PRINSIP YANG TERJAGA, SIASAH YANG MATANG
Agama Islam yang diwahyukan Allah kepada Muhammad supaya disebarkan ke seluruh alam ini merupakan agama yang paling syumul dan merangkumi didalam semua kontek kehidupan.
Islam tidak dibataskan kepada perkara ibadat sahaja, bahkan Islam merupakan agama yang merangkumi segala cara hidup manusia, samada dari sudut pendidikan, politik, ekonomi, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Justeru islam adalah agama yang syumul, sewajibnya penganutnya masuk kedalam Islam secara menyeluruh.
Firman Allah;
يا أيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين
Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (surah al-Baqarah : 208)
Juga Allah melarang manusia mengambil Islam sebahagian dan mengkufuri sebahagian yang lain. Hal ini dinyatakan oleh Allah didalam firmannya;
أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب وما الله بغافل عما تعملون
Maksudnya;
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat” (surah al-Baqarah : 85)
Siasah merupakan antara perkara yang diajar oleh Islam. Rasulullah SAW merupakan tauladan contoh dalam menentukan kebaikan dalam menuju kejayaan bersiasah.
AQIDAH ADALAH DASAR
Aqidah merupakan dasar utama yang perlu ditanam kepada penganut-penganut Islam. Melihat kepada sirah Rasulullah SAW, dimasa marhalah makkiyyah, Rasulullah SAW mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah. Menunjukan kepada kita, aqidah merupakan sesuatu asas yang utama perlu diserapkan kepada jiwa penganut-penganut Islam.
Tugas meresapkan tauhid dan aqidah tidaklah dibataskan kepada diri-diri individu manusia sahaja, bahkan perlunya kepada penyerapan kepada system dan organisasi, agar ianya tidak tersasar dari kehendak Allah.
Walaupun aqidah menjadi dasar, tidak semestinya kita berdakwah dengan mengemukakan aqidah terlebih dahulu, bahkan kadangkala, manusia boleh terpaut dengan Islam dengan penglihatan dan penghayatan mereka kepada keadilan Islam didalam menguruskan siasah, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya.
Kita mendengar kisah berkenaan tentang kemasukan beberapa individu kepada Islam, ekoran dari melihat akhlak mulia Rasulullah SAW, Saidina Omar dan sebagainya.
Ini menunjukan, tidak semestinya, mengajak manusia itu mesti bermula dengan pintu aqidah, tetapi boleh juga dakwah islam itu dimulakan dengan pintu ekonomi Islam, politik Islam dan sebagainya. Lanjutan dari itu, penerapan aqidah perlu di laksanakan kepada individu-individu tersebut agar ia menjadi sebagai muslim yang hakiki.
PERJUANGKAN ISLAM MELALUI SIASAH HIZBIYYAH
Kejatuhan Daulah Othmaniyyah merupakan kejatuhan kuasa Islam didalam bersiasah dan mentadbir alam ini dengan islam.
Pemikiran secular merupakan dalang dalam usaha untuk menjatuhkan kekuatan khilafah Islamiyyah yang terakhir itu.
Bermula dari situ, umat Islam yang berfikir dan berjiwa islam mula melancarkan beberapa tindakan agar Daulah Islamiyyah itu dapat dibina semula.
Ada dari mereka menubuhkan gerakan-gerakan Islam di negara-negara mereka, ada meneruskan dengan agenda individunya dan berbagai-bagai lagi.
Kelahiran Jamaat Islami yang berada di Benua India, Ikhwan Muslimin di Semenanjung Tanah Arab, Hizbul Muslimin di Malaysia dan sebagainya adalah selepas kejatuhan Daulah Islamiyyah ketika itu.
Kelahiran gerakan-gerakan Islam ini, bukanlah untuk mengaut keuntungan dunia dan pengaruh individu-individu tertentu sahaja, bahkan kelahiran gerakan Islam ini bertujuan untuk mengembalikan semula kekuatan khilafah Islamiyyah yang telah jatuh semenjak dahulu lagi.
PAS adalah salah satu gerakan islam yang muncul bagi berusaha kearah tersebut. Melihat Malaysia adalah sebuah negara yang dipimpin oleh muslim tetapi berfikiran dan bertindak secular, maka PAS telah menubuhkan partinya, bagi berusaha hendak melaksanakan Islam mengikut kadar yang termampu dilaksanakan.
Perlaksanaan hukum-hukum dan undang-undang Islam adalah sesuatu yang telah sabit dengan nas dan telah diijmakkan oleh ulama, maka berusaha kearah perlaksanaannya adalah sesuatu yang wajib.
Berusaha kearah perlaksanaan tersebut tidak dapat direalitikan melainkan dengan menubuh parti dan masuk bertanding dalam pilihanraya, maka PAS telah mengambil cara menubuhkan parti dan masuk kedalam pilihanraya bagi merialisasikan kewajipan tersebut.
Tindakan PAS itu, bukan semata-mata pemikiran dan teori, bahkan tindakan PAS berasaskan kepada kaedah fiqh;
ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
Maksudnya;
“tidak akan sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya, maka melaksanakannya adalah wajib”
PAS juga bersifat membenci kezaliman dan menjauhkan diri dari bersekongkol dengan kezaliman tersebut. Ini menujukan PAS percaya dengan firman Allah;
ولا تركنوا الى الذين ظلموا فتمسكم النار , وما لكم من دون الله من أولياء , ثم لا تنصرون
Maksudnya
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” (surah hud : 113)
Maka ekoran dari itu, PAS tidaklah mengajak manusia menuju kepada ketaasuban kepartiannya, tetapi PAS mengajak manusia kepada penghayatan dan perlaksanaan Islam secara menyeluruh, samada dari sudut ibadatnya, muamalatnya, ekonominya dan sebagainya.
PAS amat bergembira sekiranya UMNO menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. PAS mengangap UMNO sebagai musuh kerana UMNO meneruskan agenda nasionalis kebangsaan melayu yang menyesatkan itu. PAS lawan UMNO, bukanlah kerana UMNOnya, tetapi PAS lawan UMNO kerana UMNO penerus kepada agenda yang menyalahi Islam.
Mursyid Al-‘Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat beberapa kali telah mengeluarkan kenyataan, bahawa PAS akan dibubarkan, sekiranya UMNO tukar dasar perjuangannya dari secular nasionalis kepada Islam yang sempurna.
Melihat kepada inilah perjuangan PAS, maka PAS tidak akan melayan mana-mana fikrah pergerakan yang mendakwa Islam, tetapi hakikatnya, tindakan mereka merugikan Islam dan menguntungkan secular dan perjuangan nasionalis, seperti Ummah Centric dan sebagainya.
SELAGI UMNO DENGAN SEKULAR, SELAGI ITU UMNO DIRAGUI
Diketahui UMNO adalah sebuah parti secular yang memperjuangkan nasionalis melayu, maka kelahiran PAS antara tugasnya adalah hendak membaiki pemikiran manusia akan kesesatan perjuangan nasionalis itu.
Selagi UMNO tidak menukar dasar perjuangan sekularnya, maka apa perlunya mempercayai dengan kata-kata manis yang ingin memaut perhatian manusia itu.
Perkataan Islam Hadhari yang diperkatakan oleh Abdullah Ahmad Badawi merupakan tindakan “ada udang disebalik batu”, kearah mencari keuntungan politik secular yang menyesatkan.
Setelah dikaji dan diselidiki, sememangnya kehadiran Islam Hadhari itu meragukan dan mengandungi udang disebalik batu.
Antara bukti keraguan yang ada pada Islam Hadhari adalah dari buku “Islam Hadhari dan pembangunan Umat” sebuah buku keluaran Hal Ehwal Khas, Kementeriaan Penerangan Malaysia, karangan Prof Madya Dr Idris Zakaria yang menjelaskan seperti berikut;
“Menjelang pilihanraya umum 2004 yang lalu, kita mendengar satu gagasan politik Negara yang dinamakannya sebagai Islam Hadhari. Gagasan ini telah terbukti yang ia adalah kekuatan. Kerajaan Barisan Nasional dengan UMNO sebagai tulang belakang telah menunjukan prestasi dan kejayaan yang besar dan mengejutkan ramai pemerhati politik dalam dan luar Negara. Negeri terengganu yang dikuasai parti PAS telah dirampas semula dengan kekuatan “Islam Hadhari Terengganu Bestari”. UMNO telah memenangi 28 dari 32 kerusi DUN dan 8 kerusi Parlimen. UMNO juga hampir menawan negeri Kelantan dengan menguasai 21 kerusi DUN dan PAS 24. Namun, dilihat secara umum, gagasan Islam Hadhari ini telah berjaya mematahkan kekuatan Pasti PAS”[1]
Buku ini jelas menbuktikan bahawa Islam hadhari merupakan gagasan untuk mengalahkan PAS didalam pilihanraya, bukan untuk memberi penghayatan dan perlaksanaan Islam.
Begitujuga, Shahidan Kassim yang mula memperkatakan tentang salafi. Apa yang memelikkan, beliau merupakan menteri Besar Perlis yang menang dalam pilihanraya berpartikan Barisan Nasional yang sememangnya berwadahkan secular nasionalis. Apakah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat itu hendak memenangkan secular?
Setelah dilihat dan diselidiki, ekoran ramai dari rakyat-rakyat perlis mula memperkatakan tentang salafi, maka Shahidan Kassim sudah mula memperkatakan tentang salafi bagi mengekalkan pengaruhnya sebagai Menteri Besar di masa akan datang.
Meletakkan keraguan terhadap UMNO yang sudah mula memperkatakan tentang Islam adalah sesuatu kemestian, ini kerana firman Allah;
يا أيها الذين أمنوا , ان جاءكم فاسق بنباء فتبينوا , أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين
Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (surah al-Hujurat : 6)
ADAKAH PAS MEMENTINGKAN KERUSI BERBANDING PERLAKSANAAN DAKWAH?
Dalam system pilihanraya demokrasi, mendapat kerusi yang banyak menjanjikan kuasa memerintah, maka PAS berusaha hendak mendapat kerusi agar kuasa memerintah berasaskan kepada Al-Quran dan Hadis dapat dilaksanakan.
Perlu difahami, PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata, bahkan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang menjadikan parti sebagai wasilah untuk melaksanakan tugas dakwah.
Dakwah PAS tidak dibataskan kepada dakwah lisan, tetapi dakwah PAS sampai kepada tahap dakwah dengan perbuatan.
Sabda Rasulullah ;
من رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بيده فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لم يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya;
“barangsiapa melihat akan kemungkaran, maka hendaklah dia tukarnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka dengan lisan (bercakap), sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya (benci kepada mungkar), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”[2]
Jika ada orang yang mendakwa PAS lebih mementingkan kerusi berbanding tugas dakwah, maka perlu difahamkan kepadanya, bahawa PAS mementingkan kerusi dengan tujuan Islam dapat dihayati dan dilaksanakan, iaitu PAS menjadikan kerusi sebagai cara untuk berdakwah.
SALAHKAH ISU DIJADIKAN SEBAGAI BAHAN DAKWAH?
Isu adalah sesuatu yang sentiasa berlaku. Ada isu yang melibatkan umat, dan ada isu yang melibatkan kepada individu-individu tertentu, tetapi melibatkan kepada umat menyeluruh.
Kehadiran Islam, antara tugasnya adalah hendak menyelesaikan permasalahan manusia, lebih-lebih lagi permasalahan itu melibatkan kepada umat keseluruhan.
Jika diperhatikan kepada isu kenaikan harga minyak, sudah memadai untuk menjawab persoalan monopoli gula yang berlaku di negara ini.
Semuanya berpunca apabila manusia lebih mengutamakan system ekonomi yang berteraskan kapitalis berbanding islam.
Isu tsunami dan gempa bumi yang menimpa Indonesia juga sudah memadai diperhatikan apabila manusia di sana masih mengamalkan budaya liberalisma dan pluralisma dalam beragama berbanding mengambil Islam sebagai cara hidup yang sempurna.
Firman Allah;
ظهر الفساد فى البر و البحر بما كسبت أيدى الناس
Maksudnya;
“Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusi” (surah ar-rum : 41)
Mengambil tahu isu yang berlaku, lalu dikaitkan penyelesaiannya berlandaskan Islam merupakan tindakan yang dapat mengaut keuntungan dalam melaksanakan tugas dakwah.
Kita mengetahui kisah kekalahan tentera rum ketika berperang dengan farsi yang beragama majusi. Ekoran Al-Quran adalah Hakim iaitu bijaksana, maka Al-Quran merakamkan bahawa kekalahan rum yang dibanggakan oleh golongan quraish, bahawa rom akan menerima kemenangan tidak lama kemudian dari itu. Hal itu benar-benar terjadi. Beberapa tahun kemudian, apa yang dinyatakan oleh Al-Quran itu benar-benar terjadi, maka dengan itu dapat menjawab bahawa benarnya kenabian Muhammad SAW.
Firman Allah;
غلبت الروم * فى أدنى الأرض وهم من بعد غلبهم سيغلبون * فى بضع سنين , لله الأمر من قبل و من بعد , ويومئذ يفرح المؤمنون
Maksudnya;
“Telah dikalahkan bangsa Rumawi * di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang * dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman” (surah Ar-Rum : 2-4)
Dari ayat Al-Quran ini menggambarkan bacaan politik wahyu ilahi terhadap sesuatu itu yang berlaku, lalu penjelasan tersebut berasaskan kepada wahyu sebagai tanda untuk menarik manusia kepada Islam.
ISU MAHADHIR DAN ANUAR IBRAHIM
Dahulu PAS berjaya mengaut keuntungan dalam pilihanraya dikala kezaliman yang dilakukan oleh UMNO terhadap seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang bernama Anuar Ibrahim.
Keuntungan tersebut, PAS berjaya mengekalkan kemenangannya di Kelantan dan dapat mengambil Terengganu untuk diperintah berasaskan kepada Islam.
Didalam pemerintahan di dua buah negeri tersebut, banyak keuntungan dakwah dapat didedahkan kepada masyarakat, samada kepada muslim atau non muslim.
Manusia dahulunya tidak mengerti dan mengetahui akan undang-undang hudud, qisas, ta’zir, kharaj dan sebagainya, sekarang mereka sudah memahaminya setelah kemenangan PAS di dua negeri tersebut.
Golongan non muslim yang dahulunya memandang benci kepada Islam, menjadi golongan yang sudah memahami keindangan Islam dan sudah mahu membantu kemenangan PAS didalam pilihanraya lepas.
Ini menunjukan bahawa, kemenangan yang PAS kaut hasil dari isu Anuar Ibrahim merupakan salah satu cara PAS menyampai dakwahnya kepada manusia.
Dan kini, berlaku isu kritikan bekas Perdana Menteri, Dr Mahadhir terhadap kepimpinan kerajaan sekarang merupakan satu isu yang sebenarnya PAS dapat menyampai usaha dakwah melaluinya.
Kehadiran beberapa pimpinan PAS didalam majlis dialog bersama Mahadhir merupakan satu isu yang sedang hangat dibincangkan. Ekoran dari itu, ramai dari kalangan manusia yang mengungkap beberapa pandangan mereka terhadap tindakan PAS terhadap Dr Mahadhir.
Ada dari kalangan manusia mengatakan, mana mungkin kita memaafi kesalahan Dr Mahadhir itu, kerana dosanya bersangatan besar berbanding dengan kebaikan yang dilakukan kepada Islam dan PAS.
Walaubagaimanapun, PAS tetap mahu memaafkan Dr mahadhir, sekiranya Dr Mahadhir bersedia mengaku kesalahan yang telah dilakukannya.
Firman Allah;
لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم في الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا إليهم إن الله يحب المقسطين
Maksudnya;
“
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (surah al-mumtahinah : 8)
Ada yang mengatakan PAS tidak berprinsip, kerana menjemput Mahadhir menjadi ketua Pembangkang. Walaupun begitu, jemputan itu tidak bermakna menggadaikan prinsip kerana Rasulullah SAW ada bersabda;
وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هذا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
Maksudnya;
“Dan sesungguhnya Allah akan mengkuatkan agama ini dengan lelaki yang jahat”[3]
KESIMPULAN
Dari segala ulasan ini, tidak selayaknya kita mengatakan PAS telah menggadaikan prinsipnya demi mendapat keuntungan siasah. Bahkan tindakan PAS itu merupakan tindakan berprinsip disamping mempunyai kekuatan siasah dalam menghadapi situasi politik yang berlaku kini.
Wallahu ‘alam
One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
[1] Lihat “Islam Hadhari dan Pembangunan Umat” m/s 1.
[2] Saheh muslim : (1/69) hadis no : 49.
[3] Saheh al-Bukhari : (4/1540) hadis no : 3967.
Monday, July 31, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment