BERDAKWAHKAH KITA?
Hari ini, aku terbaca tulisan Mufti Perlis yang agak menarik juga perbincangannya kali ini. Boleh dikatakan, 70 peratus tulisan tersebut, aku boleh menerimanya dan yang berbakinya, aku agak tidak dapat menerimanya, disebabkan perbincangannya itu seakan-akan bersifat menafikan keadaan reality yang berlaku[1].
Walaubagaimanapun, tulisan beliau berkenaan sebilangan pegawai-pegawai di pejabat Agama yang seakan-akan tidak bersungguh-sungguh dalam dakwah non muslim dan menjaga golongan muallaf al-qulub agak boleh diterima. Dan disini, aku akan nukilkan beberapa hasil pengalamanku sendiri dalam isu yang dibangkitkan oleh Asri perlis ini.
Antaranya seperti berikut;
Hari ini, aku terbaca tulisan Mufti Perlis yang agak menarik juga perbincangannya kali ini. Boleh dikatakan, 70 peratus tulisan tersebut, aku boleh menerimanya dan yang berbakinya, aku agak tidak dapat menerimanya, disebabkan perbincangannya itu seakan-akan bersifat menafikan keadaan reality yang berlaku[1].
Walaubagaimanapun, tulisan beliau berkenaan sebilangan pegawai-pegawai di pejabat Agama yang seakan-akan tidak bersungguh-sungguh dalam dakwah non muslim dan menjaga golongan muallaf al-qulub agak boleh diterima. Dan disini, aku akan nukilkan beberapa hasil pengalamanku sendiri dalam isu yang dibangkitkan oleh Asri perlis ini.
Antaranya seperti berikut;
KISAH PERTAMA
Satu hari, selepas aku menyampaikan kuliah fiqh di salah sebuah surau yang berhampiran dengan masjid subang airport, aku terlihat sebuah tempat membasuh kereta yang pembasuh-pembasuhnya berbangsa India yang pada anggapanku beragama hindu. Disamping keretaku sememangnya “comot” disebabkan sudah berminggu-minggu tidak dibasuh. Aku menanam hasrat untuk ke tempat pembasuhan kereta tersebut dan ingin memastikan tentang agama si India itu.
Semasa pembasuhan sedang dilakukan, aku bertanya kepada Si India itu berkenaan namanya dan agamanya. Si India itu memperkenalkan dirinya bernama Raja dan beragama Hindu. Pada anggapanku, Raja boleh bercakap melayu, tetapi anggapanku itu meleset.
Raja adalah seorang yang berbangsa India yang bukan India Malaysia, bahkan dia adalah seorang yang sememangnya berasal dari Negara India. Kehidupannya di Malaysia baru sahaja menjangkau dua tahun yang menyebabkan dia sendiri tidak mampu berbahasa melayu.
Mengenangkan dia berasal dari Negara India, aku menganggap dia boleh berbahasa urdu. Sangkaan itu tepat dengan sasarannya, tetapi dia sendiri tidak mampu bercakap urdu dengan baik, hanya sekadar sahaja. Padaku, itu perkara biasa, ini kerana, dia berasal dari India gujerat yang berbahasa tamil, bukan India Hindustan yang bercakap urdu.
Aku juga telah lama tidak berbahasa urdu. Semenjak meninggalkan bumi debu, Pakistan, iaitu pada tahun 2001 yang lalu, aku sudah mula jarang bercakap urdu. Walaupun kadangkala aku bercakap juga, tetapi tidaklah terlalu banyak sangat. Itupun dikala berjumpa dengan saudara-saudara yang berbangsa Pakistan yang berniaga di Negara ini.
Aku mula berbual-bual panjang dengan raja dalam bahasa urdu. Pertanyaan demi pertanyaan yang aku campakkan kepada Raja. Segala pertanyaanku itu dijawab oleh Raja dan padaku, segala jawapannya itu merupakan luahan hatinya sendiri.
Aku bertanya, sebelum tinggal di Malaysia, adakah dia pernah tinggal di mana-mana Negara. Dia menjawab, dia tinggal di Malaysia baru 2 tahun, dan sebelum ini, dia pernah tinggal di Singapora selama 3 tahun dan dia juga pernah tinggal di Saudi Arabia (mungkin luar tanah haram) selama 11 tahun.
Aku bertanya, selama dia tinggal di Saudi Arabia dan Malaysia, apakah dia tidak mahu memeluk Islam? Dia menjawab, dia tidak berminat dengan Islam disebabkan orang-orang Islam ramai yang sombong.
Mendengar jawapannya itu, aku “mati kutu” untuk membalas kata-katanya disebabkan kenyataannya itu adalah benar sememangnya benar.
Aku mengakui dakwaannya itu, tetapi aku tetap memberitahu kepadanya agar dia tidak melihat kepada akhlak orang islam, tetapi hendaklah melihat kepada ajaran Islam itu sendiri. Mendengar kata-kataku, dia senyap seribu bahasa.
KISAH KEDUA
Aku berjumpa dengan seorang budak yang sudah masuk Islam. Dia berasal dari Sarawak dan dulunya beragama kristian.
Aku bertanya kepadanya, bagaimana dia boleh masuk Islam. Dia menjawab, pada asalnya, dia tidak berkeinginan sangat untuk masuk Islam disebabkan melihat kepada akhlak-akhlak orang islam.
Sehinggakan satu hari, seorang ustaz telah menghadiahkan kepadanya sebuah buku tulisan Dr Hassan Ali yang menceritakan tentang akhlak-akhlak Islam telah mengubah haluan agama hidupnya.
Dia berfikir dengan kandungan buku itu dan membandingkan dengan akhlak-akhlak orang islam sendiri. akhirnya dia dapat mengambil satu kesimpulan, rata-rata orang Islam tidak beramal dengan Islam. ekoran dari itu, dia terus masuk Islam walaupun mendapat tentangan hebat dari ahli keluarga di Kampung.
KISAH KETIGA
Pada setiap minggu, Aku ada menyampaikan kuliah tafsir di salah sebuah surau di kawasan Sri Damansara. Pengajian tafsir di surau tersebut yang sudah mengambil masa lebih tiga tahun itu telah memberi banyak sejarah dalam hidupku.
Bermula dengan isu rokok yang aku nyatakan sebagai haram, telah menyebabkan sebilangan besar ahli jemaah yang merokok telah berhenti dari merokok, sehinggakan tanpa disedari seorang sahabat yang belum memeluk Islam sentiasa melazimi diri untuk mendengar kuliahku itu.
Pada suatu hari, setelah selesai menyampaikan kuliah. Sahabat yang belum memeluk islam itu berjumpa denganku dan menyatakan keinginannya mahu masuk Islam. aku agak terkejut, disebabkan pada anggapanku selama ini dia adalah seorang yang beragama Islam. Tanpa melengahkan masa, aku terus mengislamkannya. Aku bertanya kepadanya, apakah nama yang dia hendak. Dia menyuruh aku memberi nama kepadanya. Aku memberi namanya sebagai azhar.
Pendaftaran Islam di Pejabat Agama telah dilakukan dan Azhar sendiri sudah mempunyai Kad KeIslaman yang dikeluarkan oleh pihak pejabat agama.
Pada suatu hari, Azhar telah menelefonku dan menceritakan masalah kewangannya yang berpunca dari seorang majikannya yang bertitle Ustaz yang tidak membayar gajinya.
Keesokannya, aku membawa Azhar pergi ke Pejabat Pusat Pungutan Zakat (sebelum ditukar kepada LZS) di Bukit Rahman Putra. Amat menyedihkan, pegawai tersebut menyatakan, azhar tidak boleh menerima zakat disitu, bahkan dia mesti pergi ke pejabat agama yang berhampiran terlebih dahulu, untuk mengesahkan keislamannya terlebih dahulu.
Apa yang memelikkanku ketika itu adalah, Azhar telah menunjukan kad keislamannya beserta kad pengenalannya. Apakah itu tidak memadai?Disebabkan meraikan dan menghormati pihak PPZ, aku ikut saja kata-kata pegawai PPZ tersebut dan terus pergi ke Pejabat Agama Islam Selangor (JAIS) di Kuang untuk menyatakan hasrat kami itu.
Setelah sampai disana, kami diperkenalkan dengan seorang pegawai pejabat agama yang menjaga hal ehwal muaalaf yang baru masuk Islam.Apa yang menyedihkan lagi, setelah ditanya, jawapan yang diberikan kepada kami adalah, Azhar tidak layak menerima zakat kerana dia masuk Islam tidak sampai 1 tahun lagi.
Jawapan pegawai tersebut menimbulkan persoalan difikiranku, apakah muallaf yang kurang setahun keislamannya tidak layak menerima zakat? Sedangkan dalam hukum fiqh, seorang yang belum Islam, tetapi sudah menanam minat untuk Islam pun sudah boleh menerima zakat. Inilah yang dipanggil sebagai “Muallaf al-qulub”.
Aku melihat raut wajah Azhar yang agak “frust”, aku membawanya ke kedai makan untuk santapan tengahari. Setelah selesai, aku menghadiahkan azhar dengan beberapa ringgit mengikut kadar kemampuanku untuk memberi pengharapan azhar kepada Islam.
KISAH KEEMPAT
Seorang budak berbangsa cina beragama kristian yang umurnya tidak sampai 18 tahun telah menemuiku dan menyatakan kehendaknya memeluk Islam. Setelah keislamannya, aku menyuruh dia merahsiakan keislamannya, agar tidak diketahui oleh bapanya yang merupakan “orang kuat” MCA.
Tujuan aku menyuruh dia merahsiakan keislamannya adalah bersebab, menurut undang-undang Malaysia, seseorang yang umurnya kurang dari 18 tahun, keagamaan seseorang itu tertakluk kepada ibu bapanya.
Perlembagaan persekutuan perkara 12 (4) menyatakan;
“Ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya[2]”
Begitujuga, jika dilihat antara sebab pemecatan Tun Salleh Abbas dari menjadi ketua Hakim Negara adalah tindakan Tun Salleh menangguhkan kes Teoh Eng Huat lawan kadi Pasir Mas, Kelantan berhubung pilihan beragama orang bawah umur[3].
Maka dengan sebab itulah, aku menyuruh Muhammad (nama islamnya) supaya tidak menyatakan keislamannya sehinggakan umurnya sudah mencapai 18 tahun.
Tetapi, amat menyedihkan apabila bapa kepada Muhammad sudah menghidu keislaman Muhammad yang menyebabkan bapanya telah menjauhkan diri Muhammad dari kami.
Pada mulanya, aku mengambil Muhammad dan “menyembunyikannya” di tempat yang kami sediakan. Tetapi atas nasihat sebilangan pegawai di pejabat Agama agar tidak melakukan demikian, disebabkan bimbang aku dituduh sebagai penculik.
Aku agak panic, dan aku bertanyakan hal ini kepada beberapa sahabat-sahabat seperjuangan. Mereka memberi pandangan, jika tidak dapat di elak, maka kita serahkan kepada ibu bapanya, dan apabila dia sudah mencukupi lapan belas tahun, kita akan suruh dia daftarkan di jabatan agama. Aku akur dengan pandangan sahabat-sahabatku itu. Tetapi, apa yang menyedihkan adalah, setelah Muhammad hilang di pandanganku, dalam masa dua hari sahaja, aku masih lagi berbalas-balas sms dengannya, tetapi selepas dari itu, hubungan kami seakan-akan sudah terputus, disebabkan hubungan telefon dan SMS tidak lagi terhubung.
aku agak memberontak dengan undang-undang Malaysia yang memberi hak kepada orang masuk Islam setelah umurnya lebih 18 tahun, sedangkan Islam sendiri memberi hak kepada sesiapa yang masuk islam, walaupun umurnya kurang dari 18 tahun sekalipun.
PENUTUP
Jika ingin dinukilkan kisah-kisah pengalaman hidupku dalam isu muallaf ini, banyak lagi yang boleh di nukilkan, tetapi mungkin ini sekadar pengalaman yang dapat dikongsi bersama pembaca-pembaca sekalian dan agar pembaca-pembaca sekalian dapat berfikir tindakan yang sepatutnya dilakukan untuk memaut hati non muslim kepada Islam.
Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat dari Ilahi dan mendapat keberkatan hidup dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/
e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1]http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[2] Perlembagaan persekutuan (hingga 15 hb September 2003): m/s 14.
[3] Kontroversil Kes Tun Salleh : m/s 54.
No comments:
Post a Comment