Friday, June 15, 2007

SAH SOLAT BERIMAMKAN MAZHAB LAIN

Sah solat berimamkan mazhab lain

oleh : MOHD. FARID RAVI ABDULLAH

SOALANSaya memeluk Islam sejak Disember 1996. Soalan saya ialah tentang solat subuh, di mana di kawasan tempat saya tinggal terdapat dua surau. Surau yang berhampiran dengan rumah saya jaraknya lebih kurang 100 meter. Imamnya bermazhab Hanafi dan surau yang lagi satu imamnya bermazhab Syafie yang jaraknya dalam 300 meter dari rumah saya. Untuk pengetahuan ustaz, saya bermazhab Syafie.
Bolehkah saya selalu berjemaah di surau yang berhampiran tanpa qunut kerana imamnya tidak membaca qunut, dan sekali -sekala saya berjemaah solat Subuh juga di surau satu lagi yang ada qunut itu pun kalau sempat kerana saya berjalan kaki untuk ke sana?
JAWAPAN
Pertamanya, tahniah kerana saudara kembali kepada agama fitrah, agama yang sah di sisi pencipta, tiada pencipta melainkan dia. Keempat-empat mazhab yang dikenali umum iaitu mazhab al-Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali adalah mazhab yang muktabar. Solat seorang yang bermazhab Syafie di belakang imam yang bermazhab Hanafi adalah sah.
Solat saudara sah walaupun saudara bermazhab Syafie solat berimamkan imam mazhab Hanafi yang tidak membaca qunut. Imam itu adalah untuk diikuti, jadi bila imam bermazhab Hanafi dan tidak membaca qunut sedang orang bermazhab Syafie menjadi makmumnya maka solat itu tetap sah.
Tanggapan solat tidak sah kerana tidak membaca qunut tidak betul. Ini kerana tidak ada mazhab yang mewajibkannya. Dalam mazhab Syafie sekalipun membaca qunut tidak diwajibkan kerana membaca qunut adalah sunat yang dituntut.
Sekiranya orang yang bermazhab Syafie menunaikan solat subuh lalu dia lupa untuk membaca qunut, lalu dia sedar dalam solat maka adalah dituntut sujud sahwi, jika sujud sahwi juga tertinggal solatnya tetap sah.
Seperkara yang ustaz kongsikan ialah sikap toleransi dan keterbukaan imam al-Syafie ketika mengunjungi kota Kufah, tempat berkembangnya mazhab Hanafi. Diriwayatkan bahawa imam al-Syafie telah mengimamkan solat subuh dan beliau tidak membaca qunut.
Apabila selesai solat makmum yang bermazhab Hanafi bertanya: Bukankah tuan telah menuntut supaya dalam solat subuh dibaca qunut dan orang yang tertinggal pula tuan meminta sujud sahwi? Kami dapati tuan bukan sahaja meninggalkan qunut malahan tuan juga tidak sujud sahwi?.
Lalu imam al-Syafie sambil menunjukkan makam imam Abu Hanifah dengan ibu jarinya menjawab: Adakah patut aku menyanggahi beliau sedang beliau berada di hadapan ku?
Melalui peristiwa ini banyak perkara yang boleh kita pelajari sebagai seorang muslim di dalam menunaikan perintah Allah terutamanya ibadat solat.
Lihat sahaja betapa hormatnya imam al-Syafie kepada imam Abu Hanifah. Perkara yang kedua imam al-Syafie menghormati pandangan dan pendirian imam Abu Hanifah dalam masalah membaca qunut dalam solat Subuh.
Maksudnya apabila kita berada di tempat orang yang bermazhab Hanafi maka kita menghormati mazhab mereka dan solat di belakang imam mereka, dan begitulah seterusnya.
Ada di kalangan ulama yang berpendapat bahawa adalah lebih afdal orang bermazhab al-Syafie menjadi makmum kepada imam yang bermazhab al-Syafie dan sebaliknya bagi orang yang bermazhab yang lain.
Dr. Wahbah al-Zuhaili berpendapat, sah solat di belakang imam yang berselisih dalam masalah furuk fikah. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm:181 ).

No comments: