Sunday, May 27, 2007

KENAIKAN GAJI KAKITANGAN AWAM, KESAN DAN PENYELESAIANNYA MENURUT FIQH ISLAM

KENAIKAN GAJI KAKITANGAN AWAM,
KESAN DAN PENYELESAIANNYA MENURUT FIQH ISLAM.

Mukadimah.
Kenaikan gaji kakitangan awam adalah sesuatu yang amat mengembirakan. Rata-rata kakitangan awam terutamanya mereka yang berpendapatan rendah menerimanya dengan perasaan lega.
Di dalam hal ini kita perlu melihat isu ini melalui pelbagai hakikat dan sudut yang berbeza bagi menilai kesan dan masa depan masyarakat terutamanya golongan sederhana dan rendah.
Tetapi secara umum, rakyat perlu juga menilai kesan dan masa depan golongan bawahan bukan kakitangan awam seperti petani rendah, nelayan rendah, buruh kampung kerana kesan kepada mereka adalah kesan juga kepada golongan kaya dan negara. Mereka adalah aset kepada kuasa beli negara yang tidak boleh dipandang ringan di samping modal insan yang perlu dibangunkan.
Oleh itu, kita cuba melihat kenaikan gaji kakitangan awam ini dari sudut positif dan negatif secara seimbang dan membuat imbangan antara keduanya.

Kesan Positif.
Kesan positif dari sudut kenaikan ini amat jelas dengan kenaikan taraf sosio ekonomi sebahagian rakyat terutamanya golongan pertengahan. Kenaikan ini adalah sesuatu yang positif dan amat saya amat menyokongnya.
Kenaikan ini memberikan kelegaan kepada golongan yang berpendapatan sederhana seperti golongan polis, askar berpangkat rendah dan sebagainya yang sememangnya perlu dinaikkan taraf sosio ekonomi mereka semenjak dahulu lagi.
Dengan ini, ia memberikan peningkatan keupayaan beli bagi golongan yang terbabit dengan kenaikan gaji.

Kesan Negatif Sekarang Dan Masa Depan.
Apabila kenaikan gaji golongan kakitangan awam berlaku, secara pasti akan menyebabkan berlaku tuntutan kenaikan gaji oleh pekerja kepada syarikat-syarikat swasta.
Apabila ini berlaku, maka ia akan menyebabkan kenaikan harga barang dan menaikan kos hidup rakyat. Ini berdasarkan amalan biasa mana-mana syarikat yang pasti akan mengekalkan margin keuntungan. Maka kos bagi kenaikan gaji pekerja akan dipindahkan kepada pembeli melalui kenaikan harga produk pengeluaran dan caj perkhidmatan.
Sebagai contoh, jika syarikat mendapat untung bersih sebanyak 50 sen daripada sekilo gula yang berharga RM180 dan kos gaji pekerjanya ialah sebanyak 40 sen, maka apabila gaji pekerjanya dinaikkan sebanyak 20%, maka 20% tadi akan dianggap sebagai kos. Jika sebelum ini 40 sen daripada RM1.80 adalah kos untuk gaji pekerja, maka sekarang 48 sen adalah kos gaji pekerja daripada sekilo gula. Syarikat tidak akan mengecilkan margin untungnya sehingga 42 sen daripada 50 sen sebelum ini, bahkan kos itu akan dipindahkan kepada pengguna dan pembeli yang akhirnya menjadikan harga gula selepas kenaikan gaji ialah sebanyak RM1.88 sen atau lebih mudah dijual dengan harga RM1.90.
Hakikatnya sekarang, sebelum gaji kakitangan awam dinaikkan lagi, harga beberapa barangan sudah mula dinaikkan oleh peniaga-peniaga sebagaimana yang telah disiarkan oleh akhbar Kosmo melalui tinjauan yang dilakukan. Secara realiti, kerajaan tidak mampu menahan dan memaksa peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan mereka sebagaimana berlaku sebelum ini terutamanya ketika kenaikan harga minyak dan lain-lain kerana harga barangan ditentukan oleh permintaan pasaran, keperluan pengguna, kos dan keupayaan barangan itu sendiri.
Sekalipun pada hari ini kenaikan barangan belum berlaku secara menyeluruh, tetapi secara pasti lima tahun akan datang ia akan berlaku secara menyeluruh.
Fenomena ini akan menyebabkan golongan yang tidak terlibat dengan kenaikan gaji terutamanya golongan yang hanya bersifat sebagai pengguna akan semakin turun taraf sosio ekonomi mereka untuk tempoh lima tahun akan datang, manakala sosio ekonomi golongan kakitangan awam pula yang naik taraf pada hari ini akan turun semula selepas lima tahun akan datang.
Sebagai contoh, jika keperluan asasi seseorang pada hari ini seperti kos keperluan tempat tinggal, kenderaan dan seumpamanya ialah sebanyak RM1200. Maka kakitangan awam yang berpendapatan RM1800 akan dapat menyimpan sebanyak RM600. Maka apabila gaji dinaikkan pada hari ini kepada RM2100, bermakna jumlah simpanan akan bertambah daripada RM600 kepada RM900 sebulan.
Apabila kenaikan gaji kakitangan awam menyebabkan kenaikan kos hidup rakyat akibat tekanan kenaikan gaji di sektor dan syarikat swasta dalam tempoh lima tahun akan datang, maka simpanan mereka juga akan turun kepada tahap asal selepas tempoh tersebut. Jika hari ini ketika kenaikan gaji berlaku dengan kos sara hidup RM1200, maka pada lima tahun akan datang akan menyebabkan kos sara hidup kemungkinan akan meningkat kepada RM1700 yang menyebabkan margin simpanan akan kembali kepada RM600 sebulan. Oleh itu, kakitangan awam hanya menikmati kelebihan kenaikan gaji hanya dalam tempoh tertentu kerana margin simpanan akan kembali asal sekalipun gaji dinaikkan.
Dalam hal ini, golongan pengguna yang terdiri daripada buruh kampung, petani sederhana dan miskin akan tertekan kerana margin simpanan mereka akan semakin berkurangan akibat kenaikan kos sedangkan pendapatan mereka adalah ditahap sama.
Pengekalan kuasa beli golongan kaya dan kelemahan kuasa beli golongan miskin menyebabkan syarikat pengeluaran terpaksa mengambil keuntungan dengan menaikkan harga jualan atau meningkatkan caj perkhidmatan. Tetapi di dalam sistem Islam, sekalipun syarikat tidak menaikkan harga barang, tetapi keuntungan mereka bertambah akibat pertambahan kuantiti pengeluaran kerana kuasa beli golongan kaya dan miskin sama-sama mengalami kenaikan melalui sistem agihan zakat dan seumpamanya.

Kenapa Islam Mementingkan Golongan Miskin?
Dari sudut Islam, golongan miskin dan kaya adalah ketentuan daripada Allah S.W.T. dan masing-masing diuji dengan keadaan masing. Banyak terdapat di dalam Al-Quran dan hadis berkenaan dengan tanggungjawab, peranan dan kelebihan membantu orang susah dan miskin.
Dari sudut makro ekonomi pula, golongan miskin adalah aset penting yang perlu dibangunkan. Jika di dalam sesebuah negara yang penduduk majoritinya adalah miskin, maka kuasa beli adalah rendah dan lemah. Justeru itu, jualan barangan, edaran produk atau caj khidmat yang disediakan oleh golongan berpendapatan dan golongan kaya tidak mendapat sambutan yang memberansangkan.
Menaikkan taraf orang-orang miskin sehingga mampu bersaing dan berjalan seiringan dengan orang lain merupakan ciri penting kepada pembangunan ekonomi dan melariskan produk yang dikeluarkan. Untuk itu, syarikat-syarikat pengeluar produk daripada Amerika Syarikat sendiri kadangkala membantu orang-orang miskin di negara-negara mundur dan negara ketiga bagi menambah kuasa beli dengan tujuan melariskan produknya dan meluaskan pasaran, bukan kerana ikhlas ingin membantu.
Golongan miskin terabai cukup banyak kedapatan di negara kita. Ulama Pelapis Selangor sendiri telah menemui dan membantu orang-orang miskin di Selangor yang dikategorikan cukup tegal. Golongan miskin tegal ini tidak ditemui di negari-negeri yang dianggap miskin seperti Kelantan tetapi banyak kedapatan di negeri maju seperti Selangor dan Johor. Mereka bukanlah orang yang berhijrah dari Kelantan, Sabah atau Terengganu, tetapi mereka adalah penduduk asal yang dilahirkan di negeri maju tersebut. Kedapatan di johor orang yang tinggal di dalam pembetung, di Selangor orang miskin yang terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja sejauh 8 kilo meter sehari bagi menjimatkan RM30 tambang dan sebagainya.
Sebagai contoh yang jelas untuk kita renungkan, sebagaimana kes yang Ulama Pelapis bantu, seorang bapa berumur lingkungan awal 40an, mempunyai isteri dan dua anak. Pendapat beliau ialah RM600 sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel di ibu kota . Sewa rumah yang terpaksa ditanggungnya ialah RM300 selepas gagal mendapatkan rumah flat kos rendah sediaan kerajaan. Apabila ditolak belanja dan keperluan harian, baki RM300 sememangnya tidak mencukupi untuk makan minum, bayar bil air dan api, tambang bas ke tempat kerja, tambang anak ke sekolah dan sebagainya sehingga pendidikan kelas tambahan anaknya terabai. Itu belum lagi anaknya ke Universiti dan awal buka sekolah yang belanjanya cukup memeritkan.
Jika kenaikan sama dilakukan oleh hotel terhadap kakitangannya, maka jika 20% gajinya dinaikkan sehingga mencecah RM720, maka jika barangan disekeliling naik akibat kenaikan gaji pekerja, keadaan orang seperti ini semakin terhimpit sekalipun gajinya dinaikkan sehingga 20% kerana kenaikan 20% daripada RM600 sebulan adalah amat kecil berbanding kenaikan harga barangan yang sekalipun hanya 5-10% sahaja, tetapi ia digunakan hampir setiap hari.

Perbezaan Antara Sistem Islam Dan Realisasi Sekarang Bagi Membantu Orang-Orang Miskin Dan Lemah.
Apabila kenaikan gaji berlaku, bermakna taraf sosio ekonmi mereka naik dan meningkat. Dalam masa yang sama, jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh mereka juga meningkat, dan ini akan menyebabkan kemasukan kepada kerajaan juga bertambah. Hal ini sama dengan sistem zakat, apabila kenaikan gaji berlaku, bermakna kutipan zakat juga akan meningkat.
Tetapi perbezaannya ialah, jika kutipan cukai daripada kakitangan awam meningkat akibat kenaikan gaji, tetapi ia belum menjamin peningkatan taraf sosio ekonomi orang miskin dan golongan sederhana kerana kutipan itu belum tentu diagihkan kepada golongan miskin kecuali dalam bentuk ehsan. Berbeza dengan sistem zakat di mana zakat (iaitu zakat mal mustafad atau harta perolehan) yang dikutip daripada kakitangan awam yang layak pasti akan diagihkan dua perlapannya kepada orang fakir dan miskin.
Ini berlaku melalui sistem zakat di mana agihan itu bukannya ehsan, bukan sagu hati kepada penerima, tetapi ia adalah hak si fakir dan miskin. Jika kerajaan Islam tidak memberikan zakat kepada si fakir dan si miskin maka ia adalah satu kesalahan. Kerana belanjawan kutipan zakat telah ditentukan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Al-Quran.
Berbeza dengan kerajaan sekarang, jika ia tidak memberikan satu senpun kepada fakir dan miskin, maka ia bukannya kesalahan kerana belanjawan dan alirannya ditentukan oleh pemerintah, bukan sistem yang tetap sebagaimana zakat.
Perlu disedari bahawa, zakat adalah sistem di dalam negara Islam manakala cukai pula tidak boleh menjadi sumber tetap kepada negara Islam. Di dalam kontek negara kita pada hari ini, zakat bukanlah sebagai satu sistem negara kerana ia dijalankan tidak sampai satu pertiga daripada sistem sebenar zakat dan aspek-aspek penting zakat cukup-cukup diabaikan. Bahkan sistem yang menjadi sumber pendapatan negara kita ialah sistem percukaian Rom yang dihidupkan kembali oleh golongan barat dan seterusnya dipraktikkan di negara kita.
Antara tanda dan bukti yang jelas berkaitan dengan hakikat ini ialah, golongan yang tidak membayar cukai adalah kesalahan undang-undang di dalam negara kita dengan harta mereka disita dan sebagainya, manakala golongan yang tidak membayar zakat pula bukanlah satu kesalahan undang-undang.
Berbeza dengan sistem zakat Islam, di mana golongan yang tidak membayar zakat adalah kesalahan undang-undang negara Islam manakala sebahagian besar cukai dalam bentuk sekarang seperti cukai jualan dan seumpamanya adalah bercanggah dengan hukum Islam dan ianya adalah haram.
Melalui sistem Islam ini, jika golongan kakitangan awam dinaikkan gaji, maka secara lansung dan pasti taraf sosio ekonomi golongan miskin juga akan naik kerana zakat yang terkutip secara pasti dan wajib akan mengalir kepada golongan miskin sebanyak dua perlapan. Tetapi dengan sistem sekarang, apabila golongan kakitangan awam dinaikkan gaji, tetapi taraf sosio ekonomi golongan miskin belum tentu akan naik kerana sistem cukai sekarang tidak menetapkan secara wajib agihannya kepada orang miskin dan golongan yang memerlukan melainkan dalam bentuk ehsan yang sangat kecil berbanding kadar agihan zakat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Melalui kenaikan gaji di dalam sistem ekonomi bukan Islam yang diamalkan sekarang akan menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin jauh. Dan hakikat inilah yang bercanggah dengan dasar Islam melalui penetapan hukum seperti zakat, fai' dan seumpamanya bagi menaikkan taraf golongan miskin dengan pertambahan kemasukan orang kaya seterusnya mendekatkan jurang antara dua golongan tersebut.
Di dalam sistem ekonomi negara menurut hukum dan prinsip Islam, duit dan kekayaan negara dicairkan oleh rakyat, manakala sistem ekonomi negara kita sekarang, duit dicairkan dan dikontrol oleh kerajaan. Sebagai contoh, jika duit dan harta cair negara sebanyak RM100 trilion, maka jumlah tersebut dipegang dan dikontrol oleh kerajaan melalui sistem penswastaan, sistem percukaian dan lain-lain. Apabila kerajaan ingin menambah rezabnya, maka cukai akan dinaikkan (kadangkala tanpa disedari oleh rakyat). Oleh itu, kadar cukai boleh naik dan boleh turun berpandukan kepada keperluan menurut kehendak mereka yang menerajui kerajaan itu sendiri.
Tetapi di dalam sistem Islam, jumlah tersebut dialirkan dan dicairkan oleh rakyat dan pencairannya dikontrol oleh sistem dan hukum Islam manakala kerajaan berfungsi sebagai pelaksana kepada hukum yang telah ditetapkan. Oleh itu, kita dapati, kerajaan Islam dan ulama hebat macamana sekalipun tidak boleh menaik dan menurunkan kadar kutipan zakat, fai', usyur dan sebagainya sesuka hati.
Pencairan duit oleh rakyat ini dibuktikan secara praktikal, antara yang jelasnya ialah tindakan Saidina Umar mengosongkan perbendaharaan baitulmal sehari dalam setahun sehingga tidak tinggal satu dirhampun. Segala harta perbendaharaan tersebut diagihkan kepada seluruh rakyat sebagai suntikan modal untuk dicairkan. Sekalipun baitulmal kosong sehari setahun, tidak lama selepas dikosongkan, tidak lama selepas itu ia akan kembali penuh akibat pertambahan kutipan zakat, usyur dan sebagainya kesan daripada pertambahan modal rakyat.

Penutup.
Setelah membuat penilaian, saya menyokong kenaikan gaji kakitangan awam, dan ia adalah sesuatu yang baik. Ianya dapat menaikkan taraf sosio ekonomi mereka yang berkhidmat membangunkan negara terutamanya polis dan askar yang sememangnya banyak berkorban untuk negara.
Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak menyokong dasar dan sistem ekonomi negara kita sekarang kerana ia memberikan kesan negatif akibat kenaikan gaji kakitangan awam terutamanya kepada golongan miskin dan fakir di kalangan bukan kakitangan awam.
Penyelesaian kepada kesan negatif ini hanya dapat diatasi melalui sistem ekonomi Islam yang menyeluruh. Perbankan Islam yang dijalankan pada hari ini bukanlah ekonomi Islam tetapi ia adalah muamalat Islam yang hanya sebahagian sahaja daripada ekonomi Islam dan sistemnya. Justeru ekonomi Islam termasuk dasar dan sistem berkait pengswastaan, percukaian, zakat, pemilikan tanah dan lain-lain. Kesemua aspek sistem ekonomi Islam adalah perlu kerana ia menjadi pelengkap kepada aspek-aspek yang lain.
Dalam masa yang sama, jika sebahagiannya dijalankan dan diabaikan sebahagian yang lain, kadangkala kesannya akan memberikan imej yang buruk dan membentuk imej yang salah kepada sistem Islam itu sendiri seperti timbul anggapan sistem perbankan Islam zalim kerana menetapkan keuntungan sesuatu produk jauh lebih tinggi (pada zahirnya) berbanding produk bank konversional, anggapan zakat tidak mampu mengatasi kemiskinan memandangkan kutipan pada hari ini tidak mampu membantu orang miskin sepenuhnya dan anggapan-anggapan yang lain.
Tuntasnya kenaikan gaji kakitangan awam adalah sesuatu yang baik dan positif dan kesan negatifnya perlu diatasi melalui sistem ekomi Islam yang menyeluruh sebagaimana yang dinyatakan di atas.

- Di sediakan Oleh :
Ustaz Haji Zaharuddin Muhammad.
Presiden,
Gabungan Graduan Timur Tengah,
(GAGASAN)

No comments: