Saturday, October 14, 2006

UCAPAN TAHNIAH PERAYAAN AGAMA LAIN : PENDAPAT YANG KERAS DAN LEMBUT

UCAPAN TAHNIAH PERAYAAN AGAMA LAIN : PENDAPAT YANG KERAS DAN LEMBUT

Dua hari berturut-turut, penulis membaca tulisan Roslan SMS berkenaan gesaan pemecatan jawatan ketua Syariah Takaful, Saudara Mohd Fauzi Mustaffa.

Penulis secara individu tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Dr Syed Ali Tawfiq al-Attas atas kenyataannya yang semata-mata menjaga keuntungan syarikat dan hati orang bukan Islam, dengan mengenepikan hak Ketua Syariah Takaful tersebut.

Dalam isu ini, kita dapat melihat bagaimana seorang muslim itu lebih mendahulukan kepentingan non muslim dan kebendaan dari hak sesame muslim.

Yang lebih melampau, apabila Dr Ali Tawfiq itu menyuruh Mohd Fauzi supaya bertaubat. Kenyataannya seperti berikut;

“(mohd Fauzi Mustaffa juga harus bertaubat atas keangkuhannya itu dengan menganggap beliau mempunyai pengetahuan (tentang hal itu)”

Dimanakah salahnya kenyataan Mohd Fauzi yang melarang orang mengucapkan selamat depavalli sehingga dikira sebagai dosa? Siapa yang sebenarnya tidak mengetahui hukum tentang mengucapkan selamat depavali itu, Mohd Fauzi atau Dr Ali Tawfiq?

Penulis juga membaca tulisan Roslan SMS yang seakan-akan mempertikaikan pandangan ulama yang melarang keras mengucapkan tahniah dengan perayaan agama mereka.

Sehari kemudian, Roslan SMS menulis satu lagi article tentang isu yang sama, berkenaan dengan kenyataan Dato Mufti Perak yang serupa dengan pandangan Roslan SMS.

Sedangkan didalam article yang pertama, Roslan SMS sendiri tidak dapat memastikan hukuman sebenar yang dikehendaki oleh Islam berkenaan ucapan tahniah dengan perayaan non muslim.

Inilah satu penyakit yang sedang menimpa kepada umat Islam. Mereka sudah mula mahu bercakap Islam, tetapi mereka bercakap Islam tidak berdasarkan kepada Ilmu, bahkan bercakap berkenaan Islam berdasarkan “agak-agak” mereka sahaja.

Selayaknya, apabila Roslan mahu bercakap dengan Islam, hendaklah dipastikan dahulu kenyataan itu adakah benar atau tidak. Bukannya bercakap dahulu, kemudian dibenarkan oleh golongan agamawan, baru kita mengatakan “saya sudah kata”.

Orang sekarang apabila berkata sesuatu yang berkaitan dengan politik, mereka memastikan percakapan mereka dari fakta yang benar, kerana bimbang disaman oleh golongan tertentu. Tetapi ini tidak berlaku ketika mereka berkata tentang agama. Apakah mereka tidak takut, mereka akan “disaman” oleh Allah di akhirat nanti?

Tindakan mereka itu menyalahi dengan tindakan para sahabat yang tidak berani menyatakan sesuatu hukum Islam, melainkan mereka memastikan hukum itu bersumberkan dari Rasulullah SAW.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah berkata;

ولا نحكم في القرآن برأينا فإن للتفسير مسلكا مضبوطا لا نتعداه وقد قال عليه السلام
من فسر القرآن برأيه فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya;
“Kami tidak akan berhukum pada Al-Quran dengan pandangan kami (semata-mata). Maka sesungguhnya Tafsir itu mempunyai cara yang tetap yang tidak boleh kami melampauinya. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda; Barangsiapa yang mentafsirkan Al-Quran dengan pandangannya (semata-mata), maka dia telah menempah tempatnya didalam Neraka[1]” (na’uzubillah min zalik)

Betapa bimbangnya para sahabat didalam memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam, sehinggakan mereka akan memastikan sesuatu kenyataannya itu berfakta dan berlandaskan kepada kehendak Al-Quran dan Sunnah.

Ini tidak menyerupai dengan sikap manusia kini. Mereka sudah berani memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam, tetapi dalam masa yang sama, Islam yang di perkatakan itu berada didalam tahap “agak-agak” sahaja.

Firman Allah;

يا أيها الذين آمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan “agak-agak”, karena sebagian dari “agak-agak” itu dosa”

(Surah al-hujurat : 12)

Perlu difahami, dari dua nas yang dikemukakan oleh penulis. Setiap kenyataan kita berkenaan dengan Islam, tetapi tidak dilandaskan kepada Ilmu, lalu kenyataan itu berada didalam tempat yang benar, maka kita tetap dikira sebagai orang yang salah.

HARI RAYA ISLAM DAN BUKAN ISLAM

Islam telah memberi kepada umatnya dua hari raya, iaitu hari raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.

Didalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkata Ia;

قدم رسول الله المدينة ولهم يومان يلعبون فيهما فقال ما هذان اليومان قالوا يومان كنا نلعب فيهما في الجاهلية فقال رسول الله إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم الأضحى ويوم الفطر

Maksudnya;
“sampai Rasulullah SAW akan Madinah, bagi mereka dua hari yang mereka bergembira padanya. Lalu bertanya (Rasulullah SAW), apakah dua hari ini?. Mereka menjawab, dua hari yang kami bergembira padanya semenjak Jahiliyyah. Lalu bersabda (Rasulullah SAW), Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dengan kedua-dua hari ni dengan yang lebih baik, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri”[2]

Dari hadis ini, Rasulullah sendiri telah mengatakan bahawa hari raya yang di amalkan oleh golongan terdahulu (jahiliyyah dan agama-agama yang lain) merupakan perayaan yang tidak elok di rayakan, bahkan telah digantikan dengan perayaan yang lebih elok, iaitu hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Ekoran dari itu, di zaman Rasulullah SAW tidak timbul berkenaan mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan agama yang lain, ini kerana, di zaman tersebut, Islam berada di kemuncak kehebatan dan golongan kuffar ketika itu memahami tentang ketegasan aqidah umat Islam ketika itu.

Keadaan di Zaman Rasulullah SAW itu menyalahi dengan keadaan umat Islam di dunia Islam kini, khususnya di Malaysia. Ini kerana, umat Islam kini tidak sehebat umat Islam terdahulu dari segi penghayatan Islam dan pengamalannya.

Disebabkan penghayatan dan pengamalannya sudah berkurangan, golongan kuffar sudah berani memperkotak katikkan umat Islam, sehinggakan apabila timbul isu larangan mengucapkan tahniah atas perayaan non muslim, maka bangun Lim kit Siang, mendesak agar Mohd Fauzi di pecat dari jawatannya sebagai ketua Syariah di Takaful Malaysia.

Apa yang amat menyedihkan, apabila seorang muslim di hentam oleh golongan kuffar, tiada seorang pun muslim yang bangun mempertahankannya, bahkan datang ramai yang mengaku muslim memberi pembelaan kepada si kafir. Apakah ini yang dikatakan sebagai umat Islam?

Sedangkan Allah berfirman;

محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم

Maksudnya;
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka”

(Surah Al-Fath : 29)

MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA PERAYAAN NON MUSLIM

Dari hadis lepas, dengan jelas Rasulullah SAW mengatakan bahawa perayaan Islam sahaja yang lebih baik dari perayaan agama-agama yang lain.

Ekoran dari itu, apakah hukum berkenaan dengan mengucapkan tahniah kepada perayaan mereka?

Sebelum dibahas lebih lanjut, ingin difahami, perayaan itu terbahagi kepada dua, iaitu perayaan yang berbentuk ibadat dan adat.

Sekiranya berkompromi dengan perayaan yang berbentuk adat, maka itu dibenarkan, ini kerana, adat bukanlah sesuatu yang berbentuk penyembahan, Seperti hari kemerdekaan, hari pekerja dan sebagainya[3].

Kebenaran yang Islam berikan adalah kerana berasaskan hubungan kemanusiaan. Maka dengan demikian, tidak menjadi satu kesalahan, bersama-sama dengan mereka dalam merayakan perayaan tersebut.

Antara dalil yang boleh diketengahkan adalah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Asma’ binti Abi Bakar telah berjumpa Nabi SAW dan bertanya, Ya Rasulallah SAW, Sesungguhnya Ibuku berjumpaku untuk memberi hadiah kepadaku, sedangkan dia masih musyrik. Apakah boleh menerima hadiah tersebut? Lalu jawab Rasulullah SAW, terimalah hadiah tersebut.[4]

Ini antara dalil untuk membenarkan menyambut perayaan bersama-sama dengan non muslim, selama perayaan itu berbentuk adat, bukan ibadat.

Adapun mengucapkan tahniah atas kehadiran perayaan yang berbentuk penyembahan atau ibadat, perkara ini telah dikhilafkan oleh ulama.

PANDANGAN IMAM IBNU TAIMIYYAH

Imam Ibnu Taimiyyah didalam kitabnya “iqtida’ as-Sirat al-mustaqim mukhalafah Ahl al-Jahim”, melarang keras atas berkongsi perayaan dengan kuffar dan menghadiri majlis perayaan tersebut.

Antara alasan yang dikemukakan adalah firman Allah;

والذين لا يشهدون الزور

Maksudnya;
“dan mereka yang tidak menghadiri majlis kejahatan/kebatilan”

(surah al-Furqan : 72)

Imam Ibnu Abbas mentafsirkan maksud dengan majlis kejahatan adalah majlis kebatilan[5].

Adapun Mujahid, Rabi’ bin Anas dan Al-Qadhi Abu Ya’la, mereka berpendapat, maksud dengan menghadiri majlis kejahatan dalam surah furqan adalah menghadiri majlis perayaan musyrikin[6].

Imam Ibnu Taimiyyah juga beranggapan, menghadiri perayaan musyrikin dikira sebagai menyalahi maksud firman Allah[7];

اهدنا الصراط المستقيم , صراط الذين أنعمت عليهم , غير المغضوب عليهم و لا الضالين

Maksudnya;
“tunjuklah kami jalan yang lurus, jalan yang telah engkau beri nikmat, bukan orang yang dibenci dan bukan orang yang sesat”

(surah al-Fatihah : 6-7)

Didalam kitab itu juga ada menyebut, kebanyakan ulama bermazhab Hanafi berpendapat, menjadi kufur kepada mereka yang menyerupai kuffar pada perayaan dan pakaian mereka.[8]

Mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan musyrik bermakna mengiktiraf agama mereka, maka dengan itu ianya menjadi haram, ini kerana, Islam adalah satu-satunya agama yang terbaik berbanding dengan agama-agama yang lain.

Firman Allah;

إن الدين عند الله الإسلام

Maksudnya;
“Sesungguhnya Agama disisi Allah adalah Islam”

(surah al-imran : 19)

Kesimpulan dari ulasan di atas, sudah memadai difahami, pandangan Imam Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa meraikan, menghadiri majlis, mengucapkan tahniah dengan perayaan bukan Islam merupakan satu perbuatan haram yang boleh mengugatkan aqidah.

PANDANGAN DR YUSUF AL-QARADHAWI

Dr yusuf Al-Qaradhawi merupakan seorang ulama moden yang agak lembut pandangannya.

Didalam kitabnya, “al-fatawa al-maasarah”, beliau membenarkan mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan agama-agama yang lain dari Islam.

kebenaran itupun sebenarnya tertakluk kepada niat kita yang meletakan atas alasan hubungan kemanusiaan[9], bukan mengiktiraf agama mereka.

Antara dalil yang diketengahkan;

Firman Allah;

وإذا حييتم بتحية فحيوا بأحسن منها أو ردوها

Maksudnya;
“Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa)”

(Surah Al-Nisa’ : 86)


Dan juga, hadis yang pernah menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menerima hadiah dari golongan non muslim, seperti Muqauqis iaitu raja Mesir, tetapi penerimaan hadiah tersebut didasarkan kepada syarat, iaitu tidaklah hadiah tersebut dari benda yang haram dimiliki oleh orang Islam, seperti arak, daging babi dan sebagainya[10].

SIKAP KITA TERHADAP KHILAF

Melihat kepada ulasan di atas, tidak dinafikan bahawa perbincangan tentang mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan agama yang lain dari Islam merupakan perkara yang di khilafkan di kalangan ulama.

Khilaf yang berlaku selayaknya dihadapi dengan toleransi dan tidak perlu berlaku perbalahan dan desakan sehinggakan hendak memecat atau mendesak perletakan jawatan dan sebagainya.

Menyuruh bertaubat yang diminta oleh Dr Syed Ali tawfiq terhadap Mohd Fauzi, merupakan satu gambaran kejahilannya tentang Islam itu sendiri dan sikap melampaunya terhadap sesame muslim.

Walaubagaimanapun, dalam keadaan sebegini, sebolehnya, kita perlu mengelak diri dari melakukan perkara yang boleh jatuh kepada haram, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan aqidah, walaupun ianya sesuatu yang khilaf.

Kaedah fiqh ada menyebut;

الخروج من الخلاف مستحب

Maksudnya;
“Keluar daripada khilaf adalah digalakan[11]

Maksudnya, sekiranya pendapat A mengatakan haram dan pendapat B mengatakan harus, maka sebaik-baiknya kita memakai pendapat B. walaubagaimanapun, kemungkinan disebalik menggunakan pendapat B itu boleh merugikan dari beberapa sudut, maka gunakan kepandaian dan kecerdikan kita untuk meraikan keadaan tersebut.

Misalnya, dalam isu mengucapkan tahniah dengan kehadiran perayaan Hindu. Mengucapkannya adalah khilaf dikalangan ulama, maka lebih baik tidak mengucapkannya dari mengucapkannya, kerana dibimbangi jatuh kepada pendapat yang mengatakan haram.

Tetapi, didalam masa yang sama, dibimbangi berlaku jurang antara non muslim dan muslim dalam melaksanakan tugasan dakwah, maka berusahalah sedaya upaya atau kecerdikan kita dalam keadaan tersebut, seperti kita menjawab “terima kasih” atau “ok” atau sebagainya, ketika kawan kita dari non muslim itu mengucapkan kepada kita “happy depavalli”.

PENUTUP

Dalam isu ini, sebenarnya perlu dilihat dari beberapa sudut, iaitu seperti berikut;

a. Aqidah umat Islam dalam bahaya.
b. Golongan kuffar sudah samseng terhadap umat Islam di negara umat Islam
c. Meraikan orang bukan Islam dengan alasan dakwah.

Melihat kepada ketiga-tiga sudut ini, dimanakah keadaan umat Islam di Malaysia kini?

Kejadian murtad yang berleluasa di negara ini, antara puncanya adalah kerana pengamalan Islam yang berasaskan kepada Liberal dan plural.

Golongan kuffar sudah bermaharajalela dan sudah sanggup mencabar Islam di negara ini. Penyerahan Memo dari 9 orang menteri bukan Islam kepada perdana menteri, untuk mengugurkan article 11 yang memberi hak umat Islam di Malaysia, sudah cukup membuktikan umat Islam hari ini dipermainkan oleh golongan non muslim.

Apabila melihat keadaan ini, Apakah sikap kita sebagai umat Islam di negara ini?

Islam tidak menanam permusuhan kepada non muslim, ini kerana firman Allah;

لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين

Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”

(Surah Al-Mumtahinah : 8)

Ayat ini secara jelas, menyatakan bahawa Islam menggalakan kepada kita berbaik-baik dan berlaku adil terhadap non muslim, tetapi dalam masa yang sama, islam melarang umat Islam menjadikan diri mereka sebagai bahan untuk dihina oleh golongan kuffar.

Firman Allah;

إنما ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم في الدين وأخرجوكم من دياركم وظاهروا على إخراجكم أن تولوهم ومن يتولهم فأولئك هم الظالمون

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”

(Surah Al-mumtahinah : 9)

Setelah difikirkan, kenapa kuffar semakin berani mencabar Islam? Fikiran itu terjawab, apabila kita mengetahui bahawa, yang tidak bersetuju dan meng”kondem”kan islam adalah orang Islam sendiri.


















Tidak dinafikan, bahaya jika orang kafir mengatakan; sistem Islam tidak adil, tetapi lebih bahaya, kalau orang Islam yang mengatakan; sistem Islam tidak adil. Dan bertambah lagi bahaya, yang mengatakan itu adalah orang PAS.

Kalau di baca berita semalam, kita mendapati kenyataan Menteri Kewangan British, Gordon Brown yang membantah pemakain furdah dikalangan wanita-wanita Islam disana. Kenyataan sebegini amat bahaya.

Walaubagaimanapun, Penulis berpendirian, bertambah amat bahaya, sekiranya Dr Mahmood Zuhdi memarah kepada murid perempuannya memakai furdah dan Dr Hassan Ali menyuruh Wartawan Harakah membuka furdah.

Sekian

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/







[1] Al-Mankhul fi Ta’liqat al-Usul (1/328) karangan Imam Al-Ghazali.[2] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain, karangan Muhammad bin Abdillah Abu Abdillah Al-Hakim An-naisaburi (1/434) hadis no :1091. [3] Al-Fatawa Al-maasarah, Karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi (3/673)[4] Al-Fatawa Al-Maasarah, Karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi (3/ 671)[5] Tanwir al-Miqbas min tafsir Ibni Abbas (1/305)[6] Iqtida’ as-sirat al-mustaqim mukhalafah ahl jahim, karangan Imam Ibnu Taimiyyah (1/181)[7] Iqtida’ as-sirat al-mustaqim mukhalafah ahl jahim, karangan Imam Ibnu Taimiyyah (1/181)[8] Iqtida’ as-sirat al-mustaqim mukhalafah ahl jahim, karangan Imam Ibnu Taimiyyah (1/135)[9] Al-Fatawa Al-Maasarah, karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi (3/672)[10] Al-Fatawa al-maasarah, karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi : (3/672)[11] Perbahasan kaedah-kaedah Fiqh, karangan Ust Abd latif Muda dan Ustz Rosmawati Ali : m/s 366.

1 comment:

mfrstudio said...

saya bersetuju bab sikap menghadapi khilaf.

saya sudah mula bersetuju dengan saudara dalam beberapa perkara.

alhamdulillah.

terus menulis berpaksikan kebenaran.