Monday, August 14, 2006

ISLAM BERTAMADUN DAN UMNO YANG SEKULAR

ISLAM BERTAMADUN DAN UMNO YANG SEKULAR

Islam Hadhari merupakan agenda Pak Lah yang dikemukakan pada pilihanraya lepas. Kehadiran Islam Hadhari bukanlah satu tindakan untuk melaksanakan dan mendaulatkan Islam, tetapi kehadirannya merupakan satu gimik politik Pak Lah yang mengetahui kekuatan PAS yang memperjuangkan Islam.

Menggunakan “serangan istilah” yang diamalkan oleh UMNO merupakan tektik UMNO melawan PAS. Kejadian yang sama juga telah berlaku kepada UMNO dimasa pemerintahan Dr Mahathir terdahulu, yang menggunakan pendekatan “penerapan nilai-nilai Islam”.

Walaubagaimanapun, akhir-akhir ini, kalimah Islam Hadhari tidak lagi bergema di media-media, seakan-akan sudah mendapat satu jawapan bahawa Islam Hadhari sememangnya bukan satu keikhlasan dalam perlaksanaan Islam, tetapi sekadar gimik politik Pak Lah Badawi yang mahu mengalahkan PAS didalam pilihanraya lepas.

MELAWAN UMNO ADALAH SATU KEWAJIPAN

UMNO adalah sebuah parti secular yang kuat di Malaysia dan ianya merupakan salah sebuah parti yang bergabung dengan parti-parti kompunennya yang bernama Barisan Nasional.

SIAPA UMNO?

UMNO adalah singkatan dari perkataan “United Malays National Organisation” atau terjemahan melayunya “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” atau singkatannya PEKEMBAR.

Pertubuhan UMNO itu adalah pada 11 mei 1946, iaitu dalam kongres Melayu se-Malaya ketiga yang telah diadakan di Johor Bharu iaitu hasil dari resolusi persidangan khas anjuran Kongres Melayu se-Malaya juga yang diadakah di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 mac 1946[1].( Lihat “Malaysia Kita” m/s 486)

Sebelum menjelaskan secara mendalam berkenaan dengan UMNO, eloklah kita lihat dari perbincangan “Permulaan dan tersebarnya Islam di Malaysia” terlebih dahulu.

PERMULAAN DAN TERSEBARNYA ISLAM DI MALAYSIA

Banyak dari kalangan pengkaji sejarah menjelaskan tentang kemasukan Islam di Malaysia. Ada dari kalangan mereka menyatakan bahawa, islam mula tersebar di Malaysia melalui pedagang-pedagang arab yang berniaga di Melaka semasa pemerintahan Raja Parameswara. Ada juga menyatakan, masuknya islam melalui perkahwinan antara rakyat tanah melayu dengan pendakwah-pendakwah dari arab yang beragama Islam.

Menurut seorang pengkaji barat yang bernama Tome pires, bahawa Islam tersebar di Tanah Melayu akibat dari perkahwinan antara Raja Parameswara dengan puteri Pasai, lalu Baginda memeluk Islam dan mengislamkan Melaka[2].( Lihat”Malaysia kita” : m/s 79)

Walaubagaimanapun, Islam mula tersebar di Tanah Melayu melalui Melaka yang diperintah oleh Raja Parameswara. Ekoran dari itu, ramai pendakwah dari tanah arab, India dan Parsi menumpukan usaha dakwah ke Melaka, kerana mereka melihat kejayaan yang besar akan terhasil jika usaha dakwah itu dimulakan dari situ[3].( Lihat”Malaysia Kita” : m/s 82)

Usaha dakwah ini menjadi mudah lagi apabila raja Melaka yang bernama Sultan Megat Iskandar Syah memeluk Islam. Hal ini menyebabkan pembesar dan rakyat Melaka memeluk Islam juga.

Penyebaran Islam bertambah pesat lagi, apabila Sultan Muzaffar Syah (1446-1459) telah membina pusat pengajian Islam. Kegiatan tersebut di sambung pula oleh Sultan Mansur Syah (1459-1477)

Hasil dari situlah, Islam tersebar di pelusuk Tanah melayu, sehinggakan Tanah melayu adalah terdiri dari kalangan umat Islam yang majoriti.[4]( Lihat “Kajian Tempatan” : m/s 94.)

PERMULAAN FAHAMAN SEKULARISME DI MALAYSIA

Serangan fahaman sekularisme telah menular masuk ke Tanah Melayu. Serangan tersebut tidaklah dari tindakan orang Melayu di Tanah melayu, tetapi permulaan serangan itu adalah dari pihak barat yang menjajah tanah Melayu ketika itu, kemudiannya disambung oleh “anak-anak murid” barat yang berada di Tanah Melayu kini.

Antara penjajah-penjajah yang menjajah Tanah Melayu adalah seperti berikut;

a. PORTUGIS

Pada abad ke-16, pihak Portugis telah menghantar satu rombongan perdagangan yang diketuai oleh Lopez de Sequire untuk merebut dagangan rempah di Melaka. Disebabkan beberapa perbuatan Lopez de Sequire dan rombongannya yang mencurigai orang-orang Melaka, maka Lopez de sequire dan rombongannya itu ditangkap. Akibat dari itu, menyebabkan pihak Portugis telah menyerang Melaka yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque, sehinggakan Melaka di tawan oleh Portugis. Tawanan ini bermula dari tahun 1511 hingga 1641.

b. BELANDA

Pada abad ke-17, orang Belanda datang ke timur untuk menguasai perdagangan rempah. Mereka telah dapat menguasai beberapa kepulauan di Indonesia, termasuklah Pelabuhan Betawi.

Melihat kepada kehebatan perdagangan rempah di Melaka yang di buat oleh orang Portugis, Orang Belanda merasa cemburu dan bimbang kehebatan tersebut. Bagi mengatasi persaingan ini, mereka menyerang Melaka dengan bantuan Sultan Johor sehinggakan mereka berjaya menaklukinya pada tahun 1641. mereka menakluki Melaka selama 180 tahun.

c. INGGERIS

Begitujuga Inggeris datang menyerang timur untuk tujuan perniagaan. Serangan itu tidak semata-mata untuk perniagaan, tetapi mereka ingin menjajah timur. Mereka bukan sahaja berjaya menguasai Tanah Melayu, tetapi mereka telah berjaya menguasai Sabah dan Serawak.

Penjajahan Inggeris ke Tanah Melayu bermula apabila mereka menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786. Dari permulaan itulah, mereka berjaya menjajah seluruh Tanah Melayu termasuk Sabah dan Serawak.

Mereka menjajah Tanah Melayu sehingga 31 ogos 1957 dan di Sabah dan Serawak sehingga 16 September 1963.

d. SERANGAN JEPUN

Di dalam tahun 1941, semasa peperangan dunia kedua, pihak Jepun telah menyerang Tanah Melayu dengan tujuan untuk menguasai perdagangan di rantau timur bagi kepentingan ekonominya.

Kejayaan mereka bukan sekadar menjajah Tanah Melayu pada tahun 1941 sahaja, bahkan mereka juga telah berjaya menawan Sabah pada tahun 1941 dan Serawak pada tahun 1942.

Kejayaan menawan Tanah Melayu tidak bertahan lama, kerana Jepun terpaksa menyerah kalah akibat dari dua buah Bandar utama Jepun iaitu Bandar Hiroshima dan Nagasaki di bom dengan bom atom oleh pihak tentera berikat. Setelah itu, Inggeris mengambil alih semula dalam menjajah Tanah Melayu, termasuk Sabah dan Serawak[5].( Sila lihat “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 98-99.)

KESAN PENJAJAHAN

Peperangan yang berlaku sewaktu penjajah menyerang Tanah Melayu banyak meninggalkan kesan kepada penduduk tanah melayu. Antaranya termasuk;

kesengsaraan
kemusnahan
kebuluran.

Selain itu, kesan pendudukan penjajah di Tanah Melayu banyak memberi kesan-kesan yang negative kepada sistem pemerintahan Tanah Melayu, antaranya seperti berikut;

a. PORTUGIS

Antara kesan penjajahan yang dilakukan oleh Portugis seperti berikut;

(a) Berakhir zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka.
(b) Wujudnya masyarakat “serani” yang berketurunan Portugis di Melaka.
(c) Wujudnya penempatan orang Portugis di Tanah Melayu, khususnya di Melaka.
(d) Beberapa perkataan Portugis telah digunakan dalam Bahasa Melayu, seperti almari, jendela, kereta, keju, tuala, garfu, sabun dan meja.

b. BELANDA

Tidak banyak kesan yang di tinggalkan oleh pihak Belanda kerana mereka memberi tumpuan kepada jajahan mereka di Betawi, Indonesia. Namum mereka memaksa pemerintahan tempatan menjual bijih timah dan membayar ufti kepada Belanda.

c. INGGERIS

Antara kesan-kesan peninggalan inggeris kepada Negara kita adalah seperti berikut;

(a) Banyak Adat Istiadat Melayu di langgar.
(b) Kuasa ketua-ketua tempatan dikurangkan dan banyak bergantung kepada presiden atau penasihat Inggeris yang dilantik.
(c) Menggalakan kemasukan buruh dari India dan China. Hal ini menyebabkan wujudnya masyarakat majmuk di Negara ini.
(d) Memperkenalkan sistem persekolahan yang menggunakan bahasa pengantar Inggeris, Melayu, Tamil dan Cina.
(e) Menyebabkan kemasukan pengaruh dan budaya barat di Tanah Melayu.

d. JEPUN

Antara kesan-kesan penjajahan Jepun kepada tanah Melayu adalah seperti berikut;

(a) Banyak ladang-ladang dan bangunan yang musnah.
(b) Menimbulkan kesedaran kepada rakyat bahawa penjajah membawa kesan buruk dalam kehidupan rakyat.
(c) Menimbulkan semangat kebangsaan yang dikalangan orang melayu[6].( Lihat segala ulasan ini dalam buku “Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 102)

SEMANGAT KEBANGSAAN DI KALANGAN ORANG MELAYU

Semasa pemerintahan Inggeris, masyarakat Tanah Melayu mengharapkan kepada Jepun supaya dapat mengamalkan corak pemerintahan yang lebih baik. Hakikatnya adalah sebaliknya, ini kerana, Jepun telah menggunakan kezaliman dan kekejaman dalam pemerintahan mereka.

Walaupun begitu, Jepun telah memberi peluang kepada beberapa pemimpin dari kalangan melayu untuk memegang beberapa jawatan dalam pentadbiran Jepun.

Dengan pemberian memegang beberapa jawatan itulah menyebabkan orang melayu berkeyakinan bahawa mereka juga mampu memerintah sendiri tanpa mengharapkan kepada kekuasaan penjajah.

Oleh yang demikian, setelah pihak Jepun dikeluarkan oleh pihak Inggeris dari Tanah Melayu, ramai dari kalangan orang melayu mula bersemangat melawan Inggeris dengan mengibarkan semangat kebangsaan Melayu.

Ekoran dari itulah, lahirnya parti politik yang berbentuk semangat kemelayuan, seperti Persatuan Kebangsaan Bersatu (PERKEMBAR) yang dikenali sebagai UMNO (united Malays Nasional organisation)

Dari kelahiran parti UMNO inilah, menjadi batu lonjatan untuk menuju kearah kemerdekaan dari penjajah Inggeris.

Melihat kepada senario politik Tanah Melayu pada masa itu, UMNO beranggapan bahawa kemenangan tidak akan terhasil melainkan setelah bergabung dengan kongres India se Malaysia yang dikenali sebagai MIC yang mewakili masyarakat India dan Persatuan Cina Tanah Melayu yang lebih dikenali dengan MCA bagi mewakili masyarakat Cina di Tanah Melayu. Maka mereka pun bergabung, yang mana pergabungan tersebut dikenali dengan parti perikatan.

Setelah pergabungan itu berlaku, maka bermulalah pembubaran parti Malayan Union dan usaha-usaha untuk membentuk perlembagaan Perseketuan Tanah Melayu di lakukan.

Pada 1 Februari 1948, perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di asaskan dan ianya telah digubal semula pada bulan ogos 1957 setelah Tanah Melayu diisytiharkan sebuah Negara yang merdeka. Perlembagaan yang digubal tersebut dikenali dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, yang ianya menjadi asas kepada pembentukan perlembagaan Negara kita pada hari ini[7].( Lihat “target PKSR KajianTempatan” m/s 103-104)

BERMULA ERA SEKULAR DI MALAYSIA

Setelah kemerdekaan, masyarakat Tanah Melayu berhadap dengan pemerintahan yang dibawa oleh parti perikatan yang di dokongi oleh UMNO, MIC dan MCA.

Parti-parti ini telah menjadi wadah pembentukan Negara yang berasaskan kepada perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Dari situlah, semua urusan pemerintahan di Negara ini ditilik kepada Perlembagaan tersebut, ianya merupakan undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.[8] (Lihat “Perlembagaan Persekutuan” m/s 3 : perkara 4 (1).)

Melihat kepada kenyataan ini, jika undang-undang Al-Quran dan Al-Hadis bersalahan dengan perlembagaan, maka undang-undang tersebut juga tertolak.

Perkara ini jelas berlaku di Negara ini. Antaranya yang berlaku adalah berkenaan keputusan kehakiman yang Tun Salleh Abbas berikan di dalam kes Che Omar lawan Pendakwa Raya dan kes Wan Jalil dan seorang lagi lawan Pendakwa Raya (F.C. Criminal Appeals No. 28 dan 29 tahun 1988 yang di laporkan di dalam Supreme Court Report. Part I1988 hal. 73)

Di dalam kes berkenaan telah dihujjahkan bagi pihak yang membuat rayuan bahawa hukuman mati mandatori yang dikenakan ke atas seseorang kerana mengedar dadah dan kerana suatu kesalahan di bawah Akta Senjatapi (Hukuman berat) adalah bercanggah dengan undang-undang Islam dan dengan demikian adalah terbatal dan tidak sah.

Di dalam keputusan tersebut Tun Salleh Abbas menunjukan dengan jelas dilema yang dihadapinya sebagai seorang ketua hakim yang beragama Islam di dalam sistem perundangan sekular, yang terpaksa mengisytiharkan dan melaksanakan undang-undang sekular berkenaan dengan betul.[9] (Lihat buku “Kontroversil Kes Tun Salleh” m/s ;205-206)

Melihat kepada kenyataan dari perlembagaan tersebut dan kes-kes yang telah berlaku seperti diceritakan di atas, menunjukan bahawa fahaman sekular sudah menjadi wadah pegangan masyarakat di Tanah Melayu dan ianya sudah menjadi satu aqidah.

a. SEKULARKAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA?

Perlembagaan Malaysia merupakan rujukan utama dalam Negara Malaysia ini, ianya di asaskan ketika pembubaran Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu di tubuhkan.

Bermula dari situlah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di isytiharkan iaitu pada 1 Februari 1948[10].( Lihat buku “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 104)

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini tertubuh dengan mengikut acuan sekular, samada dari bentuk pembentukan dan penyusunannya. Ianya di tubuhkan oleh satu badan perlembagaan di bawah jajahan British yang dinamakannya sebagai badan suruhanjaya reid yang dikepalai oleh seorang hakim British iaitu lord reid.[11] (Lihat buku “Syubhat wa Uqbat haul Tatbiq as-Syariah fi Maliziya” : m/s 17)

Antara penyataan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 adalah seperti berikut;

(a) Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk dianggotai oleh sembilan buah negeri, iaitu Selangor, Johor, Pahang, Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Negeri Sembilan dan dua negeri-negeri selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang.
(b) Persekutuan tanah Melayu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British;
(c) Kedaulatan Raja-raja Melayu dikekalkan dan menjadi Raja berpelembagaan;
(d) Hak istimewa orang Melayu dikekalkan
(e) Syarat pemberian hak kerakyatan dikekalkan[12] (Lihat buku “ Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 104)

Perlembagaan persekutuan Tanah Melayu 1948 ini telah di gubal pada 1956 apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan pada bulan ogos 1957, perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diisytiharkan[13].( Lihat buku “Target PKSR Kajian Tempatan” :m/s 104)

Pembentukan perlembagaan ini dicapai hasil daripada rundingan dan tolak ansur antara rakyat pelbagai kaum, terutamanya yang berkaitan dengan;

(a) Syarat pengurniaan kerakyatan kaum lain;
(b) Hak keistimewaan orang Melayu

Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 ini menjadi asas kepada pembentukan perlembagaan Negara kita pada hari ini[14].( Lihat buku “Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 105)

Banyak kenyataan-kenyataan yang menyatakan bahawa perlembagaan persekutuan ini adalah sekular, antaranya adalah seperti Tunku Abdul Rahman putra iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Perdana Menteri kedua dan ketiga juga mengisyitiharkan Perlembagaan Persekutuan ini adalah sekular.

Begitjuga, ramai dari tokoh-tokoh undang-undang Negara yang menyatakan bahawa perlembagaan persekutuan adalah sekular, antaranya adalah Tun Salleh Abbas, Al-Marhum Tun Sufian dan Al-marhum Tan Sri Hashim Yop A. Sani[15].( Lihat “Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari” : m/s 39)

DEFINISI SEKULAR

Perkataan sekularisme berasal dari kata Yunani iaitu “saeculum” yang beerti “keduniaan”. Kemudian istilah itu dipakai dalam bahasa Inggeris dengan perkataan “secular”.[16] (Lihat “Islam dalam Kehidupan Masyarakat” :m/s 104)

Dr Atiah Saqqar menyatakan pula, sekular atau dalam bahasa arabnya “Ilmaniyyah” adalah berasal dari bahasa eropah yang memberi makna “لا دينية” iaitu “tiada keagamaan (dalam apa juga tindakan, keadaan dan sebagainya).[17] (Lihat “Al-Fatawa min Ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam” m/s 413)

Adapun definisinya dari segi Istilah adalah seperti berikut;

Drs. A. Shamad Hamid : “Sekularisme adalah suatu fahaman atau aliran yang menganggap bahawa ajaran agama harus dipisahkan dari urusan Negara. Agama tidak berhak mencampuri urusan politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang dan kenegaraan”

Muhammad Al-Bahi : “secularisme adalah suatu kepercayaan dan kefahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan dan ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan Negara, politik dan pedtadbiran”.[18]( Lihat “Islam dalam Kehidupan Masyarakat” m/s 105)

SEJARAH KELAHIRAN FAHAMAN SEKULAR

Sejarah kelahiran fahaman sekular adalah bermula di Eropah dalam abad pertengahan. Ianya bermula dari ketidak puas hatinya masyarakat Eropah terhadap sikap golongan gereja ketika itu yang ingin berkuasa secara mutlak dan gagal membawa kemajuan.

Dengan situasi itulah, dizaman renaissance, lahir tokoh-tokoh pemikir di kalangan masyarakat Eropah yang berani menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sikap golongan gereja yang terlalu mengongkong dan menyekat kebebasan berfikir dan menyuarakan kehendak hati masing-masing.

Usaha demi usaha dilakukan oleh golongan pemikir tersebut, menyebabkan usaha mereka berjaya dan mereka berjaya membezakan antara urusan gereja dan urusan kenegaraan. Mereka memperuntukan urusan perkahwinan, ibadat, kematian, kebajikan dan sebagainya kepada gereja dan urusan pentadbiran Negara, pendidikan, pertanian dan sebagaikan kepada pihak Negara.[19] (Lihat “Islam dalam kehidupan Masyarakat” m/s 105-106)

Secara menyeluruhnya, dapat dirasakan bahawa kelahiran fahaman secular ini adalah berpunca dari kekalahan golongan kuffar barat dari tangan umat Islam dalam peperangan salib.

Dalam kekalahan itu, pihak kuffar barat mempelajari bahawa umat Islam tidak boleh dikalahkan dengan kekuatan badan, ini kerana, kekuatan badan umat Islam adalah berpunca kekuatan aqidah mereka.

Oleh yang demikian, mereka telah menyusun strategi bagi melawan umat Islam, bukan lagi dengan kekuatan badan tetapi mereka menyerang kekuatan aqidah umat Islam atau dinamakan sebagai “ghuzwah al-fikri” atau serangan pemikiran.[20] (Lihat “Tasawwur Islam” :m/s 6)

Berbagai-bagai strategi yang telah dilakukan golongan kuffar barat tersebut, seperti mereka membaratkan ilmu-ilmu islam, memalsukan Aqidah umat Islam, melemahkan semangat jihad, menghapuskan undang-undang Islam dan menggantikan dengan undang-undang barat, membaratkan umat Islam menerusi berbagai-bagai cara, meragukan umat Islam dari agamanya, memperkenalkan sistem pemerintahan yang membezakan antara agama dan pemerintahan yang lebih dikenali sebagai sekular dan sebagainya.

Dari sudut pendidikan, mereka mendidik akal umat Islam sehinggakan kejayaan itu terserlah dengan pemikiran umat islam yang sanggup menyatakan bahawa, jika umat Islam hendak mendalami ilmu Islam, mestilah pergi dibarat.

Mereka juga berjaya mendidik pemikiran umat islam supaya mementingkan urusan keduniaan berbanding urusan akhirat.[21] (Lihat “Tasawwur Islam” m/s 9-11)

Dalam sistem pemerintahan, mereka perkenalkan dengan system pemerintahan sekular yang telah mereka kuasai banyak Negara umat-umat Islam, termasuklah Malaysia.

UMNO DAN SEKULAR

Di dalam keterangan lepas, telah menjelaskan sejarah kelahiran UMNO. Secara ringkasnya, Umno adalah sebuah Parti Politik Kebangsaan Melayu yang telah di tubuhkan pada 11 Mei 1946 yang di tubuhkan di Johor Bahru.

Kelahirannya bermula adalah hasil dari penyatuan dari beberapa buah pertubuhan Melayu di Semenanjung tanah Melayu. Orang yang bertanggungjawab atas usaha penyatuan tersebut adalah Dato’ Onn bin Jaafar yang juga telah dilantik menjadi Presiden UMNO ketika itu.

Berdasarkan kepada nama UMNO itu sendiri adalah “United Malays Nasional Organisation” yang bahasa melayunya adalah “persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu” atau lebih dikenali dengan PEKEMBAR.

Berdasarkan kepada namanya pun sudah memadai untuk kita mengenali bahawa UMNO adalah sebuah Parti Melayu yang berasaskan Kebangsaan, bukan parti Melayu yang menjadikan Islam sebagai asas.

Perjuangan Kebangsaan Melayu adalah perjuangan yang bercanggah dengan Islam. Ini kerana, Kebangsaan adalah sesuatu fahaman yang menekankan kepada aspek bangsa semata-mata.

Hal ini berbeza dengan islam, ini kerana, Islam tidak menekankan kepada aspek bangsa. Bahkan Islam menekankan aspek ketaqwaan kepada Allah.

Firman Allah;



Maksudnya;
“sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disis Allah adalah orang yang paling taqwa dikalangan kamu”(surah al-Hujurat : 13)

Orang yang bertaqwa tidak ditentukan kepada bangsa melayu sahaja, bahkan ketaqwaan itu boleh didapati dari kalangan orang bukan melayu, samada cina, India, arab atau sebagainya.

Hal ini menyalahi dengan semangat kebangsaan yang bercanggah dengan Islam.

Orang cina, India, Arab dan sebagainya tidak mungkin boleh masuk melayu. Ini membezakan Islam, ini kerana, India, cina, arab dan sebagainya berkemungkinan masuk Islam.

Banyak perkara-perkara yang bercanggah antara bangsa Melayu dengan Islam. Antaranya adalah seperti semangat adat pepatih yang masih subur di Negeri Sembilan yang tidak memberikan hak faraidh kepada anak lelaki. Hal ini bercanggah dengan Islam yang memberi hak kepada anak lelaki berbanding anak perempuan dalam faraidh.

Di antara semangat kebangsaan ialah, tidak ada perbicaraan pahala dan dosa, ini kerana, kebangsaan adalah aliran pemerintahan yang diasaskan kepada Negara bangsa yang mahu melahirkan kesejahteraan kepada rakyat berasaskan kepada nilai-nilai murni setempat berpandukan lojik akal yang anjal[22] dan pragmatik[23] demi mencari cemerlang, gemilang dan terbilang. Kerajaan yang di tegakkan atas fahaman kebangsaan tetap bersifat sekular walaupun dimana sahaja ia berada.

Hal ini terbukti dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, merupakan salah seorang menteri dalam kerajaan Islam Hadhari yang mengatakan bahawa tiada soal dosa dan pahala dalam urusan politik, dengan katanya pada sidang akhbar selepas melawat peti undi Kubang Gatal, Pasir Mas dalam pilihanraya kecil di Pengkalan Pasir;
``Tidak ada mana-mana fatwa pun yang menyatakan bahawa undi Pas dapat pahala, undi Barisan Nasional (BN) dapat dosa ataupun undi Pas masuk syurga, undi BN masuk neraka.
``Ini semua adalah mainan politik karut marut yang sebenarnya tak masuk akal dan saya percaya pengundi Pengkalan Pasir tidak akan termakan dengan hujah-hujah seperti ini,''[24] (Lihat “Utusan Malaysia” : 3 disember 2005)

Sekiranya unsur-unsur agama ada dalam kebangsaan, itu hanyalah secara kebetulan atau penyamaan atau pinjaman yang dilakukan dari Islam yang syumul.

Fahaman kebangsaan adalah fahaman yang mencampur adukkan antara kebatilan dengan kebenaran, sedangkan perbuatan tersebut sangat-sangat dilarang dalam Islam.

Firman Allah;




Maksudnya;
“Dan Janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan hak itu sedang kamu mengetahuinya” (surah al-Baqarah : 42)

Islam adalah sesuatu agama yang syumul, ianya tidak dibentuk oleh apa-apa fahaman. Ianya adalah agama yang diturunkan oleh Allah melalui wahyu.

Dengan sebab itu, Islam adalah Islam, tiada di sana Islam hadhari, Islam Liberal, Islam badawi dan sebagainya.

Melihat kepada penjelasan makna “kebangsaan” itu jelas menunjukan ianya merupakan sesuatu yang sama dengan sekular yang asalnya diperjuangkan oleh golongan barat dan diteruskan “anak-anak” dan “cucu-cucu barat” yang berada di kebanyakan Negara-negara umat islam, iaitu mengatakan “politik suku dan agama suku”

b. UMNO YANG SEKULAR DAN ISLAM YANG BERTAMADUN (ISLAM HADHARI)

Menyebut Islam Hadhari, ianya amat sinonim dengan UMNO. Ini adalah kerana, Islam Hadhari itu dipelopori oleh presiden UMNO di dalam pilihanraya ke-11 pada tahun 2004.

Sememangnya Islam Hadhari itu dicetuskan oleh Presiden UMNO itu, ini beralasan banyak kenyataan-kenyataan dari pemimpin-pemimpin utama parti itu. Antaranya adalah seperti berikut;

(a) Dalam Akhbar Utusan Malaysia pada 1 mac 2005 : “Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PAS, yang semakin cemburu apabila rakyat menerima dan memahami konsep Islam Hadhari, melemparkan pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap idea yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi”[25]

(b) Dalam Akhbar Berita minggu pada 13 februari 2005 : “Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Samad, tidak terkejut dengan keputusan PAS menolak Islam Hadhari kerana sudah menjadi resam parti pembangkang itu mencari sesuatu (yang) berlainan dengan UMNO walaupun ia merugikan agama bangsa. Beliau yakin PAS tidak mahu menerima konsep Islam Hadhari bukan kerana ia tidak betul, tetapi berikutan ia diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Presiden UMNO”.[26]

(c) Dalam Akhbar Berita Minggu pada 20 Februari 2005 : “Semua bahagian dan cawangan UMNO negeri digesa mengatur lebih banyak program penerangan mengenai konsep Islam Hadhari yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mohammad Hasan, berkata, sesi penerangan yang teratur dan jelas itu bagi memastikan ahli parti lebih memahami konsep berkenaan”.[27]

Melihat kepada kenyataan-kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa Islam hadhari adalah satu gagasan yang telah dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Presiden UMNO Malaysia.

SIAPAKAH UMNO UNTUK ISLAM?

Keterangan lepas, kita telah menjelaskan bahawa UMNO sebuah parti kebangsaan sekular yang bergerak hebat di Negara ini. Melihat kepada dasar perjuangan UMNO pun sudah memadai untuk kita menilai, siapakah UMNO untuk Islam.

Islam adalah sebuah agama yang mesti didaulatkan dalam semua sudut, samada dari sudut pemerintahan, perlaksanaan, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pertahanan dan sebagainya.

UMNO pula adalah sebuah parti kebangsaan yang bersifat pragmatik dalam perlaksaan undang-undangnya.

Ini pun sudah memadai untuk kita menilai bahawasanya Islam dan UMNO adalah sesuatu yang berbeza sama sekali, dari sudut perjuangan dan penghayatannya.

Penggunaan UMNO dengan konsep Islam Hadhari adalah suatu penipuan dalam mengalahkan PAS dalam pilihanraya yang telah dan akan berlaku.

Perbuatan ini telah dilakukan oleh golongan munafiqin di Madinah dahulu dengan membina masjid Dhirar sebagai cara untuk melambatkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat untuk keluar jihad menentang tentera Rom di Tabuk.

Begitujuga, dizaman penjajah British menguasai India, mereka telah mengelirukan umat Islam di sana dengan menonjolkan seorang boneka barat yang bernama Mirza Ghulam Ahmad Al-Qadyani. Mirza Ghulam Ahmad telah mengaku dirinya sebagai Nabi selepas dari Nabi Muhammad s.a.w.

Bagi mempengaruhi umat Islam di India, Mirza Ghulam Ahmad Al-Qadyani telah menggunakan nama “Ahmadiyyah” untuk menarik minat umat Islam di India terpengaruh dengan ajarannya itu.

Amat menyedihkan, ajarannya itu telah menular di seluruh Benua India dan seluruh dunia, samada dunia Islam atau dunia bukan Islam, termasuklah di Negara kita Malaysia ini.

KESIMPULAN

Dari perbahasan di atas, kesimpulan yang dapat dilakukan adalah bahawa, UMNO adalah sebuah parti secular yang bertapak kuat di negara ini, Malaysia.

Selama mana UMNO adalah parti secular, maka segala usaha-usaha yang digunakan atas nama Islam merupakan penipuan dan “udang di sebalik batu” yang wajib diperhatikan dan dikaji.

Firman Allah;
يا أيها الذين أمنوا , ان جاءكم فاسق بنباء فتبينوا , أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (surah al-Hujurat : 6)

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/


[1] Lihat “Malaysia Kita” m/s 486.
[2] Lihat”Malaysia kita” : m/s 79
[3] Lihat”Malaysia Kita” : m/s 82
[4] Lihat “Kajian Tempatan” : m/s 94.
[5] Sila lihat “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 98-99.
[6] Lihat segala ulasan ini dalam buku “Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 102
[7] Lihat “target PKSR KajianTempatan” m/s 103-104.
[8] Lihat “Perlembagaan Persekutuan” m/s 3 : perkara 4 (1).
[9] Lihat buku “Kontroversil Kes Tun Salleh” m/s ;205-206
[10] Lihat buku “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 104
[11] Lihat buku “Syubhat wa Uqbat haul Tatbiq as-Syariah fi Maliziya” : m/s 17
[12] Lihat buku “ Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 104
[13] Lihat buku “Target PKSR Kajian Tempatan” :m/s 104
[14] Lihat buku “Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 105
[15] Lihat “Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari” : m/s 39
[16] Lihat “Islam dalam Kehidupan Masyarakat” :m/s 104.
[17] Lihat “Al-Fatawa min Ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam” m/s 413
[18] Lihat “Islam dalam Kehidupan Masyarakat” m/s 105
[19] Lihat “Islam dalam kehidupan Masyarakat” m/s 105-106
[20] Lihat “Tasawwur Islam” :m/s 6
[21] Lihat “Tasawwur Islam” m/s 9-11.
[22] Anjal : mudah berubah menjadi bertambah atau berkurangan mengikut perubahan : “kamus Dewan” edisi ketiga: m/s 51
[23] Pragmatik : mempunyai sifat atau pendirian yang lebih mementingkan (mengutamakan) kesan-kesan sebenar sesuatu daripada cirri-ciri teori, bersifat praktikal, banyak memperhitungkan keadaan dan akibat yang sebenarnya terdapat atau akan timbul : “kamus Dewan” edisi ketiga:m/s1054.
[24] Lihat “Utusan Malaysia” : 3 disember 2005.
[25] Lihat “ utusan Malaysia” 1 mac 2005.
[26] Lihat “Berita Minggu 13 Februari 2005”
[27] Lihat “berita Minggu 14 Februari 2005”

2 comments:

mfrstudio said...

quote dari blog parti islam:
anda menulis sbg berikut,
mengapa tidak berbaik dengan islam Hadhari, kerana Islam Hadhari merupakan salah satu agenda Islam Liberal yang menyesatkan.

saya memberi respon sbg berikut:
saya kira saudara membuat kenyataan di atas bukan semberono,kerana saya yakin saudara bukan seorang yang semberono dalam berhujah. dan saya harap kenyataan itu dibuat disebabkan saudara mempunyai bukti yang jelas dan bukan tuduhan politik semata-mata.

jadi jika itulah sebabnya mengapa PAS tidak mahu bekerjasama dalam usaha-usaha melaksanakan dasar islam hadhari dalam pendekatan pentadbiran kerajaan pak lah,maka sewajarnya usaha-usaha menegakkan kebenaran wajar dilaksanakan.

saya menyarankan agar PAS sebagai gerakan islam yang berpegang kepada al quran dan sunnah sebagai perlembagaan dan dasar parti membentuk sebuah rombongan dakwah menemui Pak Lah sendiri,kerana jika Islam Hadhari adalah agenda Islam Liberal maka pak lah sebagai pengeluar idea itu tentulah pejuang Islam Liberal.

maka kita rakyat malaysia sedang dipimpin oleh ketua islam liberal.

langkah pertama tentulah kita menghantar rombongan dakwah untuk menyampaikan seruan taubat kepada paklah supaya beliau kembali berpegang kepada al quran dan sunnah kerana islam liberal tidak pedulikan ajaran al quran apatah lagi sunnah.

kemudian berilah ancaman2 dari Allah yang dinyatakan jelas di dalam al quran bahawa barangsiapa yang ingkar kepada ayat-ayat Allah maka nerakalah tempat kembali mereka,sebagai contoh Allah berfirman dalam surah Al Hajj ayat 72;

Dan apabila dibacakan di hadapan mereka ayat-ayat Kami yang terang, niscaya kamu melihat tanda-tanda keingkaran pada muka orang-orang yang kafir itu. Hampir-hampir mereka menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami di hadapan mereka. Katakanlah: "Apakah akan aku kabarkan kepadamu yang lebih buruk daripada itu, yaitu neraka?" Allah telah mengancamkannya kepada orang-orang yang kafir. Dan neraka itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali.

kemudian andai pak lah terus mahu menjadi pejuang islam liberal dan tidak mahu kembali kepada ajaran islam yang benar maka perlulah jalankan langkah kedua.

langkah kedua ialah menyeru agar pejuang2 islam yang mencintai islam bersatu untuk bangkit menegakkan kebenaran.

mula-mula berjumpalah dengan semua mufti di malaysia kerana mufti-mufti itu semuanya bekerja di bawah pemerintahan islam liberal.

kemudian jabatan-jabatan agama.

kemudian persatuan,gerakan atau jemaah dakwah dan islah dan segala macam kumpulan islam yang berpegang teguh dengan al quran dan sunnah.

perluaslebarkan seruan ke dalam media cetak dan elektronik tentang bahaya islam liberal dan peri penting kembali kepada al quran dan sunnah.

kemudian bersatulah seluruh umat islam untuk mengangkat seorang pemimpin yang paling bertaqwa di kalangan mereka, yg paling baik akhlaknya,yang paling hikmah tindak tanduknya, yang paling mulia pekertinya hingga orang kafir jua menghormatinya, yang peribadinya mirip peribadi rasulullah untuk menggantikan pak lah.

barangsiapa yang menentang kesatuan islam ini maka mereka menentang hasrat seluruh umat islam di malaysia.

kerana saya,anda,dia,mereka semua mahu islam yang sebenar ditegakkan. islam yang membawa rahmat buat semua. islam yang mengukuhkan kedudukan umat islam. islam yang membenteng umat islam dari serangan musuh. islam yang menguatkan umat islam bagai satu tubuh yang tidak boleh diganggu gugat dari apa apa serangan ekonomi,ideologi,persenjataan dsb nya.

jika islam hadhari bukan islam yang saya nyatakan itu,dan islam hadhari adalah agenda islam liberal,maka saya bersama-sama kalian untuk menghancurkan islam hadhari!!!

Syaikh Al-Bakistani said...

terima kasih atas pandangan anta..

perkara ini sepatutnya dikemukakan kepada pimpinan PAS.

walaubagaimanapun, ana akan cuba.

setahu ana. tindakan yang pertama, yang dicadangkan oleh anta itu telah dilakukan oleh PAS, tetapi di tolak mentah-mentah oleh kerajaan BN dengan alasan, PAS hanya membangkang sahaja, walaupun Tuan guru Haji Abdul Hadi telah mengeluarkan buku....

Tuan guru Nik Aziz sudah berkali-kali mengajak BN bermuzakarah tentang Islam hadhari. Tuan Guru mencadangkan ahli panel mesti dari Presiden PAS dan presiden UMNO. tetapi permintaan itu ditolak mentah-mentah oleh UMNO. (lihat buku "pendirian tok guru" susunan Anual Bakri)

walaubagaimanapun, ana mengucapkan terima kasih atas pandangan anta...

sekian