Wednesday, August 09, 2006

ISRAK DAN MIKRAJ : RENUNGANN KEPADA PEJUANG-PEJUANG ISLAM

ISRAK DAN MIKRAJ : RENUNGANN KEPADA PEJUANG-PEJUANG ISLAM

Bulan rejab telah mengunjung tiba, tanpa disedari, kita sudah hampir kepada bulan Ramadhan, iaitu bulan yang diturunkan padanya Al-Quran.

Memerhatikan pergerakan harian, dirasai bahawa kehidupan kini tidaklah sama seperti dengan kehidupan sebelum ini.

Jika sebelum ini, dirasai bahawa hari-hari berlaku dengan lambatnya, tetapi kini tidak demikian.

Memikirkannya dengan lebih mendalam, teringat kepada Hadis Nabi SAW yang menyatakan;

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حتى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ

Maksudnya;
“tidak akan berlaku kiamat, melainkan digenggam akan ilmu (kematian orang-orang alim), banyak berlaku gempa bumi, masa itu berhampir-hampiran dan zahir fitnah-fitnah ”[1]

Apakah kiamat sudah hampir dengan kita? Melihat kepada kaca mata hadis, persoalan itu terjawab dengan jawapan yang amat takut di ungkapkan, disebabkan melihat kepada amal soleh yang mahu dijadikan bekalan di akhirat nanti, tidaklah mencukupi bagi menyelamatkan diri ini dari api neraka Allah.

Membelek-belek kitab hadis dibawah tajuk “فتن” atau fitnah. Didapati banyak bacaan politik Nabi yang didokongi wahyu itu menjelaskan tanda-tanda berlakunya kiamat. Diperhatikan pula kepada keadaan kini, sememangnya sudah banyak yang disabdakan tersebut sudah berlaku.

Memerhatikan demikian, tugas kita sebagai muslim adalah memenuhkan hidup ini dengan amalan soleh, ikhlaskan diri dalam melakukan ibadat dan menambah banyakkan lagi kesungguhan dalam memperjuangkan islam yang tercinta


ISRAK DAN MIKRAJ

Israk dan mikraj merupakan satu kisah yang tercatit didalam sejarah Islam, yang tidak dapat seorang pun manusia hendak menafikannya.

Ianya merupakan salah satu mukjizat Nabi SAW, yang mana dengan kisah itulah, seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Abu Quhafah[2] telah mendapat jolokan dengan Abu Bakar As-Siddiq, yang bermaksud, “orang yang kuat pegangan agamanya yang sangat-sangat membenarkan Nabi”

Golongan kuffar tidak berpuas hati dengan mukjizat Nabi SAW. Ekoran dari itu, golongan-golongan israil telah menimbulkan banyak keraguan dari kisah tersebut.

Ada dari kalangan mereka mengatakan bahawa Israk dan Mikraj merupakan perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu dan dari masjidil Aqsa ke Sidratul muntaha sebagai perjalanan yang berada di alam mimpi sahaja.

Ada juga dari kalangan mereka melakukan tokok tambah dari cerita itu dengan harapan umat Islam merasakan kisah tersebut sebagai sesuatu yang tidak logic berlaku, dan akhirnya mereka dapat memasukkan “jarum keraguan” yang sehinggakan umat Islam akur dengan dakwaan mereka bahawa perjalanan israk dan mikraj Baginda SAW itu sebagai perjalanan yang hanya berkaitan dengan roh sahaja, tanpa disertai dengan jasad.

Setelah “jarum keraguan” ini berjaya diserapkan kedalam jiwa umat Islam, menunjukan bahawa mereka sudah berjaya hendak mempelekehkan amalan solat yang telah difardukan pada malam tersebut.

Golongan barat yang terdiri dari ahli kitab, tidak dapat senyap dengan aqidah yang dimiliki oleh Umat Islam. Mereka bersungguh-sungguh hendak menyesatkan umat Islam dari kebenaran ini, agar umat Islam boleh terpesong dari ajaran Islam yang maha syumul.

Firman Allah;

ود كثير من أهل الكتاب لو يردونكم من بعد إيمانكم كفارا حسدا من عند أنفسهم من بعد ما تبين لهم الحق فاعفوا واصفحوا حتى يأتي الله بأمره إن الله على كل شيء قدير

Maksudnya;
“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka ma'afkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” (surah Al-Baqarah : 109)

Israk bermaksud perjalanan diwaktu malam yang dilalui oleh Nabi dari masjidil Haram hingga ke Masjidil Aqsa.

Adapun mikraj pula adalah perjalanan nabi SAW dari Masjidil Aqsa hingga ke Sidratul Muntaha, berjumpa dengan Allah.

Perjalanan Israk dan Mikraj Nabi SAW merupakan cara Allah hendak menghiburkan hati Rasulullah SAW yang resah dan gulana ekoran dari tentangan golongan kuffar qurash terhadap dakwah Rasulullah SAW.

PUNCA BERLAKUNYA ISRAK DAN MIKRAJ

Setelah kematian Abu Talib, bapa saudara Baginda SAW, Baginda berada dalam keadaan sedih, ini kerana, baginda telah kehilangan seorang penjaga yang amat disayangi, tetapi mati dalam keadaan tidak menyebut kalimah syahadah.

Menurut Ibnu Qayyim, setelah tiga hari kematian Abu Talib, Isteri yang disayangi oleh Rasulullah SAW, iaitu Saidatina Khadijah pula meninggal dunia[3].

Dengan kewafatan itu, menambah sedih dan dukacitanya baginda SAW. Ini kerana, beliau telah ditinggalkan seorang yang sangat berperanan dalam melakukan tugas dakwah Baginda SAW.

Dengan peristiwa kematian dua insane yang dikasihi Rasulullah SAW, menyebabkan para sahabat telah mendapat berbagai-bagai tekanan dari golongan kafir quraish, menyebabkan Rasulullah SAW telah menyusun strategi bagi menyebarkan Islam di luar Makkah pula.

Rasulullah SAW telah pergi ke Taif bagi mengajak orang-orang Taif supaya menerima Islam. Rasulullah SAW pergi di Taif tersebut ditemani Zaid bin Harithah dengan perjalanan sejauh 50 batu.

Apabila sampai di Taif, pertama-pertama Rasulullah berjumpa dengan tiga saudara yang merupakan pemimpin Bani Tsaqif iaitu Abdul Yalil, Mas’ud dan Habib ‘Amru bin ‘Amir Al-Thaqafi.

Rasulullah SAW berjumpa dengan mereka, mengajak mereka kepada Islam dan memberi pertolongan kepada Islam. Ajakan Rasulullah itu di tolak oleh mereka dengan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati, sehinggakan Rasulullah SAW berkata ketika hendak beredar dari mereka;

“Jika kamu telah melakukan apa yang kamu lakukan itu, tetapi diamlah sekadar itu sahaja, yakni janganlah lakukan lebih dari itu terhadapku”[4]

Rasulullah dan Zaid bin Harithah berada di Taif selama sepuluh hari bagi menunaikan misi dakwah Baginda tersebut. Tetapi dakwah tersebut melahirkan natijah yang menyedihkan, yang mana, bukan sekadar golongan-golongan pemimpin Taif tidak menerima Islam, bahkan mereka telah menghambat Baginda dan Zaid keluar dari Taif dan menyuruh orang-orang ‘abdi dan orang-orang yang bodoh, supaya membaling batu kepada Rasulullah dan Zaid, sehinggakan Rasulullah SAW sendiri telah menghadapi luka yang membasahkan kasut baginda dengan darah.

Zaid yang mempertahankan Rasulullah SAW juga telah menghadapi luka dikepalanya.

Serangan yang bertalu-talu itu menyebabkan mereka terpaksa berundur sehinggakan mereka sampai di kawasan sebuah kebun anggur kepunyaan ‘Utbah bin Syaibah bin Rabi’ah yang jaraknya tiga batu dari Taif.

Sesampai Rasulullah SAW ke kawasan kebun tersebut, Rasulullah SAW telah bersandar disebuah tembok dan bermunajat kepada Allah dengan sepenuh jiwanya, tanda kesedihan dan dukacita baginda terhadap penolakan manusia terhadap dakwahnya itu.

Doa Baginda SAW adalah seperti berikut;

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهواني على الناس يا أرحم الراحمين أنت رب المستضعفين وأنت ربي إلى من تكلني إلى بعيد يتجهمني أو إلى عدو ملكته أمري إن لم يكن بك غضب علي فلا أبالي أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهو أني على الناس يا أرحم غير أن عافيتك هي أوسع لي أعوذ بنور وجهك الذي أشرفت له الظلمات وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة أن يحل علي غضبك أو أن ينزل بي سخطك لك العتبى حتى ترضى ولا حول ولا قوة إلا بك

Maksudnya;
“Ya Allah, kepadamu Aku mengadu lemahnya kekuaanku, sedikit helahku, betapa hinanya aku dikalangan manusia, Wahai tuhan yang amat penyayang di kalangan semua yang penyayang. Engkau adalah tuhan orang-orang yang lemah. Kepada siapakah Engkau serahkan aku. Adakah kepada orang yang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau kepada musuh yang engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku? Jika tidak ada kepada-Mu murka terhadapku, aku tidak peduli, tetapi kemaafan-Mu itu lebih luas kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang telah Engkau pancarkan kearah segala kegelapan, menjadi baiklah diatasnya segala urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada turunnya ke atasku murka-Mu, atau berlakunya ke atas ku murka-Ku. Kepada-Mu pengaduan yang sungguh-sungguh sehingga mencapai keredhaan-Mu. Tiada daya dan upaya melainkan pertolongan-Mu”[5]

Tuan kebun tersebut merasa kasihan kepada Rasulullah SAW dan menyuruh orang suruhannya dari agama nasrani, bernama Addas agar pergi memberi setangkai anggur kepada Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah hendak makan buah Anggur tersebut, Rasulullah SAW telah membaca بسم الله dan didengari oleh Addas, lalu berkata, “Demi Allah, perkataan ini tidak pernah diucapkan oleh orang di negeri ini”. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya, “dari negeri manakah asal kamu dan agama apakah kamu wahai Addas?”. Addas menjawab, “aku dari negeri Ninawi dan beragama Nasrani”. Berkata Rasulullah SAW, “itu adalah negeri seorang lelaki soleh yang bernama Yunus bin Matta”. Berkata Addas, “dari manakah kamu mengenali Yunus bin Matta?”, berkata Rasulullah SAW, “dia adalah saudaraku dan dia adalah nabi dan aku juga seorang nabi”.

Mendengar jawapan tersebut, Addas terus tunduk dan mencium tangan dan kaki Rasulullah SAW.

Perbuatan Addas itu diperhatikan oleh kedua-dua tuan kebun tersebut dan bertanya kepada Addas, “apakah yang telah kamu lakukan?”, menjawab Addas, “Wahai tuanku, tiada orang yang lebih mulia berbanding lelaki ini. Dia mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh manusia lain, melainkan para nabi sahaja”.[6]

Kemudian dari itu, Rasulullah SAW berpaling dari situ hinggalah sampai satu tenpat yang bernama Qarnil Manzil[7].

Hasil dari doa yang dibaca oleh Nabi semasa berada di kebun tadi, Allah telah mengutuskan kepada Baginda SAW Malaikat yang menjaga bukit untuk mengikut akan perintah Nabi SAW, iaitu untuk menimpakan bukit keatas mereka akan bukit-bukit besar yang mengelilingi Makkah.

Mendengar tawaran tersebut, Rasulullah SAW berkata;

لعل الله يخرج من أصلابهم من يعبده لا يشرك به شيئا
Maksudnya;
“mudah-mudahan Allah mengeluarkan dari sulbi-sulbi mereka (keturunan mereka) manusia yang akan menyembah-Nya (Allah) dan tidak mensyirikkan Allah sesuatu pun”[8]

Sesampai Rasulullah SAW dan Zaid di lembah Nakhlah yang subur dengan tumbuh-tumbuhan dan mempunyai air, mereka singgah di situ untuk beberapa hari.

Di situ, tanpa disedari oleh Rasulullah, Baginda SAW telah dikunjungi sekelompok Jin untuk memeluk Islam. Kisah tersebut didalam firman Allah;

وَإِذْ صَرَفْنَآ إِلَيْكَ نَفَراً مِّنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْءَانَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُواْ أَنصِتُواْ فَلَمَّا قُضِىَ وَلَّوْاْ إِلَى قَوْمِهِم مُّنذِرِينَ قَالُواْ ياقَوْمَنَآ إِنَّا سَمِعْنَا كِتَاباً أُنزِلَ مِن بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِىإِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُّسْتَقِيمٍ ياقَوْمَنَآ أَجِيبُواْ دَاعِىَ اللَّهِ وَءَامِنُواْ بِهِ يَغْفِرْ لَكُمْ مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُجِرْكُمْ مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya;
“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata: "Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)." Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan * Mereka berkata: "Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Al Quran) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. * Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih.” (surah Al-Ahqaf : 29-31)

Dengan kedatangan Jin yang mahu memeluk Islam itu merupakan balasan dari Allah bagi menghiburkan hati Rasulullah SAW yang bersedih dengan keingkaran kaumnya terhadap dakwahnya.

Semasa Rasulullah SAW berada di lembah Nakhlah tersebut, Rasulullah SAW telah menyusun strategi untuk memasuki Makkah semula. Tindakan Rasulullah SAW itu diketahui oleh Zaid bin Harithah, lalu dipersoalkannya kepada Rasulullah SAW tentang tindakan tersebut sedangkan golongan kuffar Makkah sudah menghalau Rasulullah SAW dari memasuki Makkah.

Persoalan tersebut telah dijawab oleh Rasulullah SAW dengan katanya;

يا زيد , ان الله جاعل لما ترى فرجا و مخرجا و ان الله ناصر دينه و مظهر نبيه

Maksudnya;
“Wahai Zaid, Sesungguhnya Allah menjadikan perkara yang kamu lihat itu ada kelapangan dan jalan keluar. Dan sesungguhnya Allah akan menolong agamanya dan memenangkan Nabi-Nya”[9]

Rasulullah SAW berusaha masuk Makkah tidaklah dengan tergesa-gesa, bahkan dipenuhi dengan tindakan yang teliti.

Terlebih dahulu, Rasulullah SAW telah singgah di Gua Hira’ dan telah menghantar utusan menemui Akhnas bin As-Syariq bagi memohon perlindungan darinya. Permohonan itu di tolak oleh Akhnas.

Kemudiannya di temui Suhail bin Amru, dan jawapan yang sama juga diterima.

Akhirnya Rasulullah SAW menghantar utusan supaya memohon perlindungan dari Mat’am bin ‘Adi, dan Mat’am bersedia untuk memberi perlindungan tersebut.

Mat’am bin ‘Adi dan anak-anaknya telah memberi perlindungan kepada Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah, dari Rasulullah SAW melakukan tawaf di Kaabah, hinggalah sampai di rumah baginda[10].

Tindakan Mat’am tersebut tidak disenangi oleh Abu Jahal, lalu dijumpainya dan bertanya, adakah Mat’am telah memeluk ajaran yang dibawa oleh Muhammad SAW atau semata-mata memberi perlindungan.

Mat’am mengatakan bahawa beliau hanya memberi perlindungan sahaja, tanpa memeluk ajaran Muhammad SAW tersebut.

BERLAKUNYA ISRAK DAN MIKRAJ

Ekoran dari kematian Abu Talib dan Khadijah yang merupakan orang yang tersayang dan banyak memberi bantuan moral dalam menjayakan misi dakwah Islamiyyah itu, dan disamping tekanan yang dilakukan oleh orang-orang Makkah dan orang-orang taif terhadap dakwah Rasulullah SAW itu. Berbagai-bagai tekanan lagi dilakukan oleh golongan-golongan kuffar Makkah terhadap Rasulullah SAW dan para Sahabat.

Rasulullah SAW sendiri merasakan tekanan yang dilakukan tersebut, sehinggakan Allah telah menghiburkan hati Baginda dengan menjemput Baginda SAW berjumpa dengan-Nya bagi memberi satu pensyariatan ibadat yang boleh dijadikan sebagai cara untuk menenangkan hati dikala menghadapi kesusahan iaitu solat.

Jemputan tersebut dipanggil dengan kejadian yang dinamakan sebagai Israk dan mikraj.

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tarikh sebenar berlakunya israk dan mikraj ini. Ada dari kalangan mereka berpendapat, kejadian Israk dan mikraj itu berlaku pada 27 Rejab, tahun kesepuluh kenabian dan ada yang mengatakan ianya berlaku pada enam belas bulan sebelum hijrah, iaitu didalam bulan Ramadhan pada tahun yang kedua belas dari kenabian.

Kisah israk dan mikraj ini dirakamkan oleh Allah didalam firmannya;

سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الاْقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءايَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البصير
ُ
Maksudnya;
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.“ (surah Al-Isra’ : 1)

Dan firman Allah;

وَلَقَدْ رَءَاهُ نَزْلَةً أُخْرَى عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَى عندها جنة المأوى إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى لَقَدْ رَأَى مِنْ ءايَاتِ رَبّهِ الْكُبْرَى

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain * (yaitu) di Sidratil Muntaha * Di dekatnya ada syurga tempat tinggal * (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya * Penglihatannya (muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. *Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar” (surah Al-Najm : 13-18)

MORAL DARI BERLAKUNYA ISRAK DAN MIKRAJ

Membaca segala ulasan di atas, kita akan dapat mengambil beberapa pengajaran darinya sebagai bekalan sebagai pejuang Islam.

Antaranya adalah seperti berikut;

1. Perjuangan ini tidak selayaknya digantungkan kepada individu-individu tertentu semata-mata, bahkan perjuangan Islam ini mestilah digantung kuatkan kepada pertolongan Allah. Ini terbukti dengan Allah mematikan dua insan kesayangan nabi iaitu Abu Talib dan Khadijah, dikala dakwah islamiyyah diserang bertubi-tubi oleh golongan kuffar.
2. tekanan yang dihadapi didalam perjuangan islam adalah sesuatu yang biasa. Keyaqinan yang perlu diletak didalam jiwa pejuang Islam bahawa, Allah akan membalas tekanan tersebut dengan memberi kejayaan yang hakiki kepada kita. Ini terbukti dengan kegembiraan yang Allah hadiahkan kepada baginda SAW dikala musuh Islam melakukan tekanan yang dikenakan kepada Baginda, lalu Allah menjemput baginda berjumpanya di dalam kisah israk dan mikraj. Ingatlah firman Allah;


فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً

maksudnya;
“sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” (surah al-Insyirah : 5-6)

3. perlunya berdakwah kepada golongan-golongan yang bukan sahaja berada dikalangan kita, bahkan berdakwah itu perlu kepada golongan yang bukan dari kalangan kita. ini terbukti dengan tindakan Rasulullah SAW menyampaikan dakwah kepada orang-orang Taif, walaupun Baginda bukan dari kalangan orang-orang Taif.
4. menanam pendirian bahawa memberi hidayah adalah Allah dan berusaha untuk menyampaikan dakwah adalah kita. Apabila orang tidak menerima dakwah kita, tidak sepatutnya kita berputus asa dengan tugas dakwah yang dilakukan. Ini dibuktikan didalam kisah Rasulullah berdakwah di taif, dan hasilnya adalah Rasulullah SAW menerima ejekan dari pihak Taif dan dibaling batu sehinggakan kasut Rasulullah dibasahi dengan darah.
5. Pentingnya strategi didalam menyampaikan dakwah, agar tindakan dakwah itu menghasilkan sesuatu yang memberi faedah kepada Islam itu sendiri. Ini terbukti dengan tindakan Rasulullah SAW meminta bantuan dari Mat’am bin ‘Adi bagi menyelamatkan Baginda dan Zaid untuk memasuki Makkah.
6. sentiasa berdoa dan mengharapkan hidayah Allah diberikan kepada orang yang didakwah, berbanding mendoakan kehancuran kepadanya. Ini berdasarkan kepada jawapan Nabi kepada Malaikat yang menjaga bukit, ketika Allah mengutuskannya untuk meminta kebenaran dari Nabi untuk menimpakan bukit atas kepala ahli taif yang telah membaling batu dan melukakan Nabi SaW.
7. sentiasa meyaqini pertolongan Allah, sekiranya kita berada di jalan kebenaran. Ini dibuktikan dengan jawapan Nabi kepada Zaid bin Harithah dikala mahu memasuki Makkah dengan kata Baginda SAW;

يا زيد , ان الله جاعل لما ترى فرجا و مخرجا و ان الله ناصر دينه و مظهر نبيه

Maksudnya;
“Wahai Zaid, Sesungguhnya Allah menjadikan perkara yang kamu lihat itu ada kelapangan dan jalan keluar. Dan sesungguhnya Allah akan menolong agamanya dan memenangkan Nabi-Nya”[11]

Dan banyak lagi penjaran-pengajaran yang perlu diambil disebalik kisah Israk dan Mikraj ini bagi memantapkan semangat juang dikalangan pejuang-pejuang Islam.

PENUTUP

Mudah-mudahan dengan ulasan serba ringkas ini dapat memberi pengajaran yang berharga kepada setiap pejuang-pejuang Islam.

Amin Ya Rabbal Alamin…

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/




[1] Saheh bukhari (1/350) : no hadis : 989.
[2] Nama sebenar abu baker as-siddiq adalah Abdullah bin Qahafah. Nama ini digantikan oleh Nabi SAW setelah beliau masuk Islam. Sebelum Islam, nama beliau adalah Abdul Ka’bah. Diberikan nama Abdul Ka’bah kerana menunaikan nazar ibunya yang telah melahirkannya, yang mana sebelum kelahirannya, apabila ibunya melahirkan anak, anaknya itu pasti akan gugur. Maka ketika melahirkan Abu Bakar, ibunya bernazar, sekiranya dia hidup, maka dia akan diberi nama dengan Abdul Ka’bah.

Digelarkan dengan Abu baker adalah kerana, Abu Bakar mengandungi makna, si kuat pegangan agamanya. Yang mana, beliau merupakan sahabat-sahabat Baginda SAW yang paling kuat agamanya. : Abu Bakar As-Siddiq : m/s 2-3.
[3] Fiah Al-Harakah dari Sirah nabawiyyah : (1/162)
[4] Fiqh Al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah : (1/169)
[5] Zad Al-Ma’ad : (3/31-32)
[6] Tafsir Al-Qurtubi ; (16/211)
[7] Fiqh Al-Harakah dari sirah Nabawiyyah : (1/172)
[8] Zad Al-Ma’ad : (3/32)
[9] Fiqh Al-Harakah dari sirah nabawiyyah : (1/176)
[10] As-Sirah An-Nabawiyyah : (2/225)
[11] Fiqh Al-Harakah dari sirah nabawiyyah : (1/176)

No comments: