KISAH MASJID DHIRAR
Firman Allah;
والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكاذبون
Maksudnya;
“Dan (diantara orang munafiq itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpah mereka)”. (surah at-taubah : 107)
Ayat ini mengisahkan tentang perancangan jahat yang telah di lakukan seorang Pendeta Nasrani yang bernama Abu ‘Amir Ar-Rahib[1].
Ketika Islam muncul di Madinah dan menarik banyak penganut ajaran Nasrani kepada Islam, maka Abu Amir Ar-Rahib telah menyusun strategi bagi mematahkan usaha Rasulullah s.a.w dan para Sahabat tersebut dengan mengadakan usaha kerjasama bersama kaum munafiq Madinah dari suku Aus dan Khazraj.
Baginda s.a.w menyedari akan perancangan Abu Amir Ar-Rahib dan orang-orang munafiq itu, lalu Rasulullah s.a.w hendak menjatuhkan hukuman terhadapnya, tetapi dia telah lari dari Madinah ke Mekkah dan kemudiannya ke Taif dan kemudiannya ke Syiria.
Dari Syiria, dia telah mengatur perancangan untuk membinasakan usaha dakwah Rasulullah itu dengan menulis surat kepada golongan munafiq di Madinah, yang menyuruh supaya orang Munafiq membina sebuah masjid berhampiran dengan Masjid Quba dengan tujuan untuk merosakan usaha dakwah Rasulullah s.a.w dan para Sahabat.
Mengikut satu riwayat, Abu Amir Ar-Rahib menyuruh golongan munafiq membina masjid sebelum dia keluar dari Madinah dengan katanya kepada mereka : “binalah masjid kamu dan bersedialah kamu dengan kemampuan kamu dari kekuatan dan senjata, maka sesungguhnya aku akan pergi berjumpa dengan Qaisar Raja Rom, dan aku akan membawa tentera dari Rom dan aku akan mengeluarkan (menghambat) Muhammad dan sahabat-sahabatnya dari Madinah”.[2]
Seperti musuh-musuh islam yang lain, Abu Amir Ar-rahib menyedari bahawa untuk sesuatu Negara yang di dalamnya agama yang benar dan mantap, cara terbaik untuk menghancurkannya adalah dengan menggunakan agama itu sendiri. Dengan mempergunakan Islam, mereka dapat merasuk dan mempengaruhi umat Islam supaya terpedaya dengan tipu daya mereka.
Lalu golongan munafiq telah membina masjid tersebut disebelah rumah seorang munafiq yang bernama Khuzzam bin Khalid
Berkata Ibnu Ishaq : orang-orang munafiq yang membina masjid tersebut adalah dua belas orang, mereka adalah Khuzzam bin Khalid, Tha’labah bin Hatib, Mu’tab bin Qasyir, Abu Habibah bin Asaa’r, Ubbad bin Hanif, Akhu Sahl bin Hanif, Jariyah bin ‘Amir, dua anak Jariyah iaitu Majmak dan Zaid, Nabtal bin al-Harith, Bajad bin Othman (keturunan Bani Dhobi’ah) dan Wadi’ah bin Thabit.[3]
Ketika Rasulullah s.a.w hendak ke Tabuk, beberapa orang munafiq telah datang berjumpa dengan Baginda s.a.w dan berkata:
“Wahai Rasulallah! Sesungguhnya kami telah membina sebuah masjid yang merupakan keperluan kepada kami. Demi Allah, tidaklah kami kehendak untuk membinanya melainkan kebajikan dan kebaikan, sesungguhnya kami suka, jika kamu datang dan menunaikan solat didalamnya dan berdoa keberkatan padanya”.
Tujuan mereka minta Rasulullah s.a.w menunaikan solat dan berdoa dalam masjid itu adalah untuk mereka boleh berhujjah mengatakan bahawa masjid itu telah di akui oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Lalu berkata Rasulullah s.a.w kepada mereka : “sesungguhnya aku hendak bermusafir. Sekiranya kami pulang nanti, Insya Allah, kami akan datangi kamu dan kami solat di dalamnya (masjid)”
Ketika Rasulullah s.a.w pulang dari Tabuk, turun ayat 107 surah at-taubah di suatu tempat yang bernama Zu Awan (sebuah tempat sejam dari Madinah). Lalu menyuruh Rasulullah s.a.w akan beberapa orang sahabat iaitu Malik bin Ad-Dakhsyim, Maan bin Adi atau saudaranya ‘Asim bin Adi dengan kata Baginda s.a.w;
انطلقوا الى هذا المسجد الظالم أهله فاهدمواه و أحرقواه
Maksudnya;
“Berangkatlah kamu kepada masjid ini yang zalim ahlinya dan hancurkannya dan bakar olehmu akannya”
Lalu mereka melakukan suruhan nabi tersebut sehinggakan masjid itu rata.[4]
MORAL DARI KISAH MASJID DHIRAR
Muhammad Ali Bin Muhammad As-Syaukani berkata di dalam kitabnya “fathu al-qadir”;
Sesungguhnya Allah mengkhabarkan, golongan munafiq membina masjid dhirar dengan empat tujuan. Ianya adalah seperti berikut;
(a) Memberi Mudharat kepada orang lain.
(b) Menguatkan golongan munafiq.
(c) Memecah belahkan umat Islam.
(d) Menyediakan persiapan untuk melawan Allah dan Rasul-Nya.[5]
Melihat kepada tujuan pembinaan masjid Dhirar ini menjelaskan kepada kita betapa munafiqin berusaha untuk menjatuhkan dan memecah belahkan umat Islam dari bersaudara atas nama Islam dan melemah umat Islam dari seluruh aspek kehidupan.
Perkara ini adalah sama dengan usaha yang telah dilakukan oleh regim UMNO yang dikepalai oleh Presidennya yang bernama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kelahiran Islam Hadhari adalah satu agenda untuk melemahkan pegangan umat Islam dari tali Allah, hakikat ini jelas dengan kenyataan Dato’ Dr Harussani yang menyatakan bahawa Umat Islam di Malaysia sudah berdaftar untuk murtad seramai 250,000 orang[6], tetapi dengan kejayaan Islam Hadhari itu, orang Islam di Malaysia tidak merasakan apa-apa kesalahan dan tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah ini.
Umat Islam di zaman pemerintahan Islam Hadhari telah lemah dari segala sensitiviti Islam. Mereka merasakan maksiat yang berlaku didepan mata mereka sebagai sesuatu perkara biasa, bahkan mereka menganggap, maksiat itu tidak perlu dibenteras atas alasan “kebebasan” dan sebagainya.
Di Zaman Islam Hadhari, Sisters In Islam yang merupakan salah satu badan yang sesat dan menyesatkan, mendapat tempat di dalam media. Mereka diberi ruang dalam Akbar Utusan Malaysia untuk menulis apa-apa article bagi mengemukakan pandangan-pandangan mereka yang selalunya bercanggah dengan Islam.
Golongan sisters In Islam ini, banyak mengemukakan kempen-kempen yang bercanggah dengan Islam, seperti kempen “satu suami, satu isteri”, monogami, menentang penguat kuasaan undang-undang moral ke atas rakyat Negara ini dan sebagainya.
Amat menyedihkan lagi, Islam Hadhari pimpinan Presiden UMNO itu memberi ruang didalam akhbar-akhbar tempatan kepada sisters in islam ini. Antaranya seperti kenyataan mereka mengadakan kempen monogami yang tersebut dalam Utusan Malaysia, yang article mereka itu betul-betul bercanggah dengan Islam.
Kenyataan Sisters In Islam pada 20 oktober 1996
“Ramai daripada kalangan ulama sepanjang zaman yang mentafsirkan bahawa sebenarnya al-Quran mengajukan monogami sebagai system perkahwinan yang sempurna dalam Islam”[7]
Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Sisters In Islam merupakan salah satu badan rujukan perdana Menteri dalam beberapa isu, seperti contoh, kenyataan perdana Menteri (Imam Islam hadhari) dalam isu Polemik Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)(Pindaan) 2005 dengan katanya;
"Peguam Negara perlu berjumpa semua pihak yang berkepentingan dalam isu berkenaan termasuk NGO wanita untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Peguam Negara juga perlu berjumpa pertubuhan Sisters in Islam yang aktif mengemukakan masalah yang terdapat dalam rang undang-undang yang baru dipinda itu." Beliau seterusnya melanjutkan "Saya juga telah mencadangkan kepada AG (Peguam Negara) supaya mereka memanggil kumpulan pakar dalam hal berkaitan dengan undang-undang Islam di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)"[8]
Dalam isu memberi jarum dan kondom secara percuma, suara mufti perak yang mencadangkan melakukan pemisahan antara penagih-penagih dan masyarakat kerana mengkiaskan kepada hukum feqah yang melarang orang yang ditimpa penyakit berjangkit, masuk dan keluar dari kawasannya.
Walaupun begitu, suara tersebut tidak di ambil peduli, tetapi suara seorang wanita yang tidak mempunyai asas pengajian Islam dan berakhlak dengan akhlak barat yang mencadang supaya pemberian jarum dan kondom secara percuma, mendapat tempat di sisi Islam Hadhari.
Hakikatnya, kebenaran itu akan menang juga, segala tuduhan “tidak pandai” yang ditujukan kepada Dato' Dr Harussani terjawab dengan kejadian seorang penagih dadah yang menikam isterinya yang sedang menyusukan anaknya. Ketua bahagian siasatan jenayah daerah Cheras, Deputi Supritendan Tan Ah Chua berkata, siasatan awal juga mendapati ketika penagih tersebut menikam isterinya, dia berada dibawah pengaruh dadah.[9]
Ini menunjukan bahawa, penagih dadah tidak boleh berada dalam masyarakat, ini kerana, kehadirannya dalam masyarakat menyebabkan bahaya yang akan menimpa.
Dalam situasi itu pun, Kerajaan Islam hadhari masih tidak mendengar nasihat-nasihat yang di sampaikan oleh pihak mufti terutama mufti perak iaitu Dr Harussani yang banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menjaga umat Islam di Negara ini.
Islam melarang dari melakukan kezaliman kepada manusia atau binatang. Tetapi agenda Islam Hadhari membenarkan berlakunya kezaliman, ini dibuktikan dengan penangkapan dan meng”ISA”kan kepada beberapa orang Islam yang dianggap sebagai anggota militan tanpa di siasat dan dibicarakan dalam mahkamah.
Melihat kepada perkara-perkara tersebut, adakah bertamadun dengan tindakan-tindakan itu? Adakah itu dari ajaran Islam? Atau bagaimana bentuk islam yang bertamadun (islam hadhari) yang dikehendaki oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?
[1] Mengikut riwayat, Abu Amir Ar-Rahib adalah seorang yang berasal dari suku Khazraj dan di zaman jahiliyyah dia telah mempelajari akan kitab Injil.: sila lihat “Tafsir Ibnu Kathir” (2/507)
[2] Lihat “Asbab An-Nuzul ‘an as-Sahabah wa al-Mufassirin” m/s 124
[3] Lihat “Al-Bidayah Wa An-Nihayah” (5/24)
[4] Dikeluarkan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya (2/508). Juga lihat “Asbab An-Nuzul ‘an Sahabah wa al-Mufassirin” m/s 124-125. kisah ini juga boleh dilihat dari buku-buku berikut: “Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w” m/s 887-888 atau “Al-Bidayah Wa An-Nihayah” (5/24)
[5] Lihat “Fathu Al-Qadir” (2/569)
[6] Lihat “harakah” 1-5 Mei 2006
[7] Lihat “Utusan Malaysia” 20 oktober 1996; lihat “konsep Islam hadhari : satu penilaian” m/s 52.
[8] Lihat “utusan Malaysia” 14 Januari 2006.
[9] Lihat “utusan Malaysia” 9 mei 2006.
One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
Sunday, July 09, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment