Monday, August 28, 2006

MELAYU DALAM BAHAYA!!!

MELAYU DALAM BAHAYA!!!

Membaca akhbar hari ini yang bertarikh 27 julai, 2006, banyak berita-berita yang menarik perhatian kita. Membaca akhbar Mingguan Malaysia, berita sensasi sehinggakan kolumnya berada di muka surat depan adalah berita tentang “siapa yang ramai peminat, siti atau mawi?”

Melihat kepada kolum tersebut, yang berada di muka surat depan pula, amat memelikkan kepada kita, dikala umat Islam Malaysia diserang tsunami murtad, peperangan di Palestin dan Lubnan yang merupakan isu yang patut di utamakan, tetapi isu itu di jadikan sesuatu sampingan berbanding isu artis.

Di dalam akhbar berita minggu pula, antara isu yang menjadi satu tarikan ialah berkenaan dengan kenyataan Khairi Jamaluddin, merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO, merangkap Menantu Perdana Menteri, semasa merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan pemuda UMNO bahagian Pandan, bahawa, melayu di bawah kepimpinan UMNO sudah merempat di kawasan Bandar.









Kenyataan beliau adalah seperti berikut;

“beliau berkata, kegagalan pemimpin UMNO di Kawasan Bandar menyelamatkan nasib dan menaikkan martabat orang melayu menyebabkan generasi Melayu akan datang dipinggirkan”[1]

Dari kenyataan ini, difahami bahawa UMNO yang merupakan sebuah parti melayu, yang selalu mendakwa bahawa mereka berusaha membela bangsa sudah nyata bukan sebuah parti yang membela bangsa, tetapi pengkhianat kepada bangsa.

Khairi juga menyatakan;

“saya tidak mahu nasib yang menimpa orang melayu di Pulau Pinang akan terkena kepada masyarakat kita di Bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Ampang di Selangor”

Kenyataan Khairi itu sebenarnya menggambarkan beliau sendiri tidak menyedari akan hakikat sebenar, ini kerana, Kuala Lumpur dan Ampang sudah pun menjadi Bandar yang penghuninya terdiri dari kalangan orang melayu yang merempat.

Jika di perhatikan kepada bangunan-bangunan yang tinggi-tinggi itu, semuanya adalah kepunyaan bangsa yang lain dari Melayu.

Kenyataan begini, sedar dalam tak sedar, menyatakan bahawa orang melayu sebenarnya sudah merempat di negara mereka sendiri.

Ini kerana, apabila menyebut Bandar besar, terutama Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, selayaknya Bandar-bandar besar ini dikuasai oleh orang melayu, disebabkan Bandar besar itu merupakan kekuatan kepada negara.

Sekiranya Bandar besar di kuasai oleh orang melayu, bermaksud, bangsa melayu merupakan bangsa yang kuat di negara tersebut. Tetapi hakikatnya, Bandar-bandar besar di Malaysia ini kebanyakkannya di kuasai oleh tokey-tokey yang berbangsa cina berbanding melayu.

Apa yang menjadi persoalannya, Bandar-bandar besar yang disebut oleh Khairi itu, bukanlah Bandar-bandar besar yang berada di bawah penjagaan kerajaan PAS, bahkan ianya berada di bawah kepimpinan Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO.

Tetapi, jika di perhatikan kepada Bandar kota Bharu yang sememangnya berada di bawah kepimpinan PAS, kita dapat melihat, bagaimana nasib melayu terbela di sana.

Ini menunjukkan bahawa, UMNO bukanlah sebuah Parti yang membela bangsa dan agama, tetapi UMNO adalah sebuah parti pengkhianat kepada bangsa dan agama.
[1] Berita Minggu : 27 ogos 2006 : m/s 4.





UMNO MENGAKIBATKAN BANGSA DAN AGAMA ORANG MELAYU MENJADI BAHAYA

Sedia maklum, parti yang hanya memerintah Malaysia semenjak merdeka adalah UMNO. Maka segala kesalahan dan kelemahan yang menimpa orang melayu di negara ini, wajib dipersalahkan kepada UMNO.

Di masa kini, orang melayu di Malaysia sudah menjadi bangsa yang merempat di negara sendiri. Bangsa Cina yang asalnya di masukkan oleh golongan British ke Tanah Melayu dengan tujuan untuk menjadi buruh bagi mengatasi kekurangan pekerja lombong bijih timah[1], kini sudah menjadi bangsa yang memegang kuasa ekonomi yang terkuat di negara ini.

Bahaya yang sedang menimpa orang melayu di masa pemerintahan UMNO, bukan sahaja kepada negara, bahkan memberi bahaya juga kepada agama.

Keterbuktiannya adalah dengan kenyataan Dato’ Mufti Perak, Al-Fadhil Dr Harussani yang menjelaskan bahawa orang melayu yang murtad di negara ini sudah sampai kepada angka 250,000 orang.

Secara faktanya, walaupun angka tersebut di pertikaikan oleh golongan-golongan tertentu, seperti Abdullah Mat Zain, Menteri di pejabat perdana Menteri, tetapi hakikatnya, kenyataan dari Kesatuan India Muslim Malaysia (KIMMA) bahawa orang melayu yang murtad kepada agama hindu seramai 100,000 orang. Kenyataan polis bahawa orang melayu yang terlibat dengan gerakan Black Metal seramai 20, 000 orang. Dan kenyataan Polis juga, orang melayu yang terlibat dengan ajaran Ayah Pin seramai 20, 000 orang.

Dari angka secara berfakta itu, kita sudah dapati orang melayu yang berdaftar murtad keluar Islam sudah sampai angka 140, 000 orang. Kita belum bertanyakan berkenaan orang melayu yang masuk agama kristian, budha, siam dan sebagainya.

Mengikut pandangan kasar, angka 250, 000 orang melayu murtad, kemungkinan adalah satu angka yang kurang jika di bandingkan dengan kejadian murtad orang melayu yang sedang menimpa di negara ini.

RAMAI ORANG MELAYU MURTAD : MELAYU DALAM BAHAYA DARI SUDUT AGAMANYA DAN KEWARGANEGARANYA

Tsunami murtad yang menimpa umat Islam Melayu di negara ini adalah isu yang sebenarnya memberi kesan yang bahaya kepada bangsa melayu.

Dari sudut agamanya, tidak dinafikan tentang bahayanya, tetapi bahaya tersebut akan terkesan kepada tafsiran melayu di dalam perlembagaan Malaysia.

Di dalam perlembagaan persekutuan, Fasal 160 ada menyebut;

“melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa melayu, menurut adat istiadat melayu dan (a) lahir, sebelum hari merdeka, di persekutuan atau di Singapura, atau ibu bapanya telah lahir di persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut”[2]

Kenyataan dari perlembagaan persekutuan sudah cukup membuktikan bahawa tsunami murtad yang menimpa orang melayu memberi kesan bahaya kepada keistimewaan melayu, seperti termaktub dalam perlembagaan.

Sekiranya kenyataan berfakta ini di ketahui oleh golongan non Islam, amat membimbangkan, golongan non muslim akan mendesak supaya mengugurkan tafsiran melayu sebagai bangsa yang beragama Islam, yang tersebut di dalam perlembagaan persekutuan.

BAHAYA JUGA AKAN MENIMPA KEPADA JABATAN-JABATAN AGAMA ISLAM DI SELURUH NEGARA

Tsunami orang melayu murtad itu, bahayanya juga akan menimpa kepada jabatan-jabatan agama Islam di seluruh negara, ini kerana, di dalam fasal 3 (1) perlembagaan Persekutuan ada menyebut;

“Agama Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan”[3]

Tafsiran kepada agama Islam sebagai agama bagi persekutuan yang tersebut di dalam perlembagaan persekutuan itu, perlu di dilihat kepada sejarahnya.

Setelah parti perikatan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya dalam bulan jun 1955, maka satu jawatankuasa penggubal perlembagaan telah dibentuk dalam bulan Mac 1956 yang diketuai oleh Lord Reid. Laporan jawatankuasa itu telah siap dalam bulan Disember, 1956. Akhirnya perlembagaan Persekutuan di luluskan oleh majlis perundangan persekutuan pada 27hb. Ogos, 1957.

Peruntukan mengenai Islam dalam perlembagaan tersebut adalah semata-mata bagi mengekalkan hak Raja-raja Melayu mengenai adat istiadat dan agama Islam sebagaimana yang telah ditetapkan dalam perjanjian persekutuan tahun 1895. Oleh yang demikian, peruntukan mengenai Islam dalam Perlembagaan Malaysia itu tidak ada maksud sama sekali untuk mendaulatkan agama Islam.

Adapun maksud sebenar bagi agama Islam adalah agama persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia adalah agama Islam diberi keistimewaan dalam kegiatannya seperti pihak kerajaan boleh menggunakan “kumpulan wang awam” untuk pembinaan Masjid, gaji Imam, mendirikan sekolah agama, Yayasan islam dan sebagainya.

Peruntukan perkara 3 fasal (1) itu bukanlah bermaksud undang-undang islam atau syarak menjadi undang-undang Malaysia, sebab Malaysia ditubuhkan berdasarkan falsafah barat yang memisahkan agama dari urusan pemerintahan.

Melihat kepada keadaan ini, Islam dalam perlembagaan Malaysia bukanlah bermakna Islam di Malaysia boleh di daulatkan, tetapi ianya hanya mampu dalam penyebaran dan perkembangan Islam di Malaysia.[4]

Dari pemahaman ini, menunjukan bahawa, apabila orang melayu sudah ramai murtad, kesan buruknya akan mengakibatkan, pejabat-pejabat agama Islam di seluruh negara, jabatan-jabatan mufti, gaji-gaji para Imam Masjid di seluruh negara, terpaksa di tutup dan tidak boleh lagi bergerak seperti biasa. Ini kerana, ianya sudah tersasar dari tafsiran agama Islam yang di kaitkan dengan orang yang berbangsa melayu.

PENUTUP

Article ini, bukanlah ingin memperlagakan antara orang muslim dan non muslim. Tetapi perbincangan ini, sebagai cetusan usaha bagi mengatasi masalah murtad di kalangan orang melayu yang sedang menimpa di negara ini.

Sedarkan kepada para imam dan ustaz-ustaz yang makan gaji kerajaan, yang takut mengizinkan para pejuang-pejuang Islam untuk berceramah di Masjid mereka, dengan alasan pejuang-pejuang Islam adalah pendakwah yang mengugatkan “periuk nasi” mereka.

Sebenarnya, pendakwah itu ingin mengingatkan supaya kita kembali kepada Islam yang syumul, yang hakikatnya memberi keselamatan kepada para imam dan ustaz-ustaz yang makan gaji itu juga.

Mudah-mudahan article ini memberi peringatan kepada kita semua.

Sekian

ONE-G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
[1] Ulangkaji total SPM, Sejarah : m/s 217.
[2] Perlembagaan persekutuan (hingga 15hb September 2003) : m/s 238.
[3] Lihat “perlembagaan persekutuan (hingga 15hb September 2003)” m/s 2.
[4] Lihat “ Strategi menjawab sejarah Islam” m/s 564-565 : Prof. Madya Jahid Haji Sidek : Nurin enterprise : 1993

No comments: