Monday, June 18, 2007

KUASA YANG TERBATAS ADALAH PUNCA KEGAGALAN KEPIMPINAN AGAMA

KUASA YANG TERBATAS ADALAH PUNCA KEGAGALAN KEPIMPINAN AGAMA

Islam yang digambarkan ganas oleh golongan musuh telah ramai dari kalangan penganut Islam mengakuinya, sedangkan semua gambaran yang diberikan itu merupakan provokasi musuh bagi merosakan pandangan penganut luar terhadap Islam.

Disebalik gambaran buruk itu, ramai dari kalangan orang barat mula mengkaji Islam dan mereka menerima Islam sebagai satu agama anutan. Tetapi, menyedihkan dikala golongan barat menerima Islam, tetapi golongan muslim pula yang meragui Islam.

Kejadian sebegini kemungkinan satu cara dari Allah untuk menggantikan kaum yang lebih baik, disebabkan kaum muslim sekarang sudah tidak mahu mengambil tahu terhadap pengamalan Islam, disamping kezaliman yang sudah berleluasa berlaku dikalangan mereka.

Firman Allah;

وَكَمْ قَصَمْنَا مِنْ قَرْيَةٍ كَانَتْ ظَالِمَةً وَأَنْشَأْنَا بَعْدَهَا قَوْمًا آَخَرِينَ

Maksudnya;
“dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri Yang melakukan kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum Yang lain sebagai gantinya”

(Surah al-anbiya’ : 11)

MUSUH YANG “TIDAK TIDUR”

Pihak musuh Islam telah dan sedang berusaha kearah menghapuskan segala pengamalan Islam dari semua sudut kehidupan. Mereka telah berjaya menjatuhkan kepimpinan islam melalui serangan pemikiran (Ghuzwah al-fikri) dengan menimbulkan pelbagai keraguan-keraguan terhadap Islam dan Umat Islam.

Mereka melihat, kekuatan umat Islam adalah berpuncakan aqidah yang kuat. maka dengan itu, mereka telah berusaha kearah penghapusan fahaman aqidah yang betul. Akhirnya, umat Islam hanya berkepakaran dalam bidang aqidah dari sudut perbahasan ilmiyyah, tetapi amat sesat dari sudut pengamalan dari kandungan aqidah Islamiyyah sebenar.

Selanjutnya, lahir ramai golongan agamawan yang berjaya melakukan perbahasan ilmiyyah yang memeningkan masyakarat awam, seperti menimbulkan perdebatan berkenaan aqidah asyairah, maturidiyyah, salafiyyah dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, tindakan dan pemikiran mereka sendiri menggambarkan bahawa mereka membawa masyarakat kearah pemahaman aqidah yang menyeleweng.

Disebalik kelahiran golongan agamawan sebegini, Musuh telah mengambil kesempatan dan berjaya menghancurkan Islam. Ianya dimulai dari kejatuhan pemerintahan Islam dan mereka sedang berusaha kearah untuk melenyapkan kekuatan umat Islam dalam penunaian solat.

Usaha kearah penghapusan sistem pemerintahan dan kekuatan menunaikan solat dikalangan umat Islam pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW;

لتنتقض عرى الإسلام عروة عروة فكلما انتقضت عروة تشبثت بالتي تليها وأول نقضها الحكم وآخرها الصلاة

Maksudnya;
“Pasti akan terungkai ikatan Islam, ikatan demi ikatan. Ketika terungkai satu ikatan, nescaya akan terungkai juga lanjutannya. perkara utama yang terungkai adalah pemerintahan dan akhirnya adalah solat[1]

Musuh-musuh Islam melihat bahawa Islam akan berjaya dijatuhkan dengan membina kelemahan umat Islam. Solat merupakan benteng terakhir dalam menentukan kekuatan atau kelemahan umat Islam.

KUASA PEMERINTAHAN ADALAH SUMBER KEKUATAN

Kuasa pemerintahan Islam telah dinafikan haknya. Penafian ini bermula dari kelemahan umat Islam yang memerintah. Antara punca kelemahan umat Islam yang memerintah ketika itu adalah bermula dari kemewahan, kekayaan, perempuan dan sebagainya.

Akhirnya, dengan kelemahan umat Islam, disamping serangan bertubi-tubi dari pihak musuh, menyebabkan umat Islam yang pernah memegang kekuatan pemerintahan lebih dari 1/3 dunia telah berjaya dikalahkan oleh musuh dengan mudahnya.

Bermula dari hilangnya kuasa pemerintahan itulah, berbagai-bagai penghinaan dan kerosakan yang telah menimpa umat Islam. Lihatlah, berbagai-bagai gejala social, gejala ekonomi, rasuah dan sebagainya, semuanya dijuarai oleh orang-orang yang mendakwa beragama Islam.

Dari hadis yang lepas, jelas menyatakan bahawa, kejatuhan pemerintahan adalah punca rungkaian kesemua ikatan islam, yang ianya akan berakhir dengan solat.

Maka dengan itulah, berusaha kearah pemerintahan islam (bukan islam Hadhari) merupakan tindakan yang wajib, bagi melihat kejayaan dalam semua segi kehidupan. Jika tidak, nescaya kejayaan yang diharapkan sekadar khayalan yang melahirkan “mimpi di siang hari” sahaja.

PENJENAMAAN : STRATEGI MUSUH MELEMAHKAN ISLAM

Musuh-musuh islam tidak akan senyap dari mencari kelemahan umat Islam. Pelbagai cara yang telah dilakukan oleh pihak musuh Islam untuk menghancurkan islam di dunia ini. Tindakan mereka itu kebanyakannya menghasilkan kejayaan yang cemerlang dan gemilang.

As-Syaikh Anwar Jundi didalam bukunya yang bertajuk “Itor Al-Islami fi Fikr Al-muasir” didalam fasal ke enam yang bertajuk “Al-Islam Al-Hadhari wa As-Saqafi la yakfi” menyatakan bahawa, Lois IX didalam dokumennya menyatakan bahawa antara cara serangan terhadap islam secara berkesan adalah dengan “serangan perkataan” (penjenamaan)[2].

Sememangnya tidak dinafikan bahawa manusia, terutamanya umat Islam mudah terpengaruh dengan penjenamaan ini. Lihatlah bagaimana kesilapan Adam dan hawa yang termakan buah larangan yang telah dijenamakan oleh Iblis sebagai buah khuldi (buah yang kekal di syurga apabila dimakan), sedangkan menurut nama sebenar buah tersebut adalah buah “al-karam[3]

Kaedah yang sama juga telah dilakukan oleh musuh-musuh Islam dengan menimbulkan pelbagai tindakan melalui “serangan perkataan” ini. Tidak ketinggalan juga dalam usaha ini adalah UMNO/BN yang telah melahirkan penjenamaan yang bernama Islam Hadhari di Negara ini.

Apa yang menyedihkan adalah, golongan agamawan sendiri telah terjerumus kepada keadaan ini. Mereka menimbulkan perdebatan berkenaan dengan aliran mereka, sedangkan mereka masih lagi berada di bawah kepompong musuh Islam.

Mereka menimbulkan perdebatan isu-isu yang dikhilafi oleh ulama, sedangkan perkara yang disepakati oleh ulama sering diketepikan oleh mereka.

Mereka suka berdebat isu 20 rakaat atau 8 rakaat dalam solat tarawih, tetapi mereka tidak pernah terlintas hendak berbincang isu orang islam yang tidak solat. Mereka suka berbincang berkenaan kebidaahan membaca al-quran kepada si mati, tanpa mereka terlintas difikiran untuk berbincang kemunduran umat Islam terhadap pemahaman Al-Quran.

Perbincangan mereka ini sering di jenamakan sebagai “salafi” atau “ittiba’ As-Sunnah”, sedangkan tindakan mereka bersama dengan kezaliman pemerintah tidak menggambarkan mereka adalah salafi atau ittiba’ as-sunnah.

Apa yang memelikan lagi adalah, mereka sering mengkondem golongan yang berusaha kearah mendaulatkan Islam, tetapi dalam masa yang sama, mereka agak “bersaudara” dengan golongan yang melawan usaha mendaulatkan islam.

PENUTUP

Kuasa adalah kepentingan dalam melihat kejayaan. Tindakan Nabi SAW mencari kuasa pemerintahan di Madinah, yang dengannya berjaya melebarkan pengaruh Islam serata dunia adalah bukti bahawa kejayaan Islam terletak kepada kuasa pemerintahan.

Wilayah tafwidh iaitu golongan yang diberikan kuasa oleh khalifah untuk mentadbir urusan-urusan negara mengikut pandangannya serta melaksanakan sesuatu perkara berpandukan kepada ijtihadnya[4] merupakan kuasa yang perlu direbut dari pihak pemerintah. Tanpanya, matlamat kejayaan tidak akan tercapai.

Maka dengan itu, sekadar mendapat kuasa wilayah tanfiz[5], seperti mereka yang berjawat jawatan Ketua Polis Negara, Mufti, qadi dan sebagainya tidak memadai untuk mendapat kejayaan dalam mendaulatkan islam, tetapi kejayaannya akan terhasil dengan mendapat kuasa pemerintahan yang merupakan kuasa wilayah tafwidh.

Sekian

Wallahu ‘Alam

http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e – mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 4/104 : Hadis no : 7022.
[2] Itor Al-Islami fi Fikr Al-Muasir : m/s 422-429.
[3] Tafsir Ibni Kathir : 1/80. sebahagian ulama menyatakan, nama buah tersebut adalah Sunbulah. Ada yang kata, Al-Bur. Ada kata Az-Zaitunah. Dan berbagai lagi .
[4] Al-Ahkam As-Sulaniyyah : 1/23
[5] Wizarah al-Tanfiz: golongan yang memegang portfolio ini hanyalah mempunyai kuasa untuk melaksanakan segala arahan khalifah dan kerajaan sahaja. Ia tidak memiliki sebarang kuasa pentadbiran yang boleh mentadbir berdasarkan budi bicara sendiri seperti Wazir ini hanya berperanan sebagai perantaraan di antara khalifah dan rakyat yang mewartakan perintah kerajaan kepada rakyat dan menyampaikan pula kehendak rakyat kepada kerajaan. (Al-Ahkam As-Sultaniyyah : 1/30)

No comments: