Sunday, July 22, 2007

NEGARA ISLAM MALAYSIA : SEKEJAP SEKULAR, SEKEJAP ISLAM?

NEGARA ISLAM MALAYSIA : SEKEJAP SEKULAR, SEKEJAP ISLAM?

Satu hadis, yang disyarahkan oleh Imam An-Nawawi dalam kitab syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim, dibawah tajuk “Al-His ‘Ala Mubadarah bil A’mal Qabla Tazahur al-fitan”[1]. Menurut Ibnu hibban[2], hadis ini daripada Abu Musa Al-As’ari, yang mana Rasulullah SAW bersabda;

بادروا بالاعمال فتنا كقطع الليل المظلم يصبح الرجل مؤمنا ويمسى كافرا أو يمسى مؤمنا ويصبح كافرا يبيع دينه بعرض من الدنيا

Maksudnya;
“bersegeralah kamu dengan amalan-amalan (soleh), akan timpa kepada kamu fitnah seperti potongan malam yang gelap, berpagi-pagi lelaki menjadi mukmin dan petangnya menjadi kafir atau berpetang-petangnya menjadi mukmin dan paginya menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan habuan dunia”

Hadis ini menjelaskan kepada kita tentang golongan yang dikatakan sebagai mempermain-mainkan agama. Keadaan mempermain-mainkan agama yang dilakukan oleh mereka adalah bersebab mereka mahu mencari habuan dunia sehinggakan mereka sanggup tidak menyatakan kebenaran, sedangkan mereka wajib menyatakannya.

Keadaan yang sama juga telah menimpa kepada sebilangan “ulama-ulama” di Negara ini. Disebabkan mereka membisu dari menyatakan kebenaran, maka kesesatan demi kesesatan telah menimpa umat Islam.

Kelahiran “ulama-ulama periuk nasi” ini telah menyebabkan sebilangan besar dari kalangan umat Islam telah menjadi sesat dan jauh dari petunjuk ilahi.

MASYARAKAT YANG SEMAKIN ROSAK

Punca kerosakan sesuatu masyarakat adalah bermula dari ketidak wujudnya pemerintahan Islam. Apabila binasanya pemerintahan Islam, maka seluruh masyarakat akan ditimpa berbagai-bagai kehancuran demi kehancuran sehinggakan sampai satu tahap, masyarakat akan menganggap solat yang merupakan tiang agama adalah satu perkara yang remeh.

Perkara ini telah dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ummah Al-Bahili dengan katanya, bersabda Nabi SAW;

لتنقض عرى الإسلام عروة عروة كلما انتقضت عروة تثبت الناس بالتي تليها منهن فأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة

Maksudnya;
“akan terungkai ikatan islam satu persatu, ketika terungkainya satu ikatan, nescaya manusia akan mengikuti yang selanjutnya. Perkara yang mula-mula terungkai adalah pemerintahan dan akhirnya yang terungkai adalah solat[3]

Jika diperhatikan keadaan masyarakat Islam di Negara ini, dapat dilihat bagaimana solat yang menjadi perkara penting dalam agama telah dianggap remeh oleh kebanyakan umat Islam.

Mereka bukan sekadar tidak menunaikan solat, tetapi mereka sudah berani menzahirkan kepada masyarakat bahawa mereka tidak menunaikan solat. Dikala solat jumaat di tunaikan, tanpa segan dan silu, mereka tidak menunaikan solat dengan menghadirkan diri di pusat berbeli belah, kedai-kedai makan dan sebagainya, walaupun ketika itu, kewajipan jumaat pada dirinya tidak dapat di elakkan lagi.

Melihat keadaan masyarakat yang semakin parah ini, difahami bahawa, semuanya berpunca dari luputnya pemerintahan Islam, yang ianya adalah berdasarkan keterangan wahyu Ilahi melalui hadis Nabi SAW.

MALAYSIA NEGARA ISLAM?

Malaysia adalah antara Negara-negara umat Islam yang tidak ketinggalan menghadapi masalah penyakit social yang kritikal. Kewujudan insane-insan Muslim yang berbangga tidak menunaikan solat juga wujud di Malaysia.

Ekoran dari itu, jika diperhatikan kandungan hadis yang lalu, disamping melihat reality yang berlaku di Malaysia, difahami bahawa, Malaysia bukanlah Negara Islam seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Yang lebih memelikkan lagi, apabila dakwaan dari orang no 2 malaysia yang mendakwa bahawa Negara ini adalah Negara Islam berdasarkan definisinya tersendiri[4].

Persoalannya, apakah definisi Negara islam Malaysia? Sedangkan dalam kaedah penetapan definisi, hendaklah ianya bersifat “jami’ dan Mani’” atau “konprohensif”.

Definisi Negara Islam juga hendaklah merujuk kepada prinsip, cara dan perlaksanaan pemerintahan Negara mengikut ajaran Nabi SAW. Walaubagaimanapun, perbahasan dalam menentukan Malaysia ini sebagai Negara Islam atau tidak, hendaklah diperhatikan kandungan perlembagaan Malaysia.

PERLEMBAGAAN MALAYSIA ADALAH ISLAM?

Ada sebilangan ahli ilmuan[5] di Negara ini, begitujuga mufti Kerajaan Negeri Perlis[6] beranggapan bahawa perlembagaan Malaysia adalah islam. Anggapan mereka itu adalah dengan alasan, penentuan perlembagaan Malaysia ini adalah Islam atau tidak adalah tertakluk kepada tafsiran dari Hakim.

Mufti Perlis juga menyatakan, isu Lina Joy, hakim dalam kes tersebut telah mengkalahkan Lina Joy dengan menyatakan bahawa islam yang terkandung dalam perlembagaan bukan sahaja berkaitan dengan peribadatan sahaja, bahkan ianya terkandung perkara yang lebih luas dari itu, iaitu akidah, ekonomi, undang-undang dan sebagainya.

Ekoran dari itulah, berdasarkan tafsiran hakim tersebut berkenaan maksud Islam dalam perlembagaan Malaysia, maka terus Mufti Perlis menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara islam.

SEKEJAP SEKULAR, SEKEJAP ISLAM

Jika dilihat dari sudut sejarah pembentukan perlembagaan Malaysia, didapati bahawa, perlembagaan ini tidak layak dikatakan sebagai perlembagaan Islam. (untuk mengetahui sejarah pembentukannya, sila rujuk tulisan lalu - http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/2006/06/sekularkah-perlembagaan-malaysia.html).

Begitujuga, jika diperhatikan kepada kes pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai ketua hakim Negara, yang mana pemecatan tersebut, antaranya bersebabkan usaha Tun Salleh Abbas dalam menyelamatkan Aqidah seorang kanak-kanak cina yang telah memeluk Islam yang bernama Teoh Eng Huat yang ketika itu umurnya tidak sampai 18 tahun. Tun Salleh telah melakukan penangguhan perbicaraaan Kesnya sehinggalah kanak-kanak itu menjangkau umur 18 tahun, yang akhirnya, kanak-kanak itu menang dan kekal sebagai orang Islam.[7]

Diperhatikan kepada kejadian ini, didapati bahawa tafsiran Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan Malaysia bukanlah bermaksud Islam adalah agama yang memerintah.

Golongan yang menyatakan bahawa perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan secular bukanlah Tun Salleh Abbas sahaja, bahkan disana ramai tokoh-tokoh yang menyatakan demikian, seperti Tunku Abdul Rahman putra iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Perdana Menteri kedua dan ketiga juga mengisyitiharkan Perlembagaan Persekutuan ini adalah sekular.

Begitujuga, ramai dari tokoh-tokoh undang-undang Negara yang menyatakan bahawa perlembagaan persekutuan adalah sekular, antaranya adalah, Al-Marhum Tun Sufian dan Al-marhum Tan Sri Hashim Yop A. Sani[8]

Tetapi kini, apabila hakim yang membawa kes Lina Joy mentafsirkan makna Islam dalam perlembagaan sebagai agama yang berkaitan dengan semua sudut kehidupan, maka terus mereka menyatakan bahawa perlembagaan Malaysia adalah Islam dan seterusnya mendakwa Malaysia sebagai Negara islam.

APAKAH MAKSUD ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN SEKADAR TAFSIRAN?

Negara islam yang mula-mula sekali ditubuhkan di atas muka bumi ini adalah Negara Islam Madinah yang telah ditubuhkan oleh Rasulullah SAW. Dalam penubuhan Negara Islam Madinah, Rasulullah SAW telah berjaya menubuhkan sebuah piagam madinah, yang isi kandungan prinsip dan cirri-cirinya bersifat muhkam atau tidak tertakluk kepada mana-mana tafsiran. Kandungannya adalah;

انكم مهما اختلفتم فيه من شيء فان مرده الى الله عز و جل والى محمد – صلى الله عليه و سلم

Maksudnya;
“Sesungguhnya kamu, apabila kamu berbeza-beza padanya daripada sesuatu perkara, maka sesungguhnya, tempat kembalinya adalah kepada Allah dan kepada Muhammad s.a.w”[9]

Ini menyalahi dengan kandungan perlembagaan Malaysia, yang kandungan Islam dalam perlembagaan tersebut lebih tertakluk kepada tafsiran si Hakim.

Jika di awal pembentukkan perlembagaan Persekutuan, Tunku Abdul Rahman sendiri mengakui bahawa maksud Islam dalam perlembagaan persekutuan tidak menjangkau maksud Malaysia sebagai Negara secular, tetapi kini, dengan tafsiran beberapa hakim, maka Malaysia diisytiharkan pula sebagai Negara Islam.

Ini menandakan bahawa, penentuan Malaysia sebagai Negara Islam lebih tertakluk kepada tafsiran si Hakim. Maka dengan demikian, penentuan islam tersebut menyalahi cara penentuan Negara Islam yang telah dibina oleh Rasulullah SAW.

PENUTUP

Jika dulu, Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara secular, begitujuga kenyataan dari beberapa orang tokoh undang-undang terdahulu yang mengatakan demikian, tetapi kini Negara ini telah diisytiharkan sebagai Negara Islam disebabkan tafsiran Islam dalam perlembagaan yang dilakukan oleh Hakim.

Jika ini berlaku, tidak mustahil, akan datang Malaysia akan menjadi Negara secular semula di kala hakim ketika itu menafsirkan Islam dalam perlembagaan tidak menjangkau maksud Malaysia sebagai Negara secular.

Sekejap Islam, sekejap secular, apakah ini tidak dikira sebagai bermain-main dan memperolok-olokkan islam? ingatlah, semua ini permainan golongan munafiq yang digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah Al-Baqarah dari ayat 8 hingga ayat 20.

Sekian

Wallahu ‘Alam

http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim : 2/133. hadis no : 18.
[2] Sahih Ibni Hibban : 13/297 : hadis no : 5962.
[3] Sya’b Al-Iman : 4/326 : hadis no : 5277.
[4]http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0718&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_06.htm&arc=hive
[5] Kertas kerja : mahkamah syariah : kedudukannya disisi Perlembagaan : m/s 2.
[6] http://www.youtube.com/watch?v=vFHYUhaL_DM
[7] Kontroversil Kes Tun Salleh : m/s 54
[8] Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari : m/s 39
[9] Al-Bidayah Wa An-Nihayah : 3/232

8 comments:

Admin said...

Assalamualaikum wbt..membaca dan meneliti.Good posting

mfrstudio said...

assalamualaikum.. tolong senaraikan negara islam dgn ciri yg tepat menurut kaca mata ulama sbg negara islam di dunia ini pd zaman sekarang.

adakah arab saudi?
pakistan?
iran?
syria?
mesir?
atau turki?
(afghanistan?)??

Syaikh Al-Bakistani said...

sekarang ni, mana ada negara Islam.....

mfrstudio said...

ok.. terima kasih

atay said...

Apa pendirian PAS sebenar? Sekular atau atau islam?

Syaikh Al-Bakistani said...

tulisan ini adalah pandangan peribadi saya....

pandangan PAS, boleh dirujuk kepada pandangan-pandangan kepimpinan Utama PAS....

sila rujuk harakah keluaran baru...

AFRAR YUNUS said...

salam sdra
unjuran kefahaman yg baik.
du'a-e he ki aap aur hame bhi Allah taala barkat de.

pejuang kebenaran said...

Maknanya semua negara kafirlah baguslah pandangan anta.Boleh ganti ulamak antara bangsa gantikan Dr Yusor Al Qardawi.PAS perlu mengambil tindakan orang2 penipu seperti ini.