Thursday, February 15, 2007

ITTIBA’ SALAF, SALAFI & MUTASALLIF : SIAPAKAH KE SYURGA ?

ITTIBA’ SALAF, SALAFI & MUTASALLIF : SIAPAKAH KE SYURGA ?

Membaca article tulisan Ustaz Zamihan di dalam utusan yang bertarikh 12 Febuari lalu[1], pemikiran ini melayang mengingati kepada satu tulisan ilmiyyah berkenaan hadis “tuntutlah Ilmu, walau ke negeri cina”, sebagai “ulasan balik” dari kenyataan Mufti Perlis Muda di TV 1 bersama Johan Jaafar yang lalu.

Tulisan beliau kali ini juga tidak kurang menariknya, iaitu beliau membincangkan berkenaan “fahaman At-Tabdi’ yang telah mengancam Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah”.

Membaca tulisan tersebut, diri ini tidak berminat untuk mengulas, kerana, memikirkan secara rasional, kebenaran sememangnya wujud di sebalik tulisan tersebut.

Walaubagaimanapun, melayari laman web “al-ahkam” dan melihat ruangan forum dalam membincangkan article ustaz Zamihan tersebut, aku mula merasakan betapa dendamnya “geng-geng al-ahkam” kepada Ustaz Zamihan, sehinggakan ada satu tulisan didalam forum tersebut menggunakan kalimah “pekak badak” untuk di tujukan kepada ustaz Zamihan.

Mungkin aku adalah orang baru dalam dunia “alam maya”, tetapi dalam jangka masa yang terlalu singkat ini, aku dapat merasakan “geng-geng Al-Ahkam” merupakan antara pengikut kuat Mufti Perlis Muda. Ditambahi pula mereka mendakwa mereka adalah golongan “tajdid” yang sudah diketahui di peringkat universiti, tetapi tidak diketahui di peringkat nasional.

Alasan dakwah mereka adalah, mereka mendakwa mereka adalah golongan yang dikatakan sebagai salafi, iaitu kelompok manusia yang mengikut golongan salaf as-soleh.

Aku mula terfikir, mengapa mudah mendakwa bahawa mereka adalah “mujaddid” sedangkan sesuatu gelaran itu tidak boleh di berikan kepada diri sendiri.

Imam As-Syafii yang di kenali kealimannya tidak pernah mendakwa dirinya sebagai “Al-Imam”, tetapi disebabkan kealimannya yang telah di nilai oleh ulama-ulama mu’tabar, menyebabkan beliau di gelar sebagai Al-Imam.

Imam Al-Bukhari telah mengarang kitabnya yang masyhur yang bernama “sahih Al-Bukhari” atau nama penuhnya “Al-Jami’ As-Sahih Al-Musnad min Hadith Rasulillah SAW wa Sunanihi Wa Ayyamihi”. Kitab tersebut di isytiharkan kesahihannya sehingga di iktiraf sebagai kitab kedua tersahih selepas Al-Quran. Kesahihan kitab tersebut, bukanlah dari dakwaan Imam Al-Bukhari sendiri, tetapi telah di iktiraf oleh Imam yang hebat juga, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Mu’in dan beberapa ulama muktabar di zaman tersebut. ini di akui oleh Abu Jaafar Al-‘Aqili[2].

Kalau seseorang itu dilihat sebagai Alim, tetapi tidak pernah diisytihar kealimannya oleh orang alim juga, maka hakikatnya orang itu bukan orang alim. Kealiman seseorang itu perlu di nilai dan di isytihar oleh orang Alim juga, maka barulah orang itu dikatakan sebagai orang Alim.

Maka begitujugalah “mujadid”; siapakah yang mengisytiharkan bahawa gerakan mereka ini sebagai gerakan “Tajdid”?

Orang-orang arab terdahulu ada berkata;

إنما يعرف ذا الفضل من الناس ذووه

Maksudnya;
“Hanyasanya mengenali orang yang mempunyai kelebihan daripada manusia adalah orang yang ada kelebihan (juga)[3]

JANGAN JADI MUTASALLIF

Mutasallif adalah kalimah yang dimasyhurkan oleh seorang ulama besar dari Negara Mesir yang bernama As-Syaikh Zaki Ibrahim didalam bukunya yang bertajuk “ ‘Usmah An-Nabi ”[4].

Mutasallif adalah “isim Fail” yang memberi maksud “orang yang berpura-pura salafi”, seperti kalimah “صائم” yang mengandungi makna “orang yang puasa”, tetapi “متصوم” mengandungi makna “orang yang berpura-pura puasa”.

Rata-rata golongan yang mendakwa mereka sebagai salafi, apabila dilihat kepada amalan dan penghujahan dalil, di fahami bahawa mereka bukanlah salafi, tetapi mereka adalah mutasallif. Ini kerana, jika di perhatikan dari sudut penghujahan dalil, banyak hujjah-hujjah mereka tidak “berpijak” kepada penghujahan yang tepat.

Mereka sekadar beristidlal dari beberapa nas dan dalil, tanpa mempunyai syarat-syarat “mustanbit” (orang yang layak mengeluarkan hukum).

Semasa belajar di Mesir, aku tinggal bersama rakan-rakan dari Indonesia yang mendakwa mereka sebagai salafi. Setelah berkawan dengan mereka beberapa ketika, didapati mereka mudah mengeluarkan hukum dengan semata-mata membaca beberapa ayat Al-Quran dan beberapa Hadis, sedangkan mereka sendiri mempunyai kelemahan didalam memahami Bahasa Arab dari sudut Nahu dan Sorofnya.

Pem“bidaah”an secara “membabi buta” tanpa melihat kepada perkara yang dibidaahkan merupakan amalan “mutasallif”, bukan salafi.

Ini kerana, didalam pengajian Fiqh, mengetahui sesuatu yang hendak dihukumkan itu perlu diketahui terlebih dahulu sebelum dijatuhkan hukum.

Kaedah fiqh;

الحكم على شيء فرع عن تصوره

Maksudnya;
“Hukum atas sesuatu adalah satu furu’ daripada gambarannya[5]

Seorang Tuan Guru yang buta; tidak pernah menonton TV semenjak di lahirkan; di tanya berkenaan hukum menonton TV. Memandangkan sesuatu hukum yang dijatuhkan perlu mengetahui terlebih dahulu benda yang hendak dihukumkan, dia telah meminta dari “mustafti” (orang yang bertanya) agar mendatangkan TV kepadanya.

Ketika TV berada didepannya, dia meraba-raba TV tersebut, dan dia tidak boleh menjatuhkan hukuman.

Apabila dipasangkan TV tersebut, terbunyi bacaan Al-Quran, maka guru tersebut terus mengatakan bahawa hukum menonton TV adalah sunat.

Melihat kepada fatwa Tuan Guru Buta tersebut bahawa hukum menonton TV adalah sunat adalah hukum yang tidak berapa tepat. Ini kerana, menonton TV itu sendiri mempunyai berbagai-bagai kategori. Menonton AF tidak sama hukumnya menonton Al-Kuliyyah. Menonton Malaysia Idol tidak sama hukum menonton Forum perdana Ehwal Islam (walaupun hukumnya sudah hampir sama sebab ahli penal perempuan sudah bertabarruj) dan sebagainya.

Mengharamkan amalan bidaah yang dilihat oleh ulama sebagai bidaah dibawah kategori amalan khilafiyyah juga bukan dari amalan salafi, tetapi ianya adalah amalan mutasallif.

Ini kerana, sikap sebegini seakan-akan telah menafikan kaedah Fiqh yang menyatakan;

أن الإجتهاد لا ينقض بالإجتهاد

Maksudnya;
“Sesungguhnya sesuatu Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan Ijtihad (yang lain)[6]

Imam As-Sayuti menyatakan didalam kitabnya “Al-Asybah Wa An-Nazair” bahawa sepertimana yang dinukilkan oleh Ibnu As-Sibagh, kaedah ini telah diijmakkan oleh para sahabat. Sesungguhnya Abu Bakar (As-Siddiq) pernah berhukum dalam sesuatu masalah. Hukuman tersebut telah menyalahinya oleh Omar bin Al-Khattab[7].

SALAFI ADALAH MARHALAH MASA, BUKAN MAZHAB ISLAM

Kelahiran kalimah “salafi” bukanlah satu perkara yang pelik, ini kerana, kalimah tersebut merujuk kepada istinbat dari sabda Rasulullah SAW;

خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم يأتي قوم تسبق أيمانهم شهادتهم وشهادتهم أيمانهم

Maksudnya;
“sebaik-baik manusia adalah pada zamanku, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian datang satu kaum yang didahului sumpah mereka daripada penyaksian mereka, penyaksian mereka adalah sumpah mereka[8]

Hadis ini menerangkan kelebihan golongan yang terdahulu. Kelebihan mereka adalah kerana mereka mempunyai “kehampiran masa” dengan Baginda SAW.

Ekoran mereka merupakan golongan yang terawal, mereka memahami maksud Nabi SAW dengan sebenar-benar pemahaman, tanpa perlunya mewujudkan “kaedah pemahaman” atau “turuq Al-Istinbat” dari Al-Quran dan Al-Hadis.

Setelah kewafatan Nabi SAW, perkembangan Islam telah berjaya memaut hati manusia yang menganut pelbagai agama, maka Islam sudah di anuti oleh bekas-bekas penganut agama seperti Nasrani, Yahudi, hindu dan sebagainya.

Dengan perkembangan baik ini, golongan-golongan baru dengan islam mula membandingkan agama ini dengan agama-agama anutan mereka terdahulu sehinggakan lahirlah perdebatan di kalangan mereka yang sebahagian besarnya melibatkan sahabat-sahabat baginda SAW sendiri.

Tidak dinafikan juga, ada sebahagian dari penganut-penganut baru islam ini, walaupun sudah memeluk Islam, tetapi mereka masih cenderung kepada ajaran-ajaran lama mereka, sehinggakan ajaran yang mereka cenderungkan itu di lebelkan sebagai Islam juga[9].

Ekoran dari keadaan sebegini, menyebabkan lahirnya “kaedah-kaedah pemahaman” atau “turuq al-istinbat” yang betul bagi memahami kehendak nas dengan sebenar. Maka dengan demikian, lahirlah mazhab-mazhab didalam Islam untuk memahamikan maksud sebenar yang dikehendaki oleh Nas-nas syarak.

Memahami dari ulasan ini, salafi bukanlah satu mazhab islam, tetapi salafi adalah satu marhalah masa yang mana di sana terdapat mazhab-mazhab islam yang telah menyediakan “turuq al-Istinbat” bagi menjadikannya sebagai “alat” untuk generasi akan datang dalam memahami nas-nas syariat.

Dengan demikian, mendakwa diri ini sebagai “salafi” adalah salah, tetapi ungkapan yang paling tepat adalah “ittiba’ salaf”.

Mendakwa diri ini sebagai bermazhab Salafi adalah satu kemungkaran dan jenayah didalam syariat Islam yang dikategorikan oleh Dr Said Ramadhan Al-Buti sebagai “BIDAAH” yang tidak di redhai oleh Allah[10].

PENUTUP

Ulasan ringkas ini bukanlah untuk meremeh-remehkan dakwaan dari pihak tertentu, tetapi ulasan ini sekadar untuk memberi gambaran sebenar disebalik dakwaan tersebut.

Tulisan ini juga, bukan membela tulisan Ustaz Zamihan dan meremehkan golongan yang menyanggahinya, ataupun sebaliknya, tetapi tulisan ini adalah untuk mencari titik pertemuan disebalik perselisihan antara kedua-dua kelompok.

Mudah-mudahan kita tidak berada dibawah kategori manusia yang dikatakan sebagai “Syok sendiri” dengan dakwaan kita.

Yang paling utama disisi kita adalah ;

Marilah kita melawan penjajah yang telah menjajah system kehidupan, pemikiran dan ilmu kita !!!!!!!!!

Takbir !!!!!!!!!

Sekian

Wallahu ‘Alam

One_G
http://one-g.blogspot.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com











[1] Utusan Malaysia >> Isnin 12 Febuari 2007 >> MEGA. m/s 21.
[2] Ilmu Mustolah Hadth (Qurrotu; Aien Bt Fatah Yasin) : m/s 189.
[3] Hidayah An-Nahw : m/s 43 & At-Taqrir wa At-Tahbir : 6/291 & Syarh Ibnu ‘Aqil : 1/55 & Lubab Al-Adab : 1/52.
[4] ‘Usmah An-Nabi : m/s 97.
[5] Hasyiyah Al-Bujairimi : 1/97.
[6] Majmuk Al-Fatawa (Imam Ibnu Thaimiyyah) : 12/22 & Al-Asybah Wa An-Nazair : 1/101.
[7] Al-Asybah Wa An-Nazair : 1/101
[8] Musnad Al-harith (zawaid Al-Haithami) : 2/940 : hadis no : 1036.
[9] As-Salafiyyah marhalah zamaniyyah mubarakah la mazhab islami : m/s 32.
[10] As-Salafiyyah Marhalah Zamaniyyah Mubarakah la Mazhab Islami : m/s 276.

No comments: