Monday, July 10, 2006

KEHILANGAN GULA DI PASARAN : ISU IHTIKAR ATAU TAS'IR?

KEHILANGAN GULA DI PASARAN : ISU IHTIKAR (MONOPOLI) ATAU TAS’IR (MENETAPKAN HARGA BARANG)?

Hari jumaat baru-baru ni, memberikan aku berfikir. Fikiran berkenaan dengan kebodohan dari pihak JAIS yang sebenarnya berusaha memahamkan manusia terhadap Islam sudah bertukar menjadi “barua” kepada kerajaan Islam Hadhari dalam membantu dalam melakukan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Islam Hadhari pimpinan Pak Lah Badawi.

Di kala Umat Islam Malaysia kini sedang sebuk dengan kehadiran suku juta orang Islam yang hendak murtad, tetapi pihak JAIS masih lagi menganggap isu gula adalah satu isu yang paling besar.

Walaubagaimanapun, penulis ingin membincangkan isu gula ini mengikut pandangan penulis berdasarkan asas islam.

Berdasarkan kepada isi khutbah tersebut, terlintas di pemikiranku beberapa persoalan. Adakah pihak JAIS tidak tahu, siapakah yang perlu dipersalahkan dalam isu monopoli gula? Atau sememangnya JAIS memang menyediakan isi khutbah yang mengampu kerajaan Islam Hadhari itu?.

Walaubagaimanapun, setelah diamati isi khutbah tersebut, bagi penilaianku adalah, JAIS sememangnya satu badan Islam di negeri selangor yang sememangnya jahil dalam menyelesaikan isu-isu negara.

IHTIKAR ATAU TAS’IR

Melihat kepada isu gula yang dibincangkan semenjak ini, persoalan yang hendak diketengahkan adakah berkaitan dengan isu Ihtikar atau isu tas’ir?

Sekiranya isu ihtikar, apakah cara penyelesaiannya?, dan sekiranya isu tas’ir, apakah pula cara penyelesaiannya?

IHTIKAR

Ihtikar atau monopoli adalah satu tindakan dari pihak tertentu (selalunya pihak peniaga) yang menyorok barang dari di jual di pasaran.

Imam As-Syaukani di dalam kitabnya “Nail Al-Autar” (7/220-221) mendefinisikan ihtikar ;

حبس السلع عن البيع

Maksudnya;
“menahan barang (untuk diniagakan) dari jualan”[1]

Imam Al-Ghazali pula mendefinisikannya :

بائع السلع يدخر السلع ينتظر به غلاء السعر

Maksudnya;
“Penjual barangan menyimpan barangan (kerana) menunggu harga dinaikan[2]” (Ihya’ Ulum Ad-din (2/24))

PRODUK IHTIKAR

Ulama-ulama fiqh berselisih dalam menentukan barangan yang dilarang untuk di ihtikarkan. Perselisihan tersebut adalah seperti berikut.

a. Ulama-ulama bermazhab Hanafi menyatakan bahawa, ihtikar berlaku kepada produk-produk yang berbentuk makanan, Pakaian dan Haiwan. Juga ianya meliputi seluruh produk yang menjadi keperluan masyarakat[3].

Mereka beralasan bahawa ihtikar adalah mudharat yang akan menimpa orang ramai.

b. Adapun Ulama yang bermazhab Hanbali dan Imam Al-Ghazali berpandangan, produk yang berlaku ihtikar adalah barangan yang berkaitan dengan makanan sahaja.


Mereka beralasan bahawa didalam larangan Rasulullah SAW adalah larangan ihtikar pada makanan sahaja.

Iaitu Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah. Dari Ibnu Omar, bersabda Rasulullah SAW;

من احتكر الطعام أربعين ليلة فقد برئ من الله و برئ الله منه

Maksudnya;
“Barangsiapa yang melakukan ihtikar (monopoli) akan makanan selama 40 hari, maka sesungguhnya ia telah terlepas dari (hubungannya dengan) Allah dan Allah pun melepaskan (hubungan dengan) Nya”

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Athram daripada Abi Umamah;

نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم أن يحتكر الطعام

Maksudnya;
“Melarang Rasulullah SAW bahawa melakukan akan ihtikar pada makanan”

c. Imam Ad-Duraini pula menyatakan bahawa, Ihtikar tidak dibataskan kepada makanan, Pakaian dan sebagainya. Bahkan ihtikar juga boleh berlaku pada makanan, Pakaian, manfaat dan jasa dari pemberi jasa.

Maksudnya, Imam Ad-Duraini melihat, pihak pekerja yang memboikot pihak majikan juga dikira sebagai ihtikar.

HUKUM IHTIKAR

Ulama-ulama fiqh menyandarkan hukum bagi ihtikar berdasarkan kepada berbagai-bagai sandaran, samada dari Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

Antara larangan dari firman Allah adalah seperti berikut;

a. surah Al-Maidah : 2.

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان

Maksudnya;
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”

b. Surah Al-Haj : 78.

وما جعل عليكم في الدين من حرج

Maksudnya;
“Dia (Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.”

c. Al-baqarah : 279.

لا تظلمون ولا تظلمون

Maksudnya;
“kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”

Adapun larangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW adalah seperti berikut;

a. hadis riwayat At-tabrani dari Ma’qil bin Yasar;

من دخل فى شئ من أسعار المسلمين ليغليه عليهم كان حقا على الله أن يعقده بعظم من النار يوم القيامة

Maksudnya;
“Barangsiapa yang masuk (merusakkan) sedikit dari harga pasaran orang Islam, untuk memahalkan (melonjakan harga barang) atas mereka itu. Adalah hak atas Allah bahawa mengikatnya denga tulang dari api neraka pada hari qiamat”

b. hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah;

من احتكر حكرة يريد أن يغلى بها على المسلمين فهو خاطئ

Maksudnya;
“barangsiapa yang melakukan ihtikar (monopoli) dengan tujuan hendak memahalkan (melonjakkan harga barang) atas orang Islam, maka dia adalah orang yang bersalah”

c. Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah daripada Ibnu Omar;

من احتكر الطعام أربعين ليلة فقد برئ من الله و برئ الله منه

Maksudnya;
“Barangsiapa yang melakukan ihtikar (monopoli) akan makanan selama 40 hari, maka sesungguhnya ia telah terlepas dari (hubungannya dengan) Allah dan Allah pun melepaskan (hubungan dengan) Nya”

ISTIDLAL DARI NAS-NAS

Berdasarkan kepada firman-firman dan hadis-hadis yang tersebut, para ulama sepakat menyatakan bahawa ihtikar adalah sesuatu yang diharamkan oleh Islam.

Imam Al-Kasani menyatakan pengharaman ihtikar adalah kerana dilihat kepada kemudharatan yang boleh berlaku kepada pihak masyarakat ramai.[4]

Para ulama fiqh juga ada menyatakan bahawa, apabila berlaku ihtikar di kalangan peniaga-peniaga, maka pihak kerajaan berhak untuk mengambil tindakan dan memaksa pihak peniaga menjualkan barangan mereka yang diihtikarkan itu mengikut kadar maslahat yang selayaknya.

Imam Ad-Duraini menyatakan, keadaan ini berdasarkan kepada kaedah fiqh ;

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya;
“tindakan Imam (penguasa) atas rakyat berillat kepada maslahat”[5]


TAS’IR

Mengikut pandangan bahasa, Tas’ir adalah menjadikannya harga yang diketahui.

Adapun mengikut definisi dari sudut istilah adalah seperti berikut[6];

a. Al-Qadhi ‘Iyadh;

ايقاف الأسواق على ثمن معلوم لا يزاد عليه

Maksudnya;
“memberhentikan pasaran atas sesuatu harga yang diketahui, tidak boleh ditambahi (lagi) atasnya”

b. Ibnu Urfah;

تحديد حاكم السوق لبائع المأكول فيه قدرا للمبيع بدرهم معلوم

Maksudnya;
“membataskan oleh penguasa pasaran, kepada penjual barangan makanan, mengikut kadar barang dengan dirham (harga) yang diketahui”.

Daripada kedua-dua definisi ini, difahami bahawa tas’ir adalah penetapan harga barang yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan kadar harga yang diketahui.

PEMBAHAGIAN TAS’IR

Dalam perbincangan tas’ir, ulama-ulama fiqh telah membahagikan perbahasannya kepada dua bentuk;

a. tas’ir ‘alami : iaitu penetapan harga yang di tetapkan oleh pihak peniaga tanpa kerajaan masuk campur atas penetapan harga barangan tersebut.
b. Al-Tas’ir Al-Jabari : iaitu penetapan harga barangan yang dibawah kawalan pihak berkuasa kerajaan.

DEFINISI TAS’IR JABARI

Al-Bahuti (seorang ulama bermazhab Hanbali) mendefinisikan tas’ir jabari adalah ;

أن يسعر الامام سعرا و يجبرهم على التبايع به

Maksudnya;
“bahawa menetapkan harga oleh Imam (pemerintah) dan memaksa mereka melakukan jual belian dengannya (dengan harga tersebut)”

Imam As-Syaukani mendefinisikan at-tas’ir al-jabari ;

أن يأمر السلطان أهل السوق أن لا يبيعوا أمتعتهم الا بسعر معلوم لمصلحة

Maksudnya;
“bahawa menyuruh oleh sultan (pemerintah) akan ahli pasaran bahawa tidak menjual barangan mereka melainkan dengan harga yang ditetapkan berdasarkan kepada maslahat”[7]

HUKUM TAS’IR JABARI

ulama menyatakan bahawa hukum tas’ir jabari adalah diharamkan melainkan dalam keadaan yang memerlukan.

Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang panjang, diriwayatkan dari Anas bin malik yang bermaksud;

“Pada zaman Rasulullah SAW, terjadi pelonjakan harga di pasaran. Lalu sekelompok manusia telah mengadap Rasulullah SAW dan berkata ; Ya Rasulullah! Harga-harga barang dipasaran melonjak begitu tinggi, tolonglah tetapkan harga itu.

Baginda SAW menjawab : Sesungguhnya Allahlah yang (berhak) menetapkan harga, dan menahannya, melapangkan dan memberi rezki. Saya berharap akan bertemu dengan Allah dan janganlah seorang dari kamu menuntut saya untuk berlaku kezaliman dalam soal harta dan nyawa” (hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi, Ibnu Majah, Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Hibban)

Daripada hadis ini, ulama menyatakan bahawa, tas’ir jabari adalah sesuatu yang dilarang melainkan dalam keadaan yang memerlukan, seperti kenaikan harga barang dari pihak peniaga yang melampau sehinggakan rakyat merasakan kesannya. Maka dalam keadaan ini, pihak kerajaan dibenarkan melakukan tas’ir jabari berdasarkan kepada hadis yang mengkisahkan tentang Samurah bin jundab.

Riwayat tersebut adalah seperti berikut;

“Samurah bin Jundab mempunyai pohon kurma yang tumbuh dengan condong kedalam kebun kepunyaan seorang keluarga Ansar. Apabila Samurah ingin mengambil buah-buahan dari pokok tersebut, Samurah terpaksa memijak tanaman-tanaman kepunyaan Ansar tersebut.

Ansar tersebut telah mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW menyuruh Samurah menjual pohon kurma tersebut kepada Ansar, ternyata Samurah enggan menjualnya.

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh menyedekahkan sahaja pokok kurma itu kepada Ansar. Juga dienggankan oleh Samurah.

Akhirnya Rasulullah SAW memerintah Ansar tersebut supaya menebang pokok kurma itu, sambil berkata kepada Samurah ;

انما انت مضار

Maksudnya;
“Sesungguhnya kamu adalah orang yang memberi mudharat” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi sa’id al-Khudri)

Dari hadis ini, Rasulullah SAW menyuruh Ansar menebang pokok kurma kepunyaan Samurah kerana keengganannya menjual atau menyedekahkan pokok kurma tersebut kepada Ansar.

Suruhan menebang itu menjadi dalil bahawa tindakan Samurah itu sebenarnya dapat memudharatkan kepada Ansar.

Begitulah halnya dalam isu at-Tas’ir Al-Jabari. Walaupun hukum asalnya, ulama melarang melakukan penetapan harga barang, tetapi ekoran dari kemudharatan yang dihadapi oleh rakyat, maka pihak kerajaan dibenarkan menetapkan harga barang tersebut mengikut maslahat.

SYARAT-SYARAT TAS’IR JABARI

Walaupun berdasarkan kepada kaedah al-masalih al-mursalah, pihak kerajaan dibenarkan menetapkan harga barangan dipasaran, tetapi kebenaran tersebut tidaklah mutlak, bahkan kebenaran itu berdasarkan kepada syarat.

Ulama-ulama fiqh telah meletakan syarat-syaratnya adalah seperti berikut;

a. keadaan itu sangat diperlukan oleh rakyat.
b. Kerajaan itu adalah kerajaan yang adil.
c. Terbukti pihak peniaga telah melakukan kelonjakan harga dengan sewenang-wenangnya.
d. Pihak kerajaan mesti memantau kemaslahatan harga barang dengan nasihat dari pihak yang berkepakaran dalam bidang pasaran.
e. Penetapan harga itu mesti mengambil kira kemaslahatan dari pihak pembeli dan peniaga.
f. Mesti ada pemantauan dari pihak kerajaan, agar tidak terjadi ihtikar dari pihak-pihak tertentu.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada pemahaman diantara ihtikar dan tas’ir jabari yang diulas di atas, dalam isu kehilangan gula di negara ini, perlu diperhatikan kepada beberapa sudut.

Melihat kepada keadaan reality kehilangan gula ini, isu yang sapatutnya dibincangkan adalah isu tas’ir, bukan isu ihtikar.

Ini kerana, punca berlakunya ihtikar adalah disebabkan kesalahan dari pihak kerajaan yang mentas’irkan atau menaikan harga minyak yang sememangnya menjadi keperluan asasi dalam kehidupan manusia kini.

Tidak dinafikan, jika dibelek-belek kitab-kitab turath terdahulu menyatakan bahawa Minyak adalah sumber sampingan kehidupan manusia. Tetapi hakikatnya, setelah dilihat dengan teliti, ekoran manusia kini menggunakan minyak dalam kehidupan harian mereka, maka minyak sudah menjadi salah satu dari barangan utama.

Semasa kenaikan harga minyak pada 28 februari 2006 dengan kadar kenaikan harga runcit petrol sebanyak 18.5 % dan diesel sebanyak 23.4 %[8], ramai dari pakar-pakar ekonomi telah menyatakan bahawa akan berlaku “kesan peganda” pada harga-harga barang disebalik kenaikan harga minyak itu. Ini akan menjadikan satu “gelombang inflasi” pada system ekonomi rakyat.

Tidak dinafikan, pihak peniaga yang telah melakukan ihtikar pada gula adalah suatu kesalahan. Tetapi kesalahan yang paling utama adalah kepada pihak kerajaan yang telah menaikan harga minyak dengan melambung, tanpa memikirkan kepada situasi peniaga-peniaga yang mahu untung dalam perniagaan mereka.

Dalam isu kehilangan gula dipasaran, perkara yang perlu dibincangkan adalah isu tas’ir, bukan isu ihtikar. Kalau isu Tas’ir dapat di selesaikan, nescaya isu ihtikar tidak akan berlaku.

Kesalahan tidak boleh ditujukan kepada pihak muhtakir (orang yang memonopoli), bahkan yang paling utama di salahkan adalah pihak kerajaan dalam menaikan harga minyak yang melambung.

Wallahu ‘Alam

One_G
Http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
abu_abdillah_azzam@yahoo.com

[1] Nail al-Autar : (7/220-221)
[2] Ihya’ Ulum Ad-din (2/24)
[3] Fiqh Muamalat : m/s 180.
[4] Al-Bada’I as-Sana’I (7/129)
[5] Fiqh Muamalat : m/s 187.
[6] Lihat “mukjam al-mustalahat wa al-alfaz al-fiqhiyyah” (1/454)
[7] Nail wa al-awtar : (7/220).
[8] Lihat “utusan Malaysia” 28 Februari 2006.

No comments: