Sunday, April 29, 2007

TIADA “SETINGGAN” DALAM ISLAM : UMNO/BN MENGIKUT JEJAK LANGKAH BRITISH

TIADA “SETINGGAN” DALAM ISLAM :
UMNO/BN MENGIKUT JEJAK LANGKAH BRITISH

Hari ini, iaitu 28 mei, aku bersama sahabat-sahabat seperjuangan telah menziarahi mangsa kezaliman UMNO/BN di Kg Berembang. Di sana, kami berbual panjang bersama mangsa kezaliman tersebut. mendengar penerangan mereka, difahami bahawa, mereka adalah penduduk peneroka terawal di Kampung tersebut, iaitu semenjak lebih 40 tahun yang lalu.

Tetapi, amat menyedihkan, permohonan mereka untuk mendapat geran pada 40 tahun yang lalu di perlewatkan oleh pihak kerajaan dengan pelbagai alasan, sehinggalah datang “barua-barua” kerajaan yang terdiri dari polis, FRU dan MPAJ untuk merobohkan rumah-rumah diatas tanah kepunyaan mereka yang mereka terokai semenjak lebih 40 tahun yang lalu itu.

Setelah di kaji selidik, didapati bahawa punca kelewatan yang mengakibatkan rumah-rumah penduduk Kg Berambang dirobohkan adalah disebabkan dengan sikap sebilangan Dato’-dato’ yang berpangkat didalam UMNO telah menukarkan nama-nama pemohon-pemohon geran kepada nama-nama mereka sendiri.

Setelah “cukup matang”nya pertukaran nama, Dato’-dato’ tersebut telah menjualkan tanah Kg Berambang itu kepada seorang Pemaju yang berbangsa melayu dan akhirnya Pemaju itu telah mendesak penduduk kampong peneroka agar keluar dari tanah mereka dengan mempergunakan kuasa “orang besar” untuk meroboh rumah-rumah penduduk Kg Berambang.

Ini merupakan kezaliman dari pemerintahan kufur Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO. Pemerintahan yang bertopengkan kepada orang-orang yang beragama Islam, tetapi hakikatnya, pemerintahan itu tidak ada beza dengan pemerintahan yang berasakan kepada yahudi Laknatullah alaih.

RAKYAT KG BERAMBANG TINGGAL DI TANAH SETINGGAN?

Setelah dihambat keluar, penduduk yang merupakan peneroka tanah tersebut telah diburukkan oleh media sebagai golongan pemberontak, sedangkan mereka merupakan golongan peneroka terawal yang selayaknya berkuasa penuh terhadap tanah tersebut yang membolehkan mereka menjadikan tanah itu sebagai harta pusaka untuk ahli-ahli keluarga mereka yang mendatang.

Tetapi, apakan daya, system ekonomi dinegara ini berasaskan system ekonomi Kapitalis, berkiblatkan pemikiran sekularisma telah menguasai pemerintahan sehinggakan harta kepunyaan rakyat telah dijadikan sebagai “barang jualan” pihak kerajaan kepada pihak pemaju yang merupakan “golongan-golongan kaya” didalam Negara.

Tindakan sebegini telah diharamkan oleh Allah didalam firman-Nya;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan Negara tidak berlegar dikalangan orang-orang kaya dikalangan kamu”

(Surah Al-Hasyr : 7)

ISLAM MENGHARAMKAN TANAH SETINGGAN

Setinggan atau didalam bahasa inggerisnya “squatter”, yang memberi maksud “orang yang menempati tanah kerajaan secara haram, penghuni haram[1]

Pengamalan system “setinggan” didalam undang-undang tanah di Malaysia pada hakikatnya diciplak dari pengamalan undang-undang tanah yang diamalkan di British.

Pihak British telah mengamalkan sistem setinggan ini bermula pada tahun 1898, yang pada asalnya diambil dari Australia.[2]

Setelah British masuk ke tanah melayu pada tahun 1786 sehingga 31 ogos 1957[3]. Ketika itu, mereka bukan sekadar menjajah kehidupan rakyat tanah melayu, bahkan mereka telah membawa masuk beberapa sistem pemerintahan penjajah ke tanah melayu. Antara sistem yang dibawa oleh mereka adalah sistem tanah dengan mewujudkan satu “istilah” yang “jelek” didengari, iaitu istilah “setinggan” untuk melahirkan pemandangan jijik kepada golongan peneroka-peneroka.

Jika meneliti sejarah pemerintahan islam di tanah melayu, didapati bahawa sistem penerokaan tanah ini telah diamalkan di melaka. Ini dibuktikan dengan satu buku tulisan professor ahmad ibrahim, iaitu buku yang bertajuk “al-ahkam : undang-undang harta dalam Islam”. Didalam buku tersebut, dinukilkan “risalah hukum kanun melaka” yang menyatakan hukum penerokaan tanah adalah seperti berikut;

“peri hukom orang menebas rimba yang tidak diperhumai orang, melainkan (menjadi) milik orang (yang menebas itu) sahaja, (dengan) dua janjinya (syaratnya),(pertama) bahawa yang menebas itu islam, (kedua) bumi itu jangan ada milik orang lain. Apabila ditebasnya, maka barang yang ada di dalamnya itu menjadi pendapatan yang menebaslah.[4]

Dari kenyataan sejarah ini, menjadikan kita tidak merasa pelik tentang kewujudan tanah-tanah pusaka yang dikuasai oleh orang-orang tua terdahulu.

Tetapi, dengan kedatangan British, mereka telah menjajah segala sistem pemerintahan islam ini sehinggakan mereka melahirkan istilah “setinggan” kepada peneroka-peneroka tanah sebagai usaha untuk menjadikan umat islam di Negara ini merempat di Negara mereka sendiri.

Tindakan dan usaha British ini tidak selesai sekadar keluarnya mereka dari tanah melayu, tetapi tindakan British itu telah disambung oleh “anak-anak didik” mereka yang bernama UMNO dan Barisan Nasional. Tindakan tersebut melihatkan kepada kita bukti jelas atas tindakan pihak kerajaan kufur Barisan Nasional yang di kepalai oleh UMNO untuk meruntuhkan rumah-ruman peneroka di Kg Berambang tanpa belas kasihan.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENEROKAAN TANAH

Islam telah meletakkan hukum yang sangat jelas berkenaan dengan penerokaan tanah ini. Didalam perbincaraan fiqh, focus perbincangan berkenaan dengan penerokaan tanah dibawah tajuk “Ihya’ Al-Mawat”. Ianya sangat berkaitan rapat dalam perbincangan “al-hima” dan “Al-Iqta’”

Walaubagaimanapun, asas dalam perbicaraan penerokaan tanah ini adalah disandarkan kepada sabda Nabi SAW;

من أَعْمَرَ أَرْضًا لَيْسَتْ لِأَحَدٍ فَهُوَ أَحَقُّ

Maksudnya;
“barangsiapa yang memakmurkan (meneroka) tanah yang tidak dipunyai seorang pun, maka dia adalah orang yang paling berhak terhadap tanah tersebut[5]

Ulama sepakat menyatakan, setiap tanah yang tiada dimiliki oleh sesiapapun, lalu diterokai oleh seseorang, maka tanah tersebut menjadi miliknya[6].

Apabila tanah tersebut sudah menjadi miliknya, maka haram kepada mana-mana pihak, samada kerajaan atau sebagainya mengambil tanah tersebut. ini bersandarkan kepada sabda Nabi SAW;

من أحيا أرضا مواتا ليست لأحد فهي له ولاحق لعرق ظالم
Maksudnya;
“Barangsiapa menerokai tanah mati yang tiada kepunyaan sesiapapun, maka tanah itu menjadi miliknya. Dan tiada hak bagi titisan peluh (usaha) orang yang zalim (terhadap tanah tersebut)[7]

Daripada hadis ini, Imam As-Syafii menyatakan bahawa, pemilik tanah boleh memaksa pihak penceroboh mencabut balik segala bangunan yang dibina di atas tanahnya itu[8].

Maka dengan itu, sekiranya pihak pemaju atau sebagainya, membangunkan bangunan di atas tanah yang diterokai oleh seseorang, maka dia berkuasa memaksa pihak pemaju tersebut membinasakan bangunan yang dibina atas tanah teroka tersebut.

Sekiranya pihak kerajaan ingin mengambil tanah tersebut dengan tujuan kepentingan awam, seperti membina jalan raya dan sebagainya, maka itu diizinkan. Keizinan itu sekiranya ketidaan pilihan yang lain, selain tanah tersebut sahaja. Walaupun begitu, keizinan tersebut mewajibkan kepada pihak kerajaan memberi pampasan yang setimpal dengan harga tanah dan bangunan kepunyaan peneroka tersebut, bukan berbentuk “saguhati” seperti yang dilakukan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional.

Adapun jika dilihat pada reality yang berlaku di Kg Berambang dan di mana-mana kawasan yang dianggap “setinggan”, tindakan merobohkan rumah-rumah rakyat disana bukanlah untuk kepentingan awam, tetapi tindakan tersebut adalah disebabkan tanah itu sudah di jual kepada pemaju-pemaju tertentu. Tindakan tersebut pada hakikatnya adalah berpunca dari sistem ekonomi kapitalis, yang lebih mementingkan syarikat-syarikat swasta berbanding rakyat didalam sesebuah Negara.

Firman Allah;


كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan Negara tidak berlegar dikalangan orang-orang kaya dikalangan kamu”

(Surah Al-Hasyr : 7)

PAS SUDAH LAKSANAKAN IHYA’ AL-MAWAT DI TERENGGANU

PAS dengan kenyataannya didalam perlembagaan, bahawa mahu mendaulatkan Islam telah membuktikan tindakannya. Antara tindakan yang dilakukan oleh PAS adalah menghidupkan sistem ihya’ al-mawat di zaman pemerintahan Islam PAS di terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 yang lalu.

Tindakan PAS tersebut membuktikan bahawa PAS bersungguh-sungguh dalam melaksanakan undang-undang Islam mengikut kadar kemampuan yang diberikan. Tetapi amat menyedihkan, semasa kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004, pihak kerajaan taghut Barisan Nasional yang dikepalai UMNO telah merampas hak rakyat yang telah diberikan oleh PAS semasa pemerintahannya.

Maka dengan demikian, berlakunya peristiwa “runtuh rumah dan masjid” di kijal, Terengganu pada awal pemerintahan UMNO/BN di terengganu.

Semuanya ini adalah berpunca dari kezaliman dan kebencian pihak UMNO/BN terhadap sistem pemerintahan Islam yang hakikatnya mereka lebih jahat dari yahudi, ini kerana, yahudi meruntuhkan rumah-rumah umat Islam di Palestine, tetapi UMNO/BN meruntuh rumah rakyatnya sendiri.

PENUTUP

Amat menyedihkan, tindakan kerajaan BN pimpinan UMNO meruntuhkan rumah-rumah rakyat; kebanyakkannya adalah rumah-rumah rakyat yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Jika diperhatikan, kehinaan demi kehinaan yang sedang menimpa, kebanyakkannya terhadap orang Islam. Semuanya ini berpunca dari sikap tidak mengambil Islam sebagai dasar kehidupan. Jika diambil pun, mengikut kadar yang bersesuaian dengan kehendak hawa nafsu sahaja.

Punca kehinaan ini telah dinyatakan oleh Allah didalam firman-nya;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya;
“adakah patut kamu beriman dengan sebahagian kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain. Tiada pembalasan terhadap mereka yang melakukan demikian melainkan kehinaan hidup di dunia”

(Surah Al-Baqarah : 85)

Maka dengan demikian, buka minda, buka hati, cermin diri. Cerminkan diri kita mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah, mudah-mudahan kita akan menjadi bangsa yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Sekian

Al-bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e – mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com



[1] BESTA electronic Dictonary : carian “setinggan”.
[2] Seminar Peneroka Tanah di Worldwide pada 22 april 2007
[3] Sila lihat “Target PKSR Kajian tempatan” : m/s 98-99
[4] Maxwell, e.w 1884 “law and customs of the malays with references to the tenure of land. Dlm Isbras : Al-Ahkam jilid 3 – undang-undang harta dalam islam – oleh professor ahmad ibrahim, dewan bahasa dan pustaka (1991) – m/s : 62
[5] Sahih Al-Bukhari : 2/823. hadis no 2210.
[6] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 5/551.
[7] Sunan An-Nasai Al-Kubra : 3/404. hadis no : 5760.
[8] Tuhfah Al-Ahwazi : 4/505.

No comments: