Saturday, June 17, 2006

SEKULARKAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA?

SEKULARKAH PERLEMBAGAAN MALAYSIA?

Perlembagaan Malaysia merupakan rujukan utama dalam Negara Malaysia ini, ianya di asaskan ketika pembubaran Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu di tubuhkan.

Bermula dari situlah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di isytiharkan iaitu pada 1 Februari 1948[1].

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini tertubuh dengan mengikut acuan sekular, samada dari pembentukan dan penyusunannya. Ianya di tubuhkan oleh satu badan perlembagaan di bawah jajahan British yang dinamakannya sebagai badan suruhanjaya reid yang dikepalai oleh seorang hakim British iaitu lord reid.[2]

Antara penyataan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 adalah seperti berikut;

(a) Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk dianggotai oleh sembilan buah negeri, iaitu Selangor, Johor, Pahang, Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Negeri Sembilan dan dua negeri-negeri selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang.
(b) Persekutuan tanah Melayu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British;
(c) Kedaulatan Raja-raja Melayu dikekalkan dan menjadi Raja berpelembagaan;
(d) Hak istimewa orang Melayu dikekalkan
(e) Syarat pemberian hak kerakyatan dikekalkan[3]

Perlembagaan persekutuan Tanah Melayu 1948 ini telah di gubal pada 1956 apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan pada bulan ogos 1957, perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diisytiharkan[4].

Pembentukan perlembagaan ini dicapai hasil daripada rundingan dan tolak ansur antara rakyat pelbagai kaum, terutamanya yang berkaitan dengan;

(a) Syarat pengurniaan kerakyatan kaum lain;
(b) Hak keistimewaan orang Melayu

Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 ini menjadi asas kepada pembentukan perlembagaan Negara kita pada hari ini[5].

Banyak kenyataan-kenyataan yang menyatakan bahawa perlembagaan persekutuan ini adalah sekular, antaranya adalah seperti Tunku Abdul Rahman putra iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Perdana Menteri kedua dan ketiga juga mengisyitiharkan Perlembagaan Persekutuan ini adalah sekular.

Begitjuga, ramai dari tokoh-tokoh undang-undang Negara yang menyatakan bahawa perlembagaan persekutuan adalah sekular, antaranya adalah Tun Salleh Abbas, Al-Marhum Tun Sufian dan Al-marhum Tan Sri Hashim Yop A. Sani[6].

DEFINISI SEKULAR

Perkataan sekularisme berasal dari kata Yunani iaitu “saeculum” yang beerti “keduniaan”. Kemudian istilah itu dipakai dalam bahasa Inggeris dengan perkataan “secular”.[7]

Dr Atiah Saqqar menyatakan pula, sekular atau dalam bahasa arabnya “Ilmaniyyah” adalah berasal dari bahasa eropah yang memberi makna “لا دينية” iaitu “tiada keagamaan (dalam apa juga tindakan, keadaan dan sebagainya).[8]

Adapun definisinya dari segi Istilah adalah seperti berikut;

Drs. A. Shamad Hamid : “Sekularisme adalah suatu fahaman atau aliran yang menganggap bahawa ajaran agama harus dipisahkan dari urusan Negara. Agama tidak berhak mencampuri urusan politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang dan kenegaraan”

Muhammad Al-Bahi : “secularisme adalah suatu kepercayaan dan kefahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan dan ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan Negara, politik dan pedtadbiran”.[9]

SEJARAH KELAHIRAN FAHAMAN SEKULAR

Sejarah kelahiran fahaman sekular adalah bermula di Eropah dalam abad pertengahan. Ianya bermula dari ketidak puas hatinya masyarakat Eropah terhadap sikap golongan gereja ketika itu yang ingin berkuasa secara mutlak dan gagal membawa kemajuan.

Dengan situasi itulah, dizaman renaissance, lahir tokoh-tokoh pemikir di kalangan masyarakat Eropah yang berani menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sikap golongan gereja yang terlalu mengongkong dan menyekat kebebasan berfikir dan menyuarakan kehendak hati masing-masing.

Usaha demi usaha dilakukan oleh golongan pemikir tersebut, menyebabkan usaha mereka berjaya dan mereka berjaya membezakan antara urusan gereja dan urusan kenegaraan. Mereka memperuntukan urusan perkahwinan, ibadat, kematian, kebajikan dan sebagainya kepada gereja dan urusan pentadbiran Negara, pendidikan, pertanian dan sebagaikan kepada pihak Negara.[10]

Secara menyeluruhnya, dapat dirasakan bahawa kelahiran fahaman secular ini adalah berpunca dari kekalahan golongan kuffar barat dari tangan umat Islam dalam peperangan salib.

Dalam kekalahan itu, pihak kuffar barat mempelajari bahawa umat Islam tidak boleh dikalahkan dengan kekuatan badan, ini kerana, kekuatan badan umat Islam adalah berpunca kekuatan aqidah mereka.

Oleh yang demikian, mereka telah menyusun strategi bagi melawan umat Islam, bukan lagi dengan kekuatan badan tetapi mereka menyerang kekuatan aqidah umat Islam atau dinamakan sebagai “ghuzwah al-fikri” atau serangan pemikiran.[11]

Berbagai-bagai strategi yang telah dilakukan golongan kuffar barat tersebut, seperti mereka membaratkan ilmu-ilmu islam, memalsukan Aqidah umat Islam, melemahkan semangat jihad, menghapuskan undang-undang Islam dan menggantikan dengan undang-undang barat, membaratkan umat Islam menerusi berbagai-bagai cara, meragukan umat Islam dari agamanya, memperkenalkan sistem pemerintahan yang membezakan antara agama dan pemerintahan yang lebih dikenali sebagai sekular dan sebagainya.

Dari sudut pendidikan, mereka mendidik akal umat Islam sehinggakan kejayaan itu terserlah dengan pemikiran umat islam yang sanggup menyatakan bahawa, jika umat Islam hendak mendalami ilmu Islam, mestilah pergi dibarat.

Mereka juga berjaya mendidik pemikiran umat islam supaya mementingkan urusan keduniaan berbanding urusan akhirat.[12]

Dalam sistem pemerintahan, mereka perkenalkan dengan system pemerintahan sekular yang telah mereka kuasai banyak Negara umat-umat Islam, termasuklah Malaysia.

PERLEMBAGAAN MALAYSIA : ANTARA ISLAM DAN SEKULAR

Ada dari kalangan umat Islam kini mengatakan bahawa perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan Islam, bukan sekular dengan alasan mereka kepada perkara 3 fasal (1) perlembagaan Malaysia : “Agama Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan”[13]

Bagi menjawab anggapan ini, hendaklah kita kembali kepada pemahaman maksud sebenar “agama persekutuan” dan sejarahnya.

Setelah parti perikatan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya dalam bulan jun 1955, maka satu jawatankuasa penggubal perlembagaan telah dibentuk dalam bulan Mac 1956 yang diketuai oleh Lord Reid. Laporan jawatankuasa itu telah siap dalam bulan Disember, 1956. Akhirnya perlembagaan Persekutuan di luluskan oleh majlis perundangan persekutuan pada 27hb. Ogos, 1957.

Peruntukan mengenai Islam dalam perlembagaan tersebut adalah semata-mata bagi mengekalkan hak Raja-raja Melayu mengenai adat istiadat dan agama Islam sebagaimana yang telah ditetapkan dalam perjanjian persekutuan tahun 1895. Oleh yang demikian, peruntukan mengenai Islam dalam Perlembagaan Malaysia itu tidak ada maksud sama sekali untuk mendaulatkan agama Islam.

Adapun maksud sebenar bagi agama Islam adalah agama persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia adalah agama Islam diberi keistimewaan dalam kegiatannya seperti pihak kerajaan boleh menggunakan “kumpulan wang awam” untuk pembinaan Masjid, gaji Imam, mendirikan sekolah agama, Yayasan islam dan sebagainya.

Peruntukan perkara 3 fasal (1) itu bukanlah bermaksud undang-undang islam atau syarak menjadi undang-undang Malaysia, sebab Malaysia ditubuhkan berdasarkan falsafah barat yang memisahkan agama dari urusan pemerintahan.

Melihat kepada keadaan ini, Islam dalam perlembagaan Malaysia bukanlah bermakna Islam di Malaysia boleh di daulatkan, tetapi ianya hanya mampu dalam penyebaran dan perkembangan Islam di Malaysia.[14]

BENTUK PERLEMBAGAAN ISLAM

Melihat ulasan di atas berkenaan Perlembagaan Malaysia maka jelas kepada kita ianya bercanggah dengan system pemerintahan islam, ini kerana, Islam adalah agama yang mesti didaulatkan dalam semua sudut, samada dari sudut pemerintahan, perlaksanaan dan sebagainya, bukan sekadar untuk diperkembangkan dan disebarkannya sahaja.

Kerajaan islam menjadikan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai bahan rujukan utama berbeza dengan cara pemerintahan Malaysia yang meletakan rujukan utama adalah perlembagaan Malaysia yang ditubuhkan mengikut acuan sekular itu.

Buktinya adalah kepada system pemerintahan yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w, dengannya dapat diketahui dengan terbentuknya sebuah piagam madinah yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Di dalamnya adalah menyebut;

انكم مهما اختلفتم فيه من شيء فان مرده الى الله عز و جل والى محمد – صلى الله عليه و سلم

Maksudnya;
“Sesungguhnya kamu, apabila kamu berbeza-beza padanya daripada sesuatu perkara, maka sesungguhnya, tempat kembalinya adalah kepada Allah dan kepada Muhammad s.a.w”[15]

Ini menyalahi dengan Perlembagaan Malaysia yang menetapkan bahawa perlembagaan persekutuan Tanah Melayu 1957, yang penggubalannya di ketuai oleh seorang hakim British yang bernama Lord Reid, sebagai asas rujukan dan pembentukan perlembagaan hari ini.[16]

Di dalam pemerintahan Islam, Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w berada di tempat yang paling tinggi. Majlis syura hanyalah berperanan untuk menentukan bentuk perlaksanaan perkara-perkara qatii (putus), bukan memutuskan samada setuju atau tidak perlaksanaanya. Adapun nas Al-Quran dan Al-Hadis yang khilaf, majlis Syura ini berperanan memilih mazhab-mazhab atau pendapat yang paling maslahat untuk rakyat.

Dari sinilah terbentuknya perlembagaan Islam. Kemudiannya perlembagaan Islam itu akan dikuatkuasakan oleh kuasa eksekutif[17].

Melihat kepada keterangan ini, fahamlah kita, bahawa undang-undang dalam Negara Islam wujud sebelum wujudnya Negara. Adapun undang-undang Negara bukan islam wujud selepas wujudnya Negara[18].

Jelaslah, Perlembagaan Malaysia bukanlah perlembagaan Islam seperti didakwa oleh sesetengah pensyarah Universiti tempatan bahkan ianya adalah perlembagaan sekular yang bercanggah dengan Islam.



Wallahu A’lam

One_G
Laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Lihat buku “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 104 : Hammal Umar: Sasbadi Sdn Bhd : 2000/2001
[2] Lihat buku “Syubhat wa Uqbat haul Tatbiq as-Syariah fi Maliziya” : m/s 17 : Abdul Hadi bin Al-Haj : Dar At-Tauzik wa an-nasyr al-islamiyyah : 2004.
[3] Lihat buku “ Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 104 : Hammal Umar : Sasbadi Sdn Bhd : 2000/2001
[4] Lihat buku “Target PKSR Kajian Tempatan” :m/s 104 : Hammal Umar : Sasbadi Sdn Bhd : 2000/2001
[5] Lihat buku “Target PKSR Kajian Tempatan” : m/s 105 : Hammal Umar : Target PKSR Kajian tempatan : 2000/2001
[6] Lihat “Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari” : m/s 39 : Abdul Hadi Awang : Nufair Street sdn bhd : 2005.
[7] Lihat “Islam dalam Kehidupan Masyarakat” :m/s 104. : Zaluddin Haji Sulaiman : Darul Nu’man : 1995
[8] Lihat “Al-Fatawa min Ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam” m/s 413 : Syaikh Dr Atiyyah Saqqar : Al-Maktabah At-Taufiqiyyah : tanpa tarikh.
[9] Lihat “Islam dalam Kehidupan Masyarakat” m/s 105 : Zaluddin Haji Sulaiman : Darul Nu’man : 1995
[10] Lihat “Islam dalam kehidupan Masyarakat” m/s 105-106 : Zaluddin Haji Sulaiman : Darul Nu’man : 1995
[11] Lihat “Tasawwur Islam” :m/s 6 : Prof. Dr Haron Din : Hizbi Sdn Bhd : 1992


[12] Lihat “Tasawwur Islam” m/s 9-11. : Prof. Dr Haron Din : Hizbi Sdn Bhd : 1992


[13] Lihat “perlembagaan persekutuan (hingga 15hb September 2003)” m/s 2.
[14] Lihat “ Strategi menjawab sejarah Islam” m/s 564-565 : Prof. Madya Jahid Haji Sidek : Nurin enterprise : 1993


[15] Lihat “Al-Bidayah Wa An-Nihayah” (3/232) : Al-Hafiz Abi Fida’ Ismail bin Kathir : Dar At-Taqwa : tanpa tarikh
[16] Lihat “Target PKSR Kajian Tempatan” m/s 105. : Hammal Umar : Sasbadi Sdn Bhd : 2000/2001
Perlembagaan Malaysia yang ada pada hari ini adalah hasil daripada laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perlembagaan yang diketuai oleh Lord Reid yang telah disiapkan pada bulan Desimber 1956. Akhirnya Perlembagaan persekutuan di luluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 27hb, Ogos 1957: sila lihat “Strategi menjawab Sejarah Islam” m/s 559 : Prof. Madya Jahid Haji Sidek : Nurin enterprise : 1993
[17] Eksekutif : orang atau golongan yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab berkaitan dengan pentadbiran atau pengurusan sesuatu organisasi. : lihat Kamus Dewan, Edisi ketiga : m/s 329
[18] Lihat “Islam Hadhari menurut Syeikh Anwar Jundi” m/s 63. : Ustaz Haji Zaharuddin bin Mohammad : 2005

No comments: