ZAKAT DALAM KHUTBAH JUMAAT?
Hari Jumaat adalah penghulu sekelian hari. Antara kelebihan di hari Jumaat adalah, umat Islam bersama-sama menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di masjid-masjid.
Hari Jumaat, 16 June 2006. aku telah pergi ke Masjid Bandar Baru sungai Buloh atau dikenali dengan masjid kuning sungai Buloh, untuk menunaikan solat Jumaat.
Aku sampai agak terlewat, iaitu ketika bilal sedang melaungkan azannya yang kedua. Setibanya aku di masjid, Imam sudah memulai khutbahnya.
Aku tidak memperdulikan khutbah tersebut, ini kerana, aku belum lagi menunaikan solat sunat Tahyatul masjid.
Tanpa menghiraukan khutbah yang dibaca, aku menunaikan solat sunat tahyatul masjid secara ringan, dua rakaat sebagai mengikut suruhan nabi terhadap seorang sahabat yang datang lambat untuk solat Jumaat, iaitu ketika Rasulullah s.a.w sedang berkhutbah, lalu Rasulullah SAW yang sedang berkhutbah itu bertanyakan kepada sahabat tersebut, adakah dia sudah menunaikan solat tahyatul masjid atau belum, lalu dijawabnya, belum. Maka Rasulullah SAW pun menyuruh dia bangkit dan menunaikan dua rakaat yang ringan.
Walaupun ulama berselisih pendapat tentang solat dua rakaat tersebut, adakah ianya adalah solat Tahyatul Masjid atau dua rakaat qabliyyah Jumaat. Walaubagaimanapun, pendapat yang kuat menyatakan, dua rakaat tersebut adalah dua rakaat Tahyatul masjid, bukan dua rakaat Qabliyyah Jumaat, ini kerana, tiada dalil yang menyokong bahawa wujudnya sunat qabliyyah Jumaat.
SETELAH SOLAT TAHYATUL MASJID
Setelah selesai menunaikan solat sunat tahyatul masjid, aku pun menumpukan perhatianku kepada khutbah yang dibaca oleh Khatib yang berasal dari negeri terengganu itu.
Khatib membaca khutbah tersebut dengan pelat terengganu, sehinggakan, agak ‘lucu’ juga apabila dia menyebut beberapa kalimah yang berasal dari inggeris, tetapi ‘pelat’nya itu telah mengalahkannya dari menyebut kalimah tersebut dengan betul. Tapi apakan daya, terimalah seadanya.
Memerhatikan khutbah tersebut, rupa-rupanya, focus khutbah jumaat minggu ini adalah berkenaan zakat.
Zakat adalah salah satu sumber ekonomi yang diwujudkan oleh islam. Maqasid disebalik zakat adalah bertujuan hendak menjaga mereka-mereka yang lemah, samada dari kalangan fakir, miskin, orang yang dalam fi sabilillah, Ibnu Sabil dan sebagainya.
Firman Allah yang bermaksud;
“sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang faqir, orang-orang miskin, amil-amil zakat, para muallaf yang di pujuk hatinya, untuk (memerdeka) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (surah At-taubah : 60)
Bahkan berlaku dizaman Omar Abdul Aziz, dikala zakat terlalu banyak, maka Omar telah menyuruh mencari orang yang hendak berkahwin, tetapi tidak mencukupi kewangan, bahawa berhubung dengan pihak kerajaan untuk memohon bantuan zakat, bagi memudahkan urusan perkahwinannya.
Berbalik dengan khutbah jumaat tadi, aku terfikir, tidak ada satupun isi khutbah tersebut menyebut tentang pembelaan kepada fakir miskin, ibnu sabil, fi sabilillah dan sebagainya.
Bahkan khutbah itu dipenuhi dengan larangan tidak membayar zakat dan balasan azab kepada orang yang tidak menunaikan tanggungjawabnya menunaikan zakat.
Apa yang menyebabkan aku terfikir lagi berkenaan ulasan khatib tersebut (berdasarkan teks yang dibaca), apakah pihak kerajaan ini sangat suka mementingkan unsur-unsur yang menguntungkan berbentuk kebendaan dari unsure-unsur yang berbentuk kerohaniaan.
Aku tidak bermaksud, zakat tidak memberi impak besar kepada rohani, tetapi apa yang difikirkan adalah, selayaknya khutbah kali ini membincangkan tentang penyelewengan terhadap Islam dengan tertimbulnya usaha-usaha yang hendak mengliberalkan Islam, dengan berbagai-bagai tindakan dan program, seperti mengadakan program kongsi raya, semua agama adalah baik dan sebagainya.
Jika hendak dibincangkan perkara yang berkaitan zakat pun, itu tidak mengapa, tetapi kenapa perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hukum orang yang tidak membayar zakat berbanding pengagihan zakat yang sempurna?
Berdasarkan kepada pengalamanku sendiri. Aku telah mengislamkan seorang lelaki berketerunan cina dari pulau pinang. Aku berjaya mengislamnya, selepas aku mengajar di surau Al-Azhar, apartment Cempaka, Bandar Sri Damansara. Melihat kepada tempat yang diislam itu di surau yang bernama Al-azhar, maka aku namakan cina tersebut dengan nama Azhar juga.
Keislamannya itu menyebabkan aku berbangga, ini kerana, aku sebagai seorang yang bergelar ‘ustaz’, apabila ditanya oleh Allah diakhirat nanti tentang usaha dakwahku kepada non muslim, sekurang-kurangnya aku ada jawapan yang diberikan bahawa, aku sudah mengislamkan seorang lelaki cina.
Selang beberapa minggu, Azhar yang diislamkan itu telah menelefonku menceritakan masalah kewangan yang dihadapinya. Lalu tanpa melengahkan masa, aku mengambil dia di Sri damansara dan membawa dia pergi di pejabat Pusat Zakat Selangor di Bukat Rahman Putra untuk membuat permohonan zakat dari PPZS (Pusat Pungutan Zakat Selangor).
Apa yang menyedihkan, semasa aku sampai di pejabat tersebut, aku terpaksa menunggu, kerana ada seseorang yang sedang membayar zakat. Dikala orang tersebut sudah selesai, si ustaz kaunter zakat tersebut bersalaman dengan lelaki tersebut dengan cara berdiri, sebagai tanda penghormatannya kepada orang yang membayar zakat di PPZ itu.
Tibalah giliranku bersama azhar untuk berjumpa dengan kaunter zakat tersebut. Apabila menceritakan hasrat kedatangan kami tersebut, kaunter tersebut melayanku dengan sikap ‘acuh tak acuh’ dan tidak menghormati kami. Mungkin penghormatan itu tidak layak diberikan kepada kami kerana kedatangan kami tidaklah sepertimana kedatangan lelaki sebelum kami tadi.
Bukan sekadar itu sahaja, kaunter itu menyatakan, azhar tidak boleh menerima zakat disitu, bahkan dia mesti pergi ke pejabat agama yang berhampiran terlebih dahulu, untuk mengesahkan keislamannya terlebih dahulu.
Apa yang memelikkanku ketika itu adalah, Azhar telah menunjukan kad keislamannya berserta kad pengenalannya. Apakah itu tidak memadai?
Disebabkan meraikan dan menghormati pihak PPZ, aku ikut saja kata-kata kaunter tersebut dan terus pergi ke Pejabat Agama Islam Selangor (JAIS) di Kuang untuk menyatakan hasrat kami itu.
Setelah sampai disana, kami diperkenalkan dengan seorang pegawai pejabat agama yang menjaga hal ehwal muaalaf yang baru masuk Islam.
Apa yang menyedihkan lagi, setelah ditanya, jawapan yang diberikan kepada kami adalah, Azhar tidak layak menerima zakat kerana dia masuk Islam tidak sampai 1 tahun lagi.
Persoalan yang terfikir kepadaku, adakah ini layanan kerajaan terhadap orang muallaf yang baru masuk Islam?
Tidak hairanlah, jika Malaysia yang didakwa oleh pemimpin-pemimpinya sebagai Negara Islam, tetapi golongan non muslim berani melawan islam.
Tidak hairan juga, jika Dato’ Dr Harussani sendiri pernah mendedahkan bahawa sudah ada 250,000 orang yang sudah berdaftar untuk menjadi murtad, keluar dari islam.
Sepatutnya, zakat sangat-sangat digalakan diberi kepada orang baru masuk Islam. Barulah dikatakan sebagai ‘muallafah al-qulub’.
Bahkan ada fatwa dari ulama menyatakan kebenaran diberikan zakat kepada orang yang bukan islam, tetapi dia sudah mempunyai cirri-ciri kehendaknya menerima Islam.
HAKIKAT KERAJAAN MALAYSIA
Kerajaan sangat bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab mengutip zakat, tetapi mereka tidak bersemangat membahagikan zakat mengikut kehendak Islam yang sebenar.
Mungkin silapnya pada namanya, ini kerana, nama PPZ ketika itu adalah “PUSAT PUNGUTAN ZAKAT” atau sekarang sudah ditukar kepada LPZ iaitu “LEMBAGA PUNGUTAN ZAKAT”.
Kalau nama itu puncanya, selayaknya pihak kerajaan menubuhkan satu lagi badan yang bernama “PUSAT PENGAGIHAN ZAKAT”, agar zakat tidak dijadikan sebagai barang simpanan atau barang muzium.
Firman Allah yang bermaksud;
“dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya kepada jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka mendapat) siksa yang pedih. Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka Jahannam, lalu dibakarka dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan kepada mereka). “inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu” (surah at-taubah : 34-35)
Pihak Kerajaan mereka-reka system birokrasi, dengan alasan bimbang duit zakat diselewengi, sedangkan dalam masa yang sama, pihak kerajaan tidak memandang berat dengan penyelewengan dari pihak menteri.
Pihak kerajaan, sangat ‘cakna’ kepada pungutan zakat, tetapi pihak kerajaan tidak ‘cakna’ kepada golongan-golongan yang tidak sembahyang, menghina Islam, sisters in Islam, IFC dan sebagainya.
Inilah hakikat kerajaan Islam Hadhari yang dicorakkan oleh pak Lah Badawi.
Sekian
Wallahu ‘Alam.
One_G
Laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
Wallahu ‘Alam
Friday, June 16, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment