Saturday, May 19, 2007

APABILA “SI SALAFI” MENAFIKAN KESALAFIAN “SI SALAFI” YANG LAIN : SIAPA YANG BETUL?

APABILA “SI SALAFI” MENAFIKAN KESALAFIAN “SI SALAFI” YANG LAIN : SIAPA YANG BETUL?

Selepas menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Tabung Haji, Kelana jaya, aku dan beberapa orang sahabat mengadakan satu mesyuarat tergempar yang lebih membincangkan berkenaan dengan persiapan untuk menghadapi “peperangan” pilihanraya yang sedang hangat dibincangkan diperingkat nasional.

Setelah pulang kerumah, menjadi rutin harian, aku terus membuka laptop kecilku untuk “berinternet” bagi melihat kandungannya yang dapat menambah lagi berbagai maklumat, samada berbentuk ilmiyyah, isu semasa, politik, masyarakat dan sebagainya.

Setelah membuka laman web “al-ahkam”, didapati ada satu klip video baru yang dinukilkan, berkenaan ceramah yang disampaikan oleh seorang Prof Madya yang agak dihormati bernama Prof Madya Dr Radhi Othman.

Secara Peribadi, aku tidak mengenali Prof Madya Dr Radhi secara lebih dekat, tetapi mengenali beliau dari nama beliau yang sering di sebut oleh kebanyakkan mereka yang mendakwa beraliran salafi dan musuh-musuh kepada aliran wahabi.

Setelah melihat klip video ini, hatiku mula terdetik betapa waraknya jawapan yang diberi oleh seorang Prof Madya terhadap persoalan yang ditanya kepada beliau berkenaan As-Syaikh Rabi’ al-Madkhali yang menjadi perdebatan hebat antara Dr Asri, Mufti Perlis bersama seorang yang dianggap beraliran salafi “syadid” dari Singapore bernama Ustaz Rasul bin Dahri[1].

Sebelum ini, aku telah mendengar segala ulasan Ust Rasul Dahri sebanyak 5 siri didalam laman “youtube.com” berkenaan kritikan beliau terhadap mufti perlis yang agak menghentam sikap dan tindakan beberapa golongan (agaknya terhadap Rasul Dahri barangkali) yang mengambil sikap mengkritik beberapa tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimin, seperti Al-Imam Hassan Al-Banna, Sayed Qutub dan sebagainya[2]. mendengar segala ulasan tersebut, secara peribadi aku dapat menilai betapa “syadidnya” Ust Rasul Dahri terhadap dakwaannya sebagai “salafi”.

SALAFI : TINJAUAN PENGALAMAN PAKISTAN DAN MESIR

Pemikiran salafi beraliran Rasul Dahri dan beraliran Asri ini sudah banyak aku berjumpa semasa dalam pengajianku di dua buah Negara yang berbeza dari sudut bangsa.

Semasa di Pakistan, golongan salafi dan Ahnaf disana bukan sekadar menyesatkan Sayyed Qutub, bahkan mereka mengkafirkan Abu ‘Ala Al-maududi disebabkan – berdasarkan dakwaan mereka - dengan beberapa kenyataan Abu ‘Ala Maududi berkenaan agama ini didalam kitab tafsir karangan beliau yang bertajuk “tafhim al-quran”.

Mendengar dakwaan mereka itu, aku berempas pulas berusaha mempelajari bahasa “urdu” (bahasa Hindustan) untuk memahami tulisan Abu ‘Ala maududi tersebut, disebabkan kitab itu di tulis dalam bahasa urdu.

Alhamdulillah, dalam masa 3 bulan sahaja, Allah telah memberi kebolehan kepadaku untuk memahami dan bertutur dalam bahasa Urdu dan aku telah membeli kitab yang didakwa menyeleweng tersebut dengan harga 930 rupiah Pakistan di sebuah kedai buku di Bandar Sadar, Karachi, Pakistan. Aku membaca kitab tersebut, tetapi aku tidak dapati kesalahan dan penyelewengan yang didakwa itu.

Lalu aku telah berjumpa dengan seorang guruku yang agak “cakna” dalam “isu Maududi” yang bernama Mufti Ilyas Sofdar, dan aku bertanyakan kepadanya, dimanakah kandungan didalam kitab “tafhim Al-Quran” karangan Maududi itu yang menyebabkan kebanyakan ulama salafi dan Ahnaf di Pakistan mengkafirkan dan menyesatkan Maududi.

Mufti Ilyas menyatakan bahawa, Jamaat Islami telah melantik Maulana mufti Abdul Malik (sekarang Senator Jamaat Islami Pakistan) yang berpendidikan ahnaf (Deobandi), seorang yang ‘Alim dalam bidang Hadis sehinggakan digelar sebagai “Syaikh Al-Hadis Jamaat Islami” untuk melakukan “pemutihan” balik terhadap tulisan Maududi tersebut.

Semasa aku ke Mansurah, Lahore, Pakistan, aku telah pergi di Kelas pengajian ilmu Hadis yang dikelolakan oleh Maulana Mufti Abdul Malik, disana aku melihat sendiri kehebatan ilmu hadis yang ada pada Maulana mufti Abdul Malik sehinggakan sewaktu mengajar Sahih Bukhari, beliau tidak membuka kitab dan mengulas segala isi kandungan Sahih Bukhari dengan lancarnya.

Aku berazam berjumpa dengan beliau, tetapi mungkin itu bukan kehendak ilahi, aku telah pulang ke Malaysia sehingga berlaku peristiwa 11 september yang mengakibatkan aku tidak dapat kembali semula ke Bumi Debu, Pakistan disebabkan berbagai sekatan dari pihak kerajaan Malaysia untuk ke sana.

Keadaan yang sama juga berlaku semasa belajar di Mesir, yang mana seorang kawan menghulurkan kepadaku sebuah kitab tulisan seorang ulama yang didakwa sebagai Salafi bernama As-Syaikh Lutfi (tidak ingat bin). Di dalam kitab tersebut, pelbagai kritikan syadid terhadap tokoh-tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimin seperti Imam Hassan Al-Banna, Sayyed Qutub dan sebagainya, sehinggakan tulisan tersebut mendakwa bahawa Sayyed Qutub sebagai kafir.

Mungkin disebabkan kehidupanku di mesir tidak lama, menyebabkan aku tidak dapat “bertemu mata” sendiri dengan As-Syaikh Lutfi yang syadid tersebut untuk bertanyakan pandangannya tentang Al-Ikhwan Al-Muslimin yang dikritik oleh beliau.

Kenangan ini telah lama aku lupainya, tetapi “mengalirkan darah” semula apabila melihat Kritikan Rasul Dahri terhadap Dr MAZA yang agak mempertahankan tokoh-tokoh dari Al-Ikhwan Al-Muslimin itu.

Maka dengan sebab itulah, terjawab segala persoalan yang aku fikirkan dengan kenyataan sebahagian sahabat-sahabat yang menyatakan bahawa “puak-puak wahabi perlu kita tahzir” setelah aku menyatakan toleransi sesame salafi ini perlu dilaksanakan.

Walaubagaimanapun, aku tetap dengan pendirianku untuk bertoleransi dengan salafi ini, selama mana mereka sanggup bersatu hati untuk melawan UMNO/BN di Negara ini. Ini merupakan kepentingan disebabkan UMNO/BN merupakan satu komponen yang mahu menghancurkan islam di bumi ini secara halus.

RASUL DAHRI – MAZA : SIAPA SALAFI SEBENAR?

Aku memerhatikan segala Kritikan Rasul Dahri terhadap MAZA sehinggakan aku mendapat beberapa kesimpulan terhadap dari isi kritikan tersebut.

Dalam kritikan Rasul Dahri, aku melihat bahawa Rasul Dahri lebih mengambil sikap yang syadid sehinggakan tidak mahu mengiktiraf ulama yang tidak sealiran dengannya. Ben baz, Uthaimin, saleh fauzan, Albani dan ulama-ulama yang sealiran dengannya sahaja yang dianggap sebagai ulama salafi, sedangkan ulama-ulama yang lain, samada Al-Qaradhawi, Sayyed Qutub dan sebagainya tidak diiktiraf oleh Rasul Dahri sebagai salafi.

Aku berfikir, apakah neraca sebenar yang digunakan oleh Rasul Dahri untuk menilai seseorang ulama itu adalah salafi atau tidak?

Begitujuga, dalam klip video Kritikan Rasul Dahri tertulis dibawahnya kata-kata yang tercatit seperti berikut;

“Bukan dasar manhaj salaf memburuk-buruk nama seseorang ataupun perkumpulan, akan tetapi apabila soal akidah islamiyyah diselewengkan maka kewajipan kami untuk bangkit memperbetulkannya”.

Dari kata-kata ini, aku agak pelik dengan dakwaan rasul Dahri dan MAZA sebelum ini yang melarang mengkritik kepimpinan Negara segala secara terang-terangan disebabkan mereka beragama Islam, bahkan mereka sendiri mendakwa bahawa teguran tersebut mestilah dilakukan secara senyap yang diketahui antaranya dan Allah sahaja.

Tetapi, dalam klip video ini agak berlainan dengan apa yang didakwa oleh mereka sebelum ini. Apakah agenda mereka berdua sebenarnya?

Jika dinilai balik tentang Kritikan tentang perbezaan aqidah antara aqidah yang didokong oleh Rasul Dahri dan Aqidah yang didokong oleh Sayyed Qutub seperti dakwaan Rasul Dahri bahawa Sayyed Qutub beraqidah Asyairah, maka kita akan dapati bahawa Rasul Dahri agak kurang memahami tentang kekhilafan yang boleh ditoleransikan, walaupun ianya perkara yang berkaitan dengan aqidah sekalipun.

Hakikatnya, perbezaan dari sudut kebenaran penta’wilan ayat mutasyabihat atau tidak, ianya adalah urusan yang diizinkan oleh syarak untuk berlakunya khilaf.

BERLAKUKAN KHILAF DALAM PERKARA AQIDAH?

Kekhilafan dikalangan ulama adalah perkara biasa. Kekhilafan itu pula, adakala menjadi baik dan adakalanya menjadi buruk. Kekhilafan yang dikira sebagai buruk adalah apabila kekhilafan tersebut berbentuk permusuhan, juga kekhilafan dalam perkara yang telah disepakati oleh ulama.

Firman Allah;

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Maksudnya;
“103. dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”

(Surah Al-Imran : 103)

Begitujuga sabda Nabi SAW;

ولا تَخْتَلِفُوا فإن من كان قَبْلَكُمْ اخْتَلَفُوا فَهَلَكُوا

Maksudnya;
“Jangan kamu bercerai berai, maka sesungguhnya manusia sebelum kamu bercerai berai, lalu mereka binasa”[3]

Walaupun begitujuga, Islam membenarkan beberapa bentuk khilaf yang diizinkan. Hal ini telah berlaku sendiri kepada diri Rasulullah SAW. Ianya adalah disandarkan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari;

عن بن عُمَرَ قال قال النبي (ص) لنا لَمَّا رَجَعَ من الْأَحْزَابِ لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الْعَصْرَ إلا في بَنِي قُرَيْظَةَ فَأَدْرَكَ بَعْضَهُمْ الْعَصْرُ في الطَّرِيقِ فقال بَعْضُهُمْ لَا نُصَلِّي حتى نَأْتِيَهَا وقال بَعْضُهُمْ بَلْ نُصَلِّي لم يُرَدْ مِنَّا ذلك فَذُكِرَ لِلنَّبِيِّ (ص) فلم يُعَنِّفْ وَاحِدًا منهم

Maksudnya;
“daripada Ibni Omar berkata : Bersabda Nabi SAW kepada kami ketika kami pulang daripada “Al-Ahzab” : jangan solat asar seseorang kamu melainkan ketika sampai di Bani Quraizah. Lalu sebahagian dari kami menunaikan solat asar di tengah jalan. Berkata sebahagian dari kami : kita tidak boleh solat melainkan kita sampai di sana (Bani Quraizah) dan berkata sebahagian yang lain, bahkan kita boleh solat (asar). Diceritakan hal ini kepada Nabi SAW, dan Baginda SAW tidak menempelak perbuatan satu pun daripada mereka[4]

Perkara khilaf tidak sahaja berlaku dalam perkara fiqhiyyah, bahkan perkara khilaf juga berlaku dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah. Ini kerana, kekhilafan itu berlaku disebabkan berlakunya ijtihad dikalangan ulama.

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ijtihad boleh berlaku dengan sebab tiga perkara yang ianya adalah seperti berikut;

1. Perkara yang tiada nas.
2. Perkara yang ada nas, tetapi mengandungi banyak tafsiran.
3. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai percanggahan dari segi pemahaman nas tersebut dengan nas-nas yang lain[5]

Maka dengan demikian, kadangkala ada ayat-ayat Al-Quran atau hadis-hadis nabi SAW yang mempunyai kandungan yang mempunyai banyak tafsiran yang ianya tidak ketinggalan dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah.

Justeru, Dr Basri Ibrahim menyatakan didalam bukunya yang bertajuk “Khilafiyyah, Bidaah dan Maslahah Umum” bahawa perkara aqidah terbahagi kepada dua, iaitu aqidah yang diketahui oleh manusia secara pasti dan perkara aqidah yang perlu kepada penelitian.

Perkara aqidah dalam bentuk yang pertama (diketahui secara pasti) adalah aqidah yang tidak perlu perbahasan panjang dan boleh difahami tanpa memikirkan secara mendalam, seperti kewujudan Allah, keesaan Allah, kewujudan Nabi SAW dan sebagainya.

Adapun perkara aqidah dalam bentuk kedua pula (perlu kepada penelitian) adalah aqidah yang memerlukan kepada kajian. Ianya kadangkala berpunca dari pelbagai tafsiran dari ulama tentang sesuatu nas, seperti ayah dan ibu nabi, adakah mereka ahli syurga atau tidak, Khaidir adakah seorang nabi atau tidak dan sebagainya.

Dr Basri bin Ibrahim menyatakan, perkara aqidah dalam bentuk yang pertama, tidak dibenarkan berlaku khilaf padanya. Adapun perkara aqidah bentuk yang kedua (perlu kepada penelitian), di benarkan berlaku khilaf padanya[6].

PENTA’WILAN AYAT MUTASYABIHAT ADALAH KHILAFIYAH AQIDAH YANG DIIZINKAN, SEKULAR ADALAH KHILAFIYYAH YANG WAJIB DI TENTANG

Termasuk dibawah perbahasan perkara khilafiyyah juga adalah dalam hal kebenaran ulama-ulama atau “ar-Rasikhun” untuk mena’wilkan ayat-ayat mutasyabihat.

Firman Allah;

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آَيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آَمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya;
“7. Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran.”

(Surah Al-‘Imran : 7)

Firman Allah inilah merupakan penentu dalam memastikan kebenaran dalam melakukan ta’wil pada ayat-ayat mutasyabihat atau tidak.

Kekhilafan itu bermula pada menafsirkan firman Allah ini;

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ

Maksudnya;
“tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama”

Dari ayat ini, ulama berbeza pendapat tentang kebenaran ulama-ulama yang rasikh dalam ilmunya (yang ada kepakaran yang sebenar) untuk mena’wilkan ayat-ayat mutasyarbihat ini.

Sebilangan ulama menyatakan, “وَالرَّاسِخُونَ” adalah permulaan ayat yang baru. Dan sebahagian ulama menyatakan, ianya adalah sambungan dari ayat sebelumnya[7].

Maka dengan demikian itulah menyebabkan mufassirin menyatakan bahawa, ada sebilangan ulama menyatakan kebenaran mena’wil ayat-ayat mutasyabihat dan sebilangan ulama yang lain menyatakan larangan untuk mena’wilkan ayat-ayat mutasyabihat.

Antara ulama yang membenarkan mena’wilkan ayat-ayat mutasyabihat adalah Ibni Abbas, yang mana beliau berkata dalam menafsirkan firman Allah ini;

قال التفسير على أربعة أنحاء فتفسير لا يعذر أحد في فهمه وتفسير تعرفه العرب من لغاتها وتفسير يعلمه الراسخون في العلم وتفسير لا يعلمه إلا الله

Maksudnya;
“tafsir itu atas empat bentuk, iaitu tafsir yang tidak diuzurkan oleh seorang pun untuk memahaminya, tafsir yang dikenali dikalangan arab dari sudut bahasanya, tafsir yang mengetahuinya oleh orang-orang yang “rasikh” dalam ilmu dan tafsir yang tidak mengetahuinya melainkan Allah[8]

Begitujuga dilihat kepada nabi SAW yang mendoakan kepandaian ta’wil kepada Ibnu Abbas dengan doa Nabi SAW;

اللهم فقهه فى الدين وعلمه التأويل

Maksudnya;
“Ya Allah, fahamkan dia dalam agama dan pandaikan dia tentang ta’wil[9]

Daripada ini, menjadi bukti kepada kita bahawa kebenaran mena’wilkan ayat-ayat mutasyabihat adalah dibawah perbahasan khilafiyyah yang berlaku dikalangan ulama dan ianya diizinkan dalam syariat.

Pun begitu, perlu diingatkan bahawa disana ada perkara khilafiyyah dalam perkara aqidah yang tidak boleh ditoleransikan. antaranya adalah pemikiran secular yang mendakwa bahawa didalam Islam ada perkara yang boleh diambil dan ada perkara yang tidak boleh diambil.

Pemikiran ini pada hakikatnya adalah pemikiran yang mengkondemkan ilmu Allah yang bersifat “’Alim” dan mempertikaikan aqidah rububiyyah Allah yang mendatangkan Islam untuk dianuti secara menyeluruh.

Begitujuga, pemikiran ekonomi kapitalis yang telah diimani oleh kebanyakan umat Islam di dunia, tetapi tidak pernah ditentang oleh Rasul Dahri.

TIDAK SALAFIKAN ORANG YANG MENGIKTIRAF SAYYED QUTUB?

Dalam klip video Rasul Dahri, beliau menafikan kesalafian Dr Maza disebabkan mengiktiraf sayyed qutub sebagai As-Syahid di samping menyatakan bahawa Sayyed Qutub adalah seorang khawarij kerana melawan kerajaan Jamal Abdul Nasir di mesir dengan alasan jamal abdul nasir adalah orang islam.

Antara sebab penafian Rasul Dahri terhadap kesalafian Maza adalah kerana Asri mengiktiraf Sayyed Qutub sedangkan Sayyed Qutub beraqidah dengan aqidah ashairah.

Berdasarkan ulasan Rasul Dahri tersebut, aku terfikir beberapa perkara yang boleh dikongsikan bersama pembaca sekelian, antaranya adalah seperti berikut;

a. sekiranya Dr Maza tidak salafi disebabkan mengiktiraf Sayyed Qutub yang beraqidah ashairah, maka dengan demikian, Rasul Dahri telah menafikan kesalafian Imam ibnu taimiyyah yang pernah mengi’tiraf aqidah asyairah dalam kitabnya “majmuk Al-Fatawa” yang kandungannya seperti berikut;

فإنا لما أردنا أن نبين مذهب السلف ذكرنا طريقين أحدهما أنا ذكرنا ما تيسر من ذكر ألفاظهم ومن روى ذلك من أهل العلم بالأسانيد المعتبرة والثاني أنا ذكرنا من نقل مذهب السلف من جميع طوائف المسلمين من طوائف الفقهاء الأربعة ومن أهل الحديث والتصوف وأهل الكلام كالأشعري وغيره فصار مذهب السلف منقولا بإجماع الطوائف وبالتواتر لم نثبته بمجرد دعوى الإصابة لنا والخطأ لمخالفنا كما يفعل أهل البدع

Maksudnya;
“jika kami mahu menerangkan mazhab salaf, maka kami melakukan dengan dua cara. Pertama : kami menyebut lafaz-lafaz mereka yang mudah dan menyebut perawinya yang terdiri daripada ahli Ilmu dengan sanad yang diterima pakai. Kedua : kami menyebut orang-orang yang menukilkan mazhab salaf daripada semua kumpulan islam yang terdiri daripada fuqaha’ empat, ahli hadis, ahli tasawwuf, ahli kalam seperti golongan ASHAAIRAH dan lain-lainnya. Jadilah mazhab salaf dinukilkan dengan kesepakatan kumpulan-kumpulan (Islam) dan dengan cara mutawatir. Kita tidak mengistinbatkan sesuatu itu (sebagai salaf iaitu datang kurun pertama) dengan semata-mata ia bertepatan dengan kita dan kita tidak mengistinbatkan salah disebabkan ia bersalahan dengan kita sebagaimana yang dilakukan oleh ahli-ahli bidaah[10]

b. sekiranya Maza mengiktiraf syahid Sayyed Qutub kerana melawan pemerintahan Jamal Abdul Nasir, maka dengan itu, Maza mengiktiraf kesyahidan Ibrahim Libya yang melawan kerajaan Barisan Nasional. Maka dengan demikian, berdasarkan pemikiran MAZA perjuangan PAS adalah syarii dan bersesuaian dengan kehendak syariah.

PEMERINTAHAN ORANG ISLAM ATAU PEMERINTAHAN ISLAM

Membaca balik sejarah, didapati kelahiran golongan khawarij adalah disebabkan sebilangan manusia yang keluar dari kesatuan khilafah Islam pemerintahan ‘Ali bin Abi Talib.

Kisahnya bermula berlakunya majlis tahkim ketika berlakunya konflik antara Ali dan Muawiyyah, yang mana Ali bin Abi Talib telah memilih perdamaian disebabkan jumlah yang menyokong perdamaian lebih ramai.

Keputusan Ali tersebut menyebabkan golongan Al-Qurra yang diketuai oleh “Al-Ashtar” tidak lagi berminat untuk bersama-sama khalifah Ali sama ada untuk mengadakan majlis tahkim atau berperang. Golongan ini telah pergi ke Harura’, sebuah kawasan yang tidak jauh dari kufah untuk menetap di sana. Mereka digelar khawarij disebabkan keluarnya mereka dari khilafah ‘Ali dan jumlah mereka ketika itu lebih kurang 12, 000 orang[11].

Keluarnya golongan Al-Qurra tersebut adalah keluar dari ketaatan kepada pemerintahan ‘Ali yang berasaskan kepada Islam.

Adapun penentangan pihak kerajaan Mesir terhadap Sayyed Qutub, Hassan Al-banna dan sebagainya tidak boleh disamakan dengan golongan khawarij dengan pemerintahan ‘Ali. Ini kerana, pertembungan Ikhwan Muslimin dengan kerajaan Mesir adalah pertembungan golongan yang mahu melaksanakan undang-undang Islam dengan pemerintahan yang menafikan undang-undang islam.

Jika di zaman nabi, Baginda SAW menyerang golongan kuffar quraish adalah di sebabkan perinsip kekufuran yang dikuasai oleh orang kuffar. Tetapi jika diperhatikan di zaman sekarang, pembawa bendera perinsip kekufuran ini bukan lagi dibawa oleh orang-orang kafir, tetapi dibawa oleh orang-orang yang mendakwa mereka beragama Islam.

Begitulah halnya yang berlaku di Mesir, di Malaysia dan dimana-mana sekalipun.

Di Malaysia, perlembagaan Malaysia yang sememangnya secular dan di asaskan oleh sebuah suruhanjaya red yang sememangnya tidak memahami Islam. Setelah peninggalan British di tanah melayu, pemikiran seculat ini telah disambung oleh “anak-anak buah” British yang bernama UMNO dan Barisan Nasional.

Maka dengan demikian, pertembungan ini bukanlah pertembungan antara insane yang kufur, tetapi pertembungan tersebut adalah antara perinsip pemerintahan kufur dan golongan yang mahukan Islam. (boleh rujuk tulisan lepas yang bertajuk “ISLAM BERTAMADUN DAN UMNO YANG SEKULAR” dan “PERJUANG SUNNAH DI BAWAH KEPOMPONG PENJAJAH : ANTARA ASRI DAN ANUAR IBRAHIM”)

PENUTUP

padaku, kritikan Rasul Dahri terhadap Dr MAZA adalah satu tindakan yang membuang masa, ini kerana, kritikan tersebut lebih berlegar kepada perkara khilafiyyah yang boleh ditoleransikan.

mengapa Rasul Dahri tersangat memfokuskan berdebatan berbentuk sedemikian di Malaysia, sedangkan Singapore yang merupakan sebuah Negara yang berasaskan kepada kekufuran disamping pemimpinnya yang bukan sekadar tidak beragama Islam, bahkan berusaha hendak melenyapkan Islam di Singapore tidak menjadi focus perbincangan Rasul Dahri.

Secara peribadi, aku agak bimbang kehadiran insane seperti rasul Dahri di Malaysia, yang memungkinkan untuk merosakan kesatuan umat Islam dalam usaha hendak mendaulatkan Islam.

Justeru, berhati-hatilah dengannya dan mereka sealiran dengannya, juga mereka yang seakan-akan sealiran dengannya!!!!

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com





[1] http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=22124
[2] http://www.youtube.com/watch?v=WDzmRatcdfU
[3] Sahih Al-Bukhari : 3/1282. hadis no : 3289.
[4] Sahih Al-bukhari : 1/321. Hadis no : 902.
[5] Fatawa Maasirah : 2/649.
[6] Khilafiyyah, Bidaah dan Maslahah Umum : m/s 20-23
[7] Al-Kasysyaf : 1/366. At-Tafsir Al-Kabir : 7/152.
[8] Tafsir Ibni Kathir : 1/348.
[9] Ruh Al-Maani : 3/83. Tahzib Al-Athar Musnaf Ibni Abbas : 1/166. hadis no : 257.
[10] Majmuk Al-Fatawa : 4/152.
[11] Sejarah Bani Umayyah di Andalus : m/s 13.

2 comments:

nasrulhadi said...

Assalamualaikum tuan,


saya telah terjumpa dengan satu laman website di internet yg membidas mufti perlis dgn menunjukkan bukti2 kesesatan tokoh2 ikhwanul muslimin seperti Hassan Al-Banna dan paling mengejutkan tokoh yg dianggap seorang ulama' yg paling masyhur masa kini iaitu Syeikh yusuf al qaradhawi.

www.geocities.com/teratai_hijau2005

1)Adakah benar bukti2 yg telah ditutarakan dalam website ini
2)Ada hadis yg mengatakan bahawa "Umatku akan terpecah menjadi 73 golongan kecuali satu"
Adakah akidah salafi sahaja yg "kecuali satu itu". Adakah akidah ikhwanul muslimin, asyairah dan maturidiyah termasuk dalam 72 golongan yg sesat?

Abu Numair Nawawi B. Subandi said...

saya kira... website ini juga:

http://bahaya-syirik.blogspot.com

Membidas mufti perlis dan akidah para tokoh2 utama ikhwanul muslimeen...

Allahu a'lam..