Friday, March 16, 2007

KESENIAN YANG MEMBINA KEINSAFAN

TERKENANG KETIKA DULU :
KESENIAN YANG MEMBINA KEINSAFAN

Setelah menyampaikan kuliah pengajian fiqh di Surau Ar-Rafiq, Seksyen 7, Kota Damansara, Aku terus menaiki kereta kembaraku untuk memulai permusafiran ke Negeri Terengganu, negeri kelahiran Isteriku.

Dalam perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 7 hingga 8 jam, di tambahi perjalanan itu di waktu malam dan aku bersendirian pula, diri ini agak “keboringan” sedikit. Maka dengan itu, Aku mula membuka laci keretaku dan melihat keset-keset ceramah atau nasyid-nasyid yang harapanku dapat menghilangkan “keboringanku” diri ini.

Mata ini telah tertumpu melihat kepada satu kotak keset nasyid yang bertajuk “Kelahiran” yang telah aku beli pada tengaharinya di kedai Salim, seorang penjual keset “ceramah-ceramah PAS” di Bangunan Pasaraya the Store Sungai Buloh.

Aku sememangnya sudah mengetahui, keset tersebut sudah lama di terbitkan di Negara ini, iaitu di zaman kegemilangan satu jemaah yang dipimpin oleh As-As’ari Muhammad Al-Arqam, yang ketika itu belum lagi di haramkan.

Isi kandungan alunan suara nasyid dan sajak yang terkandung didalam keset tersebut, pertama kali aku mendengarnya ketika aku berumur 13 tahun yang ketika itu aku sedang berempas pulas untuk menghabiskan hafalan Al-Quranku di Institut Pendidikkan Al-Balaghul Mubin, Pasir Mas Kelantan.

Aku memasukkan keset tersebut kedalam kotak radio keretaku, maka bergemalah alunan-alunan nasyid dan sajak yang menyentuh perasaan ini yang menyebabkan diri ini merasa pilu dan sayu sendirian.

Nasyid yang bertajuk “Di Pondok kecil” telah menjadikan hatiku tersentuh; yang mana nasyid tersebut mengkisahkan tentang wasiat seorang ayah kepada anak sulungnya supaya menjaga adik-adik di kerana ayah tersebut akan keluar untuk berjihad fi sabilillah.

Memikirkan isi kandungan lirik nasyid tersebut, pemikiranku mula bergerak melayang, seakan-akan memaksaku berfikir. Alangkah indahnya kesenian sebegini dapat di serapkan kedalam jiwa umat manusia di Negara ini, dan lebih-lebih lagi di seluruh dunia.

KESENIAN BOLEH DIJADIKAN BAHAN DAKWAH

Semasa aku berada di Mesir, iaitu di ketika sedang berusaha menghabiskan pengajian syariahku di sana. Aku berkenalan dengan seorang kawan yang berasal dari Kanada yang bernama Musa.

Musa merupakan saudara baru yang baru sahaja memeluk Islam lebih kurang 4 bulan yang lepas. Walaubagaimanapun, di awal perkenalan kami, aku tidak menyangka keadaan yang sebenar sehinggalah dia telah memintaku untuk menunjukkan kepadanya kedai tailor untuk dia menempah dua pasang jubah yang hendak dijadikan pakaian hariannya.

Semasa di kedai tailor, Tuan kedai tersebut meminta Musa “menyengseng” lengan bajunya yang sedang dipakai dengan tujuan untuk di ukur kadar saiz tubuh badannya. Permintaan tuan kedai itu telah di tolak oleh Musa, sehinggakan aku bertanya tentang keengganannya itu.

Mendengar pertanyaanku itu, Musa meminta aku tidak merasa terkejut sekiranya dia menyengseng lengan bajunya itu. Aku berdiam diri. Setelah di sengsengkan lengan bajunya itu, fahamlah aku bahawa di seluruh tubuhnya di penuhi dengan tattoo yang tidak terdaya dirinya untuk menghilangkannya.

Aku mula berfikir dengan beberapa anggapan dan tanggapan. Apakah musa seorang yang sudah lama Islam, tetapi dia baru sahaja bertaubat? Atau dia seorang yang sebelum ini merupakan seorang yang non muslim????..

Aku mendiamkan diri sehinggalah kami sampai di kedai yang menjual air “asob” (sebutan arab Mesir dari kalimah Qosob yang memberi makna tebu). Ketika kami sedang menikmati air buah tersebut, aku memulakan persoalan kepadanya tentang tattoo yang wujud di badannya itu.

Barulah aku tahu, Musa yang aku kenali dalam masa dua hari itu merupakan seorang yang baru sahaja memeluk Islam.

Aku bertanyakan kepadanya tentang punca atau asbab hidayah yang menyebabkan dia boleh memeluk agama Allah yang maha indah ini. Dia mengambil walkman di dalam begnya dan memasang sebuah lagu dan menyuruh aku mendengarnya. Fahamlah aku bahawa, punca atau asbab hidayah Musa kepada Islam adalah disebabkan dia telah mendengar dan menghayati kandungan nasyid yang dialunkan oleh kumpulan Raihan semasa kumpulan nasyid Islam Malaysia itu mengadakan show di Kanada suatu ketika dulu.

Yang lebih memelikanku, nasyid yang menjadikan Musa tertarik hati dengan Islam adalah nasyid yang dialunkan didalam bahasa melayu yang lebih kurang bunyinya adalah seperti berikut;

“di mulakan dengan Bismilllah, di sudahi dengan Alhamdulillah, begitulah sehari dalam hidup kita, mudah-mudahan di rahmati Allah”.

Mendengar nasyid Raihan itu, hatiku menyebut “subhanallah” betapa hebatnya kuasa Allah dapat memberi hidayah kepada hamba pilihannya semata-mata dengan mendengar nasyid yang diri hamba-Nya itu sendiri tidak memahaminya.

Dari itu, aku membuat satu kesimpulan, nasyid atau sajak boleh dijadikan juga sebagai alat dakwah untuk mengajak manusia kepada Islam.

KEMANA ARAH TUJU NASYID KINI?

Sekarang, kelahiran kumpulan-kumpulan nasyid di Negara ini amat memberangsangkan. Kelahirannya bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan.

Jika dahulu, kumpulan nasyid yang dikenali sekadar, Raihan, Hijaz, brothers dan Rabbani, tetapi kini kumpulan-kumpulan yang “berwajahkan” nasyid semakin banyak, seperti interm, unic, aeman, rast dan berbagai-bagai lagi nasyid yang sedang pesat maju di dunia hiburan kini.

Kelahiran tersebut tidaklah menjadi satu perbahasan isu, tetapi perbahasan yang perlu di isukan adalah, sejauh mana kelahiran kumpulan-kumpulan nasyid itu dapat menjana semangat ketaqwaan manusia kepada Allah.

Ada sebilangan kumpulan nasyid, nyanyian mereka tidak dinafikan kehebatannya, tetapi nyanyian tersebut bukanlah dapat menaikkan semangat jihad fi Sabilillah, Keinsafan dan sebagainya, tetapi nyanyian itu sekadar meluahkan semangat “Jiwang karat” terhadap pendengar.

Setiap kali album baru di lahirkan, pasti tidak lepas dari semangat jiwang karat yang di perjuangkan oleh pejuang-pejuang nasyid itu. Apakah sebenar arah tuju yang ingin di sampaikan oleh kumpulan-kumpulan nasyid tersebut?

Pernah diri ini bertanya kepada sahabat-sahabat yang terlibat dengan kumpulan nasyid, mereka menyatakan, jika tidak berbuat demikian, nescaya sasaran unit yang ingin di perjuangkan tidak tercapai, maka dengan sebab itu, nasyid-nasyid yang di alunkan oleh mereka kebanyakkan berkonsepkan jiwang karat.

Jika inilah hakikat sebenar yang berlaku dikalangan kumpulan-kumpulan nasyid, maka apakah konsep dakwah yang didakwa oleh mereka itu sesuatu yang murni atau sekadar dijadikan sebagai modal untuk melariskan publisiti-publisiti murahan?

Maka dengan demikian, nasyid yang dapat melahirkan rasa taqwa kepada Allah, semangat Jihad fi sabilllah agak mustahil akan terhasil dan nasyid-nasyid sebegini sebenarnya adalah sama jika di umpamakan dengan lagu-lagu yang memberangsangkan hawa nafsu.

PENUTUP

Article ini bukanlah untuk memburukkan perjuangan penasyid-penasyid di Negara ini, tetapi kehadiran article ini sebagai usaha “tajdid” terhadap konsep nasyid yang mampu melahirkan semangat ketaqwaan kepada Allah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

One_G

http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
http://jihad-jalanku.blogspot.com

sesiapa yang hendak mendalami pengajian ilmu aqidah, Fiqh, Hadis dan tafsir, sila layari http://one-g.blogspot.com

1 comment:

Ibnu_Ismail said...

Assalamu'alaikum.

Tahniah atas tulisan ustaz ini. Saya personally bersetuju dengan tulisan ini.

Saya cuma ingin bertanya pendapat ustaz tentang kemampuan media untuk mendidik masyarakat. Apa pandangan ustaz tentang menggunakan media untuk mendidik masyarakat?

Terima kasih.