Tuesday, July 03, 2007

PERDAGANGAN KELANTAN – CHINA : TAHNIAH KELANTAN !!!

PERDAGANGAN KELANTAN – CHINA : TAHNIAH KELANTAN !!!

Laporan dari lamanweb salah seorang Naib Presiden PAS, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancang Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Dato’ Husam Musa, bahawa Kelantan telah dikunjungi oleh satu delegasi misi perdagangan He Nan, salah satu wilayah yang pesat membangun di Negara China.

Rombongan seramai 16 orang yang diketuai Ketua Penasihat Perdagangan dan petadbiran Kelantan – China, Prof. Lin Xiang Xiong turut disertai Naib Presiden China National Building Material Group Corporation (CNBM), Ma Jianguo, merupakan satu lawatan balas China berikutan rombongan perdagangan dan pelaburan kerajaan negeri Kelantan yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancang Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa ini ke He Nan.

Menurut Husam, kerajaan negeri berbangga dengan persahabatan antara Kelantan-China dan berhasrat kerjasama ini dapat dikembangkan pada masa hadapan dalam semua aspek perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pendidikan.
Menurut Husam lagi, “China mempunyai keyakinan besar untuk membuat pelaburan jutaan ringgit di Kelantan selepas mendapat gambaran sebenar melalui lawatan dan kunjungan ke negeri ini”
(http://www.husammusa.com/modules/news/article.php?storyid=95)

SAMA TAPI TAK SERUPA

Dari laporan ini, menggambarkan, Kelantan pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nikmat telah memahat satu lagi sejarah yang tidak akan dapat dipadamkan oleh musuh-musuh politik PAS di Malaysia ini.

Kelantan dibawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat yang telah meletakan Islam sebagai asas pemerintahan telah berjaya menarik pelabur dari Negara China, disamping China sendiri mempunyai catatan sejarah Islam, iaitu seorang pelayar yang dikenali ramai, Admiral Muhammad Cheng Ho.

Admiral Cheng Ho, menurut satu maklumat sejarah, didapati beragama Islam. Nama Islam beliau adalah Muhammad Ma Ho atau di Thailand, Beliau lebih dikenali sebagai Sam Po Kong. (Jejak Risalah Di Nusantara 1 : m/s 87)

Admiral Cheng Ho telah melakukan lawatan ke Melaka di zaman pemerintahan Parameswara (menurut Pak HAMKA, bacaannya adalah Permaisura – lihat ‘Sejarah Umat Islam : m/s 711) sebagai wakil kerajaan China Dinasti Ming. Dinasti Ming ketika itu merupakan satu kuasa besar yang diiktiraf oleh Negara-negara Serantau.

Menurut catatan sejarah, Cheng Ho merupakan seorang yang mempunyai keperibadian warak, sehinggakan beliau sebelum berangkat bermusafir, beliau akan menunaikan solat berjemaah bersama anggota-anggota rombongannya yang beragama islam. Satu sumber sejarah menyebut, bilangan anggota rombongannya ialah seramai 27, 500 orang yang sebahagian besar dari mereka beragama Islam. (Jejak Risalah Di Nusantara 1 : m/s 88).

Tindakan sebegini mempunyai kesamaan dengan tindak tanduk Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat, Menteri Besar Kelantan, yang sering menunaikan solat istikharah dan hajat sebelum melakukan sesuatu keputusan urusan negeri. Begitujuga, tindakan Tuan Guru yang mewajibkan semua exco kerajaan negeri dan Pegawai di pejabat Menteri besar agar berhenti bekerja sebentar untuk menunaikan solat berjemaah. Perkara ini sering diakui oleh Dato’ Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor dalam beberapa sesi majlis ceramah yang disampaikan oleh beliau.

Menurut Pak HAMKA didalam bukunya yang bertajuk ‘Sejarah Umat Islam’, antara jasa Cheng Ho terhadap tanah melayu, Beliau telah berjaya mengajak Parameswara yang ketika itu sudah beragama Islam, dan nama Islamnya adalah Sultan Muhammad Syah pergi melawat China untuk mengadap Maharaja Tiongkok bersama isteri dan anak-anak beliau. Dalam lawatan beliau itu, Sultan Muhammad Syah telah dihadiahkan dengan 100 tahil emas, 40, 000 Ringgit Wang Kertas 2, 600 Wang Perak, 200 Kayu Kain cita sutera, 1, 000 Kayu kain sutera dan dua kayu kain sutera ditekat dengan emas. (Sejarah Umat Islam : m/s 720 dan Jejak Risalah Di Nusantara 1 : m/s 90)

Kepulangan Sultan Muhammad Syah dari Negara China itu, dibekalkan dengan beberapa orang ahli pertukangan dari Negara China yang beragama Islam, untuk membina masjid-masjid didalam Negeri Melaka, sehinggakan sampai sekarang, apabila dilihat kepada masjid-masjid tua di Melaka, seni binaannya menyerupai binaan bangunan dari Tiongkok. (Sejarah Umat Islam : m/s 720)

Keadaan yang seakan sama juga berlaku disebalik pemerintahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat, dengan berlakunya delegasi misi perdagangan He Nan, salah satu wilayah yang pesat membangun di Negara China ke Negeri Kelantan Darul Naim.

PENUTUP

Banyak lagi kesamaan yang boleh dinukilkan disebalik usaha dakwah yang dilakukan oleh Admiral Muhammad Cheng Ho dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat. Tetapi, dengan sajian ringkas dari Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis, Dewan Ulama PAS Negeri Selangor ini, dapat memberi satu gambaran berkenaan dengan kesungguhan dua insan yang bernama Cheng Ho dan Nik Abdul Aziz dalam menegakkan syiar Islam di bumi Allah ini.

Walaubagaimanapun, Lajnah keahlian dan Ulama Pelapis, Dewan ulama PAS Negeri Selangor mengucapkan setinggi-tinggi syabas di atas usaha kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat dalam mengemukakan kemampuan islam dalam pemerintahan disamping dapat menjadi satu pembuktikan, bahawa Islam sahaja yang dapat memberikan kejayaan dalam perpaduan kaum.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya;
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah Al-Hujurat : 13)

Sekian

Ibnu Wan Hussin
Ketua
Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis
Dewan Ulama PAS Negeri Selangor.

1 comment:

Ibnu_Ismail said...

Tahniah buat kerajaan negeri Kelantan pimpinan kerajaan Islam PAS. Nampaknya, Kelantan selangkah lebih terkehadapan berbanding dengan negeri pimpinan BN yang lain.

Belakangan ini, PM sibuk membangkitkan agar perdagangan dengan China dipertingkat kerana perdagangan sedia ada masih kecil jumlahnya.