Wednesday, May 02, 2007

BENARKAH UMNO ADALAH MUKTAZILAH MODEN?

BENARKAH UMNO ADALAH MUKTAZILAH MODEN?

Setelah membaca tulisan dari blogku, seorang sahabat bertanya, “benarkah UMNO adalah muktazilah moden?” aku bertanya; “mengapa bertanyakan soalan demikian?” dia menjawab; “yang ana tahu, muktazilah menganggap Al-Quran adalah makhluk, sedangkan UMNO tidak mengatakan demikian”. Mendengar penjelasannya, aku agak memahami maksud persoalannya.

Bagi menjelaskan kepadanya, perlu kepada beberapa ulasan berdasarkan kepada penelitian fakta, disamping melakukan beberapa perbandingan antara muktazilah kuno dan moden, agar ianya dapat difahami dengan tepat.

DASAR AQIDAH MUKTAZILAH KUNO

Untuk memastikan dakwaan bahawa UMNO adalah muktazilah moden, maka perlu diteliti sejarah kelahiran muktazilah kuno terlebih dahulu, kemudian dilakukan bandingan antara kedua-dua golongan ini.

Golongan muktazilah kuno ini dikenali juga dengan panggilan “Al-Wasiliyyah”. Ini kerana, golongan ini didokong oleh seorang bekas anak murid kepada Hassan Al-Basri yang bernama Wasil bin ‘Ata’, yang hidup pada zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan[1].

Didalam bahasa arab, muktazilah berasal dari kalimah “Al-‘Uzl” yang memberi maksud “Isolation[2]” atau terjemahan melayunya “memisahkan atau terpisah[3]”.

Berdasarkan kepada sejarah, kelahiran golongan muktazilah adalah disebabkan dengan sikap wasil bin ‘Ata’ dan Amru bin ‘Ubaid yang telah memisahkan diri dari bersama majlis ilmu yang diajar oleh gurunya yang bernama Hasan Al-Basri, disebabkan tidak dapat menerima hujjah Hasan Al-Basri berkenaan orang yang melakukan dosa besar dikira sebagai orang yang masih mukmin lagi, bahkan Wasil berpendapat bahawa orang yang melakukan dosa besar tidak boleh dikira sebagai orang beriman dan tidak boleh juga dikira sebagai orang yang kafir, bahkan orang yang berdosa besar itu berada di tempat diantara dua tempat.[4]

Bangkangan Wasil itu melahirkan satu puak yang terpisah dari majlis ilmu yang diajar oleh Hasan Al-Basri. Dengan kelahiran puak itulah, menyebabkan golongan mereka digelar sebagai muktazilah.[5]

Bangkangan mereka terhadap hujjah Hasan Al-Basri adalah kerana mereka beranggapan bahawa akal perlu diutamakan berbanding dengan naql nas (Al-Quran dan As-Sunnah)[6].

Maka dengan ini, difahami bahawa, dasar aqidah muktazilah kuno adalah;

التحسين والتقبيح العقليان

Maksudnya;
“mengukur kebaikan dan keburukan (sesuatu berpandukan kepada) akal[7]

Aqidah sebegini adalah bercanggah dengan aqidah Ahl Sunnah wa Al-Jamaah, ini kerana, Ahl as-Sunnah wa Al-Jamaah memandang bahawa ukuran sesuatu kebaikan dan keburukan itu adalah berlandaskan kepada Nas syarak, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah[8]. Walaupun begitu, fungsi akal tidak dinafikan dalam menentukan kebaikan dan keburukan, tetapi fungsinya sekadar menjadi qarinah atau penguat kepada dakwaan nas syarak, Al-Quran dan As-Sunnah.

APAKAH UMNO MEMPUNYAI PEGANGAN YANG SAMA DENGAN MUKTAZILAH KUNO?

Setelah melihat kepada asas kepada pegangan muktazilah kuno, yang didokong oleh Wasil bin ‘Ata’ dan Amru bin Ubaid, iaitu pegangan yang melebihkan akal berbanding dengan nas, maka didapati bahawa perkara yang sama juga berlaku didalam pegangan dan “aqidah” UMNO.

Jika dahulu, golongan muktazilah kuno membahaskan tentang sifat-sifat Allah, penentuan tempat ahli kabair (pelaku dosa besar), makhluk kalamullah dan sebagainya berdasarkan kepada akal, maka hal yang sama juga berlaku kepada UMNO. Ini kerana, UMNO melebihkan akal daripada nas dalam mempertikaikan kewajaran perlaksanaan hukum Allah di Negara ini.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan pimpinan-pimpinan UMNO sendiri pernah menafikan kewujudan dosa dan pahala dalam kehidupan. Seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri, yang merupakan timbalan Presiden UMNO Malaysia yang mengatakan bahawa tiada soal dosa dan pahala dalam urusan politik, dengan katanya pada sidang akhbar selepas melawat peti undi Kubang Gatal, Pasir Mas dalam pilihanraya kecil di Pengkalan Pasir;
``Tidak ada mana-mana fatwa pun yang menyatakan bahawa undi Pas dapat pahala, undi Barisan Nasional (BN) dapat dosa ataupun undi Pas masuk syurga, undi BN masuk neraka.
``Ini semua adalah mainan politik karut marut yang sebenarnya tak masuk akal dan saya percaya pengundi Pengkalan Pasir tidak akan termakan dengan hujah-hujah seperti ini,''[9]
Maka tidak hairanlah, walaupun Timbalan Presiden UMNO menafikan kewujudan dosa dan pahala dalam sesuatu urusan politik, tetapi dalam masa yang sama Presiden UMNO sendiri mengemukakan satu teori islamisasi yang bertemakan “Islam Hadhari” kepada masyarakat di Malaysia.

Tindakan mereka ini pada hakikatnya adalah bertepatan dengan kecaman Allah didalam firman-Nya;

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“Dan Janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan hak itu sedang kamu mengetahuinya”

(surah al-Baqarah : 42)

PENUTUP

Jika dahulu, muktazilah kuno mendakwa bahawa mereka juga merupakan golongan Islam dan mendakwa bahawa islam cara mereka adalah yang paling baik, maka tindakan yang sama juga berlaku kepada UMNO yang merupakan muktazilah moden di Negara ini.

Semua sikap sebegini telah dinyatakan oleh Allah didalam Al-Quran, iaitu firman Allah;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آَمِنُوا كَمَا آَمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آَمَنَ السُّفَهَاءُ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". mereka menjawab: "Patutkah Kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang Yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)”

(Surah Al-Baqarah : 13)

Mudah-mudahan kita terselamat dari fitnah akhir zaman ini, juga, terselamat daripada menjadi golongan yang cenderung kepada pemikiran-pemikiran muktazilah ini, walaupun mereka mendakwa bahawa mereka adalah golongan sunnah atau sebagainya.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Al-Milal Wa An-Nihal : m/s 30.
[2] Al-Qarib Al-Maurid : m/s 276.
[3] BESTA electronic Dictionary : carian “Isolation”
[4] Al-Milal Wa An-Nihal : m/s 48.
[5] I’tiqad Ahl Sunnah syarh Ashab Al-Hadis : m/s 37.
[6] I’tiqad Ahl Sunnah syarh Ashab Al-Hadis : m/s 37
[7] Salaf dan Khalaf : hakikat dan implikasinya : m/s 13.
[8] Usul Al-Fiqh Al-Islami : 1/116.
[9] Lihat “Utusan Malaysia” : 3 disember 2005.

No comments: