Usaha hendak mengikiskan semangat taassub mazhab sudah mula menular di Negara ini. Usaha ini telah berlaku di Negara-negara Islam yang lain. usaha hendak menghapuskan budaya taassub bermazhab ini bukan tindakan yang tercela, bahkan ianya merupakan satu usaha yang telah dilakukan oleh kebanyakan ulama-ulama yang hebat.
Dr Yusuf Al-Qaradhawi merupakan antara ulama kontemporer yang sering menyeru kepada tidak taassub kepada mazhab. Ekoran dari itu, jika dilihat dari hasil tulisan beliau, didapati perbincangan beliau dalam bidang fiqh tidak akan tertakluk kepada satu mazhab semata-mata, bahkan beliau akan mengemukakan berbagai-bagai pandangan ulama dan memberi penghormatan kepada pandangan ulama-ulama yang lain.
Ketaassuban kepada sesuatu mazhab sebenarnya melahirkan satu kelemahan dalam kesemua pentadbiran, samada dalam kehidupan atau apa juga bentuk sekalipun, disamping Islam akan dilihat sebagai satu agama yang jumud, jika ketaasuban mazhab ini menjadi kehidupan umat Islam.
Usaha Dr Yusuf Al-Qaradhawi ini patut mendapat pujian di segenap penjuru pejuang-pejuang keilmuan islam, dikeranakan perjuangan sebegini akan melahirkan daya pemikiran yang kreatif disamping dapat mengetengahkan keterbukaan dan kemudahan yang ada dalam islam.
ISLAM ADALAH MUDAH, BUKAN BERMUDAH-MUDAH
Ruang dalam menghormati khilaf dikalangan ulama ini merupakan kemudahan yang telah Islam sediakan. Kemudahan dalam islam merupakan satu perkara yang diakui oleh Baginda SAW sendiri.
Baginda SAW pernah bersabda dengan kata Baginda;
بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ
Maksudnya;
“aku dibangkit (menjadi nabi) dengan kemudahan dan toleransi[1]”
Begitujuga sabda nabi SAW dalam hadis yang lain;
يَسِّرُوا ولا تُعَسِّرُوا
Maksudnya;
“Permudahkan, jangan memayahkan[2]”
Kemudahan yang diberikan oleh islam tidak memaksudkan bahawa, boleh bermudah-mudah dengan Islam.
Antara kemudahan yang diberikan oleh islam kepada manusia adalah, kebenaran kepada mereka yang tidak berkeahlian untuk berijtihad bahawa mereka bertaqlid kepada pendapat mana-mana ulama yang mereka kehendaki.
Keizinan ini didasarkan kepada firman Allah;
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;
“Bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”
(Surah An-Nahl : 43)
Menurut Dr Wahbah Zuhaili didalam kitabnya yang bertajuk “Usul Al-Fiqh Al-Islami”, katanya;
إن منع التقليد إنما هو بالنسبة للمجتهد , أما العامى فيجب عليه التقليد
Maksudnya;
“Sesungguhnya tegahan bertaklid itu dinisbahkan kepada mujtahid, adapun orang yang ‘ami (orang awam yang tidak layak berijtihad), wajib kepadanya bertaqlid[3]”
Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang yang tidak berkeahlian dalam berijtihad, lalu dia hendak melakukan ijtihad juga, perbuatan demikian merupakan perbuatan yang dinyatakan sebagai bermudah-mudahan dengan Islam, sedangkan perkara ini dilarang oleh Allah SWT.
Larangan ini bersebabkan, mereka yang tidak berkeahlian dengan ijtihad, apabila dia hendak melakukan ijtihad, menyebabkan akan berlakunya kesalahan dalam menyatakan hukum Allah SWT. Sekiranya mereka menyatakan juga, bermakna mereka menyatakan hukum mengikut kadar “zan” dan sangkaan mereka sahaja, sedangkan tindakan sedemikian merupakan kesalahan didalam islam.
Firman Allah;
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran”
(Surah Yunus : 36)
BERIJTIHADLAH, TETAPI PASTIKAN CUKUP SYARAT
Berijtihad merupakan keperluan, adapun bertaqlid merupakan keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia sejagat.
Mengharamkan berijtihad dengan mendakwa pintu ijtihad telah tertutup merupakan tindakan yang tidak berasaskan kepada kefahaman islam yang nyata. Ini adalah bersebab, antara punca diizinkan berijtihad adalah kerana permasalahan dan isu-isu yang perlu mendapat jawapan dari Islam sentiasa tidak selesai.
Maka dengan demikian, ijtihad merupakan keperluan yang wajib di garap untuk mencapai kehidupan yang maju berteraskan kepada asas yang mulia, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah Rasulillah SAW.
Tidak dinafikan, ada sebilangan yang mendakwa bahawa pintu ijtihad sudah tertutup, hakikatnya, kenyataan sebegini tidak diasaskan kepada fakta ilmu, bahkan lebih kepada perasaan kemanusiaan yang tidak memahami hakikat agama Islam ini.
Mungkin golongan yang dapat mencukupkan syarat-syarat berijtihad itu tidak dapat di temui, tetapi pintu ijtihad tidak pernah tertutup, selagi kehidupan manusia sentiasa melata di atas muka bumi Allah SWT.
Walaubagaimanapun, pasti akan ada manusia yang berkelayakan di setiap zaman untuk berijtihad ini. Ini telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda SAW;
لا تزال طَائِفَةٌ من أُمَّتِي ظَاهِرِينَ حتى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ
Maksudnya;
“sentiasa ada satu golongan dari umatku yang menzahirkan (kebenaran) hingga datang urusan Allah kepada mereka sedangkan mereka tetap menzahirkan (menyatakan hukum Allah)[4]”
Pun begitu, tidak selayaknya golongan yang tidak berkelayakan berijtihad mendabik dada bahawa mereka adalah mujtahid. Ini adalah kerana, tindakan sedemikian akan menyebabkan lahirkan fitnah di kalangan umat Islam yang hakikatnya akan memburukkan agama yang indah ini.
Begitujuga, tidak layak bagi golongan ilmuan pula mencela dan menghina golongan manusia yang dikatakan sebagai “al-‘Ami” atau golongan orang awam yang tidak berkelayakan berijtihad untuk bertaqlid dengan mana-mana pendapat ulama mazhab. Jika ini berlaku, tindakan sedemikian seakan-akan menghina firman Allah SWT yang Allah sendiri menyatakan wujudnya golongan yang tidak mengetahui yang menyebabkan mereka terpaksa merujuk kepada ulasan-ulasan ulama dalam memahami kandungan dan maksud Islam yang sebenar.
PENUTUP
Menyeru kearah berijtihad merupakan satu perkara yang baik, tetapi yang paling penting adalah menyeru manusia kearah berusaha kepada mencukupkan dan mempersiapkan diri dengan syarat-syarat berijtihad.
Apabila tindakan menyeru kearah berijtihad dilakukan, tanpa menyeru kepada seruan untuk mencukupkan atau mempersiapkan diri dengan syarat-syarat berijtihad, maka seruan itu hakikatnya akan melahirkan satu situasi sebilangan manusia yang merasakan diri mereka sudah boleh berijtihad, sedangkan mereka sendiri tidak memahami Islam dengan bentuk yang sebenar.
Begitujuga, dengan tindakan sebegini akan melahirkan satu sikap dikalangan manusia yang mudah mendabik dada bahawa mereka sahaja golongan yang paling mengikut al-quran dan as-sunnah disamping mengepikan segala usaha-usaha yang telah dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu.
Yang lebih parah adalah, apabila golongan ini akan mengambil satu sikap menyeru manusia supaya tidak bertaqlid dengan mana-mana mazhab, disamping menyeru manusia supaya bertaqlid dengan pandangan mereka sendiri, yang akhirnya lahirlah satu ungkapan secara tidak dinyatakan berbentuk tulisan dan lisan, tetapi hakikatnya ianya wujud dari sudut hakikatnya, iaitu ungkapan “jangan bertaqlid dengan mana-mana mazhab, tetapi bertaqlidlah dengan pandangan aku”.
Marilah kita fikirkan !!!!!
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/
e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1] Musnad ahmad bin Hanbal : 5/266 : hadis no : 22345.
[2] Sahih Al-Bukhari : 1/38 : hadis no : 65.
[3] Usul Al-Fiqh Al-Islami : 2/1149.
[4] Sahih Al-Bukhari : 6/2667 : hadis no : 6881.
No comments:
Post a Comment