Monday, July 09, 2007

BOLEH JADI MUFTI, TETAPI JANGAN KELUAR FATWA GILA

Menurut kitab “Usul Al-Ifta’’”, karangan As-Syaikh Al-Qadhi Al-Mufti Muhammad Taqiy Al-Usmani, mufti didefinisikan sebagai;

“Menjawab berkenaan masalah agama”

Dalam mensyarahkan definisi ini, Menurut Al-Ustaz Al-Mufti Kamaluddin Ahmad Ar-Rasyidi, disebut mufti menjawab masalah agama, tidak masalah syariyyah kerana, mufti itu tidak semata-mata menjawab perkara yang berkaitan dengan syariah sahaja, bahkan mufti juga akan menjawab perkara yang berkaitan dengan aqidah[1].

Definisi ini bersesuaian dengan ulasan oleh As-Syaikh Mahmood Syaltot di muqaddimah kitabnya “Al-Fatawa”[2].

Sesuatu kenyataan atau pandangan yang dikeluarkan oleh mufti tidak dibawah kategari ilzam, iaitu tidak mewajibkan kepada mustafti (penerima fatwa) menerima pakai fatwa tersebut.[3] ini sekiranya, fatwa tersebut dalam perkara yang dikhilafi oleh ulama. walaubagaimanapun, sesuatu kenyataan hukum yang dinyatakan oleh mufti bersifat ijmak ulama, maka wajib kepada mustafti menerima pakai fatwa tersebut.

JAWATAN MUFTI ADALAH WILAYAH TANFIZ

Pandangan dari seorang mufti dibawah kategori wilayah tanfiz, iaitu golongan yang memegang portfolio yang hanyalah mempunyai kuasa untuk melaksanakan segala arahan khalifah dan kerajaan sahaja. Ia tidak memiliki sebarang kuasa pentadbiran yang boleh mentadbir berdasarkan budi bicara sendiri, bahkan wilayah ini hanya berperanan sebagai perantaraan di antara khalifah dan rakyat yang mewartakan perintah kerajaan kepada rakyat dan menyampaikan pula kehendak rakyat kepada kerajaan[4].

Ini membezakan dengan kuasa pihak kerajaan yang memerintah, yang mana kuasanya dibawah ketagori wilayah tafwidh, iaitu golongan yang memegang portfolio ini adalah orang yang diberikan kuasa mentadbir urusan-urusan negara mengikut pandangannya serta melaksanakan sesuatu perkara berpandukan kepada ijtihadnya[5].

Dari ini, difahami bahawa, sesuatu pandangan mufti sekadar pandangan semata-mata yang tidak dibenarkan untuk dilaksanakannya melainkan persetujuan dari pihak kerajaan.

Justeru, sekiranya seseorang mufti mengeluarkan fatwa yang mengharamkan jom heboh, haram arak dalam majlis keramaian, haram bersentuhan lelaki perempuan ajnabi dan sebagainya, ianya adalah sekadar fatwa yang tertakluk kepada penerimaan pihak kerajaan yang memerintah.

PERJUANGAN POLITIK UNTUK MEMERINTAH

Pemerintahan Islam adalah pemerintahan yang berasaskan kepada sandaran utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, disamping mendapat keizinan beristidlal dengan ijmak ulama dan Qias.

Politik mengikut terjemahan Arabnya disebut sebagai siasah yang memberi maksud ‘memerintah, mentadbir dan memimpin’[6].

Memerintah bumi ini merupakan tangungjawab yang telah di amanahkan kepada manusia. Pemerintahan tersebut hendaklah berasaskan kepada kandungan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulillah SAW. Ini dapat dilihat kepada kandungan piagam madinah yang merupakan perlembagaan Islam pertama yang telah di tubuhkan oleh Rasulullah SAW sendiri. kandungannya adalah seperti berikut;

مهما اختلفتم فيه من شيء فإن مرده الى الله عز وجل وإلى محمد

Maksudnya;
“sekiranya berlaku sesuatu perselisihan, maka tempat rujukannya adalah Allah dan Muhammad SAW[7].

Memerintah berdasarkan agama Islam merupakan tanggungjawab yang telah diwajibkan oleh Allah SWT. Ianya diasaskan kepada firman Allah;

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
“dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"”

(Surah Al-Baqarah : 30)

Ketiadaan pemerintahan Islam memerlukan kepada usaha kearah pembinaan pemerintahan tersebut. jika tidak, muslim tersebut berada dalam keadaan yang melakukan dosa kepada Allah SWT.

Firman Allah;

وَيَقُولُونَ آَمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالرَّسُولِ وَأَطَعْنَا ثُمَّ يَتَوَلَّى فَرِيقٌ مِنْهُمْ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَمَا أُولَئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
“dan (di antara orang-orang Yang tidak dikehendakiNya ke jalan Yang lurus ialah) mereka Yang berkata: "Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta Kami taat"; kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang Yang sebenarnya beriman.

(surah An-Nur : 47)

Firman Allah ini menjelaskan betapa penafian Iman dari Allah SWT terhadap golongan yang tidak mahu berusaha kepada ketaatan Allah yang antaranya pemerintahan islam. Penafian ini terhadap mereka, walaupun mereka itu mendakwa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Begitujuga, didalam ayat yang lain, Allah SWT telah menyatakan tentang kewujudan manusia yang sesat, walaupun mereka mendakwa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, tetapi hakikat sebenar mereka tidak beriman disebabkan mereka mengambil taghut sebagai pemerintah mereka.

Firman Allah;

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آَمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya;
“tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) Yang mendakwa Bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran Yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) Yang telah diturunkan dahulu daripadamu? mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka Dengan kesesatan Yang amat jauh”

(Surah An-nisa’ : 60)

Justeru itulah, berusaha kearah kewujudan Negara yang berasaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah merupakan tanggungjawab yang telah Allah wajibkan kepada manusia. Jika tidak dilaksanakan juga, maka sesungguhnya ianya berada dari golongan yang redha dengan kemungkaran dalam pemerintahan, yang akan diberikan azab diatas tindakan mereka itu.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآَخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآَخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ * إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya;
“Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. * jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

(Surah At-Taubah : 38-39)

Dari ini mendapat gambaran jelas tentang kepentingan untuk berusaha kearah pemerintahan Islam ini. Adapun golongan yang tidak mahu berjuang untuk kedaulatan Islam, disamping berusaha untuk mengalahkan perjuangan islam, golongan ini di gelarkan oleh Allah sebagai golongan yang munafiq.

Firman Allah;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا

Maksudnya;
“dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya Engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) Dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu”

(Surah An-Nisa’ : 61)

JAWATAN ADALAH AMANAH ALLAH

Sesuatu jawatan, tidak kira ianya jawatan mufti atau pemerintahan, ianya merupakan amanah dari Allah SWT. Sesuatu jawatan yang telah disandang, hendaklah ditunaikan mengikut aturan Allah SWT.

Sesuatu jawatan, yang tidak ditunaikan mengikut aturan Allah, tetapi lebih menguntungkan kepada diri sendiri dan menjaga golongan tertentu merupakan dosa di sisi Allah SWT.

Ekoran dari itulah, ulama fiqh ada menyatakan hukum menerima sesuatu jawatan apabila di hulurkan kepadanya.

HUKUM MENERIMA JAWATAN

Menurut kitab “As-Siraj Al-Wahhaj” karangan seorang pensyarah di Universiti Al-azhar yang bernama Dr Muhammad Abdul Maqsud Daud menyatakan, hukum penerimaan jawatan ini ada lima, iaitu seperti berikut;

a. Wajib : iaitu sekiranya dia seorang sahaja berkemampuan dan berkelayakan dalam melaksanakan tugasan jawatan itu.
b. Sunat : sekiranya didapati orang lain berkemampuan untuk melaksanakan tugasan jawatan, tetapi jika dibandingkan, dia lebih berhak untuk jawatan itu.
c. Makruh : iaitu sekiranya dia berkemampuan untuk melaksanakan tugasan jawatan, tetapi didapati orang lain lebih berhak dari dirinya.
d. Haram : sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan untuk jawatan itu, disamping dia tidak berkeahlian untuk jawatan tersebut. begitujuga, haram menerima sesuatu jawatan dengan tujuan untuk melaksanakan kezaliman, disamping takut hendak menyatakan kebenaran.
e. Harus : sekiranya dia mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk jawatan itu, disamping orang lain pun mempunyai kemampuan dan kelayakan yang sama dengannya[8].

Ekoran dari itu, menerima jawatan dengan tujuan hendak mendaulatkan islam merupakan satu tanggungjawab yang wajib di tunaikan.

Adapun jika diberikan satu jawatan, tetapi tindakannya hanya sekadar melambatkan perjuangan untuk kedaulatan islam, disamping menghuru harakan pemikiran masyakarat dalam pemahaman islam, maka penerimaan jawatan tersebut sudah berada di bawah kategori haram.

PENUTUP

Sesuatu jawatan, samada mufti atau pemerintah, hendaklah ditunaikan bersesuaian dengan kehendak Allah SWT. Tindakan melahirkan isu-isu khilafiyyah, disamping “berkepala batu” terhadap isu yang dibangkitkan merupakan satu perkara yang boleh disifatkan sebagai “kerja gila”.

Maka dengan demikian, terimalah jawatan mufti atau apa-apa jawatan sekalipun, tetapi pastikan, tindakan anda selepas menerima jawatan itu sesuai dengan kesepatutannya, bukan melakukan kerja gila.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com




[1] Al-Misbah Fi Rasm Al-Mufti wa Manahij Al-Ifta’ : 2/16 – 22.
[2] Al-Fatawa : m/s 14-15.
[3] Al-Misbah Fi Rasm Al-Mufti wa Manahij Al-Ifta’ : 2/17, dan As-Siraj Wa Al-Wahhaj fi Al-Qada’ wa Al-Jihad : m/s 30.
[4] Al-Ahkam As-Sultaniyyah : 1/30
[5] lihat Al-Ahkam As-Sulaniyyah : 1/23
[6] Islam dan Demokrasi : m/s 5.
[7] Al-Bidayah Wa An-Nihayah : 3/225
[8] As-Siraj Al-Wahhaj : m/s 62-63

2 comments:

Adelaidiyy said...

dalam ISlam ada berapa isu sangat yang tidak khilaafiyyah.

Menyokong PAS pun perkara khilaafiyyah. HAbis tu kenapa nak bertegang urat pasal parti ?

Syaikh Al-Bakistani said...

melaksanakan undang-undang islam bukan perkara khilafiyyah...

mengingkari kewajipan melaksanakn hukum Islam adalah murtad...