Tuesday, July 18, 2006

ADAKAH SALAFI TIDAK MENGHORMATI KHILAF?

ADAKAH SALAFI TIDAK MENGHORMATI KHILAF?

Jika di kembalikan kepada lima belas tahun kebelakang, kita tidak pernah mengenali apakah yang dinamakan sebagai salafi. Walaubagaimanapun, ada dari kalangan ulama-ulama pondok di pantai timur selalu berpesan supaya berhati-hati dengan kelompok salafi, atau diberi dengan nama yang lain dengan Wahabi atau Kaum Muda.

Perkembangan masa dan zaman amat memberangsangkan. Rakyat-rakyat Malaysia sudah mula menghantar anak-anak mereka belajar di luar negeri untuk mendalami ilmu-ilmu agama, samada di timur tengah, benua India dan sebagainya.

Ada dari kalangan mereka, lepasan dari Universiti Al-Azhar, Mesir, Jordan, Pakistan, India, Marocco dan sebagainya.

Setelah mereka tamat dari pengajian mereka di luar negeri, mereka telah membawa ilmu-ilmu bekalan mereka yang mereka terima dari guru-guru di sana.

Dari situlah, masyarakat Malaysia mula dihidangkan dengan nama seperti Salafi, wahabi dan kaum muda.

Persoalannya, apakah yang dikatakan wahabi, Salafi dan Kaum muda itu.

KAUM MUDA

Kaum muda adalah satu istilah yang selalu kedengaran dari pihak kelompok-kelompok yang belajar di Pondok-pondok, terutama pelajar pondok di Fatani. Perkataan ini adalah di timbulkan untuk diberi gelaran kepada mereka-mereka yang bermazhab Wahabi.

WAHABI

Wahabi pula adalah satu gerakan dakwah yang dipelopori oleh Muhammad bin Abdul Wahhab. Walaubagaimanapun, Muhammad bin Abdul Wahab bukanlah seorang yang membawa dan mengemukakan satu mazhab yang baru, bahkan beliau adalah seorang yang menyambung gerakan dakwah yang telah dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Thaimiyyah.[1]

Agenda yang dibawa oleh mereka adalah berusaha untuk mengikis segala amalan-amalan khurafat dan Bid’ah yang diamalkan oleh Masyarakat. Mereka juga berusaha mengajak manusia kepada pengamalan Al-Quran dan Al-Hadis dari segala sudut.

SALAFI

Salafi adalah satu firqah manusia yang beramal seperti dengan perjuangan Wahabi juga.


Di dalam Kamus Dewan bahasa, edisi ketiga, Salaf didefinisikan sebagai, “orang-orang yang terdahulu (orang Islam pada zaman Nabi SAW atau terkemudian sedikit daripadanya)”

Adapun Salafiyyah pula adalah orang yang termasuk dari kalangan salaf.[2]

Di dalam Al-Mukjam al-‘arabi al-asasi, Salafi didefinisikan sebagai, “golongan manusia yang mengembalikan hukum Syariat kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan mengabaikan pengambilan hukum Syariat yang lain dari kedua-duanya”[3]

Kelahiran kelompok salafi ini adalah rentetan dari pengamalan manusia ketika itu yang sudah ada berhujjah dalam perkara akidah dengan menggunakan aqal dan falsafah semata-mata, tanpa merujuk kepada Nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis.

Bermula dari situlah, iaitu pada qurun ketujuh, lahirnya kelompok manusia yang mendakwa diri mereka sebagai salafi, iaitu kelompok manusia yang ingin mengembali pemahaman aqidah berteraskan kepada pemahaman Nas-nas yang sareh, tanpa dicampuri dengan pentakwilan pada ayat-ayat mutasyabihat.[4]

Dengan kehadiran golongan salafi ini, banyak pendedahan yang dilakukan oleh mereka dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah dan perkara yang boleh membawa manusia kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul, ziarah kubur dan sebagainya.

Hakikatnya, Salafi adalah kelompok manusia yang ingin mengembalikan manusia kearah pemahaman dan pengamalan terhadap apa yang telah dilakukan oleh golongan-golongan yang terdahulu, iaitu dari zaman Rasulullah SAW, dan manusia yang hidup 300 tahun kemudiannya.

Ini disandarkan kepada sabda Rasulullah SAW;

خير أمتى قرنى ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Maksudnya;
“sebaik-baik umatku adalah (orang yang hidup) di qurunku, kemudian selanjutnya dan kemudian selanjutnya”(riwayat Bukhari : 3377)[5]

KHILAFIYYAH

Khilafiyyah mengikut terjemahan melayunya adalah “perbezaan atau ketidak wujudan kesepakatan keatas sesuatu perkara”[6]

Menurut fuqaha’ Khilafiyyah adalah perbezaan pendapat, amalan, agama dan keyaqinan yang boleh membahagiakan manusia atau mencelakan mereka di dunia dan juga di Akhirat.

Khilafiyyah adalah sesuatu yang dilarang. Ini kerana, Islam menyuruh manusia berpegang teguh dengan tali Allah semuanya.

Firman Allah;

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا

Maksudnya;
“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah” (al-Imran : 103)

Walaubagaimanapun, khilaf yang dilarang adalah khilaf yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Selalunya khilafiyyah akan dikaitkan dengan ijtihad, ini kerana, punca berlakunya khilaf adalah dikala berlakunya ijtihad dikalangan ulama.

Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan, Ijtihad itu berlaku dengan sebab 3 perkara[7], iaitu seperti berikut;

a. Perkara yang tiada nas.
b. Perkara yang ada nas, tetapi mengandungi banyak tafsiran.
c. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai percanggahan dari segi pemahaman nas tersebut dengan nas-nas yang lain.

Pentafsiran daripada pelbagai ulama melahirkan pelbagai pendapat ulama. Hakikatnya, ini adalah sesuatu reality yang tidak boleh dinafikan lagi.

Memahami dari ini, khilaf di bahagikan kepada seperti berikut;

a. khilafiyyah yang berkaitan dengan aqidah
b. Khilafiyyah yang berkaitan dengan Syariah.

Khilafiyyah yang diizinkan di dalam perkara aqidah adalah aqidah yang berbentuk an-nazari. Ini kerana, didalam perbahasan Aqidah, ianya terbahagi kepada dua, iaitu Aqidah yang berbentuk Dharuri dan Aqidah yang berbentuk Nazari.

Aqidah yang berbentuk Dharuri adalah perkara aqidah yang boleh difahami tanpa perlu kepada perbahasan panjang, seperti ketentuan keesaan Allah, kehadiran Nabi Muhammad sebagai Nabi Akhir zaman dan sebagainya.

Adapun Aqidah yang berbentuk Nazari adalah perkara aqidah yang tidak difahami tanpa kajian yang mendalam, seperti penentuan ayah dan ibu Rasulullah SAW sebagai ahli syurga atau neraka, Nabi Khaidir adalah seorang nabi atau tidak dan sebagainya.

Khilaf yang diizinkan didalam perkara aqidah adalah khilaf dalam perkara aqidah yang berbentuk nazari. Adapun aqidah yang berbentuk Dharuri, dilarang berlaku khilaf padanya. Sekiranya berlaku juga, maka itu menjadikan orang yang mengkhilafi itu sebagai kufur.

Perkara Syariah juga boleh berlaku khilaf. Kebanyakan khilafiyyah berlaku di dalam perkara Syariah, melainkan perkara syariah tersebut telah diijmakkan oleh ulama dan perkara yang diketahui di dalam agama secara mesti (ما علم من الدين بالضرورة). Penentuan empat rakaat bagi solat zohor, asar dan isyak adalah sesuatu yang telah diijmakkan oleh ulama, maka dengan itu tidak diizinkan berlaku khilaf padanya.

Adapun persoalan-persoalan berkenaan sunnah atau tidak memakai serban adalah sesuatu yang dikhilafi dikalangan ulama, dan seharusnya kita bertoleransi dalam perkara ini.

BERLAKUKAH KHILAF DI ZAMAN RASULULLAH SAW DAN SAHABAT?

Akhir-akhir ini, ada dari kalangan manusia yang mendakwa mereka sebagai kelompok salafi, tetapi dalam masa yang sama, mereka seakan-akan menafikan khilaf yang berlaku.

Memahami salafi adalah manusia yang mengikut manhaj Rasulullah dan golongan 300 tahun selepasnya, maka seharusnya kita melihat dari sudut sunnah dan athar, adakah mereka menghalangi dari berlaku khilaf atau tidak.

BUKTI-BUKTI BERLAKUNYA KHILAFIYYAH

1. hadis riwayat bukhari dan Muslim;

Nabi SAW bersabda di dalam peperangan Ahzab;

لا يصلين أحد العصر الا فى بنى قريظة

Maksudnya;
“Jangan ada dari antara kamu yang solat Asar melainkan di kampung Bani Quraizah”.

Sebahagian dari sahabat Rasulullah SAW telah mendapati waktu asar ketika mereka dalam perjalanan. Sebahagian daripada mereka berkata;

“Kami tidak akan mengerjakan solat Asar melainkan setelah kami sampai di kampung Bani Quraizah”.

Yang lain pula berkata;

“kami akan mengerjakan solat Asar dan tidak ada salahnya berbuat demikian”.

Perkara ini telah sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, bagaimanapun Baginda SAW tidak mencela sesiapapun diantara mereka.

Melihat kepada zahir peristiwa ini, khilafiyyah telah berlaku di zaman Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW tidak pernah memarahi akan perbuatan Sahabat-sahabat tersebut.

2. Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim daripada Amru bin al-‘As RA, berkata;

“aku telah bermimpi pada malam yang sangat sejuk dalam peperangan Zat Al-Salasil. Aku khuatir andaikata aku mandi, sudah pasti aku akan binasa, lalu aku bertayammum, kemudian aku menunaikan solat subuh bersama sahabat-sahabatku. Hal ini telah sampai ke pengetahuan Nabi SAW, lalu Baginda SAW bertanya: “Ya Amru, anda bersolat dengan sahabat-sahabat anda sedang anda dalam keadaan berjunub, lantas aku bacakan kepada Rasulullah SAW akan firman Allah;

ولا تقتلوا أنفسكم إن الله كان بكم رحيما

Maksudnya;
“dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah maha pengampun kepadamu” (surah An-Nisa’ : 29)

Setelah mendengar keterangan Amru bin Al-‘As, Rasulullah SAW tertawa dan tidak mengucapkan sesuatu.

Dari kisah ini juga, difahami bagaimana berlakunya khilaf diantara Rasulullah SAW dan Amru Bin Al-‘As tanpa dilarang oleh Rasulullah SAW.[8]

3. Daripada Amru bin Al-‘As, sesungguhnya beliau mendengar dari Rasulullah SAW bersabda;

اذا حكم الحاكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران وان حكم فاجتهد ثم أخطاء فله أجر

Maksudnya;
“Apabila seseorang hakim berhukum lalu berijtihad, kemudian benar (ijtihadnya), maka baginya dua pahala. Dan sekiranya dia berhukum, lalu ia berijtihad, kemudian salah (ijtihadnya), maka baginya satu pahala”[9]

Dari Hadis ini, Rasulullah SAW menerangkan kepada kita kebenaran berijtihad. Rasulullah SAW menggambarkan pahala kepada orang yang betul dan salah dalam fatwanya. Ini menunjukan kepada kita bahawa, Rasulullah SAW membenarkan berlakunya khilafiyyah.

KESIMPULAN

Melihat kepada perbahasan ini, jelaslah kepada kita, bahawa golongan salafi adalah golongan yang berpegang kuat kepada Al-Quran dan Al-Hadis, disamping mereka menghormati perkara-perkara khilafiyyah.

Sekiranya ada dari kalangan mereka yang tidak mahu menerima khilafiyyah dikalangan ulama, sememangnya itu bukanlah manhaj salaf yang sepatutnya mereka fahami.


Wallahu ‘Alam.

One_G

abu_abdillah_azzam@yahoo.com

http://laptopdarulfiqh.blogspot.com


[1] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam (Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang) : m/s 28
[2] Kamus dewan Bahasa, Edisi ketiga : m/s 1172.
[3] Al-Mukjam Al-Arabi al-asasi : m/s 636.
[4] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam (Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang) : m/s 27.
[5] صحيح البخارى : المناقب : فضائل أصحاب النبى – ص -
[6] Khilafiyyah, Bid’ah dan Maslahah Umum (Dr Basri Ibrahim) : m/s 5.
[7] Fatawa Ma’asirah (Dr Yusuf Al-Qaradhawi) : (2/649)
[8] Khilafiyyah, Bid’ah dan Maslahah umum (Dr Basri Ibrahim) : m/s 13-14.
[9] صحيح البخارى : 6805 : الاعتصام بالكتاب و السنة : أجر الحاكم اذا اجتهد فأصاب و أخطاء

No comments: