PENGAJIAN HADIS : SEBENAR-BENAR PERKATAAN & SEBAIK-BAIK JALAN
و حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ عَبْدِ الْمَجِيدِ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ مُحَمَّدٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ صَبَّحَكُمْ وَمَسَّاكُمْ وَيَقُولُ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ وَيَقْرُنُ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى وَيَقُولُ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ
Maksudnya;
“Rasulullah SAW apabila berkhutbah, merah kedua matanya, tinggi suaranya dan keadaan bersangatan marah hingga seakan-akan memberi amaran dengan kedatangan tentera (musuh) seraya bersabda : musuh akan menyerang kamu pagi dan petang. Dan bersabda lagi : aku dibangkitkan dan hari kiamat seperti dua jari ini. Dan baginda menyatukan dua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah) dan berkata lagi : adapun selepas daripada itu, sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah, sebaik-baik petunjuk (jalan) adalah petunjuk Nabi Muhammad SAW, sejahat-jahat perkara adalah perkara baru, setiap perkara baru adalah Bidaah, setiap bidaah adalah sesat. Kemudian bersabda lagi : aku adalah orang yang paling utama dengan setiap mukmin daripada dirinya. Barangsiapa meninggalkan harta, maka itu milik ahli keluarganya. Barangsiapa yang meninggalkan hutang dan kehilangan, maka itu adalah tanggungjawab aku”[1]
Hadis ini di riwayatkan oleh Imam Muslim dan lainnya. Hadis ini adalah hadis saheh disisi Imam Sayuti dan Juga As-Syaikh Albani RA di dalam kitabnya “Sahih wa Dhoif Al-Jami’ As-Saghir” (18/487) hadis no : 8840.
HURAIAN
Daripada hadis yang tersebut di atas, antara istidlal yang dapat di ambil adalah seperti berikut;
1. PENGENALAN JABIR BIN ABDILLAH
Jabir bin Abdillah merupakan salah seorang sahabat yang hebat. Beliau merupakan kelahiran Madinah, maka dengan demikian, beliau di kenali sebagai “orang-orang ansar”.
Sewaktu berumur 18 tahun, beliau terlibat didalam peperangan badar untuk melawan musuh-musuh Islam.
Setelah kemangkatan Abdullah bin Omar, Jabir bin Abdillah pernah dilantik menjadi mufti di Madinah.
Beliau pernah terlibat peperangan melawan musuh-musuh Islam sebanayak 19 kali.
Beliau meninggal di Madinah sewaktu umur beliau 94 tahun.[2]
Beliau merupakan salah seorang sahabat yang hebat di sisi Nabi SAW, sehinggakan ketika beliau sakit, Rasulullah SAW menziarahi beliau di rumah[3].
2. CARA DAN GAYA KHUTBAH RASULULLAH SAW
Antara perkara sunnah yang perlu di ambil pengajaran dari hadis ini adalah bahawa Rasulullah SAW berkhutbah dalam keadaan bersemangat. Maka dengan sebab itulah, ketika Baginda berkhutbah, Rasulullah SAW berkhutbah dalam keadaan merah mata, suara yang tinggi dan seakan-akan Baginda marah.
Antara tujuan Nabi berkhutbah dalam keadaan sedemikian adalah untuk menghilangkan kelalaian dari pendengar khutbah. Juga, ingin menyatakan kepentingan pesanan yang ingin disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Ini juga dilakukan oleh para khatib di semua tempat di dunia. Apabila hendak menyampaikan sesuatu yang penting, seperti kebangkitan selepas mati, api neraka dan sebagainya, maka disunatkan menyampaikan tersebut dalam keadaan yang bersemangat. Ini bertujuan untuk menarik perhatian hati pendengar-pendengar khutbah tersebut.
Begitujuga, ketika nabi berkhutbah, nabi SAW berkhutbah dalam keadaan menggunakan “body language” atau bahasa badan, iaitu disertai dengan gaya. Ini di buktikan dengan tindakan nabi yang menggunakan isyarat dua jarinya ketika menyebut “aku dibangkitkan dan hari kiamat seperti ini”.
3. NABI MUHAMMAD ADALAH NABI AKHIR ZAMAN
Dari hadis ini juga menjadi dalil bahawa, nabi Muhammad SAW adalah nabi akhir zaman. Ini di buktikan dengan tindakan nabi mengisyaratkan dengan menghubungkan antara jari telunjuk dengan jari tengah.
Antara jari tengah dan jari telunjuk, tidak mempunyai apa-apa jari. Ini bermakna, antara nabi dan hari kiamat tidak terdapat seorang pun. Maka dengan demikian, isyarat tangan tersebut membuktikan bahawa Nabi SAW merupakan nabi Akhir zaman dan Nabi Muhammad adalah penutup segala nabi.
4. AL-QURAN DAN AS-SUNNAH MERUPAKAN SEBAIK-BAIK IKUTAN
Hadis ini membuktikan bahawa, semua perkataan Allah SWT daripada Al-Quran merupakan perkara yang benar semata-mata benar. Tidak ada yang terkecuali, melainkan semuanya benar.
Maka dengan demikian, hadis ini menjadi dalil bahawa, barangsiapa yang meragui firman Allah, samada dari sudut perkataannya, bahasanya, bacaannya, hukum-hukumnya, undang-undang yang terkandung didalamnya dll, bermakna dia telah menyatakan bahawa Al-Quran itu tidaklah sebenar-benar perkataan.
Begitujuga, Hadis Nabi SAW yang merupakan sebaik-baik petunjuk. Menurut bahasa Arab, “Al-Huda” di terjemah sebagai petunjuk atau jalan. Al-Hadis merupakan syarah kepada Al-Quran, samada berbentuk perkataan, perbuatan dan senyap Nabi SAW.
Maka dengan demikian, mengikut nabi SAW merupakan jalan yang paling baik; iaitu jalan yang membimbing manusia kepada syurga.
5. HINDARI DARI PERKARA BIDAAH
Definisi Bidaah dari sudut bahasa arabnya adalah “reka cipta”. Adapun dari sudut istilahnya, Imam An-Nawawi menyatakan bidaah adalah seperti berikut;
كُلّ شَيْء عُمِلَ عَلَى غَيْر مِثَال سَابِق
Maksudnya;
“Setiap sesuatu yang diamalkan atas ketiadaan missal sebelum ini[4]”
Adapun Imam As-Syatibi menyatakan bidaah adalah seperti berikut;
البدعة طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها ما يقصد بالطريقة الشرعية
Maksudnya;
“Bidaah adalah jalan didalam agama yang direka cipta, menyerupai syariah, diqasadkan melalui jalannya seperti yang diqasadkan kepada jalan syariah[5].
Dari definisi ini, difahami bahawa bidaah yang di sebut didalam perbahasan Islam adalah bidaah yang berkaitan dengan perkara agama.
Ulama-ulama salaf dan khalaf membuat pelbagai perbahasan didalam perkara bidaah, sehinggakan ada dari kalangan mereka telah membuat pembahagian terhadap bidaah tersebut.
PEMBAHAGIAN BIDAAH
Muhammad bin Ahmad bin Muhammad Abdus Salam Khadar As-Syuqairi Al-Hawamidi, Pengasas Persatuan salafiyyah di negeri Hawamidiyyah, semenanjung Giza, Mesir telah menyatakan didalam kitabnya yang bernama “As-Sunan Wa Al-Mubtadi’at” bahawa bidaah itu terbahagi kepada dua, iaitu bidaah yang berbentuk keagamaan dan berbentuk keduniaan.
Bidaah yang berbentuk keduniaan adalah perkara yang berkaitan dengan maslahat kehidupan, seperti menaiki kereta, motosikal dan sebagainya.
Bidaah sebegini diizikan oleh syarak untuk di amalkan, selama tidak mendatangkan mudharat.
Firman Allah;
وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya;
“perbuatlah kebaikkan, supaya kamu mendapat kemenangan.”
(Surah Al-Haj : 77)
Sabda Nabi SAW;
من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها
Maksudnya;
“Barangsiapa yang menjalani didalam Islam akan jalan yang baik, maka baginya pahala[6]”
Adapun Bidaah di dalam perkara keagamaan itu terbahagi pula kepada empat, iaitu[7];
(a) Bidaah mukaffarah (yang menjadikan pembuatnya menjadi kafir), seperti menyeru dengan nama yang lain dari Allah didalam berdoa.
(b) Bidaah muharramah (bidaah yang menjadikan pembuatnya menjadi berdosa), seperti menjadikan kubur sebagai masjid, sembelih dengan nama yang lain daripada nama Allah dan sebagainya.
(c) Bidaah mahruhah tahriman (bidaah yang makruh yang lebih cenderung kepada haram), seperti solat zohor selepas dari solat jumaat dan sebagainya.
(d) Bidaah makruhah tanzihan (bidaah yang makruh yang lebih cenderung kepada harus), seperti doa awal dan akhir tahun, bersalaman selepas dari solat dan sebagainya.
Daripada perbahasan inilah, Muhammad bin Ahmad al-Hawamidi menyatakan, inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata Imam As-Syafii;
البدعة بدعتان بدعة محمودة وبدعة مذمومة فما وافق السنة فهو محمود وما خالف السنة فهو مذموم
Maksudnya;
“Bidaah itu ada dua bidaah, iaitu bidaah yang di puji dan bidaah yang di keji. Sesuatu yang menyamai sunnah, maka ia adalah bidaah yang di puji, dan yang menyalahi sunnah, maka ia adalah bidaah yang di keji[8]”
Iaitu, bidaah yang dipuji adalah bidaah yang berkaitan dengan perkara keduniaan. Adapun bidaah yang berkaitan dengan perkara keagamaan, ianya di bawah ketagori bidaah yang dikeji.
6. MEMBAYAR HUTANG UMAT ADALAH KHUSUSIYAT NABI
Hadis ini menjadi dalil bahawa, membayar hutang umat adalah salah satu dari khususiyyat Rasulullah SAW.
Walaubagaimanapun, membayar hutang umat ketika dia mati adalah di khususkan berlaku di zaman Rasulullah SAW serta di sanggupi oleh Nabi SAW.
Adapun hutang umat di zaman yang lain dari zaman Rasulullah SAW, maka membayar hutang itu dipertanggungkan kepada Rasulullah SAW.
Sekiranya Bait Al-Mal mempunyai wang yang terlalu banyak, maka di benarkan kepada Bait Al-Mal membayar hutang umat yang mati, tetapi hendaklah membayar hutang tersebut menjadi kepentingan utama dari perkara yang lain[9].
Maksudnya, sekiranya wang bait Al-Mal tersebut lebih memerlukan kepada penggunaan yang lain, maka ketika itu, tidak boleh di gunakan wang bait al-mal untuk membayar hutang umat yang berhutang.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1] Sahih Muslim : 4/359 : hadis no : 1435.
[2] Semua fakta ini boleh di rujuk didalam kitab “taqrib At-Tahzib : 1/136”
[3] sair ‘Alam An-Nubala’ : 3/189-194
[4] Syarah An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim : 3/247
[5] Al-I’tisam : hlmn 12.
[6] Sahih Muslim : 2/705. hadis no : 1017.
[7] As-Sunan Wa Al-Mubtadiat : hlmn 11-12.
[8] As-Sunan wa Al-mubtadiat : hlmn 13
[9] Syarh An-nawawi ‘Ala Sahih Muslim : 3/247.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
[Nota: Ulang terbit ulasan saya terhadap artikel Sdr bertajuk "Serangan Nabawi Terhadap Sekatan Media", 16 Mei 2007]
Aduhai Tuan, cetek sangatlah cara pandang seumpama ini. Tidak nampak macam "baca buku", lebih Fantasia tuan ini kelihatannya!
Menulis, bercakap macam orang tidak pernah sekolah! Aduhai Tuan. Persoalan ini besar, luas dan dalam. Jika tuan menulis begini, tidak ubahlah mereka yang asyik dan khayal dengan AF itu, tuan!
Aduhai Tuan, rujukan tuan itu sendiri menunjukkan tuan tidak membaca, atau tidak banyak rujukan yang bagus.
Tuan, persoalan ini persoalan media, persoalan komunikasi, Tuan. Satu buku pun tuan tidak rujuk.
Tuan, persoalan AF ini persoalan budaya pop dan hiburan pop. Satu buku atau artikel atau analisa yang baik pun tuan terlupa rujuk!
Tuan, kalau beginilah nasib kita, tuan menyalahgunakan media bukan untuk berdakwah tetapi melemahkan fikiran pembaca.
Tuan, besarlah kiranya tanggungjawab Tuan itu (dan juga saya) dalam persoalan ini.
Aduhai Tuan, maaflah hamba berkata-kata. Tolonglah baca semula artikel tuan ini, macammm selepas menonton hiburan!
faomar@yahoo.com
terima kasih atas komentar.
tetapi, komentar anta ini menampakkan anta tidak berfikiran "profesional", tetapi lebih berfikiran "hiburan".
tulisan ana ini sekadar pandangan peribadi, inilah fikrah ana.
tulisan ana ini lebih melihat kepada kesan kuasa media, bukan isu hiburan yang dikemukakan...
hiburan boleh menguasai pemikiran manusia adalah disebabkan kuasa media.
maka begitjugalah dalam perkara yang berkaitan dengan dakwah dan kempen membaca yang dicanang oleh kerajaan.
ingat !! tulisan ana ini bukan memfokuskan kepada hiburan, tetapi kuasa media yang menyebabkan masyarakat terlalu "sayang" kepada hiburan berbanding dengan lainnya.
sekian
Post a Comment