Saturday, March 31, 2007

AT-TASAMUH DENGAN WAHABI, AT-TAHALUF DENGAN SYIAH

AT-TASAMUH DENGAN WAHABI, AT-TAHALUF DENGAN SYIAH:
MANAKAH YANG PERLU DIUTAMAKAN?

Membaca tulisan saudara Reformasimuda yang menulis satu article yang bertajuk “salahkan kalau saya menyokong Al-Arqam mahupun Syiah” baru-baru ini, diri ini terpanggil untuk menulis satu tulisan yang perlu di lontarkan kepada masyarakat Islam bagi mencari titik pertemuan yang perlu dilakukan bagi melihat kejayaan islam di dunia Islam, khususnya di Negara ini.

Mengikut tulisan Reformasi muda tersebut, didapati dia mengambil sikap menghentam golongan yang didakwa sebagai wahabi, tetapi agak menyokong tindakan dari kelompok yang dinamakan sebagai Al-Arqam dan Syiah.

WAHABI

Mengikut pendefinisian terhadap wahabi, pelbagai respon dari berbagai-bagai kelompok manusia tentangnya. Antara definisi Wahabi mengikut dakwaan manusia adalah seperti berikut;

a. Wahabi adalah satu kelompok manusia yang taassub dan “Ghuluw” kepada Muhammad Abdul Wahab, adapun mereka yang mengikut pendapat Muhammad Abdul Wahab tanpa “ghuluw”, tidak dikira sebagai wahabi.
b. Wahabi juga diberikan kepada kelompok manusia yang membawa panji-panji gerakan Muhammad Abdul Wahab.
c. Wahabi adalah golongan yang mengikut jejak langkah Muhammad Abdul Wahab yang telah sanggup menjadi “Barua” kepada penjajah.
d. Wahabi adalah kelompok manusia yang mudah membidaahkan.

Melihat kepada kepelbagaian definisi ini, aku merasakan, sebelum sikap kita menyerang gerakan wahabi ini, sesuatu perbahasan yang perlu di perhatikan terlebih dahulu.

Setelah dihayati, didapati bahawa serangan yang kebiasaan dilakukan terhadap gerakkan wahabi, bukanlah kepada kesalahan mereka didalam mengistinbatkan aqidah dan syariah. Ini kerana, jika dilihat kepada jalan usaha gerakan beliau, gerakan tersebut adalah sebagai penerus kepada dakwah yang didokong oleh Ibnu Taimiyyah[1].

Maka dengan demikian, perbahasan aqidah dan syariah dalam gerakan Wahabi ini, mempunyai kesamaan dengan ulasan yang didapati didalam aqidah dan syariah mengikut perbahasan manhaj Ibnu Taimiyyah.

Asas perjuangan mereka adalah seperti perjuangan yang di dokong oleh Hanabillah, iaitu membawa aqidah yang tidak mahu menta’wilkan ayat-ayat Allah yang mutasyabihat, disertai mereka mensifatkan Allah tanpa disertai dengan tasybih dan tajsim[2].

Adapun dari sudut syariahnya pula, mereka adalah kelompok manusia yang berpegang dengan jalan manusia yang bermazhab Hanbali, tetapi disebalik pegangan mereka itu, mereka tidak mensyaratkan kepada “ketaassuban” kepada mazhab Hanbali yang mereka pegang sendiri.

Melihat kepada perbahasan “Aqidah” dan “Syariah” yang menjadi pegangan Wahabi ini, didapati bahawa, wahabi juga adalah kelompok yang dikatakan sebagai “ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah”. Dakwaan ini telah diakui sendiri oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang didalam bukunya yang bertajuk “lahirnya beberapa firqah dikalangan umat Islam”[3].

Tetapi, yang menjadi perbincangannya adalah masalah “sikap” yang dibawa oleh Muhammad Abdul Wahab dan pengikut-pengikutnya. Iaitu sikap yang menjadi “barua” kepada penjajah dan sebagainya.

Secara fakta, aku tidak dapat memastikan kebenaran dakwaan yang menyatakan bahawa Muhammad Abdul Wahab merupakan barua kepada penjajah, tetapi mengikut pembacaan buku-buku yang di tulis oleh kebanyakkan tulisan menyatakan demikian. Walaubagaimanapun, aku mengambil sikap untuk “tidak membenarkan dan tidak menafikan” tulisan tersebut.

Juga, antara perkara yang sering diperbincangkan adalah berkenaan sikap wahabi yang mudah membidaahkan amalan-amalan yang berbentuk khilafiyyah dan sebagainya.

ISU WAHABI ADALAH SIKAP, BUKAN PERINSIP

Melihat kepada situasi ini, didapati bahawa kesilapan yang perlu di perbetulkan pada wahabi adalah pada sikap, bukan pada perinsipnya.

Ini kerana, secara perinsip, mereka masih lagi berada atas landasan “Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah”. Adapun perbuatan yang menjadi “barua” kepada penjajah, dan mudah membidaahkan amalan-amalan khilafiyyah merupakan isu sikap yang selayaknya dijauhkan dari amalan umat islam.

KELAHIRAN JEMAAH TABDI’ MERUPAKAN BIDAAH YANG TIDAK DISEDARI

Kelahiran satu jemaah yang dinamakan sebagai “Jemaah At-Tabdi’” atau jemaah yang mudah membidaahkan manusia merupakan satu amalan bidaah yang wajib di hindarkan dikalangan umat Islam.

Baginda SAW sendiri tidak pernah membidaahkan sesuatu amalan tanpa bertanyakan dahulu amalan-amalan yang dilakukan oleh para sahabat RA, walaupun amalan tersebut dilakukan sebelum dilakukan oleh Nabi SAW.

Antara hadis bagi menguatkan hujjah ini adalah seperti berikut;

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ نُصَلِّي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ قَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ الْقَائِلُ كَلِمَةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ رَجُلٌ مِنْ الْقَوْمِ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ عَجِبْتُ لَهَا فُتِحَتْ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ : قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَمَا تَرَكْتُهُنَّ مُنْذُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ذَلِكَ

Maksudnya;
“Daripada Ibni Omar berkata; ketika kami menunaikan solat bersama Rasulullah SAW, seorang lelaki berkata; “اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا”, lalu Rasulullah SAW berkata; siapakah yang berkata kalimah begian-begian? Berkata lelaki tersebut; Aku Wahai Rasulullah. Lalu bersabda Nabi SAW; aku merasa megah dengannya, dibukakan pintu langit untuknya (kalimah tersebut). berkata Ibnu Omar, semenjak aku mendengar perkataan Nabi itu, aku tidak pernah meninggalkannya (membacanya didalam solat)[4]

Dari hadis ini, lelaki yang membaca kalimah takbir didalam solat tersebut tidaklah mendengar bacaan Nabi terlebih dahulu, tetapi dia membacanya mendahului perbuatan nabi. Ketika baginda SAW mendengar bacaan lelaki tersebut, Rasulullah tidak mudah membidaahkannya, tetapi baginda bertanya dahulu. ini menandakan bahawa amalan mudah membidaahkan sebelum diselidiki merupakan amalan yang bukan dari Rasulullah SAW.

Dan juga hadis;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ عَطَسَ شَابٌّ مِنْ الْأَنْصَارِ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ حَتَّى يَرْضَى رَبُّنَا وَبَعْدَمَا يَرْضَى مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ فَلَمَّا انْصَرَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ الْقَائِلُ الْكَلِمَةَ قَالَ فَسَكَتَ الشَّابُّ ثُمَّ قَالَ مَنْ الْقَائِلُ الْكَلِمَةَ فَإِنَّهُ لَمْ يَقُلْ بَأْسًا فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا قُلْتُهَا لَمْ أُرِدْ بِهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَ مَا تَنَاهَتْ دُونَ عَرْشِ الرَّحْمَنِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى


Maksudnya;
“daripada Abdillah bin ‘Amir bin Rabiah, daripada bapanya, berkata; seorang pemuda dari ansar telah bersin di belakang nabi SAW, yang ketika itu sedang menunaikan solat. Dia (pemuda ansar) berkata; “الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ حَتَّى يَرْضَى رَبُّنَا وَبَعْدَمَا يَرْضَى مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ”, ketika selesai Nabi Saw dari solat, baginda SAW bertanya; siapakah yang berkata kalimah tadi? Lelaki itu senyap. Kemudian Rasulullah bertanya lagi; siapakah yang berkata kalimah tadi? Sesungguhnya tidak mengapa (tidak menjadi kesalahan) dia mengatakan kalimah tadi. Lalu berkata pemuda ansar; Saya Wahai Rasulullah SAW, sayalah yang berkata kalimah tadi, tetapi saya tidak kehendaki melainkan kebaikan. Bersabda Nabi SAW; tiada sesuatu pun dapat menegah dari kalimah itu sampai ke ‘Arasyh Allah yang maha Rahman[5]

Hadis ini juga mempunyai gambaran yang seakan-akan sama dengan kejadian pada hadis yang pertama, iaitu tindakan nabi yang tidak mudah membidaahkan sesuatu amalan yang di buat tanpa pengetahuan nabi terlebih dahulu, tetapi baginda akan bertanyakan kepada pelaku amalan tersebut terlebih dahulu sebelum menyatakan hukumnya.

Melihat kepada pemahaman dari dua hadis ini, amalan mudah membidaahkan merupakan satu amalan yang tidak selayaknya berlaku dikalangan umat Islam di seluruh dunia.

Jika di perhatikan di Negara ini, jemaah tabdiiyyah ini sudah menular masuk kedalam pemikiran umat Islam di sini. Mereka mudah membidaahkan sesuatu amalan, tanpa mengambil tindakan “usul periksa” yang sehinggakan melahirkan perbalahan dan “masam muka” dikalangan mereka.

Semasa di Mesir, seorang lelaki yang mendakwa seorang “salafi” telah membidaahkan amalan zikir 1000 kali yang diwajibkan; yang telah di anjurkan oleh seorang Syaikh, dengan alasan amalan tersebut tidak pernah diwajibkan oleh nabi SAW. Lalu Syaikh tersebut bertanyakan kepadanya tentang tentang kelebihan antara amalan wajib dan sunnat.

Si “salafi” tersebut menyatakan, jika di bandingkan, amalan wajib itu mengandungi kelebihan berbanding dengan amalan yang sunat.

Syaikh tersebut itu bertanya lagi, apakah hukum zikir yang telah dinazarkan? Si “salafi” tersebut menyatakan bahawa hukum zikir tersebut adalah wajib.

Maka Syaikh tersebut menyatakan, sebab itulah dia mewajibkan kepada murid-muridnya berzikir sebanyak 1000 kali, dan amalan tersebut adalah yang lebih afdhal kerana amalan itu dilakukan oleh muridnya dalam keadaan dinazarkannya.

Mendengar jawapan Syaikh tersebut, si “salafi” tersebut tergamam dan mengakui kesilapannya yang mudah membidaahkan amalan zikir 1000 kali yang dibidaahkannya tadi.

Dari hadis dan pengajaran di sebalik kisah yang dinukilkan ini, tidak selayaknya kelahiran “jemaah At-Tabdi” ini wujud di seluruh dunia Islam, ini kerana, kelahirannya berpunca dari sikap yang mampu memporak perandakan perpaduan umat Islam di mana-mana.

SYIAH

Syiah adalah satu puak yang dikenali di seluruh dunia Islam. Kenalnya dunia Islam kepada syiah adalah selepas dari revolosi iran yang di kepalai oleh seorang bapa revolosi yang merupakan tokoh syiah yang disayangi oleh kebanyakan penganut-penganut syiah, iaitu Ayatullah Khomaini.

Kehebatan yang ada pada Ayatullah Khomaini melawan penjajah adalah sesuatu yang membanggakan, tetapi kehebatan tersebut tidak bermakna aqidah syiah yang menjadi pegangan Ayatullah tersebut berada di pihak yang benar.

Ramai tokoh-tokoh Islam mempertikaikan aqidah ayatollah Khomaini. Antara tokoh ulama yang terkenal di dunia Islam yang mempertikaikan aqidah dan pendirian Ayatullah adalah Said Hawa[6], salah seorang tokoh Ikhwan Muslimin yang berasal dari Syria.

Beliau ada mengarang sebuah kitab yang bertajuk “Al-Khumaini : syuzuz fi Al-‘Aqaid, Syuzuz fi Al-Mawaqif” yang menerangkan tentang aqidah dan pendirian khumaini yang dilihat pelik pada kacamata Al-Quran dan As-Sunnah.

Di dalam buku tersebut, As-Syaikh Said Hawa mendatangkan bukti dakwaan Al-Khumaini yang dirujuk dari kitab karangan Al-Khumaini sendiri yang bertajuk “Al-Hukumah Al-Islamiyyah” dan “kasyf Al-Asrar”.

Antara dakwaan Al-Khumaini yang pelik adalah seperti berikut;

a. Imam mempunyai darjat yang tinggi melebihi malaikat muqarrabin dan nabi yang di utuskan[7].
b. Mendakwa Al-Quran yang ada di tangan umat Islam kini tidak sempurna, ini kerana telah di selewengkan oleh Saidina Osman. Bahkan syiah Imamiyyah (Syiah yang di dokong oleh Ayatullah Khomaini) mengkafirkan kepada manusia yang mengingkari dakwaan ini[8].
c. Mengkafirkan sebahagian besar sahabat-sahabat Nabi SAW melainkan 3 orang sahabat sahaja, iaitu Al-Miqdad bin Al-Aswad, Abu Zar Al-Ghiffari dan Salman Al-Farisi.[9]
d. Khumaini mendakwa perjuangannya adalah untuk penyatuan Umat Islam, tetapi hakikatnya melakukan dakyah kepada fahaman syiah.[10]
e. Dakwaan Khomaini didalam kitabnya “Kasyf Al-Asrar” bahawa Abu Bakar As-Siddiq telah memalsukan hadis.[11] Begitujuga, didalam kitabnya “Al-hukumah Al-Islamiyyah” yang mendakwa bahawa seorang sahabat besar yang bernama Samurah bin Jundab adalah seorang pemalsu hadis[12].
f. Dakwaan “ghuluw’” terhadap Fatimah Az-Zahra’ sehinggakan mendakwa bahawa Fatimah mendapat wahyu selepas kewafatan Rasulullah SAW.[13]

Banyak lagi dakwaan-dakwaan pelik dari Al-Khumaini, yang apabila melihat kepada dakwaan sebegini, memaksudkan bahawa aqidah yang diperjuangkan oleh syiah adalah aqidah yang sesat yang menyesatkan.

Maka dengan itu, tidak hairanlah As-Syaikh Said Hawa, seorang tokoh gerakan Islam di dunia telah mengkritik Al-Khumaini dengan mengarang sebuah kitab khusus atas kritikan tersebut.

Apa yang menggambarkan betapa bimbangnya As-Syaikh Said Hawa atas kesesatan ini, di akhir kitab beliau, beliau menulis satu doa yang ianya adalah seperti berikut;

اللهم إنى أبراء إليك من الخمينى و الخمينية

Maksudnya;
“Ya Allah, Sesungguhnya Aku bebas daripada Al-Khumaini dan Al-Khumainiyyah”[14]

ISU SYIAH ADALAH PERINSIP, BUKAN SIKAP

Melihat kepada ulasan di atas, difahami bahawa isu yang di pertikaikan terhadap syiah, tidaklah seperti isu yang dipertikai terhadap wahabi.

Golongan wahabi, dilihat mempunyai kesalahan dari sudut sikap yang perlu di robah, yang memungkin berlakunya “at-tasamuh” di kalangan wahabi dengan tujuan memenangkan Islam di seluruh dunia.

Tetapi isu yang dipertikaikan terhadap syiah adalah isu aqidah yang merupakan perinsip didalam agama ini. Adapun dari sudut sikap, syiah tidaklah terlalu “terbabas” dari kehendak Islam, ini kerana, didalam dunia kini, iran yang bermazhab syiah telah menjuarai isu untuk melawan amerika (mengikut pandangan kasar). Maka dengan demikian, dari sudut sikap inilah, perlunya Negara-negara umat Islam di dunia mengambil contoh atas keberanian Iran menentang musuh Islam antarabangsa ini.

Walaupunbegitu, tidak semua syiah mempunyai sikap yang boleh ditauladani. Ini kerana, secara faktanya, dunia Islam telah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan kerajaan osmaniyyah di turki pada tahun 1924 adalah berpunca dari syiah juga. Ini di buktikan dengan satu dokumen yang mengandungi kenyataan Aga Khan, seorang pemimpin syiah di India yang menyokong Britain dalam peperangan menyerang kerajaan Turki Osmaniyyah[15].

Justeru itu, tidak semua sikap syiah perlu ditauladani, tetapi ada sikap yang boleh ditauladani dari mereka dan ada sikap yang perlu dibuang dari jiwa umat Islam.

PENUTUP

Dari ulasan ini, secara peribadinya, aku perpendapat bahawa wahabi tidak perlu diserang sangat dalam mencapai kejayaan umat Islam di dunia, tetapi perkara yang perlu dilakukan adalah usaha kearah untuk menyatukan pemikiran dengan mengadakan satu tindakan “at-tasamuh” bersama mereka.

Adapun syiah, melihat kepada aqidah mereka, tindakan yang perlu di ambil adalah dengan mengambil pendekatan “At-tahaluf” yang dipenuhi pemerhatian dan bersikap “hati-hati”, ini kerana dibimbangi mereka melakukan dakyah aqidah mereka di kalangan penyokong dan pendokong sesuatu gerakan islam.


Sekian

P/s : tulisan ini berdasarkan pandangan peribadi penulis sahaja, tidak berkait dengan pandangan mana-mana tokoh dan keputusan gerakan islam didunia.

Wallahu ‘Alam

One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
http://jihad-jalanku.blogspot.com

barangsiapa yang ingin mendalami pengajian fiqh, hadis, tafsir dan aqidah, sila layari http://one-g.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] Lahirnya beberapa firqah di kalangan Umat Islam : m/s 28
[2] Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiyyah : m/s 177.
[3] Lahirnya beberapa firqah dikalangan umat Islam : m/s 29.
[4] Muslim : 3/267 : hadis no : 943 dan At-Tirmizi : 12/17 : hadis no : 3516. Hadis ini sahih mengikut kiraan Albani didalam kitabnya “sahih At-Targhib wa At-Tarhib : 1/125 : 518
[5] Abu Daud : 2/425 : hadis no : 657.
[6] Said Hawa adalah naqib kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa menuntut di Universiti Madinah sekitar tahun akhir 60 an. (jihad dalam politik & persoalan Negara Islam mengikut pandangan Said Hawa : m/s 14)
[7] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 7. As-Syaikh Said Hawa menukilkan dari kitab “Al-Hukumah Al-Islamiyyah” karangan Al-Khumaini : m/s 52.
[8] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 9.
[9] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 13.
[10] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 14.
[11] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 11. As-Syaikh Said Hawa menukilkan dari kitab “Kasyf Al-Asrar” karangan Al-Khumaini : m/s 112
[12] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 12. As-Syaikh Said Hawa menukilkan dari kitab “Al-hukumah Al-Islamiyyah” karangan Al-Khumaini : m/s 71
[13] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 21.
[14] Al-Khumaini : syuzuz fi Al-Aqaid, Syuzuz Fi Al-Mawaqif : m/s 31.
[15] Tok Janggut : pejuang atau penderhaka? : m/s 108

5 comments:

Ibnu_Ismail said...

Assalamu'alaikum.
Ustaz, saya kadang2 keliru juga. Baca tulisan faisal tehrani, makin keliru saya.Bukan keliru untuk jadi syi'ah. tetapi keliru, adakah boleh kita menerima syi'ah sebagai islam?

tulisan terbarunya bertajuk, "Maghribi Latih, Lahirkan Ulama Wanita Untuk Memerangi Wahabi" dan "Satu Agama Yes, Satu Mazhab No " semakin mengelirukan saya. Sunni iktiraf syi'ah sebagai Islam ke ustaz?

mfrstudio said...

astaghfirullah al adzim..

saya tak sangka sampai begini sekali pemikiran org muda seperti kamu ibnu ismail...

agaknya, jika kamu menjadi org berkuasa di tanah haram, pastinya kamulah org pertama yg membunuh syiah kerana memasuki tanah haram untuk bertawaf di kaabah..

tolong kamu jangan mengaku kamu sebagai ahlus sunnah.. ahlus sunnah bukan begitu pemikirannya, mungkin kamu terpengaruh dgn org seperti pembunuh saidina ali dulu, yg bangga membunuh saidina ali dan langsung tidak menyesal,itulah sifat khawarij..

astaghfirullah al adzim..

Ibnu_Ismail said...

Muhammad Fakhrul Razi,saya cuma bertanya.saya tak tahu,dan saya bertanya.saya belum menghukum lagi....

noor said...

Assalamu'alaikum
Ustaz, mengapa kita tidak mengamati dahulu aqidah Syiah iru sendri dari buku aqidah Syiah, bukanmelihat pandangan ulama Ahli Sunnah, sehingga pandangan kita akn ilmiyah dan objektif.

Karena kita henak membandingkan aqidah Sunnah dengan Syiah.
Jadi kita kena mendudukkan dua buku aqidah Ahli Sunnah dan Syoah bukan pendapat ulama terhadap ulama yang lain, karena mereka belum tentu mewakili pandangan mazhab tertentu.

Maka ustaz kena melihat aqidah berdasarkan buku aqidah dari dua mazhab, dan tidakmenukil pandangan salah satu ulama untuk menghukumi ulama lain yang berbeda pandangan.

barulah ilmiyah dan objective, aping tidak kita lepas dari ancaman dosa karena melakukan tuhmah tidak berdasar.

wassalam

drmdbg said...

Syiah secara kasar boleh diterima sebagai Islam. Sekiranya diperhalusi maka aqidah mereka telah terkeluar daripada Islam bukan terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal-Jamaah. Tidak ada apa yang boleh dipercayai terhadapa Syiah samada Imam 12, Aqidah, Feqh dll.

Syiah adalah ajaran sesat yang tertua dalam sejarah Islam yang masih kekal sehingga kehari ini dan mungkin tidak akan padam selamanya.

Jika kamu dapat melihat dengan sebenar2 lihat kepada apa yang berlaku hari ini, kamu dapati bahawa segala kepincangan yang berlaku di Iraq adalah hasil dari tangan Syiah Parsi.

Syiah adalah lebih merbahaya kepada Umat Islam keseluruhannya berbanding dengan Yahudi dan Nasrani pada masa ini. Syiah mempunyai agenda politik yang begitu tinggi dan secara halus mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi untuk memusnahkan golongan Syiah.

Apa yang berlaku hari ini adalah sandiwara Amerika, Yahudi dan Syiah dan mereka adalah dalam satu kelompok yang sama dalam menghancurkan Islam. Syiah berhasrat untuk merampas Mekah dari Saudi Arabia dengan kerjasama Israel.

Kamu boleh dapati video2 terkini tentang bagaimana ulama2 Syiah menghukum golongan Sunnah. Antaranya ialah: Membunuh golongan Sunnah adalah wajib, dan barangsiap a yang mengatakan tidak wajib maka dia adalah kafir.

Dari satu aspek Syiah lebih berbahaya dari Wahabi kerana Syiah telah mengkafirkan dan mengisytiharkan perang terhadap golongan Sunnah. Walaupun Wahabi juga mempunyai sejarah sedemikian tetapi kuasa politik dan tentera Wahabi tidak sebagaimana Kuasa politik dan tentera Syiah.