Wednesday, July 18, 2007

APA YANG PERLU ANDA TAHU TENTANG FTA

APA YANG PERLU ANDA TAHU TENTANG FTA

Sila baca artikle tulisan dari satu e mail dari salah seorang sahabat alam maya;

IMPLIKASI US FTA KEPADA NEGARA DAN RAKYAT MALAYSIA

World Trade Organisation (WTO) tertubuh pada 1 hb Januari 1995 untuk mengantikan General Agreement in Trade and Tariff (GATT) yang sebelum itu berfungsi sebagai garispanduan perdagangan antarabangsa selama 50 tahun sejak tamatnya perang dunia kedua. WTO dianggotai oleh150 negara termasuk Malaysia.

WTO berfungsi sebagai pemacu kepada perdagangan bebas yang merangkumi Dagangan Barangan dan Perkhidmatan serta Dagangan yang melibatkan “Intellectual Properties”, Pelaburan, Perolehan Kerajaan, Polisi Persaingan, Alam Sekitar dll. WTO adalah perjanjian “multi-lateral” yang mengikat secara “legal” negara-negara ahli. Perjanjian ini tertakluk kepada kajian semula dan rundingan secara berkala seperti dalam Rundingan Pusingan Doha.

Disamping peraturan-peraturan dalam WTO yang perlu dipatuhi oleh Negara-negara ahli, setiap negara boleh mengadakan rundingan dan memetrai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) secara dua hala atau lebih dengan negara-negara lain. Malaysia contohnya telah menandatangai FTA dengan Jepun dan dalam rundingan FTA dengan Australia, New Zealand and Pakistan. Secara setempat, Malaysia terikat dengan Asean Free Trade Agreement (AFTA).

Implikasi besar perjanjian WTO dan FTA yang berbagai ini ke atas kehidupan individu, masyarakat dan negara kurang mendapat perhatian kita sebagai warganegara Malaysia umumnya dan para dai khususnya.

Di negara-negara lain bantahan rakyat secara lantang dan besar-besaran terhadap WTO sering berlaku terutamanya berhubung FTA negara-negara berkenaan dengan Amerika Syarikat (USFTA) seperti di Guatemala, Equador, Colombia, Korea Selatan dan yang terdekat di Thailand. Disamping itu negara-negara seperti Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay, Uruguay, Venezuela, South Afrika, Botswana, Lesotho, Namibia dan Swaziland enggan menandatangai FTA dengan Amerika Syarikat.

Secara umumnya FTA yang dimetrai sesama Negara membangun boleh disifatkan adil. Lain pula sifatnya dengan rundingan FTA di antara Negara maju seperti Amerika Syarikat dengan Negara kecil yang sedang membangun.

Keghairahan Kerajaan Malaysia dalam rundingan dengan AS yang berterusan sejak Mac 2006 bertujuan memetrai Perjanjian Pedagangan Bebas (MUSFTA) dua hala dengan Amerika Syarikat menimbulkan berbagai tandatanya dan tidak kurangnya bantahan dari beberapa pihak

Pengalaman negara-negara yang sudahpun menandatangani FTA dengan AS cukup menyakitkan. Di Mexico sebagai contoh, kira-kira 2 juta peladang terpaksa menutup ladang mereka sejak pemetraian North Atlantic FTA (NAFTA) dan 8 dari 10 penduduknya dilanda kemiskinan dengan 18 juta penduduknya berpendapatan kurang dari US $2 sehari. NAFTA memaksa mexico membuka pasaran mereka kepada export pertanian AS yang sangat murah disebabkan oleh subsidi kerajaan AS terhadap sektor pertaniannya. Ini telah melumpuhkan sektor pertanian Mexico dan keupayaannya mengeluarkan bahan makanan. Ini menyebabkan Mexico terpaksa bergantung kepada AS untuk bekalan makanannya.
AS dalam semua rundingannya dengan negara lain meletakkan pembukaan pasaran sektor pertanian sebagai syarat utama FTA mereka. Disamping itu mereka enggan mengurangkan apatah lagi untuk menghapuskan subsidi sector pertanian di negara mereka. Apakah ini satu bentuk perancangan neo-konservertif AS bagi menguasai negara lain? Apakah Malaysia akan menerima nasib yang sama?

Negara-negara yang diberi status Generalised System of Preference (GSP) oleh AS bagi mengecapi tarif eksport rendah telah diberi tekanan untuk memetrai FTA yang berat sebelah jika mahu status GSP dikekalkan. Sebaliknya pula negara yang memerlukan pasaran AS bagi bahan dagangan mereka tidak diberikan FTA oleh AS atas alasan mereka tidak menyokong polisi AS di Iraq. New Zealand seharusnya dicontohi kerana berdiri teguh dengan pendirian mereka. Kerajaan Malaysia juga telah dikenakan syarat untuk tidak berurusan dagangan dengan Iran jika Rundingan Malaysia-USFTA ingin diteruskan. Ini jelas menunjukan sikap penguasaan neo-konservertif AS dalam setiap rundingan mereka.
AS adalah satu-satunya negara yang meletakkan pelbagai syarat hanya untuk membolehkan rundingan FTA dimulakan.

Malaysia bukanlah Negara yang diberi status GSP dan dengan kedudukan lebihan dagangan Malaysia yang baik ke atas AS, sepatutnya Malaysia tidak perlu mengadakan FTA dengan AS. Jadi mengapakah kerajaan Malaysia begitu tergesa-gesa? Pengalaman Singapura menujukkan eksport AS ke negara jiran itu bertambah selepas FTA menyebabkan lebihan dagangan AS ke atas Singapura meningkat sebanyak 200%.

Sebagai mengambil langkah urustadbir baik, Kerajaan Malaysia seharusnya membuat penelitian dan rundingan meluas dengan melibatkan semua pihak secara telus. Jangan sampai kedaulatan negara tergadai. Apakah harga yang perlu dibayar negara bagi mendapatkan sedikit kebaikan daripada USFTA jikapun ada?

Jika penurunan tarif barangan eksport Malaysia ke AS yang diharapkan, syarat-syaratnya pula sukar dipenuhi seperti syarat ‘rule of origin’ yang memerlukan kesemua bahan mentah penghasilan produk tidak diimport. AS juga mempunyai peraturan yang hanya membenarkan penurunan tarif maksima sebanyak 50% dari tarif sedia adanya, manakala ia mensyaratkan negara lain menghapuskan sama sekali tarif mereka. Dengan penurunan tarif ini akan menyebabkan pendapatan negara berkurangan. Dengan ini bagaimanakah kerajaan akan membiayai perkhidmatan sektor pendidikan, perubatan dan pembangunan infrastruktur?

Sektor Perbankan, Syarikat-syarikat Telekominikasi, Air dan Letrik akan menghadapi persaingan yang hebat dengan syarikat luar yang lebih besar dan bermodal tinggi. Berkemungkinan persaingan ini boleh memberi manafaat secara jangka pendek kepada pengguna tetapi secara jangka panjang ,pengguna akhirnya mungkin teraniaya

setelah syarikat-syarikat luar memonopoli perkhidmatan tersebut. Sektor-sektor industri ‘pioneer’ yang sebelum ini dilindungi bagi membolehkannya berkembang akan terjejas dan matlamat perindustrian negara akan turut terbantut.

USFTA juga mahukan sektor perolehan kerajaaan dibuka kepada mereka. Apakah akan terjadi kepada syarikat-syarikat tempatan yang banyak bergantung kepada sektor ini dalam perniagaan mereka.

Jika pemindahan teknologilah yang diharapkan, ianya tidak akan berlaku kerana dengan termetrainya USFTA Malaysia tidak lagi boleh meletakkan pemindahan teknologi sebagai syarat dalam sebarang urusan dagangan.

Dalam sektor perkhidmatan professional seperti perubatan, perundangan, kejuruteraan, akitek dll, sebarang pembukaan pasaran yang dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan AS sukar dilaksanakan memandangkan setiap “State” di AS mempunyai syarat berlainan untuk membolehkan para professional luar memulakan praktis.

Dalam sektor pelaburan, USFTA memberi perlindungan yang tinggi kepada para pelabur. Oleh kerana pelaburan AS di Malaysia adalah lebih besar dari pelaburan Malaysia di AS, maka ini menguntungkan AS lebih dari negara kita. Di samping itu USFTA tidak membenarkan batasan ke atas penarikan keluar masuk modal mahu pun keuntungan pelaburan. Apakah dengan USFTA Malaysia akan mendapat pertambahan FDI memandangkan saiz ekonomi Malaysia terhad? Apakah Malaysia mahu ketidaksetabilan “Hot money” yang tidak terkawal?

Melalui USTFA banyak bahan-bahan dan alat perubatan akan dikenakan patent dibawah Trade Related Intellectual Properties (TRIPS) menyebabkan harga ubat dan perkhidmatan perubatan meningkat. Apakah ini yang menguntungkan?

Selepas USFTA AS boleh menyaman Kerajaan Malaysia sekiranya apa-apa undang-undang yang diluluskan parlimen didapati bertentangan dengan perjanjian dan sebagai hukuman AS boleh menaikkan tarif ke atas mana-mana eksport Malaysia ke AS. Dalam tempoh 10 tahun NAFTA, pelabur telah menyaman Kerajaan Mexico, Canada dan AS melebihi US$28b di atas sebab yang sama.

Kesemua faktor yang disebut di atas meyakinkan kita bahawa memeterai USFTA bukanlah satu langkah bijak malah boleh membawa kerugian and menjejaskan kedaulatan Negara. Kita sebagai warga yang prihatin perlu mempergiatkan usaha bagi menyedarkan masyarakat betapa pentingnya kita semua sama-sama menyuarakan kebimbangan dan penentangan kita terhadap USFTA.

No comments: