Wednesday, March 28, 2007

FIQH AWLAWIYYAT DALAM GERAKAN ISLAM

FIQH AWLAWIYYAT DALAM GERAKAN ISLAM :
SATU PERBINCANGAN UNTUK PENILAIAN

MUQADDIMAH

Membaca sejarah Islam di Negara ini, didapat bahawa Negara ini pernah di perintah mengikut ajaran islam. Ini di buktikan dengan penemuan batu bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303.

Dalam batu bersurat itu, terkandung arahan raja yang memerintah ketika itu yang bernama Raja Mandalika terhadap rakyatnya supaya berpegang kuat dengan ajaran islam dari semua sudut kehidupan. Ianya menyentuh soal langkah mengelakkan berlaku kemungkaran seperti zina dan tidak membayar hutang. Juga hukuman terhadap mereka yang tidak mengikut kehendak syariat yang tidak dibataskan kepada rakyat semata, bahkan terhadap pemerintah juga.[1]

Penggunaan kalimah “Sultan” terhadap raja-raja melayu juga merupakan pengaruh pemerintahan Islam di Negara ini. Ini kerana, penggunaan kalimah “Sultan” pada asalnya adalah identity pemerintahan Islam yang mula di gunakan pada abad ke-10 masehi dengan munculnya kesultanan Seljuq sebagai pemegang tampuk pemerintahan dalam zaman Abbasiah. Kekuasaan Seljuq merupakan satu pembentukan yang berasal dari turki selepas mereka menguasai kota Baghdad, iaitu pusat pemerintahan Khalifah Abbasiah[2].

Kalimah “sultan” juga di gunakan dizaman pemerintahan osmaniyyah turki sebagai ganti kepada penggunaan kalimah Khalifah.

Empayar osmaniyyah merupakan sumber kekuatan inspirasi yang meniup semangat perjuangan di kalangan kesultanan-kesultanan melayu untuk berjuang bagi menghapuskan penjajah yang sering menyerang umat Islam. Ini di buktikan dengan sokongan kesultanan melayu terhadap empayar osmaniyyah turki yang ketika itu menyokong jerman dalam peperangan dunia pertama[3], pada bulan ogos tahun 1914[4].

Pada tahun 1924, khalifah Osmaniyyah di turki telah di jatuhkan oleh seorang tokoh secular turki yang bernama Mustafa Kamal Art-Tarturk dengan slogan “garbie doegroe” yang memberi maksud “berarak menuju barat[5]” telah memberi tamparan hebat terhadap dunia Islam termasuk alam melayu. Ini kerana, ketika itu kesultanan-kesultanan melayu ini mendukung system kekhalifahan yang berpusat di turki sebagai tunggak kekuasaan di mana mereka ikut berpayung[6].

Dengan kejatuhan khalifah osmaniyyah itu, maka bermulalah fitnah secular didalam system pemerintahan dunia Islam, yang tidak terketinggalan menerima fitnah tersebut adalah Malaysia. Maka dengan itu, lahirlah berbagai-bagai gerakan Islam di seluruh dunia Islam, seperti lahirnya Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, PAS di Malaysia dan sebagainya.

Kelahiran gerakan islam bagi menyelamatkan umat Islam dari fitnah secular merupakan satu perkara yang baik, tetapi kadangkala beberapa kelemahan yang telah menimpa kepada pendokong-pendokong gerakan Islam menyebabkan gerakan islam tersebut kelihatan lemah dan lesu.

Antara punca kelemahannya adalah disebabkan kurang pemahaman tentang Fiqh Awlawiyyat dikalangan Ahli pendokong dan penyokong sesuatu gerakan islam.

Dengan kertas kerja ringkas ini, mudah-mudahan dapat membuka ruang perbincangan yang lebih meluas bagi merealisasikan tuntutan untuk mendaulatkan kalimah Allah atas muka bumi ini..

Takbirr !!!!!!!

DEFINISI FIQH AWLAWIYYAT

Fiqh Awlawiyyat ialah ;

“meletakan segala sesuatu pada tangga dan peringkatnya yang sebenar dengan pertimbangan keadilan, samada mengenai perbuatan, pemikiran, hukum-hakam dan nilai-nilai akhlak mulia[7]

Ianya membawa maksud :

Mendahulukan sesuatu yang lebih penting dari yang penting, mendahulukan yang penting dari yang tidak penting. Semuanya hendaklah mengikut neraca wahyu Ilahi.

Firman Allah;

وَالسَّمَاءَ رَفَعَهَا وَوَضَعَ الْمِيزَانَ * أَلَّا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ * وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

Maksudnya;
“Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan) * Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu. * Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu”

(surah Ar-Rahman : 7-9)

DALIL-DALIL FIQH AWLAWIYYAT

Kelahiran fiqh awlawiyyat bukanlah berdasarkan penilaian hawa nafsu semata-mata, bahkan ianya berasal dari pernan nabi SAW sendiri. Antara buktinya adalah seperti berikut;

Firman Allah;

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آَمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ * الَّذِينَ آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Maksudnya;
“Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim * orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”

(Surah At-taubah : 19-20)

Sabda Nabi SAW;

الإيمان بضع وسبعون بابا أدناها إماطة الأذى عن الطريق وأرفعها قول لا إله إلا الله

Maksudnya;
“Islam mempunyai sebahagian dan tujuh puluh bab, yang paling rendah (darjatnya) adalah menghilangkan kekotoran di jalan dan yang paling tinggi (darjatnya) adalah perkataan La Ilaha Illa Allah (Tiada tuhan melainkan Allah)[8]

Pernah baginda SAW di tanya berkenaan tentang islam yang paling baik, lalu nabi memberi jawapan pelbagai berdasarkan kepada awlawiyyat terhadap individu-individu yang bertanya.

Hadisnya adalah seperti berikut;

عن أبي مُوسَى رضي الله عنه قال قالوا يا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قال من سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ من لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya;
“Daripada Abi Musa RA yang berkata; mereka (sahabat) bertanya; Wahai Rasulullah SAW, apakah islam yang afdhal? Menjawab Nabi : mereka yang memberi kesejahteraan kepada orang Islam daripada lidahnya dan tangannya[9]

Hadis yang lain;

عن عبد اللَّهِ بن عَمْرٍو رضي الله عنهما أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النبي (ص) أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قال تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ على من عَرَفْتَ وَمَنْ لم تَعْرِفْ

Maksudnya;
“Daripada Abdillah bin Amr RA: seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi SAW berkenaan Islam yang paling baik. Menjawab Nabi Saw; kamu memberi makan dan memberi salam kepada orang-orang yang kamu kenal dan yang tidak kenal[10]

FIQH AWLAWIYYAT : ANTARA GERAKAN ISLAM DAN KELOMPOK MANUSIA

Di kalangan manusia itu terbahagi kepada beberapa bentuk, iaitu seperti berikut;

a. Golongan nususi (tekstual)

Golongan ini adalah golongan yang tidak pernah melihat kepada maqasid hukum yang sehinggakan mereka mahu menyampaikan Islam tidak mengikut kepentingan awlawiyyat.

Kebiasaannya, golongan ini mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang berpegang kuat dengan Al-Quran dan As-Sunnah, tanpa merujuk kepada pemahaman “Istidlal” atau pengambilan hukum yang betul.

Maka dengan demikian, mereka mengemukakan pandangan-pandangan yang tidak “bercaknakan” Fiqh Awlawiyyat, sehingakan kadangkala merugikan kepada kemenangan islam, seperti menimbulkan isu-isu khilafiyyah dan menyembunyikan isu-isu utama, seperti kenaikan harga tol yang bercanggah dengan Islam[11], kenaikan harga barang, “mengkondem” institusi-institusi agama yang tidak sehaluan dengan mereka, membuat tuduhan jahat terhadap gerakan Islam dan sebagainya.

b. Golongan Liberal

Golongan ini pula adalah golongan yang dikenali sebagai “muktazilah moden” yang sedang kuat menyerang agama dan umat Islam di seluruh dunia.

Golongan ini hanya mengambil pemahaman Al-Quran dan As-Sunnah berdasarkan kepada kehendak hawa nafsu semata-mata. Mereka juga kadangkala berhujjah dengan menggunakan kaedah Fiqh Awlawiyyat, tetapi penggunaan fiqh Awlawiyyat tersebut lebih kepada kehendak hawa nafsu, tanpa di asaskan kepada wahyu Ilahi.

Sesuatu kandungan nas Al-Quran dan As-Sunnah yang tidak bersesuaian dengan nafsu mereka, mereka tidak menerimanya, ataupun mereka mewujudkan penta’wilan-penta’wilan terhadap maksud nas-nas syarak tersebut dengan tujuan untuk menguntungkan kehendak hawa nafsu.

Tindakan mereka ini adalah “ciplak” dari tindakan yahudi terdahulu yang telah dinyatakan oleh Allah didalam Al-Quran.

Firman Allah;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya;
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat”

(surah Al-Baqarah : 85)

c. Golongan kesederhanaan

Golongan ini adalah golongan yang dinyatakan oleh Allah “umat yang pertengahan”, iaitu golongan yang mencari keadilan melalui pemahaman nas Al-Quran dan Al-Hadis.

Firman Allah;

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Maksudnya;
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang yang pertengahan – adil- dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”

(Surah Al-Baqarah : 143)

Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi, makna “umat yang petengahan” yang terpilih adalah umat yang pertengahan dalam semua urusan[12]. Iaitu umat yang mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas perjuangan, disamping “cakna” kepada tuntutan fiqh awlawiyyat.

Gerakan Islam yang berjaya adalah gerakan Islam yang berada dibawah pengkategorian “golongan kesederhanaan” ini, yang menjadikan wahyu sebagai dasar perjuangan, disamping fiqh awlawiyyat dijadikan sebagai “teknik-teknik” dalam menyampaikan kehendak wahyu.

KELEMAHAN GERAKAN ISLAM BERPUNCA KELEMAHAN PEMAHAMAN FIQH AWLAWIYYAT DI KALANGAN PENDOKONG

Melihat kepada suasana gerakan Islam di seluruh dunia, didapati bahawa mereka adalah kelompok manusia yang sentiasa beruasaha kearah kemenangan Islam di tempat mereka. Tetapi, apa yang menyedihkan adalah, disebalik gerak kerja mereka terdapat beberapa kelemahan. Setelah di hayati, didapati bahawa kelemahan tersebut berpunca dari tidak memahami konsep awlawiyyat dikalangan pendokong-pendokong gerakan Islam tersebut.

Antaranya adalah seperti berikut;

AGENDA PERIBADI DAN AGENDA JEMAAH

Mementingkan “agenda peribadi” berbanding “agenda jemaah” sentiasa menjadi bahan “polimik” dikalangan ahli jemaah yang menyebabkan jemaah islam lambat mencapai kejayaan dakwah islamiyyah.

Bandingannya adalah kenyataan Allah didalam surah At-taubah ayat 19-20 yang menyatakan bahawa amalan berjihad lebih utama berbanding menunaikan haji di Makkah.

Firman Allah;

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آَمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ * الَّذِينَ آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Maksudnya;
“Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim * orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

(surah At-Taubah : 19-20)

Ayat ini membuktikan bahawa amalan jihad fi sabilillah itu lebih di utamakan berbanding haji di Makkah, ini kerana, manfaat jihad itu untuk manusia ramai. Adapun haji pula, ianya sekadar manfaat diri individu yang pergi Haji sahaja.

Juga hadis yang di nyatakan oleh Rasulullah SAW;

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

Maksudnya;
“Daripada Abi Umamah Al-Bahili berkata; di sebut kepada Rasulullah SAW berkenaan dua orang lelaki, salah seorangnya seorang yang ‘Abid (ahli Ibadat), dan satu lagi seorang yang ‘Alim (Ahl Ilmu). Berkata Rasulullah SAW; kelebihan ‘Alim berbanding ‘Abid adalah seperti kelebihanku atas manusia yang paling rendah dikalangan kamu, kemudian Rasulullah SAW bersabda : sesungguhnya Allah, Malaikat-Nya, Ahl Langit dan Bumi hinggakan semut di atas batu dan ikan-ikan - dilautan - berselawat kepada sesiapa yang mengajar manusia dengan kebaikan[13]

Hadis ini menyatakan bagaimana kelebihan yang ada pada seorang yang ‘Alim berbanding seorang yang ‘Abid. Seorang yang ‘Alim, mempunyai ilmu yang dapat disampaikan kepada manusia. Adapun seorang yang ‘Abid, ibadatnya sekadar memberi keuntungan kepada dirinya, tidak kepada manusia ramai.

MEMENTINGKAN “AHLI LUARAN” DISAMPING MENGABAIKAN “AHLI DALAMAN”

Tidak dinafikan penting mensasarkan usaha kearah meramaikan ahli jemaah, ini dilihat sebagai konsep dakwah sebenar. Walaupun begitu, adalah satu kelemahan jika usaha tersebut melahirkan satu tindakan yang mengabaikan “ahli jemaah dalaman”, dengan mengabaikan program-program dalaman seperti tarbiyyah, Usrah, Tamrin dan sebagainya.

Tindakan sebegini melahirkan satu tanggapan dikalangan ahli dalaman bahawa “gerakan islam” yang mereka dokong dan sokong ini bukanlah sebuah “gerakan Islam”, tetapi sekadar politik kepartian semata-mata; yang apabila kalah didalam medan, maka lahirlah “kelunturan semangat” perjuangan di kalangan mereka.

Dalil atas kenyataan ini adalah berdasarkan kepada teguran Allah terhadap “kesilapan” Baginda SAW yang bermasam muka terhadap seorang sahabat buta yang bernama Abdullah bin Ummi Al-Maktum yang berjumpa Nabi untuk bertanyakan hukum; yang ketika itu Baginda sedang melancarkan seruan dakwah terhadap pembesar-pembesar quraish.

Kisah ini di rakamkan oleh Allah didalam surah ‘Abasa;

عَبَسَ وَتَوَلَّى * أَنْ جَاءَهُ الْأَعْمَى * وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى * أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَى * فَأَنْتَ لَهُ تَصَدَّى * وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّى * وَأَمَّا مَنْ جَاءَكَ يَسْعَى * وَهُوَ يَخْشَى * فَأَنْتَ عَنْهُ تَلَهَّى * كَلَّا إِنَّهَا تَذْكِرَةٌ * فَمَنْ شَاءَ ذَكَرَهُ

Maksudnya;
“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling * karena telah datang seorang buta kepadanya * Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa) * atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? * Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup * maka kamu melayaninya * Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman). * Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran) * sedang ia takut kepada (Allah) * maka kamu mengabaikannya * Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan * Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan”

(surah ‘Abasa : 1-12)

Berdasarkan asbab An-nuzul (sebab turun) ayat ini adalah seperti berikut;

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa firman Allah dalam ayat ini adalah turunnya berkenaan dengan Abdullah bin ummi Maktum yang buta yang datang kepada Rasulullah saw. sambil berkata: "Berilah petunjuk kepadaku ya Rasulullah." Pada waktu itu Rasulullah saw. sedang menghadapi para pembesar kaum musyrikin Quraisy, sehingga Rasulullah berpaling daripadanya dan tetap menghadapi pembesar-pembesar Quraisy. Ummi Maktum berkata: "Apakah yang saya katakan ini mengganggu tuan?" Rasulullah menjawab: "Tidak." Lalu turun ayat ini sebagai teguran atas perbuatan Rasulullah saw.[14]

Lihatlah bagaimana teguran Allah terhadap Nabi SAW yang tidak mengendahkan seruan Abdullah bin Ummi Al-Maktum yang mahu bertanyakan hukum, ketika baginda SAW sedang menyampaikan dakwah kepada pembesar-pembesar Quraish yang ketika itu tidak beriman lagi.

Ini menandakan bahawa, pentingnya menjaga Ahli dalaman berbanding “ahli luaran” yang belum tentu lagi mahu masuk menjadi pendokong sesuatu gerakan Islam.

KELEMAHAN MEMPOSISIKAN PENGGERAK

Antara kelemahan yang sering menimpa gerakan Islam dimana-mana adalah kelemahan dalam “memposisikan penggerak” berdasarkan awlawiyyat. Memposisikan penggerakan merupakan satu tindakan memerlukan kepada kepakaran dalam menyusun strategi.

Kepakaran tersebut bukan sekadar pakar dalam memahami bentuk kerja, tetapi hendaklah pakar dalam memahami penggerak gerak kerja tersebut.

Seperti untuk menggerakan “lajnah Tarbiyyah” memerlukan kepada penggerak yang memahami konsep “tarbiyyah” didalam sesebuah gerakan Islam.

Jika seseorang yang tidak memahami konsep gerak kerja “lajnah Tarbiyyah” tetap di letakan di lajnah tersebut juga, maka ini boleh menyebabkan gerak kerja tersebut akan hancur dan kucar kacir.

Tindakan memposisikan penggerak mengikut awlawiyyat dapat dibuktikan dengan tindakan nabi SAW yang memposisikan Khalid bin Al-Walid di “lajnah peperangan” sedangkan ketika itu, Khalid bin Al-Walid adalah seseorang yang baru sahaja dengan agama Islam.

Di samping itu juga, kadangkala Khalid bin Al-Walid sering melanggar arahan Nabi SAW sehinggakan Baginda SAW sering berdoa kepada Allah untuk minta selamat dari kesilapan Khalid bin Al-Walid.

Kandungan doa Nabi tersebut adalah seperti berikut;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ خَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ

Maksudnya;
“Ya Allah, Sesungguhnya aku bebas daripada kelakuan Khalid bin Al-Walid[15]

PENUTUP

Banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan dalam tajuk “Fiqh Awlawiyyat dalam gerakan Islam”. Walaubagaimanapun, dengan tulisan ringkas ini dapat memberi satu lanjutan perbincangan secara “Ilmiyyah” yang digabungkan dengan “Khibrah” atau pengalaman-pengalaman pejuang-pejuang Islam terdahulu bagi mencari titik kekuatan dalam gerakan Islam.

Sekian

One_G
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
http://jihad-jalanku.blogspot.com

sesiapa yang ingin mendalami pengajian Fiqh, Hadis, Tafsir dan sebagainya, sila layari http://one-g.blogspot.com

e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com








[1] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah Alam Melayu : m/s 2.
[2] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah Alam Melayu : m/s 4
[3] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah alam melayu : m/s 6.
[4] Tok Janggut : pejuang atau penderhaka : m/s 24.
[5] Pendita yang hilang : Mustafa Kamal Atarturk : m/s 58.
[6] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah alam melayu : m/s 6
[7] Fiqh Awlawiyyat : 1.
[8] Sahih Wa Doif Sunan At-Tirmizi : 6/114 : Hadis ini di riwayatkan juga oleh Imam Al-Bukhari.
[9] Sahih Al-bukhari : 1/13 . Hadis no : 11.
[10] Sahih Al-Bukhari : 1/13. Hadis no : 12.
[11] Kenaikan harga tol yang dilakukan perjanjian kerajaan dengan konsesi adalah bercanggah dengan Islam, ini kerana, perjanjian tersebut memberi keuntungan kepada golongan syarikat-syarikat swasta yang memonopoli keuntungan Negara, sedangkan kekayaan Negara adalah untuk rakyat, bukan untuk syarikat swasta.

Tindakan kerajaan itu adalah bercanggah dengan Firman Allah;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya kekayaan (perbendaharaan) Negara itu tidak berlegar diantara orang-orang kaya (syarikat swasta) dikalangan kamu”
[12] At-Tafsir Al-Kabir : 2/390.
[13] Sunan At-Tirmizi : 9/299 : hadis no : 2609. hadis ini adalah hasan dan sohih mengikut takhrij As-Syaikh Albani Ra didalam kitabnya “Takhrij Misykat Al-Masabih” : 1/46 > hadis no : 213 dan kitab Sahih wa Doif Sunan At-Tirmizi : 6/185.
[14] Tafsir Ibni Kathir : 8/319.
[15] Sahih Al-Bukhari : 22/124 : hadis no : 6652.

No comments: