Thursday, August 16, 2007

BOLEHKAH PAS BERSATU DENGAN UMNO?

BOLEHKAH PAS BERSATU DENGAN UMNO?

Sudah lama aku agak tidak menulis dengan merujuk kepada sumber rujukan ilmu. Pun begitu, aku tetap menulis, tetapi lebih kepada sesuatu yang bersifat isu dan pandangan peribadi. Kekurangan merujuk dalam tulisan menyebabkan sebilangan pembaca blogku telah bertanya. Aku menyatakan, kesebukkan untuk bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya di Dun dan Parlimen Subang telah menyebabkan aku kekurangan membaca yang melahirkan banyak tulisan yang bersumberkan kepada rujukan ilmu.

Walaubagaimanapun, selepas menyampaikan kuliah di salah sebuah surau yang berhampiran rumahku, disamping ketiadaan program dan perbincangan pada selanjutnya, telah mendetikkan hatiku untuk melayari internet dan mencari info terkini agar tidak digelar sebagai “tin kosong”.

Aku membuka blog saudara Roslan SMS yang merupakan sahabat seperjuangan, yang disana aku terbaca satu tulisan beliau berkenaan dengan cadangan Saudara Anuar Md Nor untuk menyatu antara UMNO dan PAS dengan beberapa soalan yang perlu di jawab.

Tulisanku kali ini, bukanlah mahu menjawab segala persoalan itu, tetapi lebih untuk menyatakan perbezaan sebenar antara UMNO dan PAS yang patut difahami.

AQIDAH ADALAH ASAS

Membaca Al-Quran, diawal surah Al-Baqarah, Allah menjelaskan kepada manusia pada 5 ayat yang terawal berkenaan dengan cirri-ciri orang beriman. Pada ayat 6 dan 7, Allah menjelaskan cirri-ciri orang kafir. Dan selanjutnya, iaitu dari ayat 8 hingga 20, Allah menjelaskan cirri-ciri orang-orang munafiq.

Pengakuan Iman itu tidak cukup sekadar mendakwa dengan tulisan dan kenyataan lisan, tetapi dikehendaki diamalkan dari sudut perbuatan.

Perkara ini jelas, berdasarkan kepada definisi Iman yang telah didefinisikan oleh mejoriti ulama sebagai;

اعتقاد بالجنان ونطق باللسان وعمل بالجوارح

Maksudnya;
“I’tiqad dengan hati, melafazkan dengan lidah dan amal dengan anggota[1]

Dari definisi ini, difahami iman itu tidak cukup sekadar menuturkan dengan lidah, bahkan dikehendaki meletakkan keyakinan penuh dan menzahirkan dengan perbuatan terhadap perkara yang dilafazkan dengan lisan tersebut.

Ekoran dari itulah, lahirlah golongan yang disebut sebagai mukmin, kafir dan Munafiq.

Tiga golongan ini tidak mempunyai kesamaan dan sememangnya mereka mempunyai perbezaan yang amat ketara. Pun begitu, dari ketiga-tiga golongan ini, golongan yang paling berbahaya adalah golongan munafiq yang gambaran sebenar mereka adalah golongan yang menampakkan Iman pada zahirnya, tetapi mereka adalah golongan yang telah menyembunyikan kekufuran.

Definisi munafiq ini telah didefinisikan oleh Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan firman Allah berkenaan dengan munafiq dengan katanya;

إظهار الخير وإسرار الشر

Maksudnya;
“menzahirkan kebaikan dan merahsiakan kejahatan[2]

Jika diperhatikan kepada UMNO/BN, gambaran kemunafikan ini sememangnya wujud. Mereka menyatakan “islam” sebagai salah satu dari perjuangan mereka yang termaktub dalam perlembagaan mereka, tetapi dalam masa yang sama, mereka adalah golongan yang paling kuat menentang Islam, bahkan memberi ruang kepada musuh Islam untuk menyerang Islam.

Yang lebih teruk lagi, mereka adalah golongan yang mengambil agama sebahagian dan menafikan sebahagian yang lain. sebilangan perkara Islam yang bersesuaian dengan hawa nafsu mereka, maka mereka menerimanya, dan sekiranya sebilangan hukum Islam yang tidak bersesuaian kehendak nafsu mereka, maka mereka akan meninggalkannya serta menggantikan dengan undang-undang “mak bapak” mereka disamping mendakwa, undang-undang ciptaan mereka adalah yang paling baik.

BAHAYA MUNAFIK

Golongan munafiq adalah lebih berbahaya dari golongan kafir. Ini digambarkan lagi oleh Allah dengan menyatakan bahawa, golongan munafiq apabila mereka bertaubat sekalipun, mereka tidak boleh dipanggil sebagai “orang beriman”, tetapi dipanggil sebagai golongan yang “bersama dengan orang beriman”.

Perkara ini jelas berdasarkan kepada firman Allah;

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا * إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَاعْتَصَمُوا بِاللَّهِ وَأَخْلَصُوا دِينَهُمْ لِلَّهِ فَأُولَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ وَسَوْفَ يُؤْتِ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan Yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. dan Engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun Yang boleh menolong mereka. *. kecuali orang-orang Yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta mengerjakan ugama mereka Dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka Yang demikian itu ditempatkan BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG BERIMAN dan Allah akan memberikan orang-orang Yang beriman itu pahala Yang amat besar”

(Surah An-Nisa’ : 145-146)

As-Syaikh Muhammad ‘Ali Sabuni menyatakan, Dari ayat ini Allah menggambarkan betapa bahayanya golongan munafik berbanding kafir. Ini kerana, kafir apabila bertaubat, Allah meletakan kepada mereka satu syarat sahaja, iaitu sepertimana firman Allah;
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ يَنْتَهُوا يُغْفَرْ لَهُمْ مَا قَدْ سَلَفَ
Maksudnya;
“Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: "Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), niscaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu”
(Surah Al-Anfal : 38)
Adapun orang munafik, apabila mereka bertaubat, mereka wajib menunaikan empat syarat, iaitu berhenti dari nifak, membaiki amalan, berpegang kuat dengan tali Allah dan ikhlaskan dengan agama. Ini dinyatakan oleh Allah dalam surah an-nisa’ ayat 146 yang lepas.
Beserta dengan empat syarat ini, amalan mereka masih lagi dianggap oleh Allah sebagai masykuk (diragui) yang mewajibkan kepada orang beriman berhati-hati dengan mereka. Ini dibimbangi bahawa taubat mereka itu adalah satu penipuan dan perancangan jahat mereka. Maka dengan sebab itu, Allah menyatakan;
فَأُولَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya;
“Maka mereka bersama dengan orang beriman”
(Surah An-nisa’ : 146)[3]
Mereka dikira sebagai orang yang bersama dengan orang beriman, bukan orang beriman.

YAHUDI ADALAH SAUDARA MUNAFIK

Menurut As-Syaikh Ali Sabuni juga, golongan yahudi dan munafiq merupakan dua golongan yang disifatkan sebagai “adik beradik”. Menyifatkan demikian adalah kerana, kedua-dua golongan mempunyai kesamaan dari sudut kesesatan, kekufuran dan pendustaan mereka terhadap ayat-ayat Allah SWT[4].

Golongan yahudi banyak melakukan perbuatan-perbuatan yang seakan-akan beriman kepada Allah, tetapi hakikatnya mereka telah melakukan dusta terhadap ayat-ayat Allah SWT.

Pernah yahudi meminta dengan pelbagai permintaan dari nabi-nabi mereka dengan mendakwa mereka akan beriman kepada Allah sekiranya mereka mendapat permintaan tersebut, tetapi setelah didatangkan, mereka tetap mengkufuri Allah SWT. Ini merupakan pendustaan mereka terhadap Nabi yang telah memimpin mereka ketika itu.

Gambaran ini, telah dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;

يَسْأَلُكَ أَهْلُ الْكِتَابِ أَنْ تُنَزِّلَ عَلَيْهِمْ كِتَابًا مِنَ السَّمَاءِ فَقَدْ سَأَلُوا مُوسَى أَكْبَرَ مِنْ ذَلِكَ فَقَالُوا أَرِنَا اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْهُمُ الصَّاعِقَةُ بِظُلْمِهِمْ ثُمَّ اتَّخَذُوا الْعِجْلَ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ فَعَفَوْنَا عَنْ ذَلِكَ وَآَتَيْنَا مُوسَى سُلْطَانًا مُبِينًا * وَرَفَعْنَا فَوْقَهُمُ الطُّورَ بِمِيثَاقِهِمْ وَقُلْنَا لَهُمُ ادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُلْنَا لَهُمْ لَا تَعْدُوا فِي السَّبْتِ وَأَخَذْنَا مِنْهُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya;
“ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (Wahai Muhammad) supaya Engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (janganlah Engkau merasa pelik), kerana Sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. mereka berkata: "(Wahai Musa) Perlihatkanlah Allah kepada Kami Dengan nyata (supaya Kami dapat melihatnya dan percaya kepadaNya)". lalu mereka disambar oleh petir Dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan Yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan Yang nyata (untuk mengalahkan kaum Yang kafir itu). * dan Kami telah mengangkat "Gunung Tursina" ke atas mereka disebabkan (Mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: "Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu Dengan merendah diri" dan Kami juga perintahkan mereka: "Janganlah kamu melanggar perintah larangan Yang ditentukan pada hari Sabtu", dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia Yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya)”

(Surah An-Nisa’ : 153-154)

Gambaran yang sama juga telah berlaku kepada golongan munafik. Mereka telah mendustakan nabi SAW. Mereka melakukan pelbagai strategi bagi merosakan perjuangan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Semasa baginda SAW berhijrah ke Madinah, dan baginda SAW telah berjaya mempersaudarakan dua golongan yang berperang, iaitu Aus dan Khazraj. Juga, kehadiran Baginda SAW di Madinah itu, menyebabkan ramailah golongan-golongan penyembah berhala, beriman dan sedikit sahaja bilangan dari yahudi yang beriman, bahkan sebilangan dari mereka tetap tidak mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.
Di sebalik ramai yang memeluk Islam itu, ada sebilangan dari mereka yang menzahirkan keislaman mereka, tetapi hakikatnya mereka kufur. Kekufuran itu dizahirkan oleh Allah dengan berlakunya peperangan badar, iaitu tindakan yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul bersama golongan yahudi dalam memperdayakan golongan arab badwi agar tidak pergi berperang dalam membantu memenangkan perjuangan islam ketika itu[5].

Gambaran inilah yang telah berlaku kepada UMNO/BN yang memerintah Malaysia semenjak merdeka. Mereka memperolok-olokkan agama dengan sedemikian rupa. Mereka menubuhkan Islam Hadhari yang semuanya bertujuan untuk mencari pengaruh dunia untuk kekal memerintah. Malaysia yang mempunyai fatwa kebangsaan telah dilanggar sendiri oleh Presiden mereka, walaupun perkara yang mereka langgar itu adalah perkara yang bersifat aqidah.

UMNO/BN tidak pernah ikhlas dengan islam. Islam yang digambarkan oleh mereka sekadar Ibadat. Dalam perkara yang lain dari Ibadat, seperti muamalat, jihad, ekonomi dan sebagainya telah diselewengkan oleh mereka mengikut acuan mereka sendiri dengan tidak berasaskan kepada acuan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW.

UMAT INI TIDAK AKAN BERSATU?

Penyatuan dikalangan umat Nabi Muhammad tidak akan berjaya jika menggunakan idealogi yang tidak berasaskan kepada Islam. penyatuan akan berlaku sekiranya Islam menjadi pegangan hidup.

Firman Allah;

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Maksudnya;
“dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”

(Surah Al-Imran : 103)

Dari firman Allah ini, dengan jelas Allah menyatakan bahawa, penyatuan itu tidak akan berlaku dengan pemikiran dan cara selain Islam. penyatuan yang berjaya berlaku, sekiranya manusia semuanya berpegang teguh dengan tali Allah.

Begituga, jika diperhatikan kepada hadis-hadis pula, dapat dilihat bagaimana baginda SAW sendiri menyatakan tentang perpecahan yang berlaku di akhir zaman.

Gambaran ini boleh diperhatikan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada ‘Amir bin Saad, daripada ayahnya, bahawa suatu hari Rasulullah SAW berjalan sehingga sampai di Masjid Bani Muawiyyah. Sesampai di masjid tersebut, Baginda SAW masuk dan menunaikan solat dua rakaat bersama dengan sahabat-sahabat. Selesai dari menunaikan solat, baginda SAW berdoa panjang. Setelah selesai berdoa, baginda SAW berpaling kepada sahabat-sahabat seraya berkata;

سَأَلْتُ رَبِّي ثَلَاثًا فَأَعْطَانِي ثِنْتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً سَأَلْتُ رَبِّي أَنْ لَا يُهْلِكَ أُمَّتِي بِالسَّنَةِ فَأَعْطَانِيهَا وَسَأَلْتُهُ أَنْ لَا يُهْلِكَ أُمَّتِي بِالْغَرَقِ فَأَعْطَانِيهَا وَسَأَلْتُهُ أَنْ لَا يَجْعَلَ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ فَمَنَعَنِيهَا

Maksudnya;
“Aku telah memohon doa akan tuhanku sebanyak tiga permohonan. Dua daripadanya diterima dan satu daripadanya tidak diterima oleh Allah SWT. Aku memohon supaya tidak membinasakan umatku dengan ditimpakan musibah selama setahun, lalu Allah menerimanya. Aku bermohon agar tidak membinasakan umatku dengan menenggelamkan mereka, lalu Allah menerimanya. Dan aku memohon agar menjadikan umatku tidak berpecah, tetapi Allah tidak menerimanya”[6].

Hadis ini dengan jelas menyatakan bahawa, perpecahan umat nabi di akhir zaman tidak akan berkehabisan, walaupun pernah didoakan oleh Baginda kepada Allah agar disatukan mereka.

Begitujuga, didalam hadis yang lain, riwayat Tirmizi, daripada Al-‘Irbadh bin Sariyyah berkata;

وَعَظَنَا رسول اللَّهِ (ص) يَوْمًا بَعْدَ صَلَاةِ الْغَدَاةِ مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ منها الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ منها الْقُلُوبُ فقال رَجُلٌ إِنَّ هذه مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا يا رَسُولَ اللَّهِ قال أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فإنه من يَعِشْ مِنْكُمْ يَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّهَا ضَلَالَةٌ فَمَنْ أَدْرَكَ ذلك مِنْكُمْ فعليكم بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عليها بِالنَّوَاجِذِ

Maksudnya;
“Rasulullah SAW telah memberi pesanan kepada kami di suatu hari selepas dari menunaikan solat subuh satu pesanan yang bersungguh-sungguh sehinggakan mengalirkan air mata, mengementarkan hati. Lalu berkata seorang sahabat, ini merupakan pesanan terakhir, maka apakah yang kamu nak pesan kepada kami wahai Rasulullah SAW?. lalu bersabda Nabi SAW; aku mewasiatkan kamu dengan taqwa kepada Allah, dengar dan taat walaupun ketua kamu itu adalah hamba berbangsa habsyi. Maka barangsiapa dikalangan kamu hidup (panjang), nescaya dia akan melihat perbezaan yang terlalu banyak. Hendaklah kamu hindarkan diri dari perkara-perkara baru, maka sesungguhnya, ianya adalah sesat. Barangsiapa yang sempat di zaman itu, maka hendaklah dia berpegang dengan jalanku dan jalan khulafa’ Ar-Rasyidin yang mendapat hidayah, dan gigitlah ia dengan gigi geraham[7]

Begitujuga hadis yang lain pula, Baginda SAW menyatakan;

اخْتَلَفَتِ الْيَهُودُ على إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً سَبْعِينَ مِنَ النَّارِ وَوَاحِدَةٌ في الْجَنَّةِ وإختلفت النَّصَارَى على اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً إِحْدَى وَسَبْعُونَ فِرْقَةً في النَّارِ وَوَاحِدَةٌ في الْجَنَّةِ وَتَخْتَلِفُ هذه الأُمَّةُ على ثَلاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً اثْنَتَانِ وَسَبْعُونَ في النَّارِ وَوَاحِدَةٌ في الْجَنَّةِ فَقُلْنَا انْعَتْهُمْ لنا قال السَّوَادُ الأَعْظَمُ

Maksudnya;
“Yahudi telah berpecah kepada 71 puak, 70 dari mereka dalam neraka dan satu sahaja dalam syurga. Nasrani pula berpecah kepada 72 puak, 71 puak dari mereka dalam neraka dan satu sahaja dalam syurga. Dan akan berpecah umat ini kepada 73 puak, 72 puak dari mereka dalam neraka dan satu sahaja dalam syurga. Kami (sahabat) bertanya; nyatakan sifat mereka kepada kami. Bersabda Nabi SAW; golongan hitam pekat (golongan yang ramai)[8].

Dalam riwayat lain dinyatakan;

ما انا عليه وأصحابى

Maksudnya;
“orang yang berada atas jalanku dan sahabat-sahabatku[9]

Dari nukilan hadis-hadis yang dinyatakan di atas, sudah pasti umat ini tidak akan bersatu. Perpecahan itu berlaku adalah kerana, pasti akan ada sebilangan manusia yang mahu berpegang dengan kandungan wahyu dan juga akan ada juga sebilangan manusia yang akan meletakan hawa nafsu mereka melebihi kandungan wahyu. Ekoran dari itu, golongan yang mengikut hawa nafsu ini akan terus menyerang kandungan wahyu yang sememangnya dapat dilihat, golongan yang menyerang itu adalah mereka yang mendakwa beragama Islam.

Itulah hakikat yang berlaku pertembungan antara PAS dan UMNO di Negara ini. Pertembungan kedua-duanya adalah kerana, PAS mahu melaksanakan islam sebagai dasar perjuangan, seperti yang telah termaktub dalam perlembagaannya, tetapi UMNO telah merantingkan atau “membirokan” agama Islam dalam perlembagaan mereka yang akhirnya Islam sebagai “agama memerintah” telah dijadikan sebagai “agama yang diperintah”.

PENUTUP

Dari perbahasan ini, pertembungan antara PAS dan UMNO merupakan pertembungan aqidah Islamiyyah. Pertembungan yang melihatkan kepada golongan yang mahu melaksanakan Islam dan golongan yang tidak mahu menjadikan islam sebagai dasar pemerintahan.

Dengan keadaan demikianlah, menyebabkan gambaran UMNO dan PAS tidak akan dapat disatukan selagi UMNO tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan dan pemerintahan.

Jika dibaca sejarah pun, PAS pernah bersama dengan UMNO, tetapi kebersamaan itu menyebabkan PAS tidak dapat melaksanakan Al-Amr bil Ma’ruf wa An-Nahy ‘Anil Mungkar, bahkan lebih bersifat tunduk dengan tindakan yang dilakukan oleh UMNO.

Dengan keadaan demikianlah menyebabkan PAS telah terkeluar dari UMNO. Walaupun tidak bersama dengan UMNO, PAS tetap dengan perjuangannya yang mahu mendaulatkan islam dalam pemerintahan Negara walaupun ditimpakan dengan perbagai tekanan dan kezaliman dari pihak pemerintah, seperti ISA, OSA, FRU dan sebagainya.

Ekoran dari itu, fikrah yang menyuruh UMNO dan PAS bersatu dalam keadaan UMNO tidak mengubahkan dasar mereka kepada Islam merupakan fikrah yang “karut”; yang boleh digambarkan sebagai fikrah golongan liberal yang mahu menyatukan antara Islam, Kristian, Yahudi dan seluruh agama.

Firman Allah;

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“dan janganlah kamu campur adukkan Yang benar itu Dengan Yang salah, dan kamu sembunyikan Yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”

(Surah Al-Baqarah : 42)



Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com

[1] Adhwa’ Al-Bayan : 9/93.
[2] Tafsir Ibni Kathir : 1/48.
[3] Qabasun min Nur Al-Quran al-Karim : 1/60 Dirasah ke 2.
[4] Qabasun min Nur Al-Quran al-Karim : 1/61 : dirasah ke 2.
[5] Tafsir Ibni Kathir : 1/48
[6] Sahih Muslim : 4/2216 : hadis no : 2890.
[7] Sunan At-Tirmizi : 5/44 : hadis no : 2676.
[8] Al-Mu’jam Al-Kabir : 8/273. hadis no : 8051.
[9] At-Tafsir Al-Kabir : 8/142.

2 comments:

mfrstudio said...

tulisan tuan menjadi sia-sia apabila pas sanggup bersatu dengan PKR di bawah barisan alternatif, padahal umum tahu pendirian PKR dalam banyak isu berkenaan dengan syariah dan isu-isu seperti murtad.

lihat apa kata anwar bila seorang india telah masuk ke pemulihan jabatan agama kerana memohon menganut agama hindu setelah islam:
http://jp.youtube.com/watch?v=-GPbyLaJptQ

ada betulnya kata-kata MSO dalam ulasannya tentang penyatuan umno-pas:
http://msomelayu.blogspot.com/2007/08/isu-semasa_11.html

mfrstudio said...

anwar minta respek hasrat siti fatimah untuk murtad

tulisan mso