Thursday, August 09, 2007

ISLAM HADHARI YANG BIDAAH, HADHARAH ISLAMIYYAH YANG SUNNAH

ISLAM HADHARI YANG BIDAAH, HADHARAH ISLAMIYYAH YANG SUNNAH

Oleh :
Al-Bakistani
(http://laptopdarulfiqh.blogspot.com)

BAB PERTAMA : MUQADDIMAH

“Al-Hadharah Al-Islamiyyah” adalah satu nama yang berhimpun antara “Al-Hadharah” dan “Al-Islamiyyah”. Al-Hadharah Al-Islamiyyah mengikut terjemahan melayu adalah “tamadun Islam[1]”. Melihat kepada makna ini, tergambar kepada kita akan tamadun Islam yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w.

Hadharah Islamiyyah berbeza dengan Islam hadhari. Ini kerana, hadharah Islamiyyah mengandungi maksud tamadun yang telah dibina oleh golongan yang terdahulu, iaitu Rasulullah s.a.w, Sahabat-sahabat dan Ulama-ulama salaf terdahulu.

Sabda Rasulullah s.a.w;

خيركم قرنى ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Maksudnya;
“sebaik-baik kamu ialah (mereka yang berada dalam ) kurunku, kemudian selepas mereka, kemudian selepas mereka” [2]

Apabila menyebut kalimah “Al-Hadharah Al-Islamiyyah”, maka akan lahirlah satu kalimah yang lain bernama “al-Hadharah Ghair Al-Islamiyyah (tamadun yang tidak Islam)”, samada tamadun itu dinamakan sebagai “Al-Hadharah Al-Gharbiyyah (tamadun barat), al-Hadharah Al-Hindiyyah (tamadun India) atau sebagainya. Ini menunjukkan, bahawa, tamadun itu tidaklah terbatas kepada tamadun Islam sahaja, bahkan disana ada lagi tamadun yang lain dari Islam.

Walaubagaimanapun, kesemua tamadun-tamadun tersebut adalah batil dan membawa kepada kesesatan manusia dari jalan Allah, juga membawa manusia kepada kancah yang tidak bahagia, samada didunia atau di akhirat.

Adapun Islam Hadhari, ianya merupakan satu kalimah yang memberi maksud “Islam bertamadun”. Apabila menyebut kalimah Islam Hadhari, maka akan terlahir kalimah “Al-Islam Ghair Al-Hadhari” (islam yang tidak bertamadun).

Sekiranya menyebut “al-Muslim Al-hadhari” (orang islam yang bertamadun, mungkin ada benarnya, ini kerana, di sana ada “al-Muslim Ghair Al-hadhari” (orang islam yang tidak bertamadun).

Maka dengan itu, amat memusykilkan kepada kita bahawa, adakah wujud disana Islam yang tidak bertamadun? Apakah bentuk Islam yang tidak bertamadun itu? Siapakah yang mempelopori Islam yang tidak bertamadun itu?

Setahu kita, Islam adalah islam, iaitu Islam yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat, ulama-ulama al-amilin yang terdahulu dan sekarang.

Adakah Islam yang diperjuangkan oleh Rasulullah, sahabat-sahabat dan ulama-ulama terdahulu itu dikira tidak bertamadun? Dan Islam yang di perjuangkan oleh UMNO itu adalah Islam yang bertamadun?.

Bagi menjelaskan lagi maksud yang sebenar bagi perbahasan ini, eloklah kita melihat kepada huraian di bawah ini.

BAB KEDUA : MAKNA HADHARAH ISLAMIYYAH

a. HADHARAH

“Hadharah” adalah sepatah kalimah arab yang membawa maksud “ketamadunan”. Ianya berasal dari “ha, dha, ra” yang membawa makna “hadir”.

Mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka, “tamadun” di tafsirkan sebagai “keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (social, budaya, politik, dll) yang tinggi”[3]

Adapun tafsiran “hadharah” mengikut al-mukjam al-arabi al-asasi pula, adalah kalimah yang berlawanan dengan “badawah”.

Hadharah mengikut tafsiran “al-mukjam al-arabi al-asasi” adalah “sesuatu yang khusus bagi kemasyarakatan, keagamaan, akhlak, keilmuan, strategi, kebudayaan yang tersebar kepada sesuatu bangsa yang tertentu, seperti hadharah hindiyyah (tamadun India), hadharah arabiyyah (tamadun arab). Setiap tamadun, samada tamadun barat atau timur, mempunyai sesuatu system dan ruh yang bersekali”[4]

Adapun “badawah” mengikut tafsiran “al-mukjam al-arabi al-asasi” adalah “kehidupan di padang pasir yang kebiasaan ahlinya sentiasa berpindah randah”[5]

Memahami dari ulasan di atas, menunjukkan kepada kita, hadharah atau ketamadunan adalah “sesuatu kehidupan yang dipenuhi dengan peradaban yang di bentuk mengikut acuan pembentuk. Jika pembentuk itu membentuk mengikut acuan jahiliyyah, maka terbentuklah tamadun jahiliyyah. Jika pembentuk itu membentuk mengikut acuan islam, maka terbentuklah tamadun islam”.

b. ISLAMIYYAH

“Al-Islam” adalah kalimah arab berasal dari kalimah “as la ma” yang membawa maksud “penyerahan”[6]

Ulama mengemukakan pelbagai makna bagi Islam. Dr Abdul Karem Zaidan telah mengemukakan beberapa makna bagi Islam, antaranya[7] ;

MAKNA ISLAM YANG PERTAMA

· Islam adalah agama yang diertikan berdasarkan kepada kisah ketika Para Sahabat sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w, lalu datang seorang lelaki kepada Rasulullah dan bertanyakan tentang Islam. Baginda s.a.w menjawab dengan sabdanya ;

الاسلام أن تشهد أن لا اله الا الله و محمدا رسول الله و تقيم الصلاة و تؤتى الزكاة و تحج البيت من استطاع اليه سبيلا

maksudnya;
“Islam ialah bahawasanya kamu bersaksi tiada tuhan selain Allah, Muhammad adalah Rasulullah, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan, buat haji di Baitullah jika kamu berkempuan kepadanya”[8]

MAKNA ISLAM YANG KEDUA

· Islam bererti tunduk, menyerah dan mentaati Allah. Ketundukan itu hendaklah lahir dari kesedaran, bukan kerana terpaksa.

Firman Allah;

افغير دين الله يبغون وله أسلم من فى السموات و الأرض طوعا و كرها و الينا يرجعون

Maksudnya;
“Apakah mereka mengharapkan agama yang lain dari agama Allah (Islam), padahal kepadanyalah menyerah diri segala apa yan dilangit, dan dibumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan”
(surah al-imran : 83)

Ayat di atas menjelaskan bahawa, semua makhluk tunduk kepada ketentuan Allah, tanpa membezakan antara manusia atau makhluk-makhluk yang lain.

Ketundukan kepada Allah tanpa paksaan merupakan hakikat Islam, dan ketundukan sedemikianlah terlahirnya keredhaan kepada segala ketentuan Allah.

MAKNA ISLAM YANG KETIGA

· Islam adalah way of life, peraturan yang menjadi keperluan dalam mengurus dan mengatur kehidupan umat manusia, menjadi dasar akhlak yang mulia, yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w untuk disampaikan kepada umat manusia.

Barangsiapa yang mengikut islam, maka dia akan diberikan pahala, dan mendapat siksaan di akhirat, bagi mereka yang mengingkarinya.

Firman Allah;

ومن يبتغ غير الاسلام دينا فلن يقبل منه وهو فى الأخرة من الخاسرين

Maksudnya;
“barangsiapa yang mencari agama selain dari agama Islam, maka tidaklah akan di terima daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”
(surah Al-Imran : 85)

MAKNA ISLAM YANG KEEMPAT

· Islam adalah sebuah agama yang mempunyai himpunan peraturan-peraturan yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya, samada peraturan itu berbentuk kepercayaan, akhlak, ibadat, muamalat dan sejarah yang terkandung dalam al-Quran dan As-Sunnah.

Semua perkara tersebut wajib disampaikan kepada umat manusia dan wajib kepada manusia beramal dengannya.

Firman Allah;

ياأيها الرسول بلغ ما أنزل اليك من ربك , وان لم تفعل فما بلغت رسالته , والله يعصمك من الناس

Maksudnya;
“Wahai Rasul ! sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakannya, kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Dan Allah akan memelihara kamu dari manusia”
(surah al-Maidah : 67)

MAKNA ISLAM YANG KELIMA

· Islam merupakan agama yang menjawab beberapa persoalan yang penting dalam kehidupan manusia. Persoalan tersebut, selalu dikemukakan dari dahulu hingga sekarang.

Persoalan-persoalan tersebut adalah seperti berikut;

a. Siapakah yang mencipta manusia? Bagaimana manusia diciptakan?
b. Apakah hakikat kehidupan manusia?
c. Bagaimana akhir nasib manusia setelah mati?

Semua persoalan-persoalan ini telah dijawab oleh islam. Jawapan itu, samada dijawab secara perinci atau secara umum sahaja.

Antara jawapan Al-Quran dari persoalan-persoalan tersebut adalah seperti berikut;

JAWAPAN PERTAMA

Jawapan dari persoalan : Siapakah yang mencipta manusia? Bagaimana manusia diciptakan?

a. Firman Allah;

ياأيها الناس ان كنتم فى ريب من البعث فانا خلقناكم من تراب ثم من نطفة ثم من علقة ثم من مضغة مخلقة وغير مخلقة ليبين لكم ونقر فى الأرحام ما نشاء الى أجل مسمى ثم نخرجكم طفلا ثم لتبلغوا أشدكم ومنكم من يتوفى ومنكم من يرد الى ارذل العمر لكيلا يعلم من بعد علم شيئا

Maksudnya;
“Wahai Manusia ! jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) bahawasanya kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna, agar kami jelaskan kepada kamu, dan kami tetapkan (sesudah itu) dalam rahim, apa yang kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan. Kemudian kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan dan diantara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) diantara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, hingga dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang dahulunya telah diketahuinya”
(surah al-Haj : 5)

b. Firman Allah;


وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ * ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ * ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آَخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ


maksudnya;
“sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari sesuatu saripati (berasal) dari tanah * kemudian kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh * kemudian Air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu, Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging. Kemudian kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka maha suci Allah, pencipta yang paling baik”
(surah al-Mukminun : 12-14)

c. Firman Allah;

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنْسَانِ مِنْ طِينٍ * ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ * ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ
maksudnya;
“yang membuat segala sesuatu yang dia ciptakan dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian dia menjadikan keturunan dan saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniup kedalam (tubuh) Nya ruh (ciptaan) Nya dan Dia menjadikan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati, (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur”
(surah as-sajdah : 7-9)

d. Firman Allah;

هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا * إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا

maksudnya;
“Bukankah telah datang atas manusia itu waktu dari masa sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut. Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur, yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”
(surah al-Insan : 1-2)

e. Firman Allah;

فَلْيَنْظُرِ الْإِنْسَانُ مِمَّ خُلِقَ * خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ * يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ
maksudnya;
“maka hendaklah manusia memperhatikan dari apa dia ciptakan. Dia diciptakan dari air mani yang terpancar. Yang keluar antara tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan”
(surah at-Tariq : 5-7)

Ayat-ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa manusia dahulunya tiada, kemudian Allah mencipta manusia dari air mani yang hina, sedangkan asalnya adalah dari tanah.

Manusia yang pertama adalah Adam a.s diciptakan oleh Allah dari tanah dan keturunan selepasnya dari setitis air mani yang di letakan dalam rahim perempuan.

JAWAPAN KEDUA

Bagi menjawab persoalan : Apakah hakikat kehidupan manusia?

a. Firman Allah;

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya;
“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”
(surah az-zariyat : 56)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawasanya, hakikat kehidupan manusia adalah pengabdian diri kepada Allah.

Pengabdian atau ibadah kepada Allah membawa maksud mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Segala peraturan-peraturan itu wajib di taati sehinggakan manusia sampai kepada kebahagian dan kesempurnaan, samada di dunia atau diakhirat.

Peraturan-peraturan Allah itu, tidaklah terbatas kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadat sahaja, bahkan peraturan-peraturan tersebut merangkumi dari segala segi, iaitu dari segi muamalat, jinayat, politik, kenegaraan, munakahat dan sebagainya.

JAWAPAN KETIGA

Jawapan bagi persoalan : Bagaimana akhir nasib manusia setelah mati?

a. Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الْإِنْسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَى رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلَاقِيهِ
Maksudnya;
“Hai manusia ! sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju tuhanmu, maka pasti kami akan menemuinya”
(surah al-insyiqaq : 6)

b. Firman Allah;

اللَّهُ يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya;
“Allah menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan) nya, kemudian kepadanyalah dikembalikan”
(surah ar-rum : 11)

c. Firman Allah;

إِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنْكُمْ وَلَا يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ وَإِنْ تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Maksudnya;
“kemudian kepada tuhanmulah kembalimu lalu Dia memberikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”
(surah az-zumar : 7)

d. Firman Allah;

وَأَنَّ إِلَى رَبِّكَ الْمُنْتَهَى

maksudnya;
“Dan bahawasanya kepada tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu)”
(surah an-najm : 42)

e. Firman Allah;

إِنَّ إِلَى رَبِّكَ الرُّجْعَى

Maksudnya;
“Sesungguhnya kepada tuhanmulah kembali”
(surah al-alaq : 8)

Ayat-ayat diatas menerangkan tentang kesudahan manusia setelah mati, ialah kembali mereka kepada Allah yang telah mencipta mereka untuk menilai balik akan segala usaha dan pekerjaan yang dilakukan oleh mereka semasa mereka di dunia dahulu.

Jika dia melakukan amalan yang baik, maka baiklah balasan yang diterima. Dan jika amalan buruk yang dilakukan maka buruklah balasan yang diterima.

MAKNA ISLAM YANG KEENAM

· Islam adalah pedoman hidup yang sebenar, petunjuk dalam semua aspek kehidupan umat manusia. Ianya merupakan ubat yang paling mujarrab bagi mengatasi segala permasalahan, samada permasalahan itu berbentuk individu atau permasalahan berbentuk kemasyarakatan.

a. Firman Allah;

وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي إِنَّكُمْ مُتَّبَعُونَ * فَأَرْسَلَ فِرْعَوْنُ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ

Maksudnya;
“Demikianlah kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Quran) dengan perintah kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengerti apakah kitab (al-Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi kami menjadikan Al-Quran itu cahaya yang kami beri petunjuk dengan dia siapa yang kami kehendaki diantara hamba-hamba kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus, (iaitu) jalan Allah yang kesemuanya segala apa yang ada dilangit dan apa yang ada di bumi. Ingatlah bahawa kepada Allah-lah kembali segala urusan”
(surah as-Syuara : 52-53)

b. Firman Allah;

يَوْمَ يَدْعُوكُمْ فَتَسْتَجِيبُونَ بِحَمْدِهِ وَتَظُنُّونَ إِنْ لَبِثْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya;
“Dan kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”
(surah al-Isra’ : 52)

c. Firman Allah;

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ

Maksudnya;
“katakanlah ! Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman”
(surah Fussilat : 44)

Melihat kepada ayat-ayat tersebut, menunjukkan kepada kita, Islam bukan sahaja agama yang membicarakan tentang kebahagiaan di akhirat sahaja, bahkan Islam juga memimpin manusia menuju kepada kebahagiaan di dunia.

(C) KESIMPULAN

Berdasarkan kepada makna-makna islam yang telah disebutkan itu, menunjukan kepada kita bahawa islam adalah agama yang tidak membataskan perbicangannya menuju kepada alam akhirat sahaja, bahkan islam juga menyelesaikan segala masalah-masalah yang berbentuk keduniaan.

Dengan Islam, manusia akan bahagia di dunia, lebih-lebih lagi mereka di akhirat kelak.

Islam juga adalah agama yang menyeluruh dalam ajarannya, ianya tidak dibataskan kepada peribadatan sahaja, bahkan Islam mengemukakan cara mengurus kehidupan didunia, samada dari segi kenegaraan, jual beli, kekeluargaan, social, ekonomi dan seluruhnya.

Islam memberi kerahmatan kepada manusia, tidak kira kepada orang muslim atau non-muslim.

Melihat dengan penjelasan ini, fahamilah kita dengan firman Allah yang menyatakan bahawa Islam adalah agama fitrah yang mengajar manusia mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah;

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah)(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tiada pencerobohan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
(surah ar-Rum : 30)

MAKNA HADHARAH ISLAMIYYAH

Memahami dari makna “Hadharah” dan “Islamiyyah” yang telah dijelaskan, menandakan kepada kita bahawasanya, hadharah Islamiyyah adalah;

“tamadun atau peradaban yang berasaskan kepada tauhidkan Allah (mengesakan Allah) disamping Al-Quran dan Al-Hadis menjadi rujukan utama, yang memberi kebahagiaan kepada seluruh manusia, samada manusia itu muslim atau non-muslim. Hadharah Islamiyyah juga tidak mengambil sebahagian Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain, bahkan hadharah Islamiyyah mencangkupi kepada segala urusan, samada keduniaan, seperti politik, social, kemasyarakatan, ekonomi, kekeluargaan dan sebagainya, juga berbentuk akhirat, seperti solat, zakat, puasa, hidup selepas mati dan selanjutnya.

Hadharah Islamiyyah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai role model, disamping para sahabat dan ulama-ulama salaf yang beriman dengan Allah menjadi bahan rujukan dalam apa-apa jua urusan.

Kejayaan dan kebahagiaan akan tercapai dengan hadharah Islamiyyah, hal ini telah terbukti di zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. Di zaman Saidina Omar bin Al-Khattab, Islam telah tersebar sampai ke Farsi. Hadharah Islamiyyah telah memberi keamanan dan kemewahan di zaman Saidina Omar Abdul Aziz”

AL-HADHARAH GHAIR AL-ISLAMIYYAH (TAMADUN YANG TIDAK ISLAM)

Lawan bagi “Al-Hadharah Al-Islamiyyah (Tamadun Islam)” adalah “Al-Hadharah Ghair Al-Islamiyyah (Tamadun yang tidak Islam)”, samada tamadun itu adalah, “Al-Hadharah Al-Gharbiyyah (tamadun barat)”, “Al-Hadharah Al-Hindiyyah (tamadun hindi)”, “Al-Hadharah Al-Jahiliyyah (tamadun jahiliyyah)” atau sebagainya.

Sekiranya Al-Hadharah Al-Islamiyyah bermaksud peradaban yang bersandarkan kepada Al-Quran dan Al-Hadis, maka dengan itu, Al-Hadharah Ghair Al-Islamiyyah adalah peradaban yang tidak menjadikan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sandaran utama.

Maka dengan itu, Al-Hadharah Al-Islamiyyah adalah yang sebenar dan membawa kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat, tetapi Al-Hadharah Ghair Al-Islamiyyah adalah tamadun yang sesat dan menafikan kebahagiaan manusia didunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

BAB KETIGA : PENGENALAN ISLAM HADHARI

“Al-Islam Al-Hadhari” adalah sebuah gagasan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Ke-5 iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihanraya umum ke-11 pada tahun 2004[9].

Kelahiran Islam Hadhari amatlah meragukan, ini kerana, kelahirannya bukanlah untuk melaksanakan perintah Allah, bahkan kelahirannya adalah bertujuan untuk melawan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di dalam pilihanraya umum tersebut.

Hal ini diakui sendiri oleh Prof Madya Dr Idris Zakaria dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bukunya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementeriaan Penerangan Malaysia, yang berrtajuk “Islam Hadhari dan Pembangunan Umat” dengan katanya;

“Menjelang pilihanraya umum 2004 yang lalu, kita mendengar satu gagasan politik Negara yang dinamakannya sebagai Islam Hadhari. Gagasan ini telah terbukti yang ia adalah kekuatan. Kerajaan Barisan Nasional dengan UMNO sebagai tulang belakang telah menunjukan prestasi dan kejayaan yang besar dan mengejutkan ramai pemerhati politik dalam dan luar Negara. Negeri terengganu yang dikuasai parti PAS telah dirampas semula dengan kekuatan “Islam Hadhari Terengganu Bestari”. UMNO telah memenangi 28 dari 32 kerusi DUN dan 8 kerusi Parlimen. UMNO juga hampir menawan negeri Kelantan dengan menguasai 21 kerusi DUN dan PAS 24. Namun, dilihat secara umum, gagasan Islam Hadhari ini telah berjaya mematahkan kekuatan Pasti PAS”[10]

Dari ulasan Prof Madya Dr Idris Zakaria ini jelas menandakan bahawa, kehadiran Islam Hadhari yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukanlah keikhlasannya untuk melaksanakan islam tetapi, gagasan itu merupakan usaha politik murahan UMNO bagi mengalahkan PAS dalam pilihanraya umum 2004.

MAKNA ISLAM HADHARI

Di dalam keterangan lepas, kami telah menjelaskan taarif “Hadharah” dan “Islamiyyaah” secara terperinci. Setelah melihat kepada gabungan antara “Al-Hadharah” dan “Al-Islamiyyah”, maka kami telah mendefinisikan “Hadharah Islamiyyah” adalah;

“Tamadun dan peradaban yang berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Hadis, yang memberi kebahagiaan kepada seluruh manusia, samada manusia itu muslim atau non-muslim. Hadharah Islamiyyah juga tidak mengambil sebahagian Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain, bahkan hadharah Islamiyyah mencangkupi kepada segala urusan, samada keduniaan, seperti politik, social, kemasyarakatan, ekonomi, kekeluargaan dan sebagainya, juga berbentuk akhirat, seperti aqidah, solat, zakat, puasa, hidup selepas mati dan selanjutnya.

Hadharah Islamiyyah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai role model, disamping para sahabat dan ulama-ulama salaf yang beriman dengan Allah menjadi bahan rujukan dalam apa-apa jua urusan”.

Hal ini bersalahan dengan Islam Hadhari. Keraguaan yang timbul, samada dari sudut bahasa dan juga dari sudut perlaksaannya.

Dari sudut bahasa, tidak selayaknya digunakan dengan kalimah “Al-Islam Al-Hadhari”, ini kerana, penggunaan sebegini boleh meragukan maksud islam itu sendiri.

Al-Islam Al-Hadhari bermaksud Islam yang bertamadun. Mendengar kalimah ini, maka akan terlahir dibenak kita, akan adanya disana Islam yang tidak hadhari atau Islam yang tidak bertamadun atau mengikut penggunaan yang lain “Al-Islam Al-Badawi”.

Islam manakah yang tidak bertamadun itu? Seakan-akan kita mengatakan bahawa Islam yang di zaman Rasullah s.a.w, sahabat-sahabat r.a dan golongan salaf itu merupakan Islam yang tidak bertamadun.

Dan juga, keraguan yang lain juga akan timbul dengan kalimah “Al-Islam Al-Hadhari” antaranya seberti berikut;

a. Memesongkan fahaman Manusia terhadap Islam[11]. Ini kerana, apabila adanya istilah Islam hadhari, maka manusia akan beranggapan bahawa Islam itu bukan sesuatu agama yang fitrah, bahkan Islam merupakan sesuatu ajaran yang lahir secara evolosi.

Perkara ini bersalahan dengan firman Allah;

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya;
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetapkanlah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia dengan fitrah itu”
(surah ar-Rum : 30)

b. Melahirkan anggapan manusia bahawa Islam ini hanya mementingkan satu juzuk sahaja dalam sesuatu ketika iaitu seperti aspek pembangunan atau pendidikan atau sebagainya.

Hal ini boleh melahirkan manusia yang menghayati Islam dengan tidak menyeluruh sedangkan Allah menyuruh manusia menerima Islam secara menyeluruh.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya;
“Wahai Orang-orang yang beriman! Masuklah kamu kedalam
Islam secara menyeluruh, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya ia (syaitan) kepada kamu adalah musuh yang nyata”
(surah al-Baqarah : 208)

Al-Quran juga mengherdik terhadap golongan yang mengambil al-quran sebahagian dan mengkufuri sebahagian yang lain.

Firman Allah;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ

Maksudnya;
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian dari kitab dan ingkar akan sebahagian yang lain? Tiada balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan hari akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat”
(surah al-baqarah : 85)

Kesimpulan dari ulasan di atas, dari segi Bahasa, Islam Hadhari adalah salah dan tidak seharusnya menjadi slogan atau menifasto. Penggunaan itu boleh menimbulkan kesesatan dan berbahaya kepada aqidah umat Islam.


[1] Lihat “Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari” :m/s 7
[2] Musnad as-Syasyi (2/220) hadis no : 788
[3] Lihat “Kamus Dewan” edisi ketiga : m/s 1354
[4] Lihat ‘al-mukjam al-arabi al-asasi” : m/s 327
[5] Lihat “al-mukjam al-arabi al-asasi” ; m/s 140
[6] Lihat “ Kamus Tullab”: m/s 84
[7] Lihat buku “Dasar-dasar ilmu dakwah” (1/3-12)
[8] Saheh muslim (1/37) hadis no : 7.
[9] Lihat kertas kerja “Islam Hadhari daripada perspektif pembangunan berteraskan Islam” m/s 31-32.
[10] Lihat “Islam Hadhari dan Pembangunan Umat” m/s 1.
[11] Lihat “Islam Hadhari menurut Syeikh Anwar Jundi” :m/s 48

3 comments:

mfrstudio said...

minta komen huraian rumaizuddin:
Islam Hadhari vs Hadharah Islamiyah

mfrstudio said...

komen dr asri:
pro-kontra islam hadhari

Uthman said...

Mengapa kamu suka sgt mengata org? Bukankah itu amalan yang tidak baik jika kita hendak menyalahkan orang sahaja? Kamu tidak tahu bagaimana Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada seseorang itu.. Sesungguhnya itu perbuatan yang syirik di sisi Allah s.w.t. jika kamu menyatakan sesuatu yg telah benar terletak dalam al-Quran dan al-Hadith... Astargfirullahalazim.. apa nak jadi manusia zaman sekarang.. semua benda nak dikata nya salah... Astargfirullahalazim....