PLURALISMA DAN LIBERALISMA : ISU YANG DIPERHANGATKAN
Saya sudah membaca isu pluralisma dan liberalisma dari akhbar-akhbar tempatan semenjak sehari dua ini. Isu ini amat bising dibincangkan dengan hangatnya.
Setelah membaca beberapa ulasan dan pandangan-pandangan itu, penilaian yang saya buat, bahawa segala isu yang berkaitan dengan Islam, banyak tidak diberikan ruang perbincangan yang lebih adil berbanding perbincangan yang berkaitan keuntungan agama-agama yang lain dari Islam. Terutama ulasan-ulasan dari pihak media perdana, samada Utusan Malaysia, Berita Harian dan sebagainya.
Apabila Dato’ Dr Harussani mengemukakan pandangan dan cetusan pemikiran atas tindakan beberapa pihak, terutama pihak kerajaan dalam agenda mempluralisma dan mengliberalismakan agama Islam ini, seperti pengikrafan atas perayaan kongsi raya dan sebagainya. Maka banyaklah pihak-pihak tertentu menulis dan diberi ruang yang luas mengulas kenyataan itu berdasarkan kepada pemikiran dan pemahaman masing-masing didalam akhbar-akhbar perdana tersebut.
MENGAPA ISU INI DIBANGKITKAN?
Pada pandangan saya, isu ini adalah rentetan dari kenyataan beberapa orang sahabat yang telah membantu saudara-saudara kita yang berada di Yogyakarta yang telah ditimpa ujian dari Allah dengan ditimpakan mala petaka gempa bumi dan musibah yang menyebabkan banyak rumah-rumah yang runtuh, nyawa-nyawa yang terkorban dan sebagainya.
Ramai penyelamat-penyelamat dari luar Indonesia telah datang untuk memberi bantuan, tidak ketinggalan juga penyelamat-penyelamat yang datang dari Malaysia, telah membantu dengan baiknya.
Ketika masuk waktu solat, maka ada dari kalangan penyelamat-penyelamat itu telah pergi ke Masjid untuk menunaikan solat. Apa yang mengejutkan kepada mereka adalah, didalam masjid yang ingin didirikan solat itu terdapat didalamnya beberapa patung hindu dan palang Salib kristian. Bertanyakan kepada masyarakat disitu, mereka menjawab, keadaan sebegini adalah sudah biasa dan dianggap sesuatu yang tidak salah disisi mereka. (lihat dalam bernama.com)
Dari berita ini, saya merasakan bahawa musibah gempa bumi yang menimpa masyarakat yogyakarta adalah berpunca dari sikap pluralisma dan liberalisma yang diamalkan oleh masyarakat disitu.
Begitujuga, jika diperhatikan kepada firman-firman Allah, banyak gambaran yang dinyatakan bahawa punca terbelah awan dan bumi, kehancuran bukit bukau adalah disebabkan dengan sikap manusia yang telah melakukan syirik dan dosa terhadap Allah.
Firman Allah yang bermaksud;
Dan mereka berkata: "Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak."(88) Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar (89) hampir-hampir langit pecah karena ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh (90) karena mereka mendakwakan Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. (91) Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak (92) (surah maryam : 88-92)
Ayat ini menjelaskan bahawa langit, bukit bukau, gunung ganang dan sebagainya menjadi hancur dengan sebab sikap manusia yang telah melakukan syirik kepada Allah.
Jika dalam surah Maryam dari ayat 88 hingga 92, Allah menggambarkan kemarahan-Nya dengan sikap manusia ketika itu yang mengatakan bahawa Allah adalah tuhan yang mempunyai anak. Maka dengan itu, tidak mustahil punca berlakunya gempa bumi yang berlaku di yogyakarta adalah berpunca dari sikap pluralisma dan liberalisma yang diamalkan disana.
PLURALISMA DAN LIBERALISMA DI MALAYSIA
Kebimbangan bala dan azab dari Allah yang menimpa Malaysia adalah amat ketara. Kalau dua tiga tahun lepas, kejadian tsunami telah menimpa Acheh dan Malaysia juga terkena tempias dari musibah tersebut.
Kini, tsunami rompak bank, mencuri, rogol, ragut, kenaikan harga minyak dan sebagainya telah menimpa negara ini. Ini adalah berpunca dari sikap pihak berkuasa kerajaan yang tidak menambil tahu kepentingan Islam di negara ini.
Firman Allah yang bermaksud ;
Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Ka'bah) (3) Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan. (4) (surah Al-quraish : 3-4)
Jika ayat ini menceritakan tentang sifat kaum quraish yang suka bermusafir pada musim panas ke Syam dan musim sejuk ke Yaman untuk berniaga. Tetapi hakikat keamanan Quraish adalah berpunca dari penyembahan mereka kepada Allah, tuhan yang telah menghilangkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.
Dalam ayat di atas ini, Jelas menggambarkan kepada kita bahawa, keamanan dari ketakutan dan keselamatan dari kelaparan adalah berpunca dari sikap manusia yang menyembah Allah.
Penyembahan tersebut, tidaklah terbatas kepada penyembahan berbentuk ibadat, bahkan maksud dengan penyembahan adalah ketaatan kepada system perundangan, ekonomi, kekeluargaan dan sebagainya yang berasaskan kepada system Allah.
Sesungguhnya masyarakat Malaysia sedang berada dalam kelaparan dan huru hara.
Terpaksa berbelanja lebih dikala kenaikan harga barang, yang berpunca dari kenaikan harga minyak adalah kelaparan yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini.
Pembunuhan dimana-mana, rogol, rasuah, dipukul dan sebagainya menandakan bahawa masyarakat Malaysia sedang berada dalam keadaan yang tidak mendapat keselamatan.
Semua ini adalah berpunca dari sikap kerajaan yang tidak mendaulatkan hukum Allah.
KELAHIRAN KELOMPOK SIS, ARTIKLE 11, IFC DAN SEBAGAINYA
Apabila kelahiran golongan SIS (sisters in Islam), article 11, IFC dan sebagainya, pihak kerajaan tidak pernah mengambil apa-apa tindakan dari mereka, walaupun jelas, mereka sedang berusaha hendak menghancurkan Islam, melalui serangan pemikiran dan undang-undang.
Mereka mengadakan program seminar penggubalan agama islam sebagai agama rasmi yang tertulis dalam perlembagaan persekutuan, mendapat tempat dan diberi peluang menyatakan hak mereka dengan alasan kebebasan.
Apabila pemuda-pemuda Islam yang merasakan bahaya yang akan menimpa kepada Islam di Malaysia, mereka mengadakan demonstrasi bagi membatalkan seminar tersebut, lalu pemuda-pemuda islam tersebut diberi gelaran bodoh dan sebagainya.
Apa yang memelikkan, mereka mendakwa bahawa negara ini sebagai negara Islam, tetapi apabila isu Islam yang dibangkitkan, maka isu itu akan diherdik dan diberi peluang untuk dihina. Tetapi apabila ada pihak yang mengadakan program yang memberi kesan bahaya kepada Islam, maka pihak tersebut mendapat perhatian yang tinggi dari pihak menteri-menteri Islam Hadhari itu.
HAKIKATNYA...............
Melihat kepada realiti sekarang, kerajaan Malaysia bukanlah kerajaan yang mahukan Islam, bahkan kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang telah menjadikan Islam sebagai batu loncatan bagi mereka mengekalkan dakyah secular mereka.
Mengapa mufti diberi ruang untuk di tohmah dan dihina, dikala beliau menyatakan kebimbangan beliau terhadap budaya pluralisma dan liberalisma yang berlaku di negara ini, tetapi golongan SIS, Artikle 11, IFC tidak ditohmah dan dihina dikala mereka mengadakan program-program dan kempen-kempen yang sememangnya jelas mencabar Islam?
Mengapa ramai orang melayu Islam merasakan kebimbangannya terhadap golongan bukan islam dan gangguan kepada masyarakat majmuk, dikala mufti mengeluarkan kenyataan tentang budaya pluralisma dan liberalisma, tetapi dimanakah mereka-mereka tersebut, dikala Nabi Muhammad di hina, Undang-undang Islam di maki, keadilan islam dicabul dan sebagainya?
Ingatlah wahai saudaraku seagama !!!!!!!!!
Apabila bala menimpa, Allah tidak akan membezakan antara orang Islam atau bukan islam. Tidak membezakan orang PAS atau orang bukan PAS, bahkan bala tersebut tidak mustahil akan menimpa diri kita semua, ekoran sikap kita tidak berusaha melakukan amar makruf dan nahi mungkar di kala maksiat berleluasa dan Islam dihina dimana-mana.
Wallahu ‘alam
One_G
Laptopdarulfiqh.blogspot.com
Abu_abdillah_azzam@yahoo.com
Tuesday, June 20, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Bagus!
Post a Comment