Tuesday, May 15, 2007

FATWA DAN JAKIM : ANTARA HARAM JOM HEBOH DAN BIDAAH MUALID NABI

FATWA DAN JAKIM : ANTARA HARAM JOM HEBOH DAN BIDAAH MUALID NABI

Didalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15.5.2007, dimuka depan, tertulis satu tajuk besar yang menyatakan “Jakim perlu pantau kenyataan mufti”[1]. Dalam akhbar tersebut menyatakan bahawa senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata tentang keperluan ini kerana sejak kebelakangan ini banyak kenyataan dikeluarkan oleh mufti negeri mengenai hukum Islam sehingga menimbulkan kekeliruan serta perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam di negara ini

Dalam akhbar berkenaan juga menukilkan kata-kata senator Datuk Syed Ali Alhabshee seperti berikut;

‘‘Sebagai contoh, baru-baru ini Mufti Perak telah mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi umat Islam menghadiri karnival Jom Heboh yang ketika itu sedang berlangsung di Ipoh,’’

Disamping itu, Senator Mohd. Puad Zarkashi menyokong kenyataan senator Syed Ali disamping berkata;

‘‘Dulu ada seorang mufti yang mengeluarkan kenyataan bahawa menyambut Maulidur Rasul itu merupakan satu perbuatan bidaah dan ini mengelirukan umat Islam terutama di Johor yang menyambutnya berbulan-bulan lamanya bagi menghayati perjuangan Nabi Muhammad,’’

HUKUM QATII DAN ZANNI DALAM FATWA

Kalimah fatwa dalam Istilah fiqh dan usulnya adalah;

هو إخبار بحكم الله تعالى عن مسئلة دينية بمقتضى الأدلة الشرعية لمن سأل عنه فى أمر نازل على جهة العموم و الشمول , لا على وجه الإلزام

Maksudnya;
“memberitahu hukum Allah Taala berkenaan dengan masalah agama dengan tuntutan dalil-dalil syariah bagi mereka yang bertanya daripadanya berkenaan sesuatu urusan yang berlaku mengikut sudut yang umum dan merangkumi, juga ianya tidak dari sudut ilzam[2]

Dari definisi ini, difahami bahawa fatwa adalah sesuatu hukum yang dijawab oleh seorang mufti dikala mufti itu ditanya.

Berdasarkan kepada ulasan Syaikhuna Al-Qadi Al-Mufti Muhammad Taqi Othmani didalam mensyarahkan kitab “Rasm Al-Mufti wa Mahahij Al-Ifta’” karangan As-Syaikh Al-ustaz Al-Mufti Muhammad Kamaluddin Ahmad Ar-Rasyidi, beliau menyatakan, sesuatu hukum yang tidak ditanya, lalu diterangkan oleh mufti, itu tidak dinamakan sebagai ifta’, tetapi ianya dinamakan sebagai “irsyad”[3].

FATWA : MEMBERITAHU HUKUM YANG QATII DAN ZANNI

Didalam definisi ifta’, dinyatakan bahawa sesuatu hukum yang dinyatakan oleh mufti tidak boleh diletak dibawah kategori “ilzam”, maksudnya, sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh mufti berkenaan hukum yang berkisar dalam perkara yang berbentuk Zanni, bukan qatii, maka fatwa tersebut tidak wajib ditaati, bahkan dibenarkan beramal dengan fatwa lain yang menyalahi fatwa mufti tersebut.

Adapun fatwa yang dikeluarkan oleh mufti berkaitan dengan hukum yang sudah qatii atau hukum yang sudah diijmakkan oleh ulama, maka hukum yang diberitahu oleh mufti tersebut adalah wajib diikut dan menafikannya merupakan kekufuran terhadap hukum Allah SWT.

PENUTUP

Dari perbahasan ini, pihak jakim tidak perlu memantau fatwa yang dikeluarkan oleh mufti Perak yang menyatakan bahawa program Jom Heboh dan menghadirinya adalah haram, ini kerana, keharaman disebalik pesta Jom Heboh tersebut sememangnya jelas keharamannya.

Adapun dalam isu fatwa bidaah yang dikeluarkan oleh mufti perlis tentang majlis mauled nabi, maka itu mesti mendapat pantauan dari pihak jakim. Ini kerana, membidaahkan amalan mauled nabi adalah perkara zanni yang berlaku khilaf dikalangan ulama, yang apabila dikeluarkan oleh seseorang mufti, ianya boleh memberi kekacauan kepada masyarakat Islam sendiri.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-bakistani

http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com



[1]http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm
[2] Al-Misbah fi Rasm Al-Mufti wa Manahij Al-Ifta’ : 1/16.
[3] Al-Misbah fi Rasm Al-Mufti wa Manahij Al-Ifta’ : 1/16

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum!

Sesungguhnya yang benar itu tersembunyi di sebalik yang nyata...