Tuesday, July 18, 2006

BOLEHKAH ORANG ISLAM MEWARISI PUSAKA WARISNYA YANG KAFIR?

BOLEHKAH ORANG ISLAM MEWARISI PUSAKA WARISNYA YANG KAFIR?

SOALAN

Seorang yang baru masuk Islam, lalu ibunya yang tidak Islam menimpa kematian. Adakah dia boleh mempusakai harta-harta ibunya yang bukan islam itu?

JAWAPAN

Antara “mawani’” atau penegah-penegah untuk mempusakai harta peninggalan itu adalah seperti berikut;

a. Bunuh
b. Berbeza agama
c. hamba
d. Murtad
e. Berbeza negara.[1]

Persoalan yang dikemukakan berkaitan dengan “berbeza agama”, maka perbahasan kami akan tertumpu kepada persoalan tersebut.

Berbeza agama antara perkara yang tertegah dari mewarisi harta pusaka.

Dalil-dalilnya adalah seperti berikut;

a. Hadis riwayat Osama, sabda Rasulullah SAW;

لا يرث المسلم الكافر ولا الكافر المسلم

Maksudnya;
“tidak akan mewarisi oleh orang Islam akan (harta) orang kafir, dan tidak mewarisi oleh orang kafir akan (harta) orang islam” (hadis riwayat Al-Jamaah)[2]

b. ketika Abu Talib mati, beliau meninggalkan 4 orang anak, dua dari mereka adalah Islam, iaitu Ali dan Ja’far dan dua dari mereka yang lain pula adalah kafir, iaitu ‘Aqil dan Talib. Maka Baginda SAW mewarisikan hartanya (Abu Talib) kepada ‘Aqil dan Talib, tanpa mewarisikan harta itu kepada Ali dan Ja’far. Lalu bersabda;

لا يرث المسلم الكافر

Maksudnya;
“tidak mewarisi oleh orang Islam akan orang kafir”[3]

Dari kedua-dua hadis ini, Jumhur Ulama berpendapat bahawa, tidak boleh seseorang yang tidak Islam mewarisi akan harta orang islam, dan begitujuga, tidak boleh mewarisi oleh orang Islam akan harta orang yang tidak Islam.[4]

Walaupun begitu, ada dari kalangan sahabat dan Tabiin, seperti Muaz bin Jabal, Mua’wiyyah bin Abi Sufyan, sa’id bin Al-Musayyib, Muhammad bin ‘Ali bin Al-Hussin, Abu Ad-Darda’, Masruq, Asy-Sya’bi, Az-Zuhri, an-Nakha’I dan Hassan Al-basri berpendapat bahawa ahli waris yang beragama Islam boleh mewarisi harta peninggalan dari warisnya yang kafir, tetapi ahli waris yang kafir tidak boleh mewarisi harta peninggalan warisnya yang islam.[5]

Mereka berdalilkan dengan sabda Rasulullah SAW;

الاسلام يعلوا ولا يعلى عليه

Maksudnya;
“Islam adalah (agama) yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya (Islam)”[6]

Walaubagaimanapun, pendapat Jumhur Ulama adalah pendapat yang paling kuat berdasarkan kepada dalil-dalil mereka.

Adapun pendapat yang kedua, iaitu pendapat yang mengatakan orang Islam boleh mewarisi harta warisnya yang kafir, tetapi orang kafir tidak boleh mewarisi harta warisnya yang Islam, adalah pendapat yang lemah. Ini kerana, hadis yang dikemukakan untuk menjadi hujjah adalah hujjah yang lemah. Maksud sebenar hadis tersebut adalah menggambarkan kelebihan Islam berbanding dengan agama-agama yang lain, dan tidak ada sangkut paut langsung dengan perkara yang berkaitan dengan wasiat atau pusaka.

Wallahu ‘Alam.

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com





[1] Mukhtasar Ahkam al-mirath (Dr Ismail Muhammad ‘Ali Abdul Rahman) : m/s 20. ahkam al-mawarith fi al-islam (Mahmood Imam) : m/s 59-61.
[2] Al-Umm (imam As-Syafii) : (4/75) dan Ahkam Al-Mawarith fi Al-Islam (mahmood Imam) : 61.
[3] Ahkam Al-Mawarith fi al-islam (Mahmood Imam) : m/s 61.
[4] Mukhtasar Ahkam Al-Mawarit (Dr Ismail Muhammad ‘Ali Abdur Rahman) : m/s 24.
[5] Undang-undang pusaka dalam Islam : satu kajian perbandingan (Abdul Rashid bin Abdul latif) : m/s 93.
[6] Al-Umm (imam As-Syafii) ; (4/77)

No comments: