Tuesday, July 18, 2006

SALAHKAH PAS MEMAAFKAN DR MAHADHIR MUHAMMAD ? : SEKADAR PANDANGAN INDIVIDU

SALAHKAH PAS MEMAAFKAN DR MAHADHIR MUHAMMAD ? : SEKADAR PANDANGAN INDIVIDU

Politik Malaysia bergolak lagi dengan ‘putus asa’ yang di luahkan oleh seorang bekas Perdana Menteri Malaysia yang telah memerintah Malaysia selama 22 tahun.

Mahadhir Muhammad adalah nama yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia. Beliau sangat di kenali, disebabkan dengan “kecerdikkan” dalam menghadapi beberapa isu, samada isu dalaman atau isu luaran.

Isu menyelesaikan ekonomi Malaysia dengan menganjurkan penggunaan dinar telah menjadi bahan perdebatan hebat dari pihak barat dan pakar-pakar ekonomi dunia.

Walaubagaimanapun, kecerdikkan Mahadhir itu kadangkala memberi kesan yang bahaya kepada aqidah umat Islam, seperti beliau tidak berpuas hati dengan perjuangan PAS yang mahu mendaulatkan Islam di Negara dengan beliau memperlekehkan PAS dan Islam.

Kita mengetahui perkataan “nabi berjanggut sebab tiada pisau cukur” adalah perkataan yang terbit dari mulut beliau.

Ini menunjukan bahawa, Mahadhir Muhammad adalah seorang pemimpin yang bijak dan berani, tetapi kebijakasanaannya itu, kadangkala menyebabkan beliau menjadi murtad dan terkeluar dari Islam.

SETELAH LETAK JAWATAN

Selama 22 tahun, Mahadhir Muhammad ditabalkan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Di dalam kepimpinan beliau, banyak kejahatan dan kebaikan yang di lakukan oleh beliau.

Pemecatan Tun Salleh Abbas dari menjadi ketua Hakim negara, mencabut kuasa raja-raja melayu, menghina sunnah Rasulullah SAW, dan berbagai-bagai lagi di lakukan oleh beliau.

Walaubagaimanapun, 2003 adalah tahun yang bersejarah, ini kerana, beliau telah meletakan jawatan beliau sebagai Perdana menteri Malaysia dan digantikan dengan seorang pujangga badawi yang berkhayal dengan agenda Islam Hadharinya, iaitu Abdullah Ahmad Badawi atau dikenali dengan Pak Lah Badawi.

Penggantian kepada Pak Lah itu bukanlah penggantian yang mutlak, tetapi penggantian tersebut adalah penggantian yang muqayyad, iaitu penggantian yang diikat dengan beberapa syarat.

Bermula dari isu pembatalan pembinaan jambatan bengkok, yang diarahkan oleh Perdana Menteri, iaitu Abdullah Ahmad Badawi, amatlah memeranjatkan diri Mahadhir.

Pembatalan tersebut menyebabkan beliau mula mengkritik Perdana Menteri sedia ada dengan mengemukakan beberapa pendedahan kejahatan yang dilakukan oleh Pak Lah Badawi.

Menjual pasir kepada kerajaan Singapore sebanyak 1 bilion meter padu, memberi ruang udara kepada Singapore bagi melakukan latihan ketenteraan, penyelewengan AP dan sebagainya, adalah antara pendedahan Mahadhir kepada rakyat Malaysia.

Melihat segala pendedahan tersebut, seakan-akan beliau sudah berputus asa dengan kepimpinan yang ada sekarang, sehinggakan beliau sendiri menyatakan bahawa Kabinet Malaysia yang wujud kini adalah cabinet yang tiada kualiti.

Kenyataan itu menyebabkan ramai para menteri tidak berpuas hati dengan tindakan Mahadhir itu, sehinggakan seorang Menteri telah melenting dan mencabar Dr Mahadhir supaya keluar dari UMNO.

Rentetan dari itu, Dr Mahadhir telah menerima jemputan dari pihak NGO-NGO dan Malaysia-Today.com bagi menghadiri dialog bersamanya bagi menceritakan beberapa kelemahan dan punca sebab beliau mengkritik Perdana Menteri dengan pedas sekali itu.

PIMPINAN PAS PUN HADIR SAMA.

Sidang majlis dialog tersebut dianjurkan oleh NGO-NGO dan Malaysia-today.com, bukannya anjuran PAS atau mana-mana parti di Malaysia ini.

Melihat peluang keemasan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, dan bagi mengetahui isu-isu menarik yang diperkatakan, maka ramai juga dari pemimpin-pemimpin parti politik hadir, termasuklah dari PAS.

Delegasi PAS yang dikepalai oleh Ustaz Nasaruddin Mat Isa, bagi mendengar pendedahan tersebut telah menjadi tanda tanya dikalangan pejuang –pejuang islam. Ada dari mereka yang bersetuju dan ada juga dari mereka tidak bersetuju.

Semasa Muktamar Pemuda berlangsung baru-baru ini, Salahuddin Ayubi, ketua pemuda PAS Pusat sudah mengeluarkan kenyataan bagi menjemput Dr Mahadhir untuk menjadi ketua pembangkang. Rupa-rupanya, dengan jemputan tersebut menimbulkan ketidak puas hati dari kalangan sesetengah pejuang-pejuang pemuda Islam, sehinggakan seorang pemuda dari Baling, merupakan salah seorang anak-anak syahid Memali sendiri telah bangkit dan membangkang dengan sekeras-kerasnya atas tindakan Salahuddin Ayubi tersebut.

Walaupunbegitulah kejadiannya, Salahuddin berjaya menjawab kritikan tersebut dengan rasional dan bijak.

APAKAH SYARIAT MEMANDANG DOSA DENGAN KEHADIRAN PEMIMPIN-PEMIMPIN PAS ITU?

Sebagai pejuang Islam, selayaknya perbahasan ini dilihat dari sudut Islam itu sendiri.

Islam adalah agama yang mengajar manusia berlaku baik sesaa manusia. Bahkan Islam menggalakan berbaik-baik dengan manusia itu, samada kepada muslim atau non muslim.

Firman Allah;

لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين

Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (surah al-mumtahinah : 8)

Ayat ini, Allah menjelaskan kepada kita bahawa, berbaik-baik dengan non muslim yang tidak ada usaha untuk menghancurkan Islam dan menyerang muslim adalah sesuatu yang tidak dilarang.

Islam juga menggalakkan kepada umatnya supaya berakhlak mulia, samada dengan Muslim atau dengan non muslim.

Ini berdasarkan kepada wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Zar dengan sabdaNya;

اتق الله حيثما كنت , و اتبع السيئات الحسنة تمحها , وخالق الناس بخلق حسن

Maksudnya;
“Bertaqwalah kamu kepada Allah, dimana sahaja kamu berada. Ikutilah kejahatan dengan kebajikan yang boleh menghapuskannya (akan kejahatan). Berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik” (hadis riwayat At-Tarmizi dan Ahmad : 1988 ; berkata imam At-tarmizi, hadis ini adalah hasan)[1]

Dalam hadis ini, Baginda SAW menggunakan perkataan خالق الناس yang bermaksud “berakhlaklah dengan manusia”, bukan menggunakan perkataan “خالق المسلمين” yang bermaksud “berakhlaklah dengan orang islam”.

Dari pemahaman ini, berakhlak baik itu tidaklah dikhususkan kepada orang muslim sahaja, bahkan suruhan berakhlak itu hendaklah diberikan juga kepada orang-orang non muslim juga.

Jika dilihat dari firman dan hadis nabi yang tersebut diatas, Islam mengambarkan suruhan dan kebenaran untuk melakukan kebaikan kepada non muslim, maka lebih-lebih lagilah melakukan kebaikan kepada Dr Mahadhir Muhammad, Walaupun beliau merupakan seorang “Maha Firaun” yang digelar sebagai “Maha Zalim”.

LAYAKKAH PAS MEMAAFINYA?

Tidak dinafikan, Mahadhir Muhammad telah banyak melakukan kezaliman kepada rakyat Malaysia, terutama kepada pendokong dan penyokong-penyokong PAS.

Kita mengetahui tentang serangan berdarah terhadap Ustaz ibrahim Libya yang merupakan konplot yang dilakukan Dr Mahadhir ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Kita mengetahui juga penghinaan beliau kepada Sunnah Rasulullah SAW, hukum Hudud, undang-undang islam dan Islam itu sendiri.

Kontroversil Kes Tun Salleh Abbas yang berakhiri dengan pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara, hasil dari tangan kotor Dr Mahadhir[2] masih terbayang-bayang dipemikiran Umat Islam Malaysia.

Pemecatan Dato’ Ishaq Baharum dari menjadi Mufti Selangor pada Oktober 1997, ekoran tindakan Dato’ Mufti menangkap tiga orang gadis melayu masuk pertandingan Ratu Cantik[3], antara konplot yang diusahakan oleh Dr Mahadhir juga masih didalam jiwa sanubari Umat Islam Malaysia kini.

Melihat kepada kenyataan dan tindakan jahat Mahadhir itu, penilaian yang di buat bahawa dosa Mahadhir tidak dapat di maafkan.

Walaubagaimanapun, Islam adalah sesuatu agama yang bertuhankan Allah yang maha pengampun lagi penyayang.

Jika diperhatikan kepada kisah-kisah para sahabat yang ketika mereka berada dalam golongan jahiliyyah, kezaliman dan kejahatan mereka amat besar jika dibandingkan dengan kajahatan yang dilakukan oleh Mahadhir.

ABU SUFYAN

Abu Sufyan bin al-harith adalah sepupu Rasulullah SAW. Beliau adalah anak kepada Al-harith, merupakan anak sulung kepada Abdul Muttalib, iaitu abang kepada Abdullah bin Abdul Muttalib, bapa Nabi SAW[4].

Kejahatan yang dilakukan oleh Abu Sufyan terhadap islam adalah kejahatan yang sememangnya tidak terfikir dilakukan oleh umat Islam kini.

Berusaha membunuh Nabi, menyeksa para sahabat yang masuk Islam, mengepalai peperangan dalam melawan islam adalah antara kejahatan yang dilakukan oleh Abu Sufyan.

Walaupun kejahatan yang dilakukan oleh Abu Sufyan itu, pada pandangan kasarnya tidak layak dimaafi, tetapi disebabkan dengan sifat kemaafan Islam, Islam telah memberi kemaafannya kepada Abu Sufyan.

KHALID BIN AL-WALID

Khalid bin al-walid, bukanlah seorang lelaki yang asing dimasa jahiliyyah dalam melawan Islam.

Kekuatan tentera qurasy di dalam peperangan Uhud adalah berpunca dari kebijaksanaan beliau dalam mengepalai tentera.

Cahaya keimanan telah menusuk masuk kedalam hati Khalid bin Al-Walid ketika beliau melihat kepada umat Islam yang memandang kepentingan solat, walaupun masih di dalam medan peperangan.[5]

Dikala Islam sudah menjadi kuat dibawah pemerintahan Rasulullah SAW, Khalid bin Al-Walid telah berfikir untuk memeluk ajaran Islam dan lari ke Habsyah untuk mendapat perlindungan disana, kerana Raja Habsyah ketika itu sudah memeluk Islam. Atau memeluk agama Yahudi atau Nasrani dan berlindung dibawah kerajaan Rom, tiba-tiba sepucuk surat telah hadir dari saudaranya yang bernama Al-Walid bin Al-Walid menyatakan jemputan Rasulullah SAW terhadap Khalid bin Al-Walid untuk memeluk Islam.[6]

Jemputan tersebut menyebabkan beliau telah memeluk Islam dan menjadi seorang muslim, sahabat, pejuang, mujahid Islam yang sejati sehinggakan kisahnya terpancul di setiap lidah-lidah mujahidin abad ini.

AMRU BIN AL-AS

‘Amru bin Al-‘As adalah antara sahabat yang semasa zaman kekufurannya, adalah orang yang sangat-sangat bermusuh dengan Islam, Rasulullah SAW dan Umat Islam.

Al-Waqidi menceritakan bahawa ‘Amru bin Al-‘As pernah menegaskan bahawa beliau tidak akan masuk Islam, walaupun semua quraish masuk Islam.[7]

Beliaulah adalah orang yang berjumpa dengan raja Habsyah dikala Umat Islam diarah berhijrah ke Habsyah, supaya Raja habsyah tidak menerima permohonan sahabat-sahabat Rasulullah berlindung di negara Habsyah.

Akhirnya, ‘Amru bin Al-‘As memeluk Islam didepan Rasulullah SAW bersama-sama dengan Khalid bin Al-Walid, dan Rasulullah Saw menerima keislaman mereka dengan mengatakan satu hadis yang masyhur, iaitu sabda Rasulullah SAW;

خياركم فى الجاهلية خياركم فى الاسلام اذا فقهوا

Maksudnya;
“orang-orang pilihan di zaman jahiliyyah (menjadi) orang-orang pilihan juga di zaman islam, kalau mereka memahaminya”[8]

MAHADHIR YANG DIMAAFI?

Membaca kisah-kisah sahabat-sahabat Rasulullah SAW di atas, selayaknya Mahadhir dimaafi sekiranya beliau meminta maaf secara terbuka kepada PAS dan bertaubat dari kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh beliau terdahulu.

Sekiranya beliau ingin bertaubat, hendaklah beliau menunaikan syarat-syarat taubat seperti berikut;

a. Menyesal atas kejahatan yang telah dilakukan.
b. Berazam tidak akan mengulangi lagi kejahatan terdahulu.
c. Menghantar balik segala kezaliman yang telah dilakukan atau meminta maaf balik kepada manusia yang dizaliminya.[9]

RELEVENKAH BELIAU DIMAAFI DAN DIKUNJUNGI DALAM SIDANG DIALOG?

Perbahasan ini bukanlah untuk mempertikaikan perkara yang telah diputuskan oleh mesyuarat PAS Pusat, tetapi perbahasan ini akan menukilkan penilaian dari sudut pemikiran penulis yang lemah ini.

Pada pandangan penulis, kehadiran pemimpinan PAS itu adalah sesuatu ijtihad berani. Sekiranya tepat tindakan itu, maka bagi PAS dua pahala, sekiranya salah, maka PAS mendapat satu pahala sahaja.

Sabda Rasulullah SAW;

اذا اجتهد الحاكم فأصاب فله أجران و ان أخطاء فله أجر واحد

Maksudnya;
“apabila seseorang hakim berijtihad, lalu betul ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Sekiranya salah ijtihadnya, maka baginya satu pahala sahaja”

Individu penulis ada berbual dengan beberapa orang sahabat dari PAS juga, ada dari kalangan mereka bersetuju dengan kehadiran pemimpin PAS di dalam majlis dialog tersebut dan ada juga dari mereka yang membantah akan kehadiran tersebut.

Ada yang berpendapat, kehadiran Mahadhir dalam mendedahkan skandal politik Malaysia adalah perangkap UMNO kepada pembangkang bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Walaubagaimanapun, kebijaksanaan ijtihad politik adalah sesuatu yang perlu difikirkan bersama.

Membaca kisah Abu Sufyan yang telah memeluk Islam. Kita akan dapati bahawa, antara tindakan Rasulullah SAW menarik minat Abu Sufyan kepada Islam adalah Rasulullah SAW telah menyatakan kesejahteraan quraisy yang masuk kedalam rumah Abu Sufyan.[10]

Berdasarkan kepada kisah Abu Sufyan dan memikirkannya secara rasional, tindakan pemimpin-pemimpin PAS tersebut adalah sesuatu yang releven dan menandakan kematangan dalam berpolitik.

KESIMPULAN

Firman Allah;

وشاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله

Maksudnya;
“bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.” (surah Al-‘Imran : 159)

Kehadiran pemimpin-pemimpin PAS itu adalah hasil dari keputusan mesyurat PAS Pusat, maka tidak selayaknya kita membantah dan mengherdik tindakan pemimpin-pemimpin PAS tersebut.

Sesungguhnya pandangan ramai itu lebih baik dari pandangan sedikit.


Wallahu ‘Alam

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com




[1] Fatawa ma’asarah (Dr Yusuf Al-Qardhawi) : (3/671)
[2] Kontroversil Kes Tun Salleh (M. Hanafiah A. Samad) : dari m/s 167 – 220.
[3] Menganggah fatwa-fatwa Mahadhir (Ahmad Lutfi Othman) : m/s 96.
[4] Al-bidayah Wa an-nihayah (Imam Ibnu Kathir) : (4/303)
[5] Fiqh Harakah (Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang) : (2/248)
[6] Fiqh harakah (Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang) : (2/249)
[7] Fiqh Harakah (Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang) : (2/251)
[8] Fiqh Harakah (Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang) : (2/253)
[9] Tanwir al-qulub fi Mu’amalah Al-Allam al-ghuyyub (Syaikh Amin Al-Kurdi al-Irbilu ibni As-Syaikh Fathullah Az-zadah) : m/s 411
[10] Sirah dan riwayat hidup Muhammad SAW (Abu Mazaya Al-Hafiz) : m/s 834.

No comments: