MENGAPA MESTI “TAHALUF” DENGAN SYIAH ?
Sesuatu tulisan itu tidak semestinya diterima pakai oleh semua pembaca-pembaca, ini kerana, sesuatu tulisan itu kadangkala bersifat pandangan peribadi penulis sahaja.
Begitujuga tulisanku yang sering terbit diruangan Blog “laptopdarulfiqh” atau laman “Tranungkite.net”, ini kerana, tulisanku itu kebanyakan adalah tulisan yang bersifat pandangan peribadiku. Walaupunbegitu, kebanyakan tulisanku itu akan menyandarkan kepada fakta-fakta yang dinukilkan daripada Al-Quran, hadis, kitab-kitab dan juga pandangan-pandangan ulama.
Maka dengan itu, aku tidak mengendahkan sangat kritikan-kritikan terhadap tulisanku, jika tulisan tersebut lebih bersifat emosi, tidak rasional, tidak mendatangkan bukti-bukti kritikan mereka terhadap tulisanku.
Ada sebilangan pengkritik mendakwa tulisanku itu tidak memenuhi kehendak tulisan ilmiyyah, ini adalah kerana mereka melihat dari tulisanku yang terlalu tidak memberi ruang kepada aqidah syiah. Mungkin pengkritik-pengkritik itu lupa, kritikanku kepada syiah bukanlah hasil dari “mimpi” dan “angan-anganku”, tetapi tulisan itu dinukilkan dari pendapat ulama-ulama yang dikenali umum, seperti As-Syaikh Said Hawa, juga tulisan itu dinukilkan dari buku-buku tulisan ulama syiah sendiri, yang sempat aku beli semasa belajar di Pakistan dahulu.
Setelah revolusi Iran, Iran menjadi sumber rujukan pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Dengan ini, ramai dari pejuang-pejuang Islam telah terpengaruhi dengan aqidah syiah.
Hakikatnya, setelah ziarah yang dilakukan As-Syaikh Said Hawa ke Iran, juga diskusi ilmiyyah kerajaan Iran di India yang dihadiri oleh Tuan Guru Haji Harun Taib bersama Ustaz Yahya Osman setelah kejadian revolusi Iran, didapati ulama-ulama sebegini mengambil satu penilaian bahawa aqidah syiah adalah satu pegangan yang berbahaya kepada aqidah umat Islam. Walaupun begitu, tidak dinafikan iran mempunyai keberanian melawan musuh-musuh utama islam di abad ini.
Hasil dari itu, As-Syaikh Said Hawa menulis sebuah kitab yang bertajuk “Al-Khumaini : Syuzuz Fi Al-‘Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif” (Al-Kumaini : kepelikan pada aqidah, kepelikan pada pendirian), juga Tuan Guru Haji Harun Taib sendiri pernah menyampaikan satu pendedahan tentang kejahatan Syiah di Iran dalam akhir tahun 2006 yang lalu.
Selalunya, golongan yang terpengaruh dengan syiah adalah golongan yang tidak mempunyai pendirian ilmu yang kuat. Mereka adalah golongan yang tidak masuk usrah, tamrin dan sebagainya. Jika masuk pun, usrah mereka tidak mengikut cirri-ciri usrah yang sebenar, bahkan usrah yang mereka hadiri lebih bersifat seperti “ceramah politik”, dan memberi semangat perjuangan semata, tanpa menanam kefahaman islam yang sebenar.
Sebagai seorang bekas pelajar di Pakistan, mata kepala ini sendiri melihat bagaimana kejahatan dan permusuhan Syiah terhadap sunni. Jika mereka berbaik-baik dengan sunni pun, bukan keikhlasan hati mereka yang ingin berbaik, tetapi mengambil sikap “At-Taqiyyah” yang merupakan salah satu dari ajaran-ajaran syiah yang menyesatkan itu.
Maka dengan sebab itulah, menyayangi PAS daripada dimasuki unsur-unsur syiah ini, aku mula melakukan serangan kepada mereka yang beraqidah syiah dengan tujuan untuk membersihkan fahaman syiah yang wujud didalam Negara ini.
PERLEMBAGAAN PAS BERCANGGAH DENGAN AQIDAH SYIAH
Seranganku kepada syiah didalam tulisan-tulisan lepas, sebenarnya mengikut kehendak kandungan perlembagaan PAS, ini kerana, didalam perlembagaan PAS menyatakan bahawa;
“Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata.[1]”
Kandungan perlembagaan PAS ini menyatakan bahawa hukum tertinggi adalah Al-Quran dan As-sunnah, Ijmak dan Qias. Ini mengandungi maksud, segala perkara yang hendak dihukumkan perlu kepada dalil-dalil yang merujuk kepada empat perkara yang tersebut.
HUKUM TERTINGGI SYIAH
Adapun Syiah, hukum tertinggi bagi mereka bukan Al-Quran dan As-Sunnah, Ijmak dan Qias, ini kerana, syiah menganggap bahawa hukum yang tertinggi disisi mereka adalah Al-Imamah.
Kenyataan ini dibuktikan dengan merujuk kitab syiah yang bernama “Hayat Al-Qulub” karangan ulama syiah yang bernama “Al-‘Alamah Al-Majlisi” dengan katanya;
إن الإمامة أعلى مرتبة من النبوة
Maksudnya;
“Sesungguhnya Imamah itu lebih tinggi martabat berbanding kenabian[2]”
Begitujuga, pada syiah, sesuatu hukum yang hendak dikatakan halal atau haram, perlu merujuk kepada Imam syiah. Hal ini dibuktikan dengan kata-kata Al-Kulaini didalam kitab “Al-Kafi” dengan katanya;
فهم يحلوم ما يشاؤون و يحرمون ما يشاؤون
Maksudnya;
“Mereka (para imam) boleh menghalalkan perkara yang mereka mahu dan mengharamkan perkara yang mereka mahu[3]”
SYIAH DAN AL-QURAN
Hakikatnya, syiah tidak berpegang teguh dengan Al-Quran. Al-Quran yang digunakan pakai oleh syiah tidak sama dengan Al-Quran diguna pakai oleh sunni. Ini jelas dengan kenyataan Al-Kulaini yang disandarkan kepada ‘Jaafar bin Muhammad Sadiq” yang berkata;
إن عندنا مصحف فاطمة عليها السلام , وما يدريهم ما مصحف فاطمة .... مصحف فيه مثل قرءانكم هذا ثلاث مرات
Maksudnya;
“Sesungguhnya kami mempunyai mashaf Fatimah R.A. Apakah Mashaf fatimah ? .. Mashaf yang mempunyai kandungan lebih tiga kali ganda dari mashaf kamu[4]”
SYIAH DAN SUNNAH
Syiah juga tidak berpegang dengan Sunnah. Mana mungkin mereka beriman dengan sunnah, sekiranya ramai dari sahabat-sahabat nabi yang dikafirkan oleh mereka.
Ini di buktikan dengan merujuk kitab syiah yang bernama “Al-Kafi” dengan dakwaan kitab itu dinukil dari kata-kata Jaafar bin Muhammad As-Sadiq;
كان الناس أهل ردة بعد النبى صلى الله عليه و سلم إلا ثلاثة , فقلت من الثلاثة ؟ : فقال : المقداد بن الأسود وأبو ذر الغفارى و سلمان الفارسى
Maksudnya;
“semua manusia murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW melainkan tiga orang. Ditanya; siapakah tiga orang itu? : dijawab; Al-Miqdad bin Al-Aswad, Abu Zar Al-Ghiffari dan Salman Al-farisi[5]”
Bukan itu sahaja, mereka sanggup menyatakan bahawa sahabat besar yang bernama Abu Bakar As-Siddiq[6] dan Samurah bin Jundab[7] adalah orang yang memaudukkan (memalsukan) hadis. Hal ini boleh di rujuk didalam kitab karangan Al-Khumaini sendiri, iaitu kitab “kasyf Al-Asrar” di halaman 112 dan kitab “Al-Hukumah Al-Islamiyyah” di halaman 17.
SYIAH DAN IJMAK
Syiah tidak mengikut ijmak ulama, sedangkan mengikut ijmak merupakan perkara yang wajib dan disepakati oleh ulama atas mengikutinya.
Ini didalikan kepada firman Allah;
وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
Maksudnya;
“dan sesiapa Yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan Yang lain dari jalan orang-orang Yang beriman, Kami akan memberikannya Kuasa untuk melakukan (kesesatan) Yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke Dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
(Surah An-Nisa’ : 115)
Adapun syiah, mereka melanggari kewajipan ini. Antaranya adalah mereka menghalalkan kahwin mutaah yang telah diharamkan oleh Allah berdasarkan kepada Ijmak Ulama.
Antara bukti penghalalan kahwin mutaah ini adalah berdasarkan kepada kenyataan Al-Khumaini sendiri didalam kitab karangannya yang bernama “Tahrir Al-wasilah”;
“tidak perlu ditanya kepada perempuan yang hendak di mutaahkan, samada ianya sudah bersuami atau tidak[8]”
Ijmak muslimin mengatakan pengharaman Kahwin mutaah. Termasuk juga yang mengharamkan kahwin mutaah adalah ‘Ali bin Abi Talib.[9]
AT-TAHALUF DENGAN SYIAH
Tahaluf “تحالف” berasal dari kalimah hilf “حلف” (berbaris kasrah) yang bermaksud al-‘ahd “العهد”[10] atau “perjanjian / kasih sayang / kesejahteraan / aman”[11].
Adapun tahaluf “تحالف” membawa maksud “bersumpah setia untuk saling membantu[12]”
Menurut buku “Daurah Tadribiyyah PAS[13]” tahaluf ialah “perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan Bantu membantu untuk menghadapi lawan”.
DALIL-DALIL TAHALUF
a. Daripada ‘Asim bin Sulaiman, berkata ia;
قلت لأنس أبلغك أن النبي (ص) قال لا حلف في الإسلام قال قد حالف النبي (ص) بين قريش والأنصار في داري
Maksudnya;
“Aku berkata kepada Anas; ‘Aku sampaikan kepada kamu, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, tiada pakatan didalam Islam. Lalu berkata ia (Anas), sesungguhnya Rasulullah SAW telah melakukan pakatan diantara Qurash dan Ansar di rumahku[14]”
Ibnu Hajar mengulas hadis ini didalam kitabnya yang bertajuk “Fath Al-bari” bahawa ucapan anas didalam hadis ini terkandung menginkari penafian pakatan di dalam Islam, bahkan ianya mengisbatkan lagi atas kewujudan pakatan itu.
Daripada hadis ini, memungkinkan kepada kita menghimpunkan maksud kedua-duanya dengan bahawa, maksud لا حلف فى الإسلام ialah larangan pakatan berlaku di dalam jahiliyyah, ini kerana, orang-orang jahiliyyah ketika itu terlalu zalim, dan apabila dilakukan pakatan, seakan mengandungi maksud, islam juga akan berpakat dalam melakukan kezaliman.
Adapun maksud kata Anas قد حالف النبى (ص) بين قريش و الأنصار , memberi maksud kebenaran selepas dari jahiliyyah, kerana ianya mengandungi maksud memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi, melaksanakan ajaran agama dan yang seumpama dengannya[15].
Didalam kitab “‘Umdah Al-Qari” menyebut, maksud pada penafian pakatan didalam hadis yang pertama memberi maksud, larangan atas melakukan pakatan jahiliyyah. Adapun mengisbatkan pakatan didalam hadis anas pula adalah mengandungi maksud persaudaraan dalam melakukan ketaatan kepada Allah[16].
b. Daripada Talhah bin Abdillah bin Auf;
أن رسول الله (ص) قال لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا ما أحب أن لي به حمر النعم ولو ادعى به في الإسلام لاجبت
Maksudnya;
“Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya Aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an akan satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya dizaman Islam, nescaya aku menyahutinya[17]”
Berkata Al-Qutaibi : seperti yang disampaikan kepadaku, bahawa sebab berlakunya pakatan itu adalah, Quraish telah melakukan kezaliman di tanah haram, lalu Abdullah bin Jad’an dan Zubair bin Abdul Muttalib mengajak mereka kepada pakatan atas melakukan pertolongan dan mengambil orang yang dizalimi dari tangan orang zalim. Ajakan itu telah disahut oleh Bani Hasyim dan setengah kabilah daripada Qurash[18].
Menurut Ibnu Ishaq bin Yasar, setengah kabilah Quraish itu adalah, Bani Hashim bin Abdul Manaf, Bani Al-Muttalib bin Abdul Manaf, Bani Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qusai, Bani Zuhrah bin Kilab dan Bani Taim bin Murrah.
Mereka melakukan pakatan itu di rumah Abdullah bin Jad’an, dan mereka menamakan pakatan itu dengan Half Al-Fudhul “حلف الفضول”[19].
PENUTUP
Setelah difahami dari maksud At-tahaluf yang telah di ulas di atas, di fahami bahawa, maksud disebalik tahaluf tidak bercanggah dengan maksud “Taqrib mazahib” yang dicetuskan oleh ulama-ulama.
Jika fikrah taqrib mazahib adalah untuk menyatukan pendirian Sunni dan syiah dalam menyerang musuh Allah yang sedang melakukan kezaliman terhadap umat Islam, maka fikrah tahaluf pula mengandungi maksud yang sama.
Jika Rasulullah SAW memuji “tahaluf” yang berlaku di zaman Jahiliyyah yang diasaskan atas tujuan hendak memberi penjagaan terhadap manusia yang dizalimi, maka apa salahnya jika melakukan tahaluf antara sunni dan syiah untuk menentang amerika dan sekutu-sekutunya yang sedang hebat menghina dan menghancurkan islam.
Walaubagaimanapun, sikap at-tahaluf tersebut hendaklah berdasarkan fikrah “bersatu atas perkara yang boleh bersatu”, adapun dalam perkara aqidah, “tidak ada tahaluf” sesama sunni dan syiah, ini kerana, fikrah menkafirkan sahabat adalah aqidah syiah yang sama sekali tidak boleh diselarikan dengan aqidah sunni.
Wallahu ‘Alam
One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
http://jihad-jalanku.blogspot.com
sesiapa yang ingin mendalami pengajian Fiqh, Hadis, Tafsir dan Aqidah, sila layari : http://one-g.blogspot.com
e – mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
p/s : ulasan ini adalah dari pandangan peribadi penulis, tidak berkait dengan mana-mana pandangan gerakan islam di dunia.
[1] Perlembagaan Parti islam Semalaysia (PAS) Pindaan 1993 : fasal 7 (1). m/s 4.
[2] Hayat Al-Qulub : 3/10.
[3] Usul Al-Kafi : m/s 287.
[4] Al-Kafi :1/239-241.
[5] Al-Kafi : 3/85.
[6] Kasyf Al-Asrar : m/s 112
[7] Al-hukumah Al-Islamiyyah : m/s 71.
[8] Tahrir Al-Wasilah : 2/292.
[9] Al-Khumaini : Syuzuz Fi Al-‘Aqaid, Syuzuz fi Al-Mawaqif : m/s 18.
[10] Mukhtar As-Sahah : 1/63.
[11] Kamus tullab : hlmn 727.
[12] Kamus tullab : hlmn 262.
[13] Hlmn 157. buku ini diterbitkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan latihan kepimpinan PAS Pusat pada tahun 2001.
[14] Al-Jam’u Baina As-Sahihain : 2/597. hadis no : 1985
[15] Fath Al-bari Syarah Sahih Al-bukhari : 10/502.
[16] ‘Umdah Al-Qari : 22/147.
[17] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367 . hadis no : 12859.
[18] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367
[19] Sunan Al-baihaqi Al-Kubra : 6/367
Monday, April 09, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment