KALAU “IBNU AL-KHATTAB” MENJADI TIMBALAN PRESIDEN PAS ….
Muktamar PAS Pusat tidak lama akan berlangsung. Muktamar yang kemungkinan akan dilihat berlakunya perubahan besar bagi melihat kekuatan PAS dari semua sudut, samada dalaman atau luaran. Muktamar yang akan menampilkan wajah-wajah kepimpinan di peringkat pusat yang akan membuktikan kemampuan Parti dalam menghadapi segala kemungkinan.
Di saat ini, tidak dinafikan berbagai-bagai tindakan dari pihak musuh lakukan terhadap jemaah Islam ini, samada musuh tersebut datang dari pihak luar ataupun datang dari bentuk fikrah dalaman. Melihat kepada serangan musuh dari luar, agak tidak dirasakan kekusutan, disebabkan PAS sudah mengetahui kaedah kehidupan yang sentiasa diserang oleh musuh.
Pun begitu, perkara yang mungkin perlu difikirkan bersama adalah berkenaan dengan “fikrah-fikrah ganjil” yang sedang diserapkan oleh “golongan kiri” yang menganggap bahawa merekalah “pendekar” sebenar, tetapi hakikatnya, mereka adalah pencetus kepada kekusutan dalam menghadapi musuh-musuh islam.
SEJARAH ISLAM PERLU DITAULADANI
Jika membaca sejarah islam, didapati bahawa kewujudan serangan musuh-musuh luaran dan dalaman adalah sesuatu perkara yang biasa. justeru, ianya perlu dianggap sebagai lumrah dalam perjuangan ini.
Pun begitu, perkara yang perlu diperhatikan adalah bagaimana cara untuk menghadapinya, agar kelemahan dalaman tidak menyebabkan sesuatu pergerakan di pandangan lemah oleh pihak musuh.
Kekuatan dalam menghadapi musuh bermula dengan kekuatan dalaman. Tanpa kekuatan dalaman, maka kekuatan luaran agak kurang mampu untuk dibina.
Sejarah pemerintahan Ali bin Abi Talib dapat disaksikan dengan perbagai isu dalaman yang meruncing, menyebabkan kekuatan untuk menakluk benua-benua lain dengan Islam agak terbantut[1]. Ini menyalahi dengan kemampuan pemerintahan Omar bin Al-Khattab yang bermampuan menguasai banyak benua-benua dengan pemerintahan Islam, semuanya disebabkan kekuatan dalaman yang dibina oleh Rasulullah SAW masih lagi utuh.
Isu yang sama juga berlaku kepada PAS. Tidak dinafikan bahawa tahun 1999, kejayaan PAS menguasai Terengganu dan mempertahankan Kelantan di lihat sebagai kekuatan, tetapi hakikatnya tidak seperti yang didakwa, ini kerana, kejayaan tersebut disebabkan kelemahan pihak musuh yang bertelagah ketika itu, iaitu dengan sebab berlakunya “isu Anuar Ibrahim”. Benarlah kenyataan Mursyid Al-Am PAS, tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nikmat ketika di tanya berkenaan dengan kemenangan PAS, Tuan guru menyatakan, “kemenangan PAS bukan kerana PAS kuat, tetapi UMNO lemah”.
kelemahan PAS bukan kerana dipimpin oleh golongan Ulama atau dipimpin oleh golongan professional, tetapi kelemahannya berpunca dari kelemahan dalam memahamkan rakyat dengan ajaran Islam itu sendiri. Yang kadangkala, kelemahan pemahaman islam itu berlaku kepada diri pejuang-pejuang islam yang berwadah PAS itu sendiri.
BENARKAH PAS DIPANDANG LEMAH
Sesetengah dakwaan mengatakan bahawa PAS dipandang lemah dan sesetengah pihak yang lain menyatakan sebaliknya. Walaubagaimanapun, hakikatnya, PAS mempunyai kelemahan tersendiri dan mempunyai kekuatan tersendiri.
Antara kelemahan yang terdapat di dalam PAS adalah ketiadaan kepimpinan Pusat seperti Omar bin Al-Khattab.
KETEGASAN OMAR BIN AL-KHATTAB
Omar bin Al-Khattab di zaman Rasulullah SAW sangat-sangat dikenali sebagai seorang yang tegas dan agak keras dari sudut pandangan dan pendirian. Pun begitu, setelah beliau menjadi khalifah, beliau telah melakukan banyak perubahan dalam kepimpinan beliau.
As-Syaikh Idris Al-Marbawi didalam kitabnya yang bertajuk “Bahr Al-Mazi” ada menceritakan tentang ketegasan Omar bin Al-Khattab di permulaan beliau dengan Islam, yang mana beliau telah bertanya kepada Baginda SAW berkenaan dengan tidak menzahirkan Islam sedangkan Islam adalah kebenaran dan kekufuran adalah kabatilan. Baginda SAW menyatakan, disebabkan bilangan orang islam sedikit, maka sahabat tidak melakukan sedemikian. Lalu omar berkata: Demi tuhan yang membangkitkan tuan dengan hak (kebenaran), tiada tinggal majlis yang aku duduk padanya melainkan aku zahir duduk padanya dengan iman”. Bermula dari situlah, Rasulullah SAW bersama Omar bin Al-Khattab dan Hamzah masuk kedalam Masjid Al-Haram. Dari situ, golongan kuffar berasa gerun kepada Islam. Bermula dari hari tersebutlah Rasulullah SAW menggelarkan beliau sebagai Omar Al-Farooq”[2].
Begitujuga, Omar dilihat tegas terhadap golongan munafiq, sehinggakan jika di lihat kepada kisah kematian Abdullah bin Ubai bin Salul, yang mana anak kepada Abdullah bin Ubai yang bernama Abdullah bin Abdullah telah datang kepada Rasulullah SAW dan meminta baju nabi SAW. Ketika baginda SAW hendak memberikan kepada Abdullah, Omar telah mengambil baju baginda itu sambil berkata;
يا رسول الله تصلي عليه وقد نهاك ربك أن تصلي عليه
Maksudnya;
“Wahai Rasulullah SAW! Kamu solat atasnya, sedangkan tuhan kamu telah melarang kami dari melakukan solat kepadanya?”
Berkata Nabi SAW; “sesungguhnya Allah telah memberi pilih kepadaku” sambil Baginda SAW membaca;
استغفر لهم أو لا تستغفر لهم إن تستغفر لهم سبعين مرة فلن يغفر لهم
Maksudnya;
“80. (orang-orang manufik itu) sama sahaja Engkau meminta ampun untuk mereka atau Engkau tidak meminta ampun bagi mereka. jika Engkau (Wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka”
(Surah At-Taubah : 80)
Lalu berkata nabi lagi;
وسأزيده على السبعين
Maksudnya;
“Aku akan melebihkannya lebih dari tujuh puluh kali”
Lalu berkata Omar : “Sesungguhnya, dia adalah munafiq”. Lalu Baginda terus menunaikan solat ke atas jenazah Abdullah bin Ubai sehinggakan turun firman Allah;
ولا تصل على أحد منهم مات أبدا ولاتقم على قبره
Maksudnya;
“84. dan janganlah Engkau sembahyangkan seorang pun Yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah Engkau berada di (tepi) kuburnya”
(Surah At-Taubah : 84)[3]
Dari kisah-kisah yang dinukilkan ini, didapati bahawa Omar adalah seorang yang keras kepada golongan yang menyalahi perjuangan nabi SAW.
walaupunbegitu, jika dibandingkan antara Omar bin Al-Khattab dengan Abu Bakar As-Siddiq, didapati Abu Bakar As-Siddiq mempunyai kelembutan dan toleransi, tetapi menyalahi Omar Al-Khattab yang mempunyai pendirian dan ketegasan yang tinggi.
Diceritakan dalam hadis, ketika selesai dari peperangan badar, ramai dari kalangan quraish yang kena tawan. Baginda Saw bertanyakan pandangan Abu Bakar As-Siddiq dan Abu Bakar As-Siddiq memberi pandangan dengan katanya;
يا رسول الله قومك وأصلك أستبقهم وأستتبهم لعل الله أن يتوب عليهم
Maksudnya;
“Wahai Rasulullah SAW ! mereka adalah kamu kamu dan mereka adalah asal usul kamu, maka suruhlah mereka bertaubat, mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka”
Pendapat tersebut dibantah oleh Omar bin Al-Khattab dengan katanya;
يا رسول الله كذبوك وأخرجوك قدمهم فأضرب أعناقهم
Maksudnya;
“Wahai Rasulullah SAW ! mereka mendustai kamu dan menghambat kamu, pancung sahaja kepala mereka”
Melihat kedua-dua pandangan tersebut, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat yang lain berkenaan dengan kedua-dua pandangan tersebut sehinggakan baginda SAW berkata;
إن الله ليلين قلوب رجال فيه حتى تكون ألين من اللبن وأن الله ليشدد قلوب رجال فيه حتى تكون أشد من الحجارة وإن مثلك يا أبا بكر كمثل إبراهيم قال (فمن تبعني فإنه مني ومن عصاني فإنك غفور رحيم ) وإن مثلك يا أبا بكر كمثل عيسى قال (إن تعذبهم فإنهم عبادك وإن تغفر لهم فإنك أنت العزيز الحكيم ) وإن مثلك يا عمر مثل موسى قال (ربنا اطمس على أموالهم واشدد على قلوبهم فلا يؤمنوا حتى يروا العذاب الأليم ) وإن مثلك يا عمر كمثل نوح قال (رب لا تذر على الأرض من الكافرين ديارا)
Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah melembutkan hati seseorang itu lebih lembut dari susu dan sesungguhnya Allah mengkeraskan hati seseorang itu lebih keras daripada batu. Dan sesungguhnya kamu wahai Abu Bakar seperti Ibrahim yang berkata (barangsiapa yang mengikuti, maka sesungguhnya ia bersamaku, dan barangsiapa yang mengkufuriku, maka sesungguhnya kamu (ya Allah) tuhan yang sangat pengampun dan sangat penyayang[4]). Dan Kamu Wahai Abu Bakar seperti Isa yang berkata (sekiranya kamu azab mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba kamu, dan sekiranya kamu mengampuni mereka, maka sesungguhnya kamu adalah tuhan yang maha gagah dan maha bijaksana[5]). Adapun kamu wahai Omar seperti Musa yang berkata (Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat siksaan yang pedih[6]) dan Kamu Wahai Omar seperti Nuh yang berkata ("Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi[7])[8]
Dari kisah-kisah yang dinukilkan ini, didapati bahawa Omar bin Al-Khattab merupakan seorang yang keras pandangannya yang menyebabkan golongan musuh-musuh Islam, samada dalaman atau luaran agak tidak berani untuk mempermain-mainkan Islam.
Maka dengan sebab itu, Islam yang hendak disampaikan kepada manusia agak mudah dilaksanakan, disamping tidak diganggu dengan fikrah-fikrah yang mengganggu dalaman Islam yang boleh melambatkan kemenangan islam dan sebagainya.
Kegemilangan Islam itu merebak sampai di zaman Omar bin Al-Khattab sendiri menjadi Khalifah yang menampakkan islam bukan sekadar memerintah di semenanjung arab sahaja, bahkan Islam sudah merebak sampai ke Parsi dan menguasai satu pertiga dunia.
KEPERLUAN TIMBALAN PRESIDEN SEPERTI “IBNU KHATTAB”
Melihat keadaan PAS sekarang, PAS perlu kepada seorang tokoh yang mempunyai ketegasan dan keberanian menyatakan pandangan untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden.
Ini adalah kerana, PAS kini sering di perkotak-katikkan oleh sebilangan mereka yang “beraliran kiri” disamping sering “dikemudiankan” pandangannya oleh “golongan pakatan”.
Maka dengan demikian, pada pandanganku, dipermilihan ini, PAS memerlukan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai cirri-ciri seperti Omar bin Al-Khattab atau seiras-iras Omar agar PAS ini bukan sekadar di pandang kuat, tetapi sememangnya mempunyai kekuatan.
Sekian
Wallahu ‘Alam
P/s : sekadar pandangan Peribadi
Al-bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/
e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1] Sejarah Bani Umayyah di Andalus : m/s ix
[2] Bahr Al-Mazi : 1/6.
[3] Tafsir Ibni Kathir : 2/379.
[4] Surah Ibrahim : 36.
[5] Surah Al-Maidah : 118.
[6] Surah Yunus : 88.
[7] Surah Nuh : 26.
[8] Kisah ini boleh dilihat dalam Sunan Al-Baihaqi Al-Kubra : 6/321. hadis no : 12623
Sunday, May 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment