Sunday, July 16, 2006

MENGAPA PERLU BIMBANG MENZAHIRKAN ISLAM?

MENGAPA PERLU BIMBANG MENZAHIRKAN ISLAM?

AL-QURAN DAN AL-HADIS

Menyebut Islam, tergambar di pemikiran kita akan dua sandaran yang utama, iaitu al-quran dan al-hadis SAW. Sandaran ini diakui oleh Rasulullah SAW didalam hadis baginda yang masyhur iaitu sabda Rasulullah SAW;

تركت فيكم أمرين , ان تمسكتم بهما , لن تضلوا أبدا , كتاب الله و سنة الرسول – ص –

Maksudnya;
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, sekiranya kamu berpegang dengan keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW”

TUJUAN PENCIPTAAN MANUSIA DI MUKA BUMI

Di dunia ini, Allah telah menciptakan pelbagai makhluk. Penciptaan makhluk itu tidaklah di adakan dengan sia-sia. Terutamanya, penciptaan Allah terhadap makhluk yang bernama manusia.

Firman Allah:

أيحسب الإنسان أن يترك سدى

Maksudnya;
“Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung jawaban)?” (surah al-Qiyamah : 36)

Melihat kepada ciptaan manusia itu, tidaklah di wujudkan di muka bumi dengan tidak dipertanggungjawabkan, maka penciptaan manusia itu mempunyai sebab dan tujuan yang dikehendaki oleh Allah.

Al-Quran menggambarkan di dalam firman-Nya tentang tujuan penciptaan manusia di bumi ini.

Firman Allah;

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون


Maksudnya;
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku (Allah).” (surah az-zariyat : 56)

SIAPAKAH ROLE MODEL DALAM MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB

Al-Quran di turunkan oleh Allah kepada Nabi Besar Muhammad SAW. Sekiranya Al-Quran di turunkan kepada manusia tanpa mendatangkan Nabi, nescaya manusia akan terkapai-kapai dan kesamaran dalam mengamalkan Al-Quran.

Bagi menjelaskan dan memahamkan manusia dengan Al-Quran, maka Allah telah memilih Muhammad, seorang lelaki berketurunan arab, untuk menjadi nabi. Pandangan manusia ketika itu, arab adalah satu bangsa yang dipandang sebagai bangsa yang tidak bertamadun dan tidak berkelayakan dipilih nabi dari bangsa mereka.

Pemilihan Allah terhadap Muhammad sebagai Nabi, merupakan seorang manusia yang berjalan, makan, minum, beristeri dan sebagainya, seperti manusia yang lain. Tujuan pemilihan itu adalah, supaya manusia dapat memanfaatkan kehadiran nabi itu untuk mudah meniru dan memahami konsep pemahaman Al-Quran yang dikehendaki oleh Allah.

Walaupunbegitu, pemilihan nabi dari kalangan manusia itu dipertikaikan oleh golongan kuffar, seperti gambaran yang dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran.

Firman Allah;

وقالوا ما لهذا الرسول يأكل الطعام ويمشي في الأسواق لولا أنزل إليه ملك فيكون معه نذيرا

Maksudnya;
“Dan mereka berkata: "Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama- sama dengan dia?,” (surah al-furqan : 7)

Hakikatnya, pertikaian dari golongan kuffar tersebut, bukanlah bermaksud mereka ingin menerima hidayah Islam dengan di pilih malaikat untuk di jadikan sebagai Rasul, tetapi pertikaian itu adalah gambaran kedegilan mereka terhadap Islam itu sendiri.

Nabi Muhammad adalah role model yang terbaik dalam mencari kebahagiaan, samada di dunia atau di akhirat.

Firman Allah;

لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا

Maksudnya;
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (surah al-ahzab : 21)

Melihat kepada Nabi Muhammad adalah ikutan dan suri teladan yang terbaik, maka seharusnya segala perinsip perjuangan dan cara menghadapinya berdasarkan kepada Rasulullah SAW;

Sabda Rasulullah SAW;

فان أصدق الحديث كتاب الله و خير الهدى هدى محمد – ص -

Maksudnya;
“sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW”

APAKAH TANGGUNGJAWAB YANG PERLU DIPIKUL?

Membaca sirah Rasulullah SAW, Para Sahabat, tabiin, Ulama-ulama salaf dan sebagainya. Penilaian yang dapat dibuat, antara tugas yang dilaksanakan oleh mereka adalah mengabdikan diri dan mengajak manusia kepada pengabdian diri kepada Allah.

Berdakwah ada tugas yang di tanggungjawabkan kepada nabi SAW. Sabda Rasulullah SAW;

بلغوا عنى ولو أية

Maksudnya;
“sampaikan daripadaku, walaupun satu ayat (sekalipun)”

Tugas dakwah itu tidaklah dibataskan kepada diri Rasulullah SAW sahaja, bahkan diteruskan oleh para sahabat, tabiin, tabii at-tabiin dan umat islam seterusnya.

Kita membaca kisah usaha dakwah yang di lakukan oleh para sahabat, seperti Abu Bakar As-siddiq, Omar bin Al-Khattab, Amru bin al-‘Ash dan sebagainya.

Begitujuga dengan nama-nama yang masyhur, seperti Imam As-Syafii, Imam Maliki, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Hanafi, Imam Ibnu Thaimiyyah, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mereka dikenali kerana usaha mereka dalam menyambung tugas dakwah yang dibawa Rasulullah SAW.

Tugas dakwah itu, tidak terbatas kepada mereka sahaja, tetapi tugas dakwah itu hendaklah di jadikan tanggungjawab yang wajib di tunaikan oleh kita selaku umat-umat nabi Muhammad SAW.

DAKWAH

Dakwah adalah kalimah arab yang bermaksud “mengajak”. Di dalam kamus dewan , edisi ketiga, dakwah didefinisikan sebagai “kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan”[1].

Berdakwah merupakan suruhan Allah terhadap manusia, supaya manusia melakukannya.

Firman Allah;

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة

Maksudnya;
“Serulah/berdakwahlah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah” (surah an-nahl : 125)

Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang, Presiden PAS ada menyebut bahawa, di dalam berdakwah, hendaklah memahami rukun-rukun dakwah. Rukun-rukun dakwah tersebut adalah seperti berikut;

a. Maudu’ ad-dakwah : iaitu Islam
b. Ad-da’I : iaitu pendakwah
c. Al-Mad’uu : iaitu sasaran dakwah
d. Uslub ad-dakwah : iaitu cara-cara berdakwah.

KEFAHAMAN TERHADAP DAKWAH

Akhir-akhir ini, ramai manusia sudah masuk dalam bidang dakwah. Usaha yang di lakukan oleh mereka amat memberangsangkan dan melahirkan sesuatu yang positif.

Tetapi, setelah diperhatikan, ramai dari kalangan mereka yang dahulunya dari golongan secular, masuk dalam perjuangan Islam, melakukan urusan dakwah mereka berdasarkan pandangan mereka yang kadang kala ianya adalah dari kesan-kesan pemikiran mereka yang terdahulu.

Ekoran dari itu, mereka telah melakukan urusan dakwah berdasarkan kepada pemikiran itu, tanpa merujuk kepada sirah Rasulullah SAW, para sahabat dan selanjutnya.

Antara contoh yang di lakukan adalah, mereka mengeluarkan pandangan supaya tidak mendedahkan dan mengmasyhurkan beberapa perkara yang berkaitan Islam dengan tujuan mendapat pengaruh dari kalangan non muslim.

Apakah mereka tidak membaca sirah Rasulullah SAW yang tidak pernah menyebunyikan Islam dari pengetahuan manusia?

Antara bukti sirah adalah seperti berikut;

a. DAKWAH RASULULLAH SECARA SIR.

Walaupun kita mendengar dakwah secara sir (tidak terang-terangan atau sembunyi-sembunyian) yang di lakukan oleh Rasulullah di permulaan Islam, tetapi hakikatnya yang perlu di ketahui bahawa Rasulullah SAW tidak pernah malu dan bimbang dalam menyampaikan kebenaran.

Di dalam kitab “al-maghazi wa as-siyar”, karangan Ibnu Ishaq, ada menyebut bahawa;

“walaupun secara umumnya dakwah tersebut dilakukan secara sir, namum gerak dakwah Rasulullah SAW tersebut tidak dikatakan sebagai gerakan bawah tanah. Sebab biar bagaimanapun, masyarakat musyrik Quraisy, sedikit sebanyak mengetahui pergerakan yang dilakukan oleh Baginda SAW dan mereka secara umum memantau perkembangan dakwah tersebut”[2]

Ekoran dari itulah, walaupun Islam didakwahkan secara sir, tetapi kita mendengar juga Bilal bin Rabah dan Ammar bin Yasir diseksa dengan teruk.

b. KISAH RASULULLAH DENGAN ABU LAHAB.

Di ceritakan bahawa semasa kematian Abu Talib, beliau ada mewasiatkan kepada Abu Lahab agar menjaga Nabi selepas kematiannya.

Setelah kemangkatan Siti Khadijah, Baginda SAW bersangatan sedih sehinggakan di tahun itu di gelar dengan “Al-‘Am al-Huzn” atau tahun kesedihan Rasulullah SAW.

Golongan kuffar yang sudah lama menunggu saat-saat ini, iaitu saat dikala Baginda SAW tidak mempunyai pembelaan dari mana-mana pihak. Maka setelah kematian Siti Khadijah, bermulalah kejahatan menyakiti Rasulullah SAW di lakukan oleh golongan kuffar.

Di kala Rasulullah SAW berjalan, golongan kuffar yang terdiri dari Abu Jahal, Umayyah bin Khalaf, Aswad bin Abdul Yaghut, Ubai bin Khalaf, Nadhrah bin Harith dan ‘Uqbah bin Abu Mu’it telah membaling batu kepada Rasulullah SAW.

Melihat kepada tindakan itu, Rasulullah SAW menyorok di belakang batu.

Lontaran batu itu didengari oleh Abu Lahab, lalu Abu Lahab telah melarang golongan kuffar tersebut dari melakukan penyeksaan terhadap Nabi dan menyatakan penjagaan beliau terhadap Baginda Muhammad SAW.

Tindakan Abu Lahab tersebut telah memeranjatkan Kuffar Qurasy dan mereka menyangka bahawa Abu Lahab telah memeluk ajaran Muhammad SAW.

Lalu, satu delegasi di hantar oleh kuffar Quraisy berjumpa dengan Abu Lahab, bagi menanyakan tentang pegangannya, adakah dia sudah meninggalkan agama Abdul Muttalib? Abu Lahab menjawab, dia masih berada pada ajaran Abdul Muttalib, tetapi penjagaannya terhadap Muhammad adalah amanah yang diberikan oleh Abu Talib terhadap dirinya.

Golongan kuffar tidak berpuas hati dengan tindakan penjagaan Abu Lahab terhadap Baginda SAW. Lalu Abu Jahal dan Abu ‘Uqbah telah menyusun strategic bagi melahirkan kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah SAW.

Mereka berdua telah berjumpa Nabi SAW dan menanyakan tentang balasan Abu Talib setelah kematiannya mengikut ajaran Muhammad. Lalu di jawab oleh Rasulullah SAW bahawa Abu Talib tetap di dalam neraka, walaupun dia menjaga Rasulullah SAW sepenuh hati.

Mendengar jawapan tersebut, Abu Jahal dan Abu ‘Uqbah berjumpa Abu Lahab dan menceritakan pertanyaan dan persoalan mereka terhadap Abu Talib dan jawapan dari Rasulullah SAW.

Abu Lahab pada mulanya tidak mempercayainya, lalu dia sendiri telah pergi sendiri berjumpa dengan Nabi dan bertanyakan kepada Rasulullah SAW tentang balasan yang di terima oleh Abu Talib yang menjaganya sepenuh hati itu.

Mendengar soalan tersebut, Rasulullah SAW menyatakan, bahawa Abu Talib bersama kaumnya.

Jawapan tersebut telah mengelirukan Abu Lahab dan dia berjumpa dengan Abu Jahal dan Abu ‘Uqbah dan menceritakan jawapan tersebut.

Mendengar demikian, Abu Jahal dan Abu ‘Uqbah menyatakan bahawa Rasulullah SAW memaksudkan bahawa Abu Talib sebagai ahli neraka. Mendengar demikian, Abu Lahab berjumpa dengan nabi dan bertanyakan, adakah benar Abu Talib dari isi neraka di akhirat nanti?. Lalu di jawab oleh Rasulullah SAW dengan tidak di sembunyikan lagi, dengan mengatakan;

“Ya, siapa yang meninggal dunia dalam keadaan seperti Abu Talib, maka dia tetap didalam neraka”.

Mendengar jawapan tersebut, Abu Lahab terus berkata ;

“Oleh sebab kamu berkata Abu Talib di dalam neraka, engkau kini adalah musuhku”[3]

MORAL DARI KISAH

Dari kisah ini, menunjukan kepada kita, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah menyembunyikan kebenaran, walaupun seakan-akan merugikan dari sudut pembelaan yang diterima oleh baginda dari bapa saudara baginda itu.

c. KISAH RASULULLAH DENGAN AS’AD BIN ZARARAH.

Di Yastrib (nama Madinah sebelum Islam) telah berlaku peperangan di antara kaum Aus dan Khazraj. Perperangan tersebut berlaku selama seratus tahun lebih. Mengikut riwayat yang lain, peperangan antara Aus dan Khazraj itu berlaku selama empat ratus tahun.

As’ad bin Zararah merupakan salah seorang pemimpin besar kaum Khazraj telah pergi ke Mekkah untuk meminta bantuan bagi melawan Aus.

Sesampainya beliau di Mekkah, beliau bermalam di rumah ‘Utbah bin Rabi’ah. Di rumah ‘Utbah bin Rabi’ah, As’ad bin Zararah menceritakan tujuan kedatangannya ke Mekkah. Mendengar cerita As’ad tersebut, ‘Utbah bin Rabi’ah memberi tahu bahawa orang-orang Mekkah tidak dapat memberi bantuan kepada Khazraj, kerana telah datang seorang lelaki yang bernama Muhammad, mencela berhala-berhala sembahan mereka, dan ramai dari kalangan pemuda-pemuda Mekkah telah bersama dengan ajaran Muhammad itu.

Mendengar penjelasan dari ‘Utbah bin Rabi’ah tersebut, As’ad memutuskan supaya dia pulang sahaja, dan tidak perlu berjumpa dengan pembesar-pembesar Mekkah yang lain.

Mengikut kebiasaan Arab, apabila mereka pergi Ke Mekkah, sebelum pulang, mereka akan melakukan tawaf wida’ di Kaabah.

Semasa As’ad bin Zararah hendak pulang, ‘Utbah bin Rabi’ah berpesan kepada As’ad agar dia tidak mendengar khutbah dan bersembang-sembang dengan Nabi, semasa dia melakukan tawaf di Kaabah nanti.

Semasa As’ad melakukan tawaf, dia melihat seorang lelaki sedang berkhutbah di Hijr Ismail dan dia manganggap itu adalah Nabi Muhammad yang dimaksudkan oleh ‘Utbah bin Rabi’ah. Ketika dia sedang melakukan tawaf, dia terfikir tentang ajaran yang dibawa oleh Muhammad itu.

Setelah melakukan tawaf, dia telah berjumpa dengan Muhammad dan menanyakan kepada Nabi tentang ajaran nabi tersebut.

Mendengar persoalan tersebut, Baginda SAW terus membaca firman Allah;

قل تعالوا أتل ما حرم ربكم عليكم ألا تشركوا به شيئا وبالوالدين إحسانا ولا تقتلوا أولادكم من إملاق نحن نرزقكم وإياهم ولا تقربوا الفواحش ما ظهر منها وما بطن ولا تقتلوا النفس التي حرم الله إلا بالحق ذلكم وصاكم به لعلكم تعقلون

ولا تقربوا مال اليتيم إلا بالتي هي أحسن حتى يبلغ أشده وأوفوا الكيل والميزان بالقسط لا نكلف نفسا إلا وسعها وإذا قلتم فاعدلوا ولو كان ذا قربى وبعهد الله أوفوا ذلكم وصاكم به لعلكم تذكرون


Maksudnya;
“Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya) # Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekedar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.” (surah al-an’am : 151-152)

Dua ayat dari surah al-an’am itu sebenarnya menggambarkan punca kelemahan dan punca perbalahan antara Aus dan Khazraj. Mendengar sahaja ayat tersebut, As’ad bin Zararah telah memeluk Islam dan meminta supaya Rasulullah SAW dapat menghantar pendakwah di Yathrib untuk memahamkan orang-orang Yathrib tentang ajaran Islam ini.[4]

MORAL DARI KISAH

Rasulullah SAW sememangnya kenal dengan As’ad bin Zararah. Juga baginda SAW juga mengetahui bahawa As’ad adalah seorang yang belum memeluk Islam lagi.

Ketika baginda di tanya oleh As’ad tentang Islam, Baginda SAW tanpa segan dan malu menyatakan kebenaran dengan membacakan terus firman Allah SWT.

Dari sirah ini sudah jelas menunjukan kepada kita, tidak perlu kita menyembunyikan Islam atau kita tidak menzahirkan Islam atas alasan menarik pengaruh non muslim kepada Islam.

Kadangkala, amat memelikkan kepada pejuang-pejuang Islam akhir-akhir ini, yang pergi ke tempat keramaian non muslim dan memakai pakaian-pakaian yang seperti mereka, seperti orang cina yang menyambut perayaan “Gong xi fa Chai”, lalu pejuang-pejuang Islam ini telah pergi ke tempat mereka juga dan telah memakai pakaian yang berwarna merah.

Apakah mereka tidak mengetahuai bahawa, Islam membenarkan kita menziarahi non muslim dan melakukan “mujamalah” terhadap mereka atas nama dakwah.

Apabila menyebut kepergian kita atas nama dakwah, maka tidak seharusnya kita menjadi “lebih cina dari cina” atau “lebih kafir dari orang kafir itu”.

Sabda Rasullullah SAW;

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya;
“Barangsiapa yang menyerupai satu kaum, maka dia dari kaum tersebut”

Apakah kita sudah tidak mempercayai pakaian Islam? Apakah kita tidak meyaqini perinsip berpakaian yang diperjuang oleh Islam?

Amat menyedihkan, ada dari kalangan pejuang Islam sudah mula menggalakkan kepada beberapa orang muslimat agar tidak berfurdah, menggalakkan kepada muslimin agar tidak berkopiah dan berserban ketika merayu undi, bertakbir dan sebagainya

Memang tidak dinafikan bahawa berpakaian Islam adalah sesuatu yang dipandang sunat, tidak wajib disisi Islam, tetapi hakikatnya, perkara sunat yang di amalkan itu adalah punca mendapat pertolongan dari Allah.

Kita lebih suka hendak menjaga hati dan perasaan orang non muslim berbanding sunnah dan galakan Nabi Muhammad SAW.

Apakah mereka tidak membaca kisah yang terkandung di dalam penurunan surah ‘Abasa?

KISAH PENURUNAN SURAH ‘ABASA.

Firman Allah;

عبس و تولى # ان جاءهم أعمى # و ما يدريك لعله يزكى # أو يذكر فتنفعه الذكرى

Maksudnya;
“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling # karena telah datang seorang buta kepadanya # Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa) # atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?” (surah ‘Abasa : 1-4)

Di dalam firman Allah ini adalah satu gambaran tentang teguran Allah terhadap Nabi Muhammad SAW yang ketika itu bercakap dengan golongan kuffar dengan tujuan hendak mengajak mereka kepada Islam.

Ketika itu juga, telah datang seorang sahabat buta yang bernama Abdullah bin Ummi al-Maktum untuk bertanyakan sesuatu daripada Rasulullah SAW.

Melihat kepada kedatangan Abdullah bin Ummi Maktum tersebut, Rasulullah SAW telah bermasam muka dan berpaling darinya, sehinggakan turun firman Allah ini sebagai menegur akan perbuatan Rasulullah SAW itu.

Di dalam kitab “darsi tafsir”, sebuah kitab tafsir yang mengkhususkan kepada juzuk tiga puluh, berbahasa urdu, yang di tulis oleh seorang ulama Pakistan yang bernama Hadhrat Maulana Nasim Ahmad Ghazi Muzhahari Bajnuri, telah menerangkan bahawa, melihat kepada zahir dari kisah ini, perbuatan nabi itu adalah tidak salah, ini kerana, perbuatan Nabi SAW bercakap dengan ketua-ketua kuffar dengan tujuan hendak mengajak mereka kepada Islam.

Walaubagaimanapun, tindakan Nabi SAW itu tidak di sukai oleh Allah, lalu di tegur dengan penurunan surah ini.

Melihat kepada kisah ini, jelas kepada kita bahawa Islam telah meletakan metod dan perinsip dakwah. Lebih utama menjaga orang-orang Islam berbanding menjaga orang-orang yang bukan Islam.

KESIMPULAN

Firman Allah;

فان تنازعتم فى شئ فردواه الى الله و الرسول

Maksudnya;
“Jika kamu bertelagah dalam sesuatu perkara, kembalilah kepada Allah dan Rasul”(an-nisa’ : 59).

Dalam ayat ini, Allah menggambarkan bahawa segala urusan ini dapat diselesaikan dengan penilikan kita kepada Allah dan Rasul.

Ada yang mengatakan, dalam perkata teknikal, kita tidak perlu kepada Al-Quran dan Al-hadis, ini kerana, zaman dan masa itu sentiasa berubah, maka ketika itu dibenarkan kepada kita berijtihad.

Perlu difahami, Ijtihad adalah berusaha untuk memahami akan nas dan mentahbiqkan (merialisasikan) nas tersebut kepada suasana keadaan dan tempat.

Sekiranya ijtihad itu tidak disandarkan kepada Nas, maka ijtihad itu adalah ijtihad yang salah dan tidak boleh diterima.

Antara problem besar dalam dakwah yang sedang menimpa umat Islam kini adalah, tidak merujuk kepada sirah Rasulullah SAW.

Usrah yang dijalankan lebih bersifat menghentam dan memaki UMNO, tetapi tidak disertakan dengan pengisian jiwa dengan membawa kisah-kisah dari sirah Rasulullah SAW.

Hidupkan balik sirah Rasulullah SAW di dalam setiap pengisian Usrah, agar kita tidak di abaikan dan merasa “syok sendiri” di dalam melakukan dakwah islamiyyah.

Sesungguhnya, melihat kepada peribadi Rasulullah SAW itu banyak dapat menyelesaikan masalah yang menimpa umat Islam kini.

Wallahu ‘Alam.


One_G
Abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

[1] Kamus dewan, edisi ketiga : m/s 263.
[2] Mausu’ah Ghuzwat Ar-Rasul : m/s 7.
[3] Sila lihat buku “Sirah dan riwayat hidup Nabi Muhammad SAW” : m/s 316-320.
[4] Kisah ini boleh dibaca secara panjang lebar di dalam buku “Sirah dan riwayat hidup Nabi SAW” : m/s 40-42.

No comments: