MUNAQASYAH UCAPAN DASAR MUKTAMAR 53 DARI MINDAKU
Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden bagi Muktamar PAS ke 53, anjuran Badan Perhubungan Negeri Selangor telah diadakan. Seharian aku bersama dalam majlis yang amat berharga itu. Menghadiri sidang munaqasyah itu, menghasilkan banyak pandangan dan kritikan-kritikan yang dikemukakan oleh mereka yang berjawatan di Peringkat Kawasan, samada kritikan itu di tujukan kepada Kepimpinan Negeri, kepada Kepimpinan Kawasan dan seterusnya kepada Ahli seluruhnya.
Perbincangan akan menghasilkan natijah yang baik, sekiranya perbincangan itu tidak sekadar perbincangan semata-mata, bahkan memerlukan kepada tenaga dalam usaha perlaksanaan.
Punbegitu, perlaksanaan tidak akan berjaya, sekiranya pelaksana tidak wujud. Perlaksanaan juga tidak akan wujud sekiranya pelaksana itu melakukan perlaksanaannya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Walaubagaimanapun, pengharapan dari perbincangan itu akan melahirkan satu gerak kerja yang tersusun, sebagai cara dalam usaha hendak mendaulatkan islam di muka bumi Allah yang tercinta.
SELAMATKAN DEMOKRASI
Demokrasi telah “dirogol bergilir-gilir” oleh pihak pemerintah. Berbagai-bagai penipuan dan penyelewengan telah dilakukan bagi memastikan golongan secular memerintah.
PAS yang menjadikan Demokrasi sebagai medan untuk menyampaikan dakwah telah berkali-kali menerima kekalahan dalam pilihanraya. Disebabkan PAS mengambil cara perjuangan salaf soleh, yang tetap menggunakan muwajahah silmiyyah selagi ada ruang, maka PAS tetap menggunakannya sebagai jalan untuk berdakwah kepada rakyat Malaysia agar rakyat mendapat kesedaran islam dan Politik.
Inilah perbezaan antara PAS dengan parti-parti yang lain. Jika dilihat kepada PKR yang dikepalai oleh Anwar Ibrahim, kesedaran Politik menjadi medan utama perjuangan mereka, tetapi PAS yang merupakan satu-satunya parti Islam di Malaysia, tidak sekadar kesedaran Politik sahaja yang diperjuangankan, bahkan yang paling utama adalah perjuangan untuk memberi kesedaran pemerintahan islam yang merupakan asas kekuatan umat Islam dari terjerumus kekancah kerosakan masyarakat.
TEGAKKAN KEADILAN
Keadilan merupakan kehendak fitrah insani dalam menjalani kehidupan. Tanpa keadilan, manusia pasti akan memberontak dan muka bumi Allah juga tidak akan menjadi aman. Ini adalah bersebab, kezaliman merupakan asas dalam kerosakan di atas muka bumi Allah SWT.
Tidak ketinggalan dalam menerima kezaliman adalah pihak pembangkang di dalam Negara yang terdiri daripada PAS, Keadilan, DAP dan sebagainya. ekoran dari itu, kezaliman demi kezaliman yang dilakukan pihak pemerintah terhadap pihak pembangkang, disamping rakyat juga dilakukan sedemikian rupa yang menyebabkan keadilan perlu ditegakkan dengan menggunakan segala usaha dan daya dari setiap pejuang-pejuang islam di Negara ini.
Menghapuskan kezaliman memerlukan kepada peralihan kuasa ditangan-tangan mereka yang zalim dengan digantikan kepada mereka yang berkeahlian dengan keadilan (bukan ahli parti keadilan).
Gambaran ini telah dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”
(Surah An-Nisa’ : 58)
dari firman Allah ini dengan jelas dinyatakan oleh Allah berkenaan dengan keadilan itu akan terlaksana, sekiranya pelaksana itu terdiri dari mereka yang berkeahlian dengan keadilan, iaitu mereka yang amanah dalam melaksanakan tugasan mereka. orang yang tidak mempunyai sifat amanah, mustahil akan berjaya untuk melaksanakan keadilan di muka bumi Allah ini.
PERJUANGAN RASULULLAH MENEGAKKAN KEADILAN
Rasulullah SAW merupakan nabi akhir zaman yang bukan sekadar mengajar manusia tentang peribadatan, bahkan telah mengajar manusia tentang kehidupan. Usaha menyampaikan Islam telah dilakukan oleh Baginda SAW bersama sahabat-sahabat R.HUM sehinggakan berbagai-bagai tekanan dan tindasan sebagai tindakan zalim dari pihak musuh telah dilakukan.
Setelah diamati, didapati berlakunya peperangan mu’tah di zaman Baginda SAW adalah bersebab kezaliman dari sudut media yang telah dilakukan oleh pihak musuh dalam menyampaikan dakwah islamiyyah. Pihak Rom Utara telah membunuh “wartawan” Rasulullah SAW yang bernama Al-Haris bin ‘Umar Al-Azdi yang menyebabkan Rasulullah SAW bertindak[1].
Mengetahui pembunuhan “media” Rasulullah SAW tersebut, Baginda SAW telah menyiapkan seramai 3000 orang pejuang dan memilih tiga orang sahabat untuk memimpin pasukan tentera islam, iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah untuk menyerang pihak pemerintah Rom Timur yang telah mencabul media Islam ketika itu[2].
Begitujuga, Allah menggambarkan tentang tindakan Firaun yang telah melakukan kezaliman dengan menyekat media Nabi Musa A.S dalam menyampaikan dakwah tauhid. Firaun telah memperbodohkan rakyat mesir ketika itu dengan menanamkan doktrin membencikan Musa A.S yang menyampaikan islam.
Tindakan firaun itu telah dirakamkan oleh Allah dalam firman-Nya;
وَنَادَى فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ * أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هَذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ * فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ * فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ
Maksudnya;
“dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah Yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya? * . "Bahkan Bukankah Aku lebih baik daripada orang Yang hina keadaannya ini, dan Yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? * . "(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?" * (dengan Yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum Yang fasik – derhaka”
(Surah Az-Zukhruf : 51-54)
Dalam menafsirkan makna فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ, Imam Ibnu Kathir menyatakan maksudnya adalah “merendahkan akal kaumnya disamping menyeru kaumnya dengan kesesatan[3]”. Adapun Imam Al-Baidhawi pula menafsirkan, maksudnya adalah “merendahkan pengharapan dan cita-cita kaumnya[4]”
Berdasarkan kepada tafsiran kedua-dua ulama ini, didapati bahawa, tindakan Firaun itu menepati dengan tindakan yang telah dilakukan oleh pihak UMNO/BN yang merupakan kerajaan yang memerintah sekarang.
Pihak UMNO/BN telah merendahkan akal rakyat Malaysia disamping menyeru dengan kesesatan Islam Hadhari yang hakikatnya sebagai cara untuk mempengaruhi rakyat Malaysia agar menerima fahaman secular-kebangsaan yang diperjuangankan oleh mereka.
Begitujuga, Pihak UMNO/BN telah merendahkan pengharapan dan cita-cita rakyat Malaysia yang menghendaki berada di sebuah Negara yang aman dan berkebajikan dengan tidak menaikan harga barang, disamping hasil mahsul Negara dapat di rasai oleh rakyat secara melata bukan dirasai oleh golongan kroni-kroni sahaja.
Disebabkan UMNO/BN mempunyai perinsip politik yang serupa dengan firaun, maka tindakan memperbodohkan rakyat telah dilakukan. Antara tindakan UMNO/BN adalah dengan mempergunakan media sedia ada untuk memburukkan pihak pembangkang, yang tindakan itu sama seperti tindakan firaun yang menanam dokrin membencikan Nabi Musa A.S terdahulu.
PAS LAYAK MEMPELOPORI PERJUANGAN MENEGAKAN KEADILAN
Jika diperhatikan kepada kelayakan dalam perjuangan menegakkan keadilan, didapati PAS adalah satu-satunya parti yang layak dengan perjuangan ini. Ini adalah kerana, keadilan akan terhasil sekiranya kepimpinan Negara ini terdiri dari mereka yang amanah dengan tugasan mereka. ini didasari kepada firman Allah dalam surah an-nisa’ ayat 58 yang telah dinyatakan di atas.
Sesuatu amanah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya jika dosa dan pahala menjadi asas dalam kehidupan manusia. Tanpa perasaan dosa dan pahala, sesuatu amanah akan dilakukan berbentuk lakonan sahaja, yang memungkinkan manusia tidak akan beramanah dikala berada berjauhan dari mata-mata manusia yang akhirnya mereka akan melakukan kezaliman secara sengaja atau tidak.
PAS yang menjadikan islam sebagai dasar perjuangan yang menyebabkan PAS sentiasa bercakap berkenaan dosa dan pahala, yang sememangnya tidak akan berlaku dalam parti-parti yang lain. ekoran dari itulah, PAS sahaja yang layak dengan perjuangan dalam menegakan keadilan di Malaysia.
Walaubagaimanapun, usaha hendak menegakan keadilan ini tidak akan berjaya, sekiranya program tarbiyyah tidak berjaya dilaksanakan. Dengan tarbiyyah, PAS akan berjaya melahirkan pejuang dan rakyat yang mengenali dosa dan Pahala, disamping menjadikan kefahaman islam sebagai focus utama dalam memahamkan manusia dengan kesedaran politik yang berlaku.
Ekoran dari itu, tidak sepatutnya PAS sekadar memahamkan ahli-ahlinya dengan strategi peperangan pilihanraya semata-mata, bahkan wajib bagi ahli-ahli PAS mendalami ilmu Islam secara sahih bagi memastikan PAS berjaya melahirkan murabitun yang sentiasa ikhlas dengan perjuangan islam, juga sebagai petugas yang sentiasa bekerja dalam memenangkan islam di Negara ini.
Segala usaha ini tidak akan berjaya dilaksanakan, sekiranya PAS tidak menjadikan tarbiyyah sebagai kerja penting dalam pergerakannya.
Pembuktian ini dapat dilihat melalui sejarah, bagaimana tindakan yang telah dilakukan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang telah berjaya mentarbiyyah tentera-tenteranya yang sentiasa beribadat dan mempunyai hati yang sentiasa bertaut dengan Allah dalam segala hal. Golongan yang mendapat tarbiyyah inilah telah dijadikan sebagai tentera utama dalam menentang tentera salibiyyah yang memberi kemenangan yang gemilang kepada Islam.
ISLAM MENYEDIAKAN KEBAJIKAN KEPADA SELURUH MANUSIA
PAS mempunyai masa depan yang cerah untuk memerintah Malaysia. kejayaan ini dapat dilihat sekarang, bagaimana golongan non - muslim (mereka bukan kafir, tetapi belum beriman) sanggup berada dibawah naungan pemerintahan PAS.
Didapati, golongan yang kuat melawan PAS bukanlah dari kalangan non-muslim, tetapi musuh tegar PAS adalah golongan berbangsa melayu yang mendakwa beragama Islam.
Maka dengan keadaan inilah, mungkin PAS perlu melakukan satu anjakan baru dengan mengalihkan focus kempen Islam terhadap golongan non muslim dengan mengemukakan cirri-ciri kebaikan islam kepada mereka seperti kebajikan, akhlak dan sebagainya
Melihat reality yang berlaku, mewajibkan kita melihat kepada kandungan firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ
Maksudnya;
“Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia”
(surah Al-Maidah : 54)
Menurut Imam Ibnu kathir, yang dimaksudkan dengan mereka yang berpaling tadah dari agamanya (من يرتد) dalam ayat ini adalah “golongan yang tidak mahu melaksanakan syariah dan tidak mahu menolong agama Allah SWT”[5].
Melihat kepada tafsiran Imam Ibni Kathir ini, disamping melihat kepada reality yang berlaku, betapa perlunya PAS mewujudkan focus dakwah kepada golongan non muslim, dengan harapan mereka memeluk Islam atau mereka beristiqamah dengan sokongan terhadap islam.
Ianya adalah bersebab, bangsa melayu yang beragama Islam merupakan bangsa yang tidak boleh diharapkan lagi dalam mempertahankan Islam, bahkan keadaan yang berlaku, bangsa melayulah merupakan bangsa yang paling kuat menentang Islam dan menentang perjuangan mendaulatkan agama Allah.
Firman Allah;
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
Maksudnya;
“dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan bertaqwa) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu”
(Surah Muhammad : 38)
PENUTUP
Segala ulasan ini merupakan pandangan peribadiku dalam perjuangan islam yang berwadahkan PAS. Padaku, Tarbiyyah merupakan tugasan penting perlu dilakukan untuk melihat PAS berjaya untuk memerintah.
Mungkin ada kata-kata menyatakan, tarbiyyah PAS diperingkat negeri Selangor tidak berjaya, ianya dilihat tentang kekacauan ahli-ahli PAS di negeri selangor setelah kekalahan PAS dalam pilihanraya yang lalu.
Padaku, tarbiyyahan PAS di peringkat negeri selangor tidak berjaya bukan kerana manhajnya, tetapi disebabkan pengerusi tarbiyyahnya yang tidak pernah istiqamah dengan manhaj tarbiyyah.
Apabila dilihat kehebatan PKS, diambilnya manhaj tarbiyyah PKS. Apabila dilihat semangat jihad di Lubnan, maka dikiblatkan tarbiyyah ini kepada lubnan. Sikap yang tidak istiqamah inilah, yang menyebabkan tarbiyyah PAS di Selangor agak kurang berjaya, sedangkan PAS sendiri mempunyai manhaj tarbiyyah tersendiri yang sepatutnya dijadikan silibus dalam program-program PAS.
Orang melayu di Malaysia yang biasa dengan makan nasi, lalu menukarkan menu makanannya dengan roti disebabkan melihat kegelojohan bangsa arab yang makan roti disamping malas hendak masak nasi. Lalu, dalam jangka dua atau tiga minggu, mungkin orang melayu tadi tidak lagi sanggup makan roti disebabkan muak dengan roti, dan beralih balik kepada nasi, disebabkan nasi merupakan makanan asasi bagi mereka yang berbangsa melayu di Malaysia
Maka begitujugalah, manhaj tarbiyyah PAS di Malaysia. PAS mempunyai manhaj tarbiyyahnya tersendiri, lalu disebabkan kemalasan dalam mencari dan bertanya khabar, disamping sering melancong di Negara luar, menyebabkan pengerusi tarbiyyah PAS selangor mengambil manhaj tarbiyyah dari luar. Disebabkan waqi’ Malaysia tidak mempunyai kesamaan dengan dunia luar, menyebabkan manhaj tarbiyyah mereka agak tidak serasi dan akhirnya terpaksa kembali kepada manhaj tarbiyyah sedia ada.
Tulisan adalah sekadar pandangan peribadiku yang tidak lepas dari kesilapan dan kesalahan. Sekiranya ada kebaikan, maka terimalah seadanya, dan sekiranya ianya menyalahi dengan kejayaan dan kemenangan islam, maka campakkannya ke “dinding”.
Mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1] Fiqh Al-harakah dari Sirah Nabawiyyah : 3/17-18
[2] 10 Pahlawan penyebar islam : m/s 12.
[3] Tafsir Ibni Kathir : 4/131.
[4] Tafsir Al-Baidhawi : 5/149.
[5] Tafsir Ibni Kathir : 2/70.
Sunday, August 05, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment