WANITA, RAMADHAN DAN WAKTU BEKERJA : IJTIHADLAH DENGAN NERACA KEBAJIKAN
Berbagai ulasan dari berbagai pihak berkenaan dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja untuk memendekkan waktu bekerja bagi kaum wanita didalam bulan ramadhan.
Tidak ketinggalan dalam mengulas dalam isu ini beberapa tokoh ulama di Negara, seperti Mufti Perlis, Ustaz Daud Che Ngah dan Timbalan mufti Pahang. Pada mereka, cadangan untuk memendekkan masa bekerja bagi kaum wanita didalam bulan ramadhan merupakan cadangan yang tidak releven disamping dianggap sebagai tiada nas, “mencuri tulang” dan “lari dari medan perang” bagi muslimat[1].
Padaku, ulasan ini memerlukan kepada penelitian nas yang saksama dan adil bagi memastikan kehidupan ini sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa terikat dengan kehendak Allah SWT.
Apa yang memelikkan adalah, pihak ulama-ulama ini lebih menyatakan kepentingan waktu bekerja seperti waktu-waktu yang lain bagi kaum wanita di bulan Ramadhan dengan alasan tiada nas dan sebagainya, sedangkan mereka tidak pernah mempertikaikan atau mengulas berkenaan hukum kaum wanita bekerja di waktu malam yang sememangnya dapat dikuatkan dengan hujjah yang bersandarkan kepada Nas yang jelas.
MALAM BEREHAT KERANA PENAT SIANG BEKERJA
Jika dirujuk kepada Al-Quran, secara jelas dinyatakan bahawa malam merupakan waktu berehat dan siang merupakan waktu bekerja.
Firman Allah;
أَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا اللَّيْلَ لِيَسْكُنُوا فِيهِ
Maksudnya;
“tidakkah mereka memerhatikan Bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya”
(Surah An-Naml : 86)
Menurut Imam Ibni Kathir, yang dimaksudkan dengan malam untuk berehat adalah disebabkan kepenatan bekerja di waktu siangnya[2].
Begitujuga didalam firman Allah yang lain, Allah menyatakan;
وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا * وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا
Maksudnya;
“dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? * dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?
(Surah An-Naba’ : 10-11)
Jika diperhatikan kepada firman Allah dari dua surah ini, didapati bahawa, tidak relevennya bekerja pada waktu malam ini tidak di tumpukan kepada kaum wanita sahaja, bahkan kepada kaum lelaki. Jika kepada kaum lelaki pun sudah dikira sebagai tidak releven, inikan pula kaum wanita bekerja diwaktu malam yang memungkinkan berlaku berbagai-bagai fitnah dan bahaya terhadap wanita tersebut.
Sabda Nabi SAW;
ما تركت بعدى فتنة أضر على الرجال من النساء
Maksudnya;
“Aku tidak meninggalkan selepasku akan fitnah yang lebih mudharat atas lelaki daripada wanita[3]”
MASLAHAT WANITA DALAM BULAN RAMADHAN
Jika diperhatikan kepada bekerja bagi kaum wanita, ianya tidaklah digalakan sangat. Punbegitu, sekiranya wanita ingin bekerja, ianya tidaklah dilarang oleh syarak.
Gambaran yang tidak digalakan itu adalah bersebab, mudahnya berlaku fitnah dikalangan wanita. Hal ini dapati dikuatkan dengan kandungan hadis yang telah dinyatakan lepas.
Jika diperhatikan kepada tanggungjawab sebenar bagi kaum wanita. Tugas wajib bagi mereka bukanlah mencari rezeki untuk menyara keluarga, tetapi tugas sebenar dalam mencari rezeki adalah tertanggung yang diberatkan di atas “kepala” kaum lelaki yang merupakan suami.
Punbegitu, Islam tidak melarang kaum wanita bekerja untuk mencari rezeki sebagai membantu suami dalam menyara keluarga disamping mencari harta untuk dirinya sendiri.
Disamping melakukan tugasan membantu suami, tanggungjawab yang lebih besar yang wajib dilakukan oleh Isteri terhadap suami adalah, menguruskan rumah tangga dan menjaga kehendak suaminya.
Sabda Nabi SAW;
إن حق الزوج على زوجته إذا أرادها على نفسها وهي على ظهر بعيره لا تمنعه
Maksudnya;
“Sesungguhnya hak suami yang wajib ditunaikan oleh isterinya adalah, apabila menghendaki (oleh suami) akan dirinya (jimak isterinya), sedangkan isterinya di atas belakang unta, maka tidak boleh isteri itu menolaknya (tidak boleh menolak kehendak suaminya[4]”
Maka dengan demikian, tugasan menunaikan kehendak suami dengan mengurus rumah tangga, menjaga anak, jimak dan sebagainya, merupakan kewajipan yang wajib di tunaikan oleh isteri terhadap suaminya.
Ekoran dari itu, melihat suasana yang akan menimpa kaum wanita di bulan ramadhan yang amat meletihkan. Ini adalah kerana, jika waktu bekerja menyerupai dengan kaum lelaki, nescaya kesebukan yang tertanggung oleh pihak isteri akan bertambah terbeban, seperti menyediakan juadah berbuka dan sebagainya.
Maka dengan demikian, sebagai cara hendak merehatkan kaum wanita dengan tujuan memudahkan kepada kaum wanita menunaikan tanggungjawab dirinya terhadap suami, maka cadangan Kongres Kesatuan Pekerja untuk memendekkan waktu bekerja bagi kaum wanita di bulan Ramadhan amat releven.
PENUTUP
Islam mementingkan kebajikan. Antara keburukan yang digambarkan terhadap islam yang telah dilakukan oleh musuh islam terhadap islam adalah, umat Islam tidak berjaya mengemukakan kebajikan terhadap umatnya sendiri.
Ekoran dari itu, umat Islam kini tidak dapat menarik minat golongan non muslim untuk menerima islam sebagai agama anutan, disebabkan melihat Islam seakan-akan tidak memberi kebajikan kepada penganutnya sendiri. jika pada diri penganutnya sendiri sudah tidak dapat diberikan kebajikan, masakan pula dapat memberi kebajikan kepada non muslim.
Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja ini merupakan satu cadangan yang perlu di puji dan perlu diperkuatkan dengan sokongan dari pihak ulama-ulama Islam. Ianya adalah tujuan, dapat mengemukakan bentuk kebajikan dalam islam terhadap penganutnya sendiri yang dapat memberi gambaran indah di mata-mata non muslim.
Maka dengan itu, laptopdarulfiqh.blogspot.com mencadangkan kepada seluruh ulama-ulama Islam menyokong cadangan kongres Kesatuan Pekerja untuk memendekkan waktu bekerja bagi kaum wanita di bulan Ramadhan. Kesemuanya bertujuan untuk mengemukakan dakwah islam terhadap non muslim melalui cara berkebajikan.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1]http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
[2] Tafsir Ibni Kathir : 3/378.
[3] Sahih Al-Bukhari : 5/1959. hadis no : 4808
[4] Musnad Abi Ya’la : 4/340. Hadis no : 2455.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment