Saturday, November 18, 2006

HUKUM MERATAPI KEMATIAN

HUKUM MERATAPI KEMATIAN

Di jawab oleh ;
Wan Ji bin Wan Hussin[1]

Soalan;

a. Apakah hukum meratapi kematian seseorang?
b. Apakah haram juga menangisi kematian tersebut tanpa meratapinya?
c. Apakah orang yang mati itu diseksa dengan sebab ratapan manusia yang masih hidup?

Jawapan;

Dengan Nama Allah. Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, Para sahabat R.A dan seluruh umat Islam, samada sudah mati atau masih hidup;

MERATAPI KEMATIAN

Meratapi atas kematian adalah sesuatu yang dilarang oleh Syariah Islamiyyah.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Sabda Nabi SAW;

ليس مِنَّا من ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَةِ الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya;
“Bukan dari kalangan kami, mereka yang memukul muka, mengoyakkan baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah[2]

Didalam Kamus Dewan, meratap bermaksud, “menangis sambil mengeluarkan kata-kata, mengeluh (sambil menjerit, menangis dll)”[3]

Mengeluh dengan kematian seseorang adalah sesuatu yang diharamkan oleh Syariah dan dibawah katagori amalan-amalan jahiliyyah.

Daripada Abdullah bin Mas’ud juga, Sabda Nabi SAW;

إيَّاكُمْ وَالنَّعْيَ فإن النَّعْيَ عَمَلُ الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya;
“jauhi dirimu dari ‘an-na’yu’, kerana ‘an-na’yu’ adalah amalan jahiliyyah[4]

Menurut Imam As-Syaukani, ‘an-na’yu’ didalam bahasa arab bermaksud, memberi khabar kepada manusia tentang kematian.

Adapun maksud ‘an-na’yu’ didalam istilah syariah adalah, “mengkhabarkan kepada manusia atas kematian seseorang disertai dengan kesedihan dan menyebut dengan musibah yang akan menimpa[5]

Memahami makna ‘an-na’yu’ mengikut istilah syariah, difahami bahawa ‘meratapi’ keatas kematian adalah amalan yang diharamkan oleh Syariah Islamiyyah.

Adapun memberi khabar kepada manusia dengan kematian atas tujuan untuk menjemput untuk hadir menunaikan solat Jenazah atau sebagainya, maka itu tidak dibawah katagori amalan jahiliyyah yang diharamkan, bahkan ianya adalah diharuskan didalam Islam.

Ini berdalilkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW memberi tahu kepada kami tentang kematian tiga orang ketua yang terbunuh didalam satu peperangan, iaitu Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawwahah[6].

Juga, Rasulullah SAW memberitakan tentang kematian raja An-Najasyi pada hari tersebut.[7]

APAKAH MENANGISI KEMATIAN SI MATI ADALAH PERKARA YANG DIHARAMKAN?

Menangisi atas kematian yang diharamkan adalah, menangis yang disertai dengan suara. Adapun menangisi kematian seseorang dengan kadar menitiskan air mata sahaja, maka itu tidak diharamkan oleh Islam.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf, ketika kematian Ibrahim, iaitu salah seorang anak-anak Rasulullah SAW. Berkata Abdur Rahman bin Auf;

أخذ النبي (ص) بيدي فانطلقت معه الى ابنه ابراهيم وهو يجود بنفسه قال فأخذه النبي (ص) ووضعه في حجره حتى خرجت نفسه قال فوضعه ثم بكى فقلت تبكي يا رسول الله وأنت تنهى عن البكاء فقال إني لم أنه عن البكاء ولكن نهيت عن صوتين أحمقين فاجرين صوت عند نعمة لهو ولعب ومزامير شيطان وصوت عند مصيبة لطم وجوه وشق جيوب وهذه رحمة ومن لا يرحم لا يرحم

Maksudnya;
“telah memegang oleh Nabi akan tanganku, lalu aku pergi bersama Baginda kepada anaknya, Ibrahim yang sedang nazak. Lalu mengambil oleh Nabi SAW akan Ibrahim dan meletakkannya pada pangkuan Baginda hingga menitis air mata baginda SAW. Lalu aku (Abdur Rahman) berkata, Wahai Rasulullah SAW, kamu menegah dari menangis. Menjawab Baginda SAW, aku tidak menegah kamu dari menangis, tetapi aku melarang dua suara yang hodoh, iaitu suara nikmat kelalaian dan seruling Syaitan dan suara ketika ditimpa musibah, memukul muka dan mengkoyak baju. Adapun ini (menitis air mata tanpa suara ketika kematian) adalah tanda kasih sayang dan barangsiapa yang tidak belas kasih, nescaya dia tidak dibelas kasih[8]

Dari hadis ini menjelaskan maksud sebenar larangan menangis yang dimaksudkan oleh nabi ketika kematian adalah menangis yang boleh melahirkan suara atau dinamakan juga dengan “meratap” seperti diperbahasan lepas.

APAKAH SI MATI AKAN DIAZAB DENGAN RATAPAN ORANG YANG MASIH HIDUP?

Si mati tidak diazab dengan ratapan orang yang masih hidup. Ini berdasarkan kepada firman Allah;

وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya;
“seseorang yang berdosa tidak menanggung dosa orang lain”

(surah al-Isra’ : 15)

Adapun maksud hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar, iaitu sabda Nabi SAW;

إنَّ الْمَيِّتَ يُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ

Maksudnya;
“sesungguhnya si mati di azab dengan sebab tangisan ahli keluarganya”[9]

Melihat kepada zahir hadis ini, seakan-akan Rasulullah SAW menyatakan azab kepada si mati disebabkan ratapan yang dilakukan oleh orang yang masih hidup.

Walaubagaimanapun, menurut As-Syaikh Idris Al-Marbawi didalam kitabnya “bahrul Mazi”, beliau mengatakan bahawa, yang dimaksudkan si mati akan diazab dengan sebab tangisan atau ratapan ahli keluarganya adalah sekiranya si mati itu menyuruh atau redha dengan perbuatan menangisi dan meratap atas kematiannya[10].

Pandangan As-Syaikh Idris Al-Marbawi ini bersesuaian dengan hujjah yang dikemukakan oleh Abu Hurairah yang dinukilkan oleh Imam As-Syaukani didalam kitabnya “nail al-awtar”[11].

Wallahu ‘Alam

Sekian

One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Mudir Maahad At-Tarbiyyah Darul Fiqh Wa Tahfiz Al-Quran.
[2] Nail al-Awtar , karangan Imam As-Syaukani : (4/155) saheh al-Bukhari (1/435) hadis no :1232.
[3] Kamus Dewan , edisi ketiga ; hlmn 1109
[4] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/96)
[5] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[6] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[7] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[8] Majma’ az-Zawaid, karangan Ali bin Abi Bakar al-Haisami (3/17)
[9] Nail al-Awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/155)
[10] Bahrul Mazi, As-Syaikh Idris Al-Marbawi (7/134)
[11] Nail Al-Awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/156)

2 comments:

semut_hitam said...

salaam ust.

diam tanpa berita! aku rindu tulisan mu. tajamkan pena! lontarkan minda!

Al-Bakistani said...

SORRY, TERLALU SEBUK, SEHINGGAKAN TIDAK SEMPAT HENDAK MENULIS..

SEGALA KESULITAN, DIPOHON KEMAAFAN.

SEKIAN