Sunday, September 24, 2006

KERTAS KERJA : AKHLAK ISLAM SATU TUNTUTAN

AKHLAK ISLAM SATU TUNTUTAN

Oleh :
Ustaz Wan Ji bin Wan Hussin[1]

MUQADDIMAH

Firman Allah;

لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا

Maksudnya;
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”

(Surah Al-Ahzab : 21)

Sabda Nabi SAW;

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله قال أكمل المؤمنين إيمانا أحسنهم خلقا قال بن عجلان وقال رسول الله بعثت لأتمم صالح الأخلاق

Maksudnya;
“Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, orang mukmin yang paling sempurna Iman adalah manusia yang akhlaknya paling baik. Berkata Ibnu ‘Ajlan, dan bersabda Rasulullah SAW, Aku dibangkitkan bagi menyempurnakan akhlak yang baik[2]

Akhlak merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib ditunaikan oleh setiap manusia muslim.

Tanpa akhlak, muslim yang selayaknya menerima pujian akan dicela dan dihina ekoran akhlak yang mulia tidak ditonjolkan kepada manusia, terutama kepada non muslim.

Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin besar yang telah membuktikan kehebatan dan keindahan akhlak baginda.

Sebagai umat Nabi, sewajibnya kita mengikut segala akhlak baginda SAW, agar ikutan tersebut memberi kesan kepada kita dengan mendapat kebersamaan dengan baginda SAW didalam syurga nanti.

Amin!!!!

1. DEFINISI

Akhlak merupakan kalimah arab yang di ambil dari kalimah خلق. Didalam kitab “Mukhtar as-Sahah”, kalimah خلق memberi maksud “menentukan/membataskan/ mengkadarkan”[3].

Didalam kamus Dewan Bahasa, Akhlak bermaksud, “Budi pekerti, kelakuan dan tabiat[4]”.

Berdasarkan kepada definisi di atas, akhlak itu merupakan budi pekerti yang kadangkala ianya berbentuk kebaikkan dan kadangkala ianya berbentuk kejahatan.

Bagi mendapatkan akhlak yang baik, hendaklah melihat kepada pembatasan-pembatasan yang ditetapkan bagi menilainya sebagai sesuatu yang baik. Begitujugalah pada akhlak yang jahat.

2. FADHILAT BERAKHLAK MULIA

a. Allah sangat kasih kepada orang yang berakhlak mulia, sehinggakan Rasulullah SAW bersabda;

عن سهل بن سعد قال قال رسول الله
إن الله كريم يحب الكرم ومعالي الأخلاق ويبغض سفسافها

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah SWT itu Mulia dan menyukai kemuliaan dan ketinggian Akhlak dan (Allah) membenci akan amalan yang buruk[5]

b. Orang yang berakhlak mulia akan dimudahkan hisab disisi Allah. Sabda Rasulullah SAW;

عن أبي هريرة قال قال رسول الله (ص) ثلاث من كن فيه حاسبه الله حسابا يسيرا وأدخله الجنة برحمته تعطي من حرمك وتعفو عمن ظلمك وتصل من قطعك

Maksudnya;
“tiga golongan yang akan Allah akan permudahkan hisab dan Allah memasukkan mereka kedalam syurga dengan Rahmat-Nya. Iaitu memberi akan orang yang mengharamkan kamu, memaafkan orang yang menzalimi kamu dan menghubungkan (silaturahim) akan orang yang memutuskannya[6]

c. Orang yang berakhlak akan dikenang ketika ketiadaannya dan selepas kematiannya. Berkata ‘Ali bin Al-Asmu’ al-Wafat kepada anak-anaknya;

فقال يا بني عاشروا الناس معاشرة إن غبتم حنوا إليكم وإن متم بكوا عليكم

Maksudnya;
“Wahai anakku! Bergaullah kamu akan manusia dengan baik. Sekiranya kamu tiada dari mereka, mereka akan mengucapkan tahniah (memuji) kamu dan apabila kamu mati, mereka akan menangisi atas kamu[7]

d. Tanda orang yang beragama adalah orang yang berakhlak mulia. Arab ada bersyair;

ليس دنيا إلا بدين # وليس الدين إلا مكارم الأخلاق

Maksudnya;
“tiada dunia melainkan dengan Agama, dan tiada agama melainkan kemuliaan akhlak[8]

3. SUMBER RUJUKAN AKHLAK ISLAM

Islam adalah satu agama yang syumul. Kesyumulan Islam merangkumi segala sudut kehidupan, samada berbentuk aqidah (kepercayaan), syariat, politik, akhlak dan sebagainya.

Antara perkara yang dipelajari didalam Islam adalah ilmu akhlak, iaitu ilmu yang membicarakan tentang budi pekerti yang baik.

Sememangnya Islam menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan utama, maka begitujugalah dalam menilai akhlak Islam itu hendaklah melihat kepada penilaian Al-Quran dan As-Sunnah.

Sekiranya sesuatu perkara itu dilihat oleh “mata” manusia sebagai sesuatu yang buruk, tetapi ianya baik disisi Al-Quran dan As-Sunnah, maka itu merupakan sesuatu yang baik. Begitujuga sebaliknya.

Berjihad mengikut pandangan “mata” manusia merupakan sesuatu yang buruk, ini kerana, jihad akan melahirkan tindakan yang bersifat pembunuhan dan pertumpahan darah. Penilaian ini salah disisi Islam, ini kerana, Al-Quran menyatakan;

كتب عليكم القتال وهو كره لكم وعسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم وعسى أن تحبوا شيئا وهو شر لكم والله يعلم وأنتم لا تعلمون

Maksudnya;
“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah : 216)

Ayat ini secara jelas menggambarkan bahawa penilaian itu kadangkala tidak bersesuaian dengan kehendak perasaan, tetapi hakikatnya, ianya merupakan satu kesukaan disisi Allah yang kadangkala membeli kebaikan kepada diri kita sendiri.

Akhlak Islam juga mesti melihat kepada perbuatan Rasulullah SAW. Ini kerana, Rasulullah SAW merupakan “role model” didalam mencapai keindahan Akhlak.

Sabda Rasulullah SAW;

بعثت لأتمم صالح الأخلاق

Maksudnya;
“Aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang baik[9]

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, ketika beliau ditanya oleh Abu Darda’ berkenaan akhlak Rasulullah SAW. Lalu Aisyah menjawab;

كان خلقه القرآن

Maksudnya;
“Adalah Akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah Al-Quran[10]




4. BENTUK-BENTUK AKHLAK

Akhlak Islam itu terbahagi kepada beberapa pembahagian. Antaranya seperti berikut;

a. AKHLAK DENGAN ALLAH

Berakhlak dengan Allah adalah mengikut suruhan dan meninggalkan larangannya.

Suruhan yang berbentuk wajib dan sunat, dijadikan sebagai amalan hidup dan tidak pernah mengabaikannya. Dan berhati-hati dari melakukan amalan makruh dan meninggalkan terus perkara yang diharamkan, merupakan akhlak yang terpuji disisi Allah.

Firman Allah;

يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”

(Surah Al-Imran : 102)

Segala suruhan dan larangan Allah tidak selayaknya di pertikaikan. Kebencian Allah kepada kaum Bani Israil adalah kerana ketiadaan Akhlak mereka terhadap Allah, dengan mempertikaikan suruhan dan larangan Allah.

Perkara ini jelas dengan kisah yang terkandung didalam Al-Quran. Firman Allah;

وإذ قال موسى لقومه إن الله يأمركم أن تذبحوا بقرة قالوا أتتخذنا هزوا قال أعوذ بالله أن أكون من الجاهلين

Maksudnya;
“Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor sapi betina." Mereka berkata: "Apakah kamu hendak menjadikan kami buah ejekan?" Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil"

(Surah Al-Baqarah : 67)

Ayat ini mengkisahkan tentang seorang yang mempunyai harta tetapi tidak mempunyai keluarga untuk diwarisi hartanya melainkan anak saudaranya sahaja. Anak saudaranya itu telah membunuhnya dengan harapan dapat mewarisi harta tersebut.

Setelah pembunuhan itu dilakukan pada waktu malam, di letakan mayat tersebut pada sebuah rumah orang kampung tersebut sehinggakan hampir-hampir berlaku pergaduhan dikalangan mereka.

Maka golongan-golongan tua (berpengalaman) dari kalangan mereka telah mencadangkan mereka berjumpa dengan Nabi Musa bagi menyelesaikan masalah ini, lalu Allah telah menyuruh mereka menyembelih akan lembu betina tersebut.

Suruhan Allah itu dianggap sebagai sesuatu mainan disisi Bani Israil, lalu mereka berkata;

قالوا أتتخذنا هزوا

Maksudnya;
“berkata mereka (Bani Israil) "Apakah kamu hendak menjadikan kami buah ejekan?[11]"

Ekoran dari tindakan itu, Allah gambarkan didalam Al-Quran kisah mereka sebagai peringatan atas akhlak buruk dengan Allah.

Juga, dikira sebagai berakhlak dengan Allah, bahawa kita tidak menyatakan sesuatu hukum melainkan hukum tersebut sudah pasti datang daripada Allah.

Firman Allah;

يا أيها الذين آمنوا لا تقدموا بين يدي الله ورسوله واتقوا الله إن الله سميع عليم
Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-hujurat : 1)

Penjelasan ayat ini menggambarkan pentingnya pemastian sesuatu hukum itu adalah hukum Allah sebelum kita menyatakan hukum tersebut.

Hadis Muaz, ketika Rasulullah SAW berkata kepadanya ketika melantiknya menjadi Gabnor di Yaman;

بم تحكم قال بكتاب الله تعالى قال فإن لم تجد قال بسنة رسول الله قال فإن لم تجد قال رضي الله عنه أجتهد رأيي
Maksudnya;
“dengan apa kamu berhukum (Wahai Mu’az), berkata Ia; dengan Kitabullah (Al-Quran), berkata (nabi), sekiranya kamu tidak dapatinya? Berkata (Mu’az), dengan Sunnah Rasulullah, berkata (Nabi), sekiranya kamu tidak dapatinya? Berkata (Mu’az), Aku berijtihad dengan pandanganku[12]

Melihat kepada para sahabat sendiri, mereka apabila di tanya oleh Rasulullah SAW sesuatu, mereka akan terus mengatakan “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”, walaupun kadangkala persoalan tersebut sememangnya mereka ketahui.

b. AKHLAK DENGAN RASUL

Berakhlak dengan Rasulullah SAW adalah tuntutan yang perlu di tunaikan oleh setiap Umat Islam.

Antara tanda akhlak bersama Rasulullah SAW ialah memberi pembelaan terhadap Baginda SAW didalam semua sudut.

Membaca sirah Rasulullah SAW dan Para sahabat, kita dapat melihat bagaimana pembelaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW sebagai tanda akhlak mereka terhadap Baginda SAW.

Kita membaca kisah tentang pembelaan Saidina Omar bin Al-Khattab terhadap akhlak beliau bersama Rasulullah SAW yang melihat kepada tindakan ramainya manusia yang pergi ke rumah Baginda SAW, samada yang baik atau yang jahat, lalu Saidina Omar bin al-Khattab mencadangkan supaya Rasulullah mewajibkan hijab terhadap isteri-isteri Baginda, lalu turun firman Allah yang berbunyi;

وإذا سألتموهن متاعا فاسألوهن من وراء حجاب

Maksudnya;
“Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri- isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir”

(Surah al-Ahzab : 53)[13]

Kisah ini membuktikan bagaimana akhlak seorang sahabat yang sangat menjaga maruah Rasulullah SAW dan isteri-isteri Baginda dengan memberi cadangan dengan hijab, agar isteri-isteri Baginda tidak dikenai fitnah yang boleh merosakkan.

Al-Quran juga menyatakan kepentingan akhlak bersama dengan Rasulullah SAW. Didalam surah al-Hujurat, Allah menyatakan;

يا أيها الذين آمنوا لا ترفعوا أصواتكم فوق صوت النبي ولا تجهروا له بالقول كجهر بعضكم لبعض أن تحبط أعمالكم وأنتم لا تشعرون

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebagian kamu terhadap sebagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyadari”

(Surah al-Hujurat : 2)

Ayat ini menggambarkan satu arahan Allah atas kepentingan berakhlak dengan Rasulullah SAW, sehinggakan dilarang meninggikan suara keatas suara Baginda SAW.

Didalam tafsir al-Baidhawi, ada ulama berpendapat bahawa larangan tersebut bermaksud adalah larangan memanggil Baginda dengan namanya, bahkan hendaklah memanggil baginda dengan panggilan hormat, seperti “Wahai Rasulullah”, Wahai Nabi Allah” dan sebagainya[14].

Berdasarkan kepada riwayat yang gharib lagi hasan; ayat ini diturunkan dikala bertengkaran kecil antara Abu Bakar dan Omar al-Khattab berkenaan sesuatu isu. Pertengkaran itu mengakibatkan suara kedua-dua sahabat tersebut telah menjadi kuat. Lalu Allah turunkan ayat ini sebagai peringatan kepada kedua sahabat-sahabat tersebut.

Setelah penurunan ayat ini; apabila Saidina Omar bin Al-Khattab bercakap dengan Rasulullah, beliau merendahkan suaranya sehinggakan Rasulullah terpaksa minta omar memahamkan perkataannya itu.[15]

c. AKHLAK SESAMA MANUSIA

Islam adalah agama fitrah yang diturunkan oleh Allah kepada Baginda SAW memalui Jibril, mengajar manusia supaya berakhlak mulia kepada manusia.

Akhlak mulia yang menyuruh Allah akan setiap muslim lakukan, bukan sekadar sesame muslim, bahkan kepada non muslim sekalipun.

Firman Allah;

لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين

Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Mumtahinah : 8)

Ayat ini di turunkan berkenaan dengan ibu kepada Asma’ binti Abi Bakar, iaitu Qatilah binti Abi al-‘Uzza yang telah memberi hadiah kepada Asma’, lalu Asma tidak menerima hadiah tersebut dan tidak mengizinkan ibunya itu masuk kedalam rumahnya, lalu turun firman Allah ini[16].

Begitujuga sabda Nabi SAW;


من آذى ذميا فقد آذانى ومن آذانى فقد آذى الله

Maksudnya;
“barangsiapa yang menyakiti ahli zimmah, sesungguhnya dia menyakitiku dan barangsiapa yang menyakitiku, dia menyakiti Allah”[17]

Melihat kepada dua nas diatas, Islam mengajar kita berakhlak dengan non muslim, maka lebih-lebih lagi sesame muslim.

Firman Allah;

محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم

Maksudnya;
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka”

(Surah Al-Fath : 29)

Sabda Nabi SAW;

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ في تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إذا اشْتَكَى منه عُضْوٌ تَدَاعَى له سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya;
“Perumpamaan orang-orang mukmin pada kasih dan sayang sesame mereka, seperti satu jasad. Apabila mengadu (sakit) oleh satu anggota, nescaya seluruh jasad akan berjaga malam dan demam[18]

Di bawah ketagori akhlak sesame manusia juga, akhlak muslim terhadap Ibu bapanya.

Firman Allah;

وقضى ربك أن لا تعبدوا إلا إياه وبالوالدين إحسانا إما يبلغن عندك الكبر أحدهما أو كلاهما فلا تقل لهما أف ولا تنهرهما وقل لهما قولا كريما

Maksudnya;
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”

(Surah Al-Isra’ : 23)

Akhlak terhadap anak-anak atau cucu.

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قال قَبَّلَ رسول اللَّهِ (ص) الْحَسَنَ بن عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الْأَقْرَعُ بن حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا فقال الْأَقْرَعُ إِنَّ لي عَشَرَةً من الْوَلَدِ ما قَبَّلْتُ منهم أَحَدًا فَنَظَرَ إليه رسول اللَّهِ (ص) ثُمَّ قال من لا يرحم لا يرحم

Maksudnya;
“Sesungguhnya Abu Hurairah berkata, Mencium oleh Rasulullah SAW akan Hassan bin Ali dan disisinya Al-Aqra’ bin Habis at-Tamimi sedang duduk, lalu berkata Al-Aqra’, Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, aku tidak pernah mencium seorang pun dari mereka, lalu melihat Rasulullah SAW kepadanya kemudian berkata, Barangsiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi[19]

d. AKHLAK PADA BINATANG DAN TUMBUH-TUMBUHAN

Keindahan islam didalam mengajar akhlak tidak dibataskan kepada makhluk yang berakal sahaja, bahkan galakan berakhlak itu di tuntut juga terhadap binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Sabda Nabi SAW;

الراحمون يرحمهم الرحمن ارحموا من فى الأرض يرحمكم من فى السماء

Maksudnya;
“Orang yang berkasih sayang, mengasihi akan mereka oleh Allah. Kasihilah mereka di bumi, nescaya mengasihi akan kamu oleh mereka di langit[20]

Kita mengetahui juga bagaimana kasihnya seorang sahabat terhadap kucing yang bernama Abu Hurairah ad-Dusi.

Beliau yang nama asalnya adalah Abdur Rahman bin Sakhar[21], telah digelar dengan “Abu Hurairah” yang memberi maksud “ayah kucing” merupakan satu tanda betapa akhlaknya seorang sahabat yang hebat terhadap binatang.

Didalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim, daripada Abu Hurairah, berkata ia; diberi namaku dengan “Abu Hurairah” kerana aku telah mengembala kambing keluargaku, lalu aku dapati (berjumpa) anak-anak kucing, aku mengambilnya dan meletakkan pada lengan bajuku. Ketika aku pulang, mereka mendengar suara kucing dari bajuku, lalu mereka bertanya, apakah itu wahai Abdus Syams[22]? Aku menjawab, itu adalah anak-anak kucing yang aku jumpa, lalu mereka memanggilku dengan Abu Hurairah.[23]

Walaubagaimanapun, berkata Abu Hurairah;

كان رسول الله (ص) يدعوني أبا هر ويدعوني الناس أبا هريرة

Maksudnya;
“Adalah Rasulullah memanggilku, Abu hurrin, lalu memangilku oleh manusia Abu Hurrairah[24]

e. AKHLAK DALAM PEPERANGAN

Antara tuntutan menyempurnakan akhlak yang mewajibkan oleh Islam menunaikannya adalah akhlak dalam peperangan.

Didalam peperangan, islam melarang kita meruntuhkan bangunan-bangunan, membunuh orang tua, kanak-kanak, perempuan dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW;

وعن سليمان بن بريدة عن أبيه عن عائشة قالت كان رسول الله إذا أمر أميرا على جيش أو سرية أوصاه في خاصته بتقوى الله وبمن معه من المسلمين خيرا ثم قال اغزوا على اسم الله تعالى في سبيل الله قاتلوا من كفر بالله اغزوا ولا تغلوا ولا تغدروا ولا تمثلوا ولا تقتلوا وليدا وإذا لقيت عدوك من المشركين فادعهم إلى ثلاث خصال فأيتهن أجابوك إليها فاقبل منهم وكف عنهم ادعهم إلى الإسلام فإن أجابوك فاقبل منهم ثم ادعهم إلى التحول من دارهم إلى دار المهاجرين فإن أبوا فأخبرهم بأنهم يكونون كأعراب المسلمين ولا يكون لهم في الغنيمة والفيء شيء إلا أن يجاهدوا مع المسلمين فإن هم أبوا فاسألهم الجزية فإن هم أجابوك فأقبل منهم وإن هم أبوا فاستعن عليهم بالله

Maksudnya;
“Berkata Aisyah, adalah Rasulullah SAW apabila menyuruh Baginda akan ketua atas tentera (yang besar bilangannya) atau “sariyyah” (bilangan tentera yang kecil), mewasiat akannya oleh Nabi akannya dengan Taqwa kepada Allah dan juga muslim yang bersama dengannya. Kemudian berkata, berperanglah kamu atas nama Allah di jalan Allah. Bunuhlah orang yang mengkufuri Allah, perangilah tetapi jangan melampau dan jangan khianat, jangan cincang dan jangan bunuh kanak-kanak. Apabila kamu berjumpa musuh kamu dari orang musyrik, maka ajaklah mereka kepada tiga perkara, mana-mana dari tiga perkara itu diterima oleh mereka, maka terimalah dari mereka dan berhenti (tidak mengambil tindakan) dari mereka. Ajaklah mereka kepada Islam. Kalau mereka terima, maka terimalah dari mereka. Kemudian ajak mereka berpindah daripada negara mereka kepada negara muhajirin (negara Islam), sekiranya mereka ingkar, maka bagitahu kepada mereka bahawa mereka akan jadi seperti “a’rab muslimin”, iaitu mereka tidak mendapat sedikitpun daripada ghanimah dan Fai’ melainkan mereka berjihad bersama-sama orang Islam. Sekiranya mereka ingkar (juga), maka minta olehmu akan mereka membayar jizyah, jika mereka menerimanya, maka terimalah daripada mereka. Dan sekiranya mereka ingkar, maka mintalah bantuan Allah atas mereka[25]

5. PENUTUP

Berbagai-bagai akhlak yang di ajar oleh Islam yang tidak sempat di nukilkan didalam kertas kerja yang serba ringkas ini.

Dengan penerangan serba ringkas ini sudah cukup kita memahami bahawa Islam menggalakan kepada umatnya supaya berakhlak mulia di setiap segi kehidupan.

Mudah-mudahan dengan kertas kerja ringkas ini dapat memberi faedah kepada kita di dunia dan akhirat

Wallahu ‘Alam

BIBLIOGRAFI

Al-Quran

Kamus Tullab : Ustaz Hussin bin Unang : cetakkan Darul fakir Kuala Lumpur : 1994 :

Sunan Al-baihaqi Al-kubra : karangan Ahmad bin Syuaib abu Abdur Rahman an-nasai : cetakan darun nasyar darul kutub al-alamiyyah bairut : 1991 : tahqiq dr Abdul Ghaffar sulaiman al-bandari

Mukhtar As-Sahah : karangan Muhammad bin Abi Bakar bin abdul qadir ar-Razi : cetakkan darun nasyar, maktabah lubnan nasyirun : bairut: 1995 : tahqiq Mahmood Khatir.

Kamus Dewan Bahasa, Edisi ketiga : Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur : 2002.

Lisan Al-Arab : karangan Muhammad bin Mukram bin Manzur al-Afriqi al-Misri : cetakkan Daru an Nasyar: dar Sadir : bairut. Tanpa tarikh.

kitab Makarim al-Akhlak : abu baker Abdullah bin Muhammad bin Ubaid Abi Dunya al-Qursyi al-Baghdadi : cetakkan Dar an-Nasyar : maktabah al-Quran : kaherah : 1990. tahqiq : majdi As-Sayyed Ibrahim.

Al-Mu’jam Al-Awsat : karangan Abu Al-Qasim Sulaiman bin Ahmad At-Tibrani : cetakkan Dar an-Nasyar : Dar Al-Haramain : Kaherah : 1416 H : tahqiq Tariq bin Aud Allah bin Muhammad & Abdul Muhsin bin Ibrahim Al-Husaini.

tafsir Al-Quran al-‘Azim : karangan Imam Ismail bin Omar bin Kathir ad-Dimasyqi abu al-Fida’ : dar an-Nasyr, Dar Al-Fikr, bairut : 1401 H

Tafsir Al-Baidhawi : karangan Al-Baidhawi : Dar An-Nasyr : dar Al-fikr : bairut : tanpa tarikh

Al-Jami’ liahkam al-Quran : karangan Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi : Dar an-Nasyr : Dar As-Syakb : Kaherah : tanpa tarikh

negara Islam, Hak dan tanggungjawab Ahli Zimmah : karangan Nik Azran bin Muhammad : terbitan PMRAM (BPP) : 2002.

Saheh muslim : karangan Imam Muslim bin Al-Hajjah Abu Al-Hussain Al-Qusyairi an-Naisaburi : cetakkan Dar An-Nasyr : Dar at-Turath al-‘Arabi : bairut : tahqiq Muhammad Fuad Abdul Baqi : tanpa tarikh

Tauhid Al-Uluhiyyah (Kutub wa Rasail wa fatawa Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah) : karangan Ahmad Abdul Halim bin Taimiyyah al-Harani Abu al-Abbas : cetakkan Dar An-Nasyr: Maktabah Ibnu Taimiyyah: tahqiq Abdur Rahman bin Muhammad bin Qasim al-‘Asumi an-Najd. : tanpa tarikh

‘Ulum al-Hadis (min majmu’ al-fatawa) (Kutub wa Rasail wa fatawa Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah) : karangan Ahmad Abdul Halim bin Taimiyyah al-Harani Abu al-Abbas : cetakkan Dar An-Nasyr: Maktabah Ibnu Taimiyyah: tahqiq Abdur Rahman bin Muhammad bin Qasim al-‘Asumi an-Najd : tanpa tarikh


Al-burhan fi Tabriah Abi Hurairah min al-Buhtan : karangan Abdullah bin Abdul Aziz bin Ali An-Nasir : cetakkan Dar an-nasr li at-taba’ah wa an-Nasyr : kaherah 1998 :

Al-Mustadrak ‘ala Sahihain : karangan Muhammad bin Abdullah Abu Abdillah al-Hakim an-Naisaburi : cetakkan Dar an-Nasyr : dar al-kutub al-Ilmiyyah : bairut : 1990 : tahqiq Mustafa Abdul Qadir ‘Ata.

Al-Jami’ as-Saheh Al-Mukhtasar : karangan Muhammad bin Ismail Abu Abdillah Al-Bukhari al-Ju’fi : cetakkan Dar An-Nasyr : dar Ibnu kathir : al-yamamah, Bairut : 1987. tahqiq Dr Mustafa Dib al-Bagha.

Subul as-Salam Syarah Bulughul Maram min Adillah al-Ahkam : Muhammad bin Ismail as-Sun’ani al-Amir : cetakkan Dar An-Nasyr : Dar Ihya’ at-Turath al-‘Arabi : bairut : 1379 H : tahqiq Muhammad Abdul Aziz al-Khauli





[1] Mudir Maahad At-Tarbiyyah Darul Fiqh wa Tahfiz Al-Quran. E-Mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com. Laman web : http://laptopdarulfiqh.blogspot.com.
[2] Sunan Al-baihaqi Al-kubra. Jld 1 hlmn 192. hadis no 20572
[3] Mukhtar As-Sahah. Jld 1 hlmn 78.
[4] Kamus Dewan Bahasa, Edisi ketiga : m/s 21.
[5] Lisan Al-Arab mentafsirkan سفساف sebagai sesuatu yang buruk dan hina. (lisan al-Arab (9/155)
. kitab Makarim al-Akhlak (1/19) hadis no : 6.
[6] Makarim al-Akhlak (1/23) hadis no : 21.
[7] Makarim al-Akhlak (1/28)
[8] Makarim al-akhlak : (1/30)
[9] Sunan Al-baihaqi Al-kubra. Jld 1 hlmn 192. hadis no 20572
[10] Al-Mu’jam Al-Awsat. Jld 1 hlmn 30. hadis no : 72.
[11] Kisah ini boleh di rujuk didalam kitab “tafsir Al-Quran al-‘Azim karangan Imam Ibnu Kathir” (1/109)
[12] Hadis riwayat Ahmad : hadis no 2305 (lihat “tafsir Al-Quran al-‘Azim” (4/206)
[13] Tafsir Al-Baidhawi (4/384)
[14] Tafsir Baidhawi : (5/211)
[15] Kisah ini boleh di baca secara panjang lebar didalam kitab “tafsir al-Qurtubi : (16/303)
[16] Tafsir al-Baidhawi : (5/328)
[17] Lihat dalam buku “negara Islam, Hak dan tanggungjawab Ahli Zimmah” m/s 97.
[18] Saheh muslim (4/1999) hadis no : 2585.
[19] Saheh Al-Bukhari : (5/2235) hadis no : 5251.
[20] Tauhid al-Uluhiyyah : (6/117) ‘Ulum al-Hadis (min majmu’ al-fatawa) : (18/175)
[21] Al-burhan fi Tabriah Abi Hurairah min al-Buhtan ; m/s 7. Beliau adalah seorang sahabat yang hebat. Beliau antara sahabat yang banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW. Imam Ahmad bin Hanbal telah meriwayatkan hadis yang diambil dari beliau didalam kitab musnadnya sebanyak 3848. Imam Baqi bin Mukhlid telah meriwayatkan hadis yang diambil dari beliau didalam musnadnya sebanyak 5374. Penyusun Sunan Sittah dan Imam Malik (didalam muwatta’) meriwayatkan hadis yang diambil dari beliau sebanyak 2218 hadis. (sila lihat “al-burhan fi tabriah Abi hurairah min al-buhtan; m/s 13). Beliau Islam pada tahun ke-7 daripada hijrah ketika berumur 30 tahun. (sila lihat “al-burhan fi tabriah Abi hurairah min al-buhtan; m/s 9). Beliau wafat ketika umur beliau 78 tahun. (lihat taqrib at-tahzib : (1/680)
[22] AbdusSyams adalah namanya semasa jahiliyyah (lihat sila lihat “al-burhan fi tabriah Abi hurairah min al-buhtan; m/s 4)
[23] Al-Mustadrak ‘ala Sahihain (3/579) hadis no : 6141.
[24] Al-Mustadrak ‘ala Sahihain (3/579) hadis no : 6143.
[25] Mengeluarkan hadis ini oleh Imam Muslim. Lihat “subul as-Salam” (4/46)

No comments: