KHILAFIYYAH : MENGAPA UMAT ISLAM TIDAK BOLEH BERSATU
Sudah tiga hari aku tidak mengaktifkan blogspot ini, ini disebabkan kesebukanku yang ketika itu aku berada di Kedah dengan beberapa urusan.
Walaubagaimanapun, aku di tugaskan menulis satu assaigment yang bertajuk “filsafat dan tasawwuf”. Assaighmant itu merupakan antara tugas yang patut aku lakukan bagi memenuhi keperluan dalam menyempurnakan sijil Master aku di IAIN, Jambi, Indonesia.
Aku tidak memulai lagi penulisan tersebut, tetapi isi dan point penulisan tersebut telah aku kaji. Insya Allah, aku juga akan memenuhi blogspot ini dengan Assaigmant tersebut.
UMAT ISLAM
Islam adalah suatu agama yang cantik dan menyeluruh. Keistimewaan Islam tidak dapat disamakan dengan agama-agama yang lain. Islam mengajar manusia dari sesuatu yang kecil kepada sesuatu yang besar.
Islam mengajar cara-cara membuang air dan berhadas. Islam juga mengajar cara-cara memimpin negara. Inilah bukti yang jelas atas kesyumulan islam berbanding dengan agama-agama, fahaman-fahaman, idealogi-idealogi yang lain.
Ekoran Islam adalah agama yang memberi rahmat kepada seluruh Alam, maka Islam telah dianugerahkan satu ‘perlembagaan’ yang menjadi dasar penganut-penganutnya. Perlembagaan hidup ini akan memimpin manusia menuju kepada kebahagiaan, samada di dunia dan di akhirat. Kebahagiaan itu juga dapat dikecapi oleh seluruh manusia, mereka yang muslim dan mereka yang non muslim.
Perlembagaan tersebut adalah Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Dengan berpegang teguh dengan perlembagaan hidup ini, muslim dapat mengecapi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Bagi mereka yang non muslim, mereka akan dapat mengecapi keadilan didalam kehidupan mereka di dunia dan akhirat dan mereka menerima kebahagiaan di dunia sahaja, tetapi tidak di akhirat.
Umat Islam adalah umat yang terbaik, tetapi kebaikan itu akan dikecapi sekiranya umat Islam itu menjadi umat yang melakukan tugas-tugas yang disuruh untuk diamalkan.
Umat Islam menjadi bahagia dan damai, sekiranya Umat Islam beramal dengan islam. Umat Islam akan jatuh kepada kesengsaraan, sekiranya mereka meninggalkan amalan-amalan Islam.
UMAT ISLAM DI ALAM REALITI KINI
Jika kita menjengok ke negara-negara umat islam diluar Malaysia, kita dapat melihat bagaimana kelemahan demi kelemahan berlaku dikalangan mereka. Kelemahan tersebut setelah dikaji adalah berpunca dari sikap umat Islam yang tidak mengambil islam sebagai dasar hidup mereka.
Umat islam di negara-negara islam sudah terbahagi kepada dua, iaitu golongan yang mahukan Islam dan golongan yang tidak mahukan Islam.
Golongan secular menjadi golongan yang paling kuat dalam negara-negara tersebut. Mereka berjaya menguasai tampuk kepimpinan negara. Ekoran dari itulah mereka melaksanakan agenda-agenda barat didalam negara mereka.
Adapun golongan yang mahukan Islam atau golongan Jemaah Islam, mereka sentiasa ditekan dan ditindas dimana-mana. Penindasan tersebut dilakukan bukanlah kerana mereka memperjuangkan sesuatu yang menguntungkan peribadi mereka, bahkan mereka ditindas ekoran perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh mereka.
Hakikat perbezaan ini, bukanlah berlaku di zaman kini, tetapi ianya telah berlaku semenjak zaman Rasulullah SAW, Sahabat-sahabat, Tabiin dan hingga kiamat.
Di zaman Rasulullah SAW, kita mendengar manusia yang bernama Abdullah Bin Ubai Bin Salul, seorang keturunan arab, berwarna kulit seperti Rasulullah SAW, berserban, berjubah dan berkopiah, menunaikan solat berjamaah dibelakang Nabi SAW, berkawan dengan para sahabat-sahabat, tetapi didalam masa yang sama, dia adalah seorang yang digelarkan sebagai ‘bapa munafiq’.
Ini menunjukan, kedekilan manusia yang bertopengkan Islam itu sememangnya wujud dan akan wujud sampai bila-bila, tetapi tugas kita, hendaklah kita pastikan kita tidak tergolong dari kelompok mereka dan berhati-hati dengan mereka.
JEMAAH ISLAM
Kelompok Umat Islam yang mahukan Islam terlaksana adalah golongan yang selalunya berada dalam jemaah islam. Mereka memperjuangkan Islam dikala Islam tidak dilaksanakan. Mereka melaksanakan Islam dikala mereka sudah memerintah.
Apa yang menyedihkan, ada dari kalangan ahli Jemaah islam yang tidak mempunyai sikap dan sifat ketaatan terhadap pemimpin mereka. Setelah mereka berduka cita dan merasakan mereka ‘lebih cerdik’ dari kepimpinan jemaah, mereka tidak meluahkan perasaan mereka kepada pemimpin tersebut didalam ruangan yang disediakan, tetapi mereka menghentam dan mengambil sikap keluar dari jemaah dan menubuhkan jemaah yang lain serta mendakwa bahawa jemaah sebelum itu adalah jemaah yang salah dan tidak menepati dengan kehendak syarak.
Apa yang memelikkan, agenda yang mereka bawa itu beralasan dengan memperjuangkan kebahagiaan ummah. Maka ekoran dari itu mereka mencetuskan beberapa pandangan sehinggakan mereka mengiktiraf jemaah maksiat juga tergolong dari kelompok jemaah Islam juga.
Apakah mereka tidak berfikir tentang istilah ‘suci dalam debu’ yang diperjuangkan oleh salem didalam lagunya.
Adakah mereka sanggup makan daging yang dimasak didalam satu kawah gulai daging lembu yang bercampur dengan tahi-tahi lembu?
IJTIHAD ATAU TAASSUB
Dalam mendepani cabaran perjuangan Islam, perlu mengambil sifat ‘fatonah’ atau kecerdikan dalam melaksanakan tugas-tugas itu.
Tanpa fatonah, maka perjuangan Islam adalah perjuangan yang dianggap sebagai jemaah yang ‘mandul’ dan ‘mati pucuk’.
Seorang perempuan yang mandul atau lelaki yang mati pucuk, tidak memberi apa keistimewaan dalam kehidupannya, ekoran dari itu, perempuan atau lelaki tersebut akan merasakan dirinya bermasalah dalam menghadapi liku-liku kehidupannya itu.
Antara ‘kefatonahan’ didalam Jemaah islam ialah Jemaah itu mempunyai kekuatan didalam berijtihad dalam melakukan beberapa tindakan.
Ijtihad itu mestilah dilakukan bagi mereka yang berkemampuan dalam berijtihad. Mereka mesti berkelayakan dalam bidang ilmu-ilmu Islam dan memahami sesuatu benda yang hendak diijtihadkan.
Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan di dalam bukunya “fatawa Muasirah” jilid ke-2. di muka surat 649, ijtihad itu boleh berlaku dengan 3 sebab, iaitu seperti berikut;
a. Perkara yang tiada nas.
b. Perkara yang ada nas, tetapi mengandungi banyak tafsiran.
c. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai percanggahan dari segi pemahaman nas tersebut dengan nas-nas yang lain.
Perkara ijtihad juga berlaku kepada perkara-perkara yang mengandungi ‘zanniyatud dilalah’ atau pengambilan dalil secara zan.
Adapun dalam perkara yang disepakati pemahamannya, tidak boleh lagi berlaku ijtihad padanya.
IKTILAF
Ikhtilaf bermaksud perbezaan. Perbezaan yang dimaksudkan adalah perbezaan pendapat dalam perkara-perkara yang diijtihadkan.
Adapun perkara yang telah diijmakkan, atau ijtihad yang bersandar kepada dalil-dalil yang tidak betul, maka tidak boleh berlaku ikhtilaf padanya.
Ikhtilaf itu boleh berlaku kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah atau fiqh.
IKHTILAF DALAM PERKARA AQIDAH
Aqidah mengikut ulasan Dr Basri Ibrahim didalam bukunya “Bidaah, ikhtilaf dan Maslamat umum’ perkara aqidah terbahagi kepada dua, iaitu aqidah dharuri dan aqidah nazhari.
Aqidah dharuri adalah aqidah yang tidak perlu dibahasakan panjang dan boleh difahami tanpa memikirkan secara mendalam, seperti kewujudan Allah, keesaan Allah, kewujudan Nabi SAW dan sebagainya.
Aqidah Nazhari pula adalah aqidah yang memerlukan kepada kajian. Ianya kadangkala berpunca dari pelbagai tafsiran dari ulama tentangnya, seperti ayah dan ibu nabi, adakah mereka ahli syurga atau tidak, Khaidir adakah seorang nabi atau tidak dan sebagainya.
Dr Basri bin Ibrahim menyatakan, Aqidah Dharuri, dilarang berlaku ikhtilaf padanya, tetapi ikhtilaf boleh berlaku kepada perkara aqidah yang berbentuk Nazhari.
IKHTILAF DALAM PERKARA FIQH
Perkara fiqh adalah perkara yang selalu dikaitkan dengan ikhtilaf.
Walaubagaimanapun, tidak semua perkara yang yang berkaitan dengan fiqh boleh berlaku ikhtilaf, bahkan sekiranya sesuatu dalil yang dikemukakan terdiri dari ulasan yang tidak menepati dengan kehendak dan ‘turuq istinbat’ yang benar, maka ijtihad tersebut di tolak dan ternafilah ikhtilaf yang dibenarkan oleh Islam dalam masalah fiqh tersebut.
Persoalan berkenaan hukum murtad dibawah ketagori hukum hudud atau takzir adalah antara ikhtilaf fiqh yang tidak boleh ditoleransikan. Ini kerana, agenda meletakkan hukum murtad dibawah hukum takzir adalah agenda yang di lakukan oleh kelompok-kelompok secular yang sesat, menyesatkan.
Hadis yang berbunyi ;
من بدل دينه فاقتلواه
Maksudnya;
“barangsiapa yang menukar akan agamanya (murtad), maka hendak bunuh akannya”
Jelas membuktikan hukuman bunuh kepada orang murtad.
Tetapi hakikatnya, mereka sengaja mengemukakan beberapa ‘isykal’ dan keraguan tentang hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan At-Tarmizi itu dengan mendakwa ianya adalah hadis ahad.
Mereka beralasan, hadis ahad tidak boleh berhujjah dan dijadikan dalil bagi hukum-hukum yang berkaitan dengan fiqh jinayah dengan alasan hadis Rasulullah SAW;
ادرءوا الحدود بالشبهات
Maksudnya;
“tolak olehmu akan hudud (tidak perlu laksanakan hudud) dengan (sebab) ada syubhat”
Menurut mereka, Hadis ahad tidak sampai kepada darjat yaqini, bahkan dia hanya sekadar darjat zanni. Disebabkan darjat zanni itulah menyebabkan ianya dikira sebagai syubhat,
Idea ini sebenarnya hakikat permulaan penolakan hukum Islam, ini kerana, banyak hukum-hukum dalam Islam bersandarkan kepada hadis-hadis Ahad.
Apakah mereka tidak mengetahui bahawa tidak ada dalil atas perbuatan nabi menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan liwat, tetapi hukumnya tetap disepakati oleh ulama sehinggakan sampai kepada darjat Ijmak Para Sahabat.
Begitulah halnya kepada hukum bunuh kepada orang murtad.
Adakah mereka berani mengatakan tindakan Saidina Abu Bakar as-siddiq membunuh orang yang ingkar membayar zakat sebagai sesuatu yang salah?
TOLERANSI DALAM PERKARA IKTILAF YANG DIBENARKAN
Ikhtilaf yang dibincang diatas telah kita perincikan. Dari ulasan tersebut, maka kita memahami bahawa ikhtilaf itu terbahagi kepada dua, iaitu ikhtilaf yang mesti di toleransikan dan ikhtilaf yang tidak boleh ditoleransikan.
Perkara ikhtilaf yang tidak boleh di toleransikan dikenali juga dengan nama “tanazuk” seperti firman Allah;
فان تنازعتم فى شئ فردواه الى الله و الرسول
Maksudnya;
“Maka jika kamu bertanazuk dalam sesuatu (urusan), maka hendaklah kamu kembali kepada Allah dan Ar-Rasul”
BIDAAH : ANTARA IKHTILAF ATAU TANAZUK
Perkara bidaah juga antara perkara yang sering dibincangkan oleh masyarakat Islam kini, terutama dari kalangan lepasan-lepasan dari benua India dan semenanjung arab.
Apa yang perlu difahami, bidaah adalah sesuatu perdebatan yang berada dibawah katagori ‘iktilaf’ bukan ‘tanazuk’.
SIKAP KITA KEPADA IKTILAF DAN TANAZUK
Sikap yang perlu dibina bagi menghadapi perkara “ikhtilaf” adalah seperti berkata Syaikh Sayed Ridha ;
نتعاون فيما اتفقنا عليه و يعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه
Maksudnya;
“Bantu membantu pada perkara yang disepakati atasnya dan bertoleransi setengah kita dengan setengah (yang lain) pada perkara yang di iktilafkan padanya”
Adapun sikap kita dalam menghadap tanazuk adalah, kita mesti lawan sehinggakan kebenaran itu jelas dan terlaksana di muka bumi.
Firman Allah;
اذا جاء الحق وزهق الباطل , ان الباطل كان زهوقا
Maksudnya;
“apabila datang kebenaran dan hancur kebatilan, sesungguhnya kebatilan adalah sesuatu yang binasa”.
KESIMPULAN
Wahai Umat Islam, berhentilah dari bertikam lidah dalam perkara iktilaf. Jika perkara ikhtilaf hendak dibincangkan juga, bincangkan dalam keadaan adil, tanpa kutuk mengutuk, bermasam muka, bahkan berbincanglah perkara tersebut dengan muka yang senyum, berkasih sayang dan boleh menjadikan kita berpeluk sesame kita selepas dari perbincangan tersebut.
Marilah kita bersatu dalam menghadapi perkara ‘tanazuk’. Melawan dalam menghadapi golongan syirik, tidak kira ianya orang melayu atau orang bukan melayu.
Melayu bukan bukti kebenaran, tetapi kebenaran itu datang dengan Islam.
Takbirr!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
Monday, June 26, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment