengan Akhnas bin Syariq untuk meminta perlindangan. Bagaimanapun, Akhnas tidak mahu memberi perlindungan. Kemudiannya ditemui Suhai bin ‘Amru. Dia juga tidak mahu memberi perlindungan. Lalu berjumpa dengan Mat’am bin ‘Adi. Mat’am bersedia memberi perlindungan kepada Baginda SAW dan mengerahkan anak-anak buahnya supaya melengkapkan diri dengan senjata bagi menjaga keamaman Nabi SAW daripada Gua Hira’ hingga Baitullah. Kemudiannya Baginda di hantar pulang oleh mereka.
Abu Jahal sangat bimbang dengan perbuatan Mat’am itu, lalu terus bertanya;
“adakah kamu memberi perlindungan kepadanya (Muhammad) sahaja atau kamu sudah menjadi pengikutnya?”
Lalu Mat’am menjawab;
“aku hanya memberi perlindungan sahaja kepadanya[16]”
Dari kisah ini, jelas kepada kita, bahawa Mat’am bin ‘Adi yang masih berada dalam kekufuran memberi perlindungan (Himayah) kepada baginda SAW.
Sekiranya perbuatan itu salah disisi Islam, nescaya Rasulullah tidak menghantar utusan dengan tujuan itu.
MEMINTA BANTUAN NON MUSLIM UNTUK KEMENANGAN ISLAM
Islam telah menetapkan beberapa kaedah dan cara bagi menjalinkan hubungan antara muslim dan non muslim. Ini berdasarkan kepada kaedah;
الاصل فى الإسلام التعامل مع الناس جميعا , المسلم وغير المسلم فيما لا يخالف نصا صريحا من كتاب الله أو سنة رسوله (ص) أو حكما أجمع عليه المسلمون
Maksudnya;
“Asal didalam Islam adalah bermuamalah (melakukan hubungan) sesame manusia seluruhnya, tidak kira sesame muslim atau non muslim, pada perkara yang tidak menyalahi nas yang jelas dari Kitabullah, Sunnah Rasulullah SAW atau hokum yang telah disepakati oleh Ulama muslimin[17]”
Ini beralasan dengan firman Allah;
لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين * إنما ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم وظاهروا على إخراجكم أن تولوهم ومن يتولهم فأولئك هم الظالمون
Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. * Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Mumtahinah : 8-9)
Adapun dalam masalah yang melibatkan soal meminta bantuan dari non muslim untuk kemenangan Islam, perbahasannya adalah seperti berikut;
1. Rasulullah mengizinkan kepada para sahabat berhijrah ke Habasyah untuk minta perlindungan keamanan diri dan agama mereka disana.
2. ketika Abu Bakar hendak hijrah ke Habsyah, seorang musyrik bernama IBNU DUGUNNAH telah menghalang dan menawarkan memberi keamanan kepada Abu Bakar supaya tinggal di Mekkah dan beramal di keliling masjidnya sahaja.
3. kisah taif, ketika rasulullah dan Zaid bin Harithah hendak masuk Mekkah semula, Rasulullah minta bantuan dari 3 orang kafir, iaitu AHNAS BIN ASY-SYARIQ, SUHAIL BIN AMRU dan MAT’AB BIN ADI.
4. Rasulullah meminta bantuan dari ABDULLAH BIN URAIQIT untuk meminta bantuan menunjuk jalan ketika hijrah dari Makkah ke Madinah. (buhuth wa fatawa islamiyyah fi qadaya ma’asirah (4/127))
5. Saidina Omar meminta bantuan orang yang berpengalaman dari golongan kuffar dalam membina sistem idariyyah[18].
Bagaimana pula dengan kisah seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi ketika Baginda dan sahabat hendak keluar pergi ke Badar, untuk meminta hendak memberi bantuan dalam peperangan, lalu Baginda berkata;
ارجع فلن أستعين بمشرك
Maksudnya;
“Kembalilah kamu, aku tidak akan minta bantuan dari orang musyrik”
Lalu Nabi bertanya, adakah kamu beriman dengan Alla dan Rasul. Dia berkata, “ya”
Lalu bersabda Nabi SaW;
انطلق
Maksudnya;
“marilah (bersama-sama kita pergi berperang)[19]”
Dalam riwayat yang lain, iaitu diriwayatkan oleh Ahmad;
انا لا نستعين بالمشركين على المشركين
Maksudnya;
“sesungguhnya kami tidak meminta bantuan orang-orang musyrik bagi melawan orang-orang musyrik”
Syaikh Atiyyah Saqqar mengatakan;
Ada ulama mengatakan hadis ini telah di mansukhkan dengan kejadian-kejadian yang berlaku, iaitu kejadian Rasulullah minta bantuan dari golongan kuffar.
Ada sebahagian ulama yang lain pula kata, hadis-hadis ini tidak mansukh, bahkan, tempat keizinan minta pertolongan dari kuffar adalah ketika berhajat, dharurat.
Didalam peperangan Badar, Rasulullah SAW tidak perlu kepada bantuan dari kuffar, kerana tujuan keluarnya bukan kerana hendak berperang, tetapi hendak ambosh qafilah quraish. Di sebabkan itu, nabi bawa seramai 300 orang sahabat lebih sahaja, kalau nabi hendak berperang, nescaya nabi bawa beribu-ribu sahabat daripada Madinah[20].
Menurut Imam Al-Mawardi, meminta bantuan daripada kuffar dibenarkan dalam melawan kuffar juga. Adapun meminta bantuan kuffar untuk melawan bughah, maka itu dihalang[21].
Walaubagaimanapun, sekiranya keperluan kepada meminta bantuan kuffar sampai kepada had dharurat, maka itu dibenarnya, sebab kaedah Fiqh;
الضرورات تبيح المحظورات
Maksudnya;
“Dharurat mengharuskan perkara yang diharamkan”.[22]
[1] Mukhtar As-Sahah : 1/63.
[2] Kamus tullab : hlmn 727.
[3] Kamus tullab : hlmn 262.
[4] Hlmn 157. buku ini diterbitkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan latihan kepimpinan PAS Pusat pada tahun 2001.
[5] Al-Jam’u Baina As-Sahihain : 2/597. hadis no : 1985
[6] Fath Al-bari Syarah Sahih Al-bukhari : 10/502.
[7] ‘Umdah Al-Qari : 22/147.
[8] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367 . hadis no : 12859.
[9] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367
[10] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367
[11] Nama sebenar Abu Lahab adalah Abdul ‘Uzza. (Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah : 1/98)
[12] Kisah ini secara panjangnya boleh dirujuk didalam buku (“Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah” : 1/99-100)
[13] Kisah ini boleh dilihat didalam buku (Fiqh Al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah : 1/108-109)
[14] (Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah : 1/110)
[15] Kisah panjangnya boleh di rujuk dalam kitab (al-Bidayah Wa An-Nihayah : 3/134)
[16] (Fiqh Al-Harakah dari Sirah An-nabawiyyah : 1/176-178) dan (At-tabaqat al-Kubra : 1/212)
[17] (buhuth wa fatawa islamiyyah fi qadaya ma’asirah (4/127) karangan Syaikh Jad al-Haq Ali Jad Al-Haq)
[18] (buhuth wa fatawa islamiyyah fi qadaya ma’asirah (4/127))
[19] (sahih muslim dengan syarah Imam Nawawi (12/198)) dan (alfatawa min ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam (2/409))
[20] (al-fatawa min ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam (2/409))
[21] (al-ahkam as-sultaniyyah hlmn 60) dan Ibnu Quddamah (al-mughni (1/356))
[22] (min ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam (2/410))
Saturday, December 02, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment