JAMAAH ISLAM DAN TAADDUD JAMAAH DI MALAYSIA : SATU KAJIAN BERASASKAN FAKTA NAS DAN SEJARAH
MUQADDIMAH
Perbahasan tentang jamaah Islam dan taaddud jemaah sering dibincangkan diseluruh dunia Islam, samada dikalangan ulama atau dari manusia biasa. Perbahasan ini pada hakikatnya adalah untuk mencari satu titik pertemuan dan kekuatan dalam mengembangkan Islam.
Malaysia juga tidak ketinggalan dalam memperdebatkan isu Jamaah islam dan taaddud jemaah ini. Ini disebabkan bahawa di Malaysia terdapat beberapa jemaah yang didakwa sebagai jemaah Islam.
Maka dengan demikian, selayaknya perdebatan ini dilihat dari kacamata ilmiyyah beserta waqii di Negara ini, agar ianya mendapat mencari kekuatan dalam usaha hendak mendaulatkan islam.
BAHAGIAN PERTAMA
KEDAULATAN ISLAM MELALUI JAMAAH ISLAM
1. KEWAJIPAN MENDAULATKAN UNDANG-UNDANG ISLAM
Mendaulatkan Islam merupakan tanggungjawab semua manusia yang hidup atas muka bumi ini. Tanggungjawab tersebut bermula dari kejadian Nabi Adam A.S lagi. Ini dinyatakan oleh Allah didalam firman-Nya;
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya;
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."
(Surah Al-Baqarah : 30)
Khalifah yang dimaksudkan adalah seperti yang telah didefinisikan oleh ulama iaitu;
نيابة عن الشارع في حراسة الدين وسياسة الدنيا به
Maksudnya;
“pengganti syari’ didalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya (agama)”[1].
Dari ini difahami bahawa, penciptaan manusia atas muka bumi ini dinyatakan oleh Allah adalah untuk melaksanakan agama dan mentadbirkan muka bumi ini dengan agama.
Islam telah membuktikan pemerintahannya berasaskan khalifah semenjak zaman Rasulullah SAW sehinggakan tahun 1924, iaitu tahun kejatuhan kerajaan turki osmaniyyah; yang telah dijatuhkan dengan pemikiran secular yang di dokong oleh seorang bapa pemoden turki yang bernama Mustafa Kamal At-Tarturk.[2]
Dengan kejatuhan tersebut, umat Islam seluruh dunia hidup dalam keadaan terumbang ambing, disamping kehinaan demi kehinaan datang menimpa yang menyebabkan ulama-ulama Islam terpaksa memikirkan “kaedah dan mekanisma baru” bagi menghadapi kehinaan sedemikian rupa.
Dengan keadaan sedemikian, lahirlah ulama-ulama yang kehadapan dalam menghadapi kelemahan ini seperti As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (1906-1949[3]) yang berjaya menubuhkan sebuah gerakan islam yang terkenal di seluruh dunia, iaitu “Al-Ikhwan Al-Muslimun” pada tahun 1928; yang ditubuhkan di suatu daerah di Negara Mesir yang bernama “Ismailiyyah”; yang ketika itu, Imam Hassan Al-Banna baru sahaja berumur 21 tahun[4].
Begitujuga, lahirnya seorang tokoh didalam gerakan islam “Al-Ikhwan Al-Muslimun” yang terkenal juga; bernama As-Syaikh Said Hawa (1935-1989[5]), sebagai penerus perjuangan Al-Ikhwan Al-Muslimun yang diasaskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Beliau mempunyai keluasan ilmu dan pengalaman yang semuanya itu boleh diketahui melalui banyak tulisan-tulisan beliau.
Imam Mujahidin Al-Afghanistan As-Syahid Dr Abdullah bin Yusuf Mustafa Azzam atau lebih dikenali dengan nama As-Syahid Dr Abdullah Azzam (1941 – 1989[6]) merupakan salah satu tokoh pejuang Islam yang tidak kurang juga dikenali kehebatannya; beliau telah meninggalkan kehidupannya yang mewah di bumi Jordan dan Pakistan semata-mata mahu mentarbiyyah pemuda-pemuda Islam di lereng-lereng bukit di Afghanistan bagi meneruskan usaha untuk mengembalikan kegemilangan islam ketempatnya yang asal.
Dan banyak lagi tokoh-tokoh pejuang Islam yang lahir setelah kejatuhan kerajaan Osmaniyyah tersebut, yang ini membuktikan kebenaran hadis Nabi SAW yang bersabda;
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya;
“sentiasa ada dikalangan umatku satu puak/golongan yang terang-terangan berperang di atas kebenaran hingga hari kiamat[7]”
Tidak ketinggalan juga di Negara ini, sebuah jemaah islam yang bernama Hizbul muslimin di tubuhkan oleh ulama-ulama di Malaysia ketika itu, merupakan anak-anak murid Muhammad Abduh sebagai sebuah gerakan Islam yang berusaha kearah mendaulatkan undang-undang Islam seperti yang dinyatakan oleh Allah didalam surah al-baqarah ayat 30.
Amat menyedihkan, pada 18 Jun 1948, pihak british telah mengharamkan gerakan Islam Hizbul Muslimin melalui akta darurat dan akhirnya dalam tekanan, usaha demi usaha yang dilakukan oleh bekas pendokong-pendokong Hizbul muslimin sehinggakan tertubuh Parti islam Semalaysia (PAS).
2. KELAHIRAN JEMAAH ISLAM ADALAH KEWAJIPAN UMAT
Dengan kejatuhan kerajaan Osmaniyyah di turki pada tahun 1924 itu, maka bermulakan usaha demi usaha yang dilakukan oleh beberapa tokoh ulama untuk mendaulatkan balik undang-undang Islam serta menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah bukan di perintah.
Usaha tersebut dilihat tidak akan menghasilkan kejayaan jika dilakukan bersendirian, juga tidak mampu di lakukan secara masyarakat ramai, ini disebabkan masyarakat ramai sudah bergelumang dengan pemikiran secular ini di samping fahaman secular ini tidak didokong oleh individu-individu tertentu, tetapi sudah di kuasai sehinggakan berjaya membentuk dalam bentuk system pemerintahan.
Maka dengan itu, ulama memulakan usaha kearah kedaulatan undang-undang islam itu dengan menubuhkan jemaah Islam, terdiri dari pendokong-pendokong yang mampu memberi komitmen sepenuhnya untuk usaha kearah kedaulatan Islam tersebut.
Justeru itu, lahirlah Ikhwan Muslimun di mesir, Jamaat Islami di Pakistan, PAS di Malaysia dan sebagainya. kelahiran semua jemaah islam ini bukanlah untuk kesenangan dunia atau mencari keuntungan hidup semata-mata, tetapi kelahirannya merupakan tanggungjawab melaksanakan amar makruf, nahi mungkar yang dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam yang hidup di atas muka bumi Allah ini.
Amar makruf dengan menjadikan umat Islam beraqidah dengan aqidah Islam yang sebenar dan nahi mingkar adalah menyelamatkan manusia dari fahaman secular yang merosakan aqidah; yang merupakan punca kerosakan dan kemusnahan kehidupan manusia di dunia.
Firman Allah;
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya;
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat”
(Surah Al-Baqarah : 85)
3. PAS MELAKSANAKAN TUGAS AMAR MAKRUF, NAHI MUNGKAR
Membaca muqaddimah perlembagaan PAS menyatakan;
“BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan Kebaktian sesame manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL-AMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ‘ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “PARTI ISLAM SE-MALAYSIA”[8]
Dari isi muqaddiman perlembagaan PAS, jelas menyatakan bahawa PAS memandang tindakan menghapuskan mungkar dan menyuruh manusia kepada ma’ruf di Negara ini adalah sesuatu yang penting. Kepentingannya tersebut sehinggakan PAS menjadikannya sebagai satu dasar yang termaktub didalam perlembagaan.
Kewajipan melaksanakan Amar Makruf dan Nahi mungkar di nyatakan oleh Allah didalam Firman-Nya;
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
Maksudnya;
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar”
(Surah At-Taubah : 71)
Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar memerlukan kepada kekuatan dan kuasa, ini kerana, tanpa kekuatan dan kuasa, tindakan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar di ibaratkan seperti “melepaskan batuk di tangga”.
Amar ma’ruf dan nahi mungkar tidak memadai dengan semata-mata dengan menyeru manusia tanpa disertai dengan kekuatan, ini kerana, usaha tersebut akan melahirkan satu “kemandulan” didalam melaksanakan tugasan tersebut.
Berdasarkan kepada hadis, daripada Abu Said berkata;
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya;
“Aku dengar Rasulullah SAW bersabda; barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia menukarnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya, dan demikian merupakan selemah-lemah Iman[9]”
Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Qadi Iyadh dalam mensyarahkan hadis ini dengan katanya;
هَذَا الْحَدِيث أَصْل فِي صِفَة التَّغْيِير فَحَقُّ الْمُغَيِّر أَنْ يُغَيِّرهُ بِكُلِّ وَجْه أَمْكَنَهُ زَوَاله بِهِ قَوْلًا كَانَ أَوْ فِعْلًا
Maksudnya;
“Hadis ini adalah asal (dalil) pada sifat mengubah (dari mungkar kepada ma’ruf). Hak (wajib) kepada pengubah bahawa mengubahnya (maksiat) itu berdasarkan kepada kemampuannya yang dia mampu sehinggakan maksiat tersebut terhapus, samada dengan perkataan atau dengan perbuatan[10]”
Dari kata-kata Qadi Iyad ini menjadi bukti atas tindakan PAS yang berusaha hendak menghapus maksiat syirik yang berlaku dikalangan umat Islam. Kadar kemampuan maksima yang mampu PAS berikan adalah dengan menyertai Pilihanraya bagi mendapatkan kuasa memerintah yang memungkin kepada PAS untuk menghapuskan segala maksiat-maksiat dikalangan manusia di Negara ini, daripada sekecil-kecil maksiat sehinggakan sebenar-besarnya.
Tindakan tersebut telah terbukti hasilnya dikala PAS memerintah Kelantan dan Terengganu yang berjaya mengharamkan Judi, arak, penindasan kepada rakyat dan sebagainya.
4. PAS ADALAH JEMAAH ISLAM DI MALAYSIA
Bagi memastikan sesuatu jemaah itu adalah jemaah Islam ataupun tidak, perlu kepada penelitian disebalik ulasan ulama-ulama yang muktabar terhadap Nas syarak, samada dari Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Perbincangan berkenaan sesebuah itu jemaah Islam atau tidak adalah bertitik tolak kepada hadis yang dikenali sebagai hadis Khuzaifah bin Al-yaman, iaitu kandungan hadisnya seperti berikut;
كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ
Maksudnya;
“manusia bertanya Rasulullah SAW berkenaan kebaikkan. Aku pula bertanya kepada baginda berkenaan kejahatan, kerana bimbang menimpa diriku. Aku berkata; Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya kami dalam jahiliyyah dan kejahatan, lalu Allah mendatangkan kepada kami kebaikan ini (islam), maka adakah wujud kejahatan selepas dari kebaikan ini? Menjawab baginda SAW; ya (ada). Aku berkata; adakah wujud kebaikan selepas kejahatan itu? Menjawab baginda SAW; ya (ada), padanya dakhan (perkara yang tidak disukai), aku berkata; apa itu dakhan? Berkata Nabi SAW; kaum yang mencari petunjuk tidak dengan petunjukku, kamu kenal mereka dan kamu ingkari (mereka). Aku berkata; adakah wujud kejahatan selepas kebaikan itu? Menjawab baginda SAW; Ya (ada), iaitu penyeru-penyeru ke Pintu neraka, barangsiapa menyahut seruan mereka, nescaya mereka mencampaknya kedalam neraka. Aku berkata; Wahai Rasulullah SAW, nyatakan sifat mereka kepada kami !! berkata Nabi SAW; kulit mereka serupa dengan kulit kita, bercakap dengan bahasa kita. Aku berkata; apa suruhan kamu sekiranya kami berjumpa dengan mereka? Bersabda Nabi SAW; iltizamkan diri kamu dengan Jemaah Muslimin dan (taat) imam mereka (muslimin. Aku berkata; sekiranya tiada jemaah dari kalangan mereka (muslimin) dan tiada imam? Bersabda Nabi SAW; berenggang dirilah kamu dari puak-puak itu semuanya, walaupun kamu terpaksa mengigit akar pokok sekalipun, hinggalah kamu mati[11]”.
Didalam mensyarahkan hadis ini, Imam Ibnu Hajar menukilkan ulasan Qadhi iyadh; yang mana, Qadi Iyyad memaksudkan dengan “kejahatan” didalam hadis ini adalah kejadian selepas kematian Saidina Osman. Adapun “kebaikan selepas dari kejahatan” yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah pemerintahan Omar bin Abdil Aziz. Dan maksud dengan “kamu mengenali mereka dan kamu ingkarinya” adalah pemimpin selepas daripada pemerintahan Omar bin Abdil Aziz, yang mana, ada dari kalangan pemimpin ketika itu yang berpegang kuat dengan sunnah dan ada yang menyeru kepada bidaah dan melakukan kezaliman[12].
Melihat kepada tafsiran Qadhi Iyyad, difahami bahawa “maqasid” atau kandungan nas di sebalik ulasan ini adalah fitnah yang telah menimpa di zaman selepas kewafatan Nabi SAW.
Maka dengan demikian, suruhan nabi SAW beriltizam dengan jemaah muslimin adalah bagi menyelamatkan diri umat islam daripada terjerumus kejurang fitnah yang berlaku di zaman tersebut.
Sesungguhnya sesuatu fitnah itu tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain, begitujuga masa dengan masa yang lain. Maka dengan demikian, fitnah yang menimpa umat Islam di Malaysia tidak boleh disamakan fitnah yang menimpa umat Islam di Palestine, di Iraq, di Mesir dan sebagainya. Justeru itu, menentukan sesebuah jemaah tersebut adalah jemaah Islam di sesuatu tempat, perlu kepada pemahaman waqii di tempat tersebut.
APAKAH FITNAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA?
Membaca sejarah Islam di Negara ini, didapati bahawa Negara ini pernah di perintah mengikut ajaran islam. Ini di buktikan dengan penemuan batu bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303.
Dalam batu bersurat itu, terkandung arahan raja yang memerintah ketika itu yang bernama Raja Mandalika terhadap rakyatnya supaya berpegang kuat dengan ajaran islam dari semua sudut kehidupan. Ianya menyentuh soal langkah mengelakkan berlaku kemungkaran seperti zina dan tidak membayar hutang. Juga hukuman terhadap mereka yang tidak mengikut kehendak syariat yang tidak dibataskan kepada rakyat semata, bahkan terhadap pemerintah juga.[13]
Penggunaan kalimah “Sultan” terhadap raja-raja melayu juga merupakan pengaruh pemerintahan Islam di Negara ini. Ini kerana, penggunaan kalimah “Sultan” pada asalnya adalah identity pemerintahan Islam yang mula di gunakan pada abad ke-10 masehi dengan munculnya kesultanan Seljuq sebagai pemegang tampuk pemerintahan dalam zaman Abbasiah. Kekuasaan Seljuq merupakan satu pembentukan yang berasal dari turki selepas mereka menguasai kota Baghdad, iaitu pusat pemerintahan Khalifah Abbasiah[14].
Kalimah “sultan” juga di gunakan dizaman pemerintahan osmaniyyah turki sebagai ganti kepada penggunaan kalimah Khalifah.
Empayar osmaniyyah merupakan sumber kekuatan inspirasi yang meniup semangat perjuangan di kalangan kesultanan-kesultanan melayu untuk berjuang bagi menghapuskan penjajah yang sering menyerang umat Islam. Ini di buktikan dengan sokongan kesultanan melayu terhadap empayar osmaniyyah turki yang ketika itu menyokong jerman dalam peperangan dunia pertama[15], pada bulan ogos tahun 1914[16].
Pada tahun 1924, khalifah Osmaniyyah di turki telah di jatuhkan oleh seorang tokoh secular turki yang bernama Mustafa Kamal Art-Tarturk dengan slogan “garbie doegroe” yang memberi maksud “berarak menuju barat[17]” telah memberi tamparan hebat terhadap dunia Islam termasuk alam melayu. Ini kerana, ketika itu kesultanan-kesultanan melayu ini mendukung system kekhalifahan yang berpusat di turki sebagai tunggak kekuasaan di mana mereka ikut berpayung[18].
Dengan kejatuhan khalifah osmaniyyah itu, maka bermulalah fitnah secular didalam system pemerintahan dunia Islam, yang tidak terketinggalan menerima fitnah tersebut adalah Malaysia. Maka dengan itu, lahirlah berbagai-bagai gerakan Islam di seluruh dunia Islam, seperti lahirnya Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, PAS di Malaysia dan sebagainya.
Melihat suasana di Malaysia kini, fitnah yang paling berbahaya yang sedang menimpa umat Islam bukanlah amalan bidaah dalam perkara furu’, seperti talkin, tahlil dan sebagainya, tetapi fitnah yang paling besar adalah “fitnah syirik secular” yang sedang menyerang masuk kedalam jiwa-jiwa umat Islam di Malaysia.
Bagi mengatasi perkara tersebut, perlu kepada satu gerakan islam yang dapat menghapuskan kesyirikan ini, yang jika di perhatikan bahawa semua ini tidak mampu di atasi oleh jemaah-jemaah selain dari PAS.
BAHAGIAN KEDUA
BAHAYA TAADDUD JAMAAH
1. MENGAPA TAADDUD JAMAAH BERBAHAYA
Setelah melihat kepada ulasan-ulasan lepas, didapati bahawa PAS merupakan sebuah jemaah Islam yang wajib kepada semua umat Islam menyertainya. Semuanya adalah kerana PAS berusaha kearah kedaulatan dan perlaksanaan Undang-undang islam di Negara ini.
Bagi merealisasikan kejayaan tersebut perlu kepada penyatuan fikrah dan gerak kerja, ini dapat mengelakkan berbagai-bagai fikrah dan berbagai-bagai wala’ dalam melaksanakan tugasan yang penting ini.
Sekiranya sebuah jemaah berijtihad supaya tidak melibatkan diri dalam pilihanraya, sedangkan PAS pula mahu menggunakan pilihanraya, maka ini sudah dapat dilihat bagaimana kecelaruan dalam melaksanakan tanggungjawab yang penting ini.
Maka dengan sebab itulah, tidak hairan Nabi SAW ada bersabda;
عن أبي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قال قال رسول اللَّهِ (ص) إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا
Maksudnya;
“Daripada Abi Said Al-Khudri berkata : bersabda Nabi SAW : apabila di Baiaah dua orang khalifah, maka hendaklah di bunuh salah satu daripada kedua-duanya[19]”
Daripada hadis ini, terdapat beberapa perbahasan yang seperti berikut;
Perbahasan pertama;
Maqasid disebalik maksud bunuh didalam hadis ini adalah kerana wujudnya dua khalifah yang mewujudkan dua wala’. Maka dengan demikian, Baginda SAW menyuruh bunuh salah satu daripada kedua-dua khalifah tersebut dengan tujuan memudahkan untuk diberi wala’, ini kerana, sekiranya wujud dua baiaah yang mewujudkan dua wala’. Maka dengan demikian, bagaimana hendak memberi wala’ dalam satu masa, yang kadangkala kedua-dua khalifah mempunyai ijtihad yang berbeza.
Perbahasan kedua;
Imam An-Nawawi menyatakan, apabila berlaku dua baiaah, maka khalifah yang wajib diberi wala’ adalah khalifah yang di baiaah terlebih dahulu. Adapun khalifah dibaiaah terkemudian, maka hendaklah dilaksanakan hukuman bunuh kepadanya[20]. Ulasan imam An-Nawawi ini menyamai ulasan yang dikemukakan oleh Imam Al-Qurtubi didalam kitabnya “Jami’ Li Ahkam Al-Quran[21]”
Perbahasan ini dilihat ketika kewujudan khalifah. Adapun dunia Islam kini berada dalam kerangka pemerintahan yang tidak mempunyai khalifah, maka dengan demikian, perbahasan ini perlu kepada “pengecilan skop” untuk di realisasikan kepada reality jemaah-jemaah islam yang wujud di sesebuah Negara.
Maka dengan itu, maksud disebalik “bunuh khalifah yang terkemudian” adalah dengan membunuh “pemberian wala’” kepada jemaah yang wujud terkemudian, dan wajib memberi wala’ kepada jemaah yang terdahulu.
Memahami perbahasan ini, di fahami bahawa, di Malaysia, jemaah Islam wajib di beri wala’ adalah PAS, ini kerana, PAS adalah jemaah Islam yang tertua di Negara ini, jika dibandingkan dengan jemaah-jemaah islam yang lain.
BENARKAN PAS ADALAH JEMAAH ISLAM YANG TERTUA DI MALAYSIA?
Pada 21 Zulkaedah 1370, bersamaan 24 November 1951, PAS berjaya didaftarkan sebagai satu badan politik yang berdaftar secara rasmi[22].
PAS adalah singkatan nama dari “Parti Islam Se-Malaysia[23]” yang telah di pelopori oleh gerakan Ulama di Malaya. Kelahirannya adalah hasil dari kesedaran politik Islam untuk mendaulatkan Agama Allah di muka bumi ini.
Berdasarkan kepada sejarah, kelahiran PAS berpunca dari beberapa orang agamawan di Negara ini, yang merupakan anak-anak murid kepada As-Syaikh Muhammad Abduh dari Timur tengah.[24] Kelahiran PAS tersebut bermula dengan nama Hizbul Muslimin yang telah diharamkan oleh British melaui akta darurat pada 18 jun 1948.
Selepas dari pengharaman tersebut, ramai dari pemimpin-pemimpin Hizbul Muslimin di tangkap oleh British yang menyebabkan gerakan ulama tersebut terpaksa bergerak “secara rahsia” dengan menyertai bahagian-bahagian agama dan pelajaran pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dengan tujuan untuk menyampaikan mesej agama kepada masyarakat[25].
Hasil dari gerakan ulama “secara rahsia” tersebut, bekas ahli-ahli Hizbul Muslimin telah menyerapkan kefahaman islam kepada masyarakat sehinggakan berjaya mengumpulkan ulama-ulama yang tersebar di Negara ini dibawah satu badan, yang melahirkan satu persidangan Ulama Malaya, yang diadakan di Muar Johor pada 21-22 Febuari 1950[26].
Dengan persidangan tersebut, melahirkan satu lagi persidangan yang sama buat kali keduanya pula pada 23 ogos 1951 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur.
Dari persidangan kali kedua tersebut melahirkan satu perlaksanaan usul bagi menubuhkan sebuah organisasi yang didokong oleh golongan ulama-ulama ini; yang diberi nama dengan “Persatuan Ulama Malaya”.
Dengan tertubuhkan persatuan ulama Malaya ketika itu, membayangkan golongan ulama-ulama yang mendokong persatuan ulama Malaya tersebut, keluar dari UMNO sudah tergambar, disamping banyak isu-isu islam yang gagal di atasi oleh UMNO, seperti isu Natrah, sekongkol UMNO dengan British, anjur program Funfair, Loteri dan kaberet UMNO.
Maka dengan demikian, lahirnya satu persidangan ulama Malaya yang tidak dilibatkan oleh Bahagian Agama dan pelajaran UMNO yang menyebabkan nama Persatuan Ulama Malaya bertukar kepada Persatuan Islam SeMalaya, dengan nama ringkasnya PAS[27].
Daripada perbahasan dan fakta sejarah yang dinukilkan ini, membuktikan bahawa PAS adalah sebuah jemaah islam yang tertua di Negara ini, jika dibandingkan dengan jemaah-jemaah yang lain.
Maka dengan demikian, jika di perhatikan segala perbahasan di atas difahami bahawa jemaah Islam yang wajib mengiltizamkan diri adalah PAS, bukan yang lainnya.
2. PENGAJARAN DARI AFGANISTAN UNTUK MEMAHAMI BAHAYA TAADUD JEMAAH
Taadud bermakna “berbilang-bilang”. Berbilang-bilang jemaah merupakan sesuatu yang amat bahaya kepada kesatuan umat Islam, yang kadangkala boleh melahirkan fitnah dimata-mata non muslim.
Ini di buktikan dengan kejadian yang telah berlaku di Afghanistan di zaman peperangan Islam bersama dengan tentera soviet Rusia.
Membaca sejarah Afgahnistan, didapati bahawa peperangan di Afgahnistan di zaman Soviet, gerakan jihad yang menyerang tentera Rusia terdiri dari beberapa jemaah, iaitu adalah seperti berikut;
Jemaah yang di kepalai oleh General Hekmatyar
Jemaah yang dikepalai oleh Prof Burhanuddin Rabbani
Jemaah yang dikepalai oleh Masoud.
Setelah kekalahan Rusia yang menyebabkan mereka keluar dari Afghanistan dalam keadaan hina, Afghanistan di perintah oleh golongan-golongan mujahidin ini, yang melahirkan perebutan kuasa dalam menentukan portfolio masing-masing didalam kerajaan.
Maka dengan demikian, berlakulah beberapa pertelagahan sesama mereka, terutama diantara General Hekmatyar dan Prof. Burhanuddin Rabbani sehinggakan lahirlah satu pergerakan mahasiswa (Taliban) bagi membendung perbalahan ini yang dikepalai oleh seorang ketua pelajar mereka yang bernama Mulla Omar mujahid yang berasal dari Bandar Kandahar, dan ketika itu berumur 33 tahun. Beliau telah bangkit bersama-sama dengan 15 hingga 30 orang pelajar-pelajar agama untuk menyelesaikan perbalahan ini. [28]
Tindakan permulaan Taliban dalam menyelesaikan perbalahan antara General Hekmatyar dan Prof. Burhanuddin Rabbani adalah dengan menghantar rombongan yang terdiri daripada beberapa orang Ulama dan beberapa orang Komander untuk menyelaraskan undang-undang Islam bagi menyempurnakan maksud perjuangan mereka yang sebenar.
Rombongan tersebut tidak dilayan oleh mereka berdua yang menyebabkan Taliban menghantar orang-orang tua yang berjanggut dan berpakaian putih (orang-orang yang dihormati) buat kali keduanya, untuk berbincang lagi bagi menyelaraskan undang-undang Islam dan menghentikan perbalahan diantara mereka.
Tindakan Taliban tersebut menyebabkan golongan Hekmatyar dan Burhanuddin menjadi marah dan mengambil sikap untuk menyerang Taliban. Sikap dari dua golongan ini menyebabkan berlakunya peperangan antara Taliban dengan mujahidin-mujahidin yang pernah berperang menentang Rusia terdahulu[29].
Daripada fakta sejarah Taliban ini sudah cukup untuk digambarkan betapa bahayanya fahaman “Taaddud Jemaah” yang memberi kesan buruk kepada kesatuan umat Islam. Juga, memberi gambaran buruk kepada agama Islam sendiri di mata-mata non muslim.
KESIMPULAN
Melihat segala perbahasan ini, difahami bahawa PAS adalah jemaah Islam yang wajib diiltizamkan diri oleh setiap umat Islam di Negara ini. Jika tidak berbuat demikian, maka orang islam tersebut dibimbangi berada dikalangan mereka-mereka yang mudah tergelincir ke lurah fitnah yang sedang hebat menyerang aqidah-aqidah umat islam.
Juga, setelah difahami bahawa PAS adalah jemaah Islam, maka tidak selayaknya ahli-ahli PAS yang sudah bersama dengan PAS memberi wala’ kepada jemaah yang lain dari PAS, ini kerana, perbuatan tersebut menyanggahi “maqasid” atau kandungan maksud sabda Nabi SAW;
إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا
Maksudnya;
“Apabila di Baiaah dua orang khalifah, maka hendaklah di bunuh salah satu daripada kedua-duanya[30]”
Kelemahan didalam sesuatu jemaah islam adalah perkara biasa, tetapi dengan kelemahan tersebut tidak bermakna mesti menubuhkan jemaah islam yang lain. Ini kerana, dengan tindakan sedemikian akan melahirkan kelemahan yang lain pula, yang dengan demikian usaha untuk mencapai matlamat tidak akan kesampaian.
Adalah tidak wajar bagi seorang doctor, apabila dia melihat klinik sahabatnya kekuarangan pakar, lalu dia menubuhkan klinik yang lain dengan harapan untuk melahirkan sebuah klinik yang sempurna. Dengan itu, kliniknya pula menghadapi kekuarangan pakar. Adalah baik baginya kalau dia menggabungkan dirinya dalam klinik yang sudah sedia ada. Kepakarannya dapat di gabungkan dengan kepakaran sahabatnya yang berada di klinik itu.
Mungkin ada dari kalangan mereka menyatakan bahawa, berbilang-bilang jemaah adalah sesuatu yang tidak menjadi kesalahan dengan bukti mereka yang merujuk kepada ulasan Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam bukunya “Fiqh Ad-Daulah”.
Bagi memastikan kebenaran dakwaan ini, perlu merujuk kepada tulisan Al-Qaradhawi sendiri. Setelah dibaca dari tulisan itu secara menyeluruh, didapati bahawa keizinan dari fakta Dr Yusuf Al-Qaradhawi itu adalah sekiranya semua jemaah berada dalam kefahaman dan saling kuat mengkuatkan. Hal ini boleh dirujuk didalam buku karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi sendiri, iaitu buku Fiqh daulah di halaman 253 (terjemahan)[31].
Jika di perhatikan di Malaysia, kewujudan jemaah yang lain tidaklah mengandungi maksud seperti yang dinyatakan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Ini dibuktikan dengan kejadian penglibatan Dato’ Sri Anuar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982, yang rata-rata ulama-ulama didalam ABIM dan JIM ketika itu, yang “memfatwakan” bahawa “harus masuk UMNO” sehinggakan mereka sendiri memperlekeh dengan gerak kerja yang telah dilakukan oleh PAS ketika itu.
Mudah-mudahan dengan tulisan yang terhasil dari kajian yang tidak seberapa ini memberi gambaran sebenar dalam memahami maksud “bahaya di sebalik taaddud jemaah”
Sekian
Wallahualam.
BIBLIOGRAFI
Badai’ As-Suluk Fi Tartib As-Sanai’ : ‘Alauddin Al-Kasani : Dar An-Nasyr : Bairut : 1982 : cetakan kedua
Pendita yang hilang : Mustafa Kamal Atarturk : Ahmadi Al-Aziz : Usnie Publisher : 1998 : cetakan pertama.
30 Pendekar dan pemikir Islam dari masa ke masa : Imam Munawwir : pt. Binailmu : 2006 : cetakan kedua.
Jihad dalam Politik & persoalan Negara Islam mengikut Pandangan Sa’id Hawa : Muhammad Pisol Mat isa : M Khari Enterprise : 2001 : cetakan pertama.
Abdullah Azzam : merintis khilafah yang hilang : Ibnu Ismail : Pustaka Syuhada : 2001 : cetakan kedua.
Sahih Muslim : Muslim bin Hajjaj Abu Al-Husain Al-Qusyairi An-Naisaburi : Dar Ihya’ At-Turath Al-‘Arabi : Bairut : tahqiq : Muhammad Fuad Abdul Baqi : tanpa Tarikh.
Perlembagaan Parti islam Semalaysia (PAS) Pindaan 1993
Syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim : Abu Zakaria Yahya bin Syarf bin Mary An-Nawawi : Dar Ihya at-turath al-arabi : Bairut : 1392 H : cetakan kedua.
Al-Jami’ As-Sahih Al-Mukhtasar (sahih Al-Bukhari) : Muhammad bin Ismail Abu Abdillah Al-Bukhari Al-Ju’fi : Dar Ibni Kathir : Al-Yamamah : bairut : 1407 H : 1987 M : cetakan ketiga.
Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari : Ahmad bin Ali bin Hajr Abu Al-Fadhl al-‘Asqalani As-Syafii : Dar Al-Ma’rifah : Bairut : Tahqiq : Muhibbuddin : tanpa tarikh
Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah Alam Melayu : Auni Haji Abdullah : Darul Fikir Sdn Bhd : 2005 : cetakan pertama.
Tok Janggut : pejuang atau penderhaka? : Nik Anuar bin Nik Mahmud : Hazco Print : 2005 : cetakan pertama.
Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran : Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad Al-Ansari Al-Qurtubi : Dar An-Nasyr : Kaherah : tanpa tarikh
15 sebab kenapa memilih PAS : Ustaz Idris bin Haji Ahmad : Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd : tanpa tarikh.
Siapakah Tholiban? (terjemahan) : Fadhal Muhammad bin Nur Muhammad Yusuf Zaei : Pustaka Reka : 2001 : cetakan pertama.
Fiqh Ad-Daulah menurut perspektif Islam (terjemahan) : Dr Yusuf Al-Qaradhawi : Maktabah Al-Qardhawi, Selangor : 1998 : cetakan pertama.
Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1] Badai’ As-Suluk : 1/192.
[2] Pendita yang hilang : Mustafa Kamal Atarturk : m/s 58
[3] 30 Pendekar dan pemikir Islam dari masa ke masa : m/s 506.
[4] 30 Pendekar dan pemikir Islam dari masa ke masa : m/s 509.
[5] Jihad dalam Politik & persoalan Negara Islam mengikut Pandangan Sa’id Hawa : m/s 16-39
[6] Abdullah Azzam : merintis khilafah yang hilang : m/s 1-8.
[7] Sahih Muslim : 1/137 : hadis no : 156.
[8] Perlembagaan Parti islam Semalaysia (PAS) Pindaan 1993 : m/s 1.
[9] Sahih Muslim : 1/167 : hadis no : 70.
[10] Syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim : 1/131
[11] Sahih Al-Bukhari : 3/1319 : hadis no : 3411.
[12] Fath Al-Bari : 13/36.
[13] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah Alam Melayu : m/s 2.
[14] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah Alam Melayu : m/s 4
[15] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah alam melayu : m/s 6.
[16] Tok Janggut : pejuang atau penderhaka : m/s 24.
[17] Pendita yang hilang : Mustafa Kamal Atarturk : m/s 58.
[18] Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah alam melayu : m/s 6
[19] Sahih Muslim : 3/1480 : hadis no : 1853.
[20] Syarah Sunan Ibnu majah : 1/206.
[21] Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran Li Al-Qurtubi : 1/272.
[22] 15 sebab kenapa memilih PAS : 22
[23] Perlembagaan PAS (Pindaan 1993) : bab pertama fasal 1: m/s 1.
[24] 15 sebab kenapa memilih PAS : m/s 9.
[25] 15 sebab kenapa memilih PAS : m/s 9
[26] 15 sebab kenapa memilih PAS : m/s 10.
[27] 15 sebab kenapa memilih PAS : m/s 13.
[28] Siapakah Tholiban? :m/s 30
[29] Siapakah Tholiban? :m/s 45-46.
[30] Sahih Muslim : 3/1480 : hadis no : 1853.
[31] Lihat Fiqh Ad-Daulah (terjemahan) : m/s 253.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
menarik! tahniah!
memetik kata2 ustaz:
Sekiranya sebuah jemaah berijtihad supaya tidak melibatkan diri dalam pilihanraya, sedangkan PAS pula mahu menggunakan pilihanraya, maka ini sudah dapat dilihat bagaimana kecelaruan dalam melaksanakan tanggungjawab yang penting ini.
Maka dengan sebab itulah, tidak hairan Nabi SAW ada bersabda;
عن أبي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قال قال رسول اللَّهِ (ص) إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا
Maksudnya;
“Daripada Abi Said Al-Khudri berkata : bersabda Nabi SAW : apabila di Baiaah dua orang khalifah, maka hendaklah di bunuh salah satu daripada kedua-duanya[19]”
sekarang, PKR di bawah 'pemimpin agung' bernama Anwar Ibrahim yang dijulang oleh para penyokong PAS seperti ustaz badrul amin akan menyertai pilihanraya, sedangkan PAS terus maintain menolak menyertai pilihanraya sejak PRK yg diboikot dulu.
nak 'bunuh' mana satu ustaz? yg sertai pilihanraya ke yg tak sertai?
anta kena baca ulasan ana dari hadis yang anta nukilkan itu, kemudian anta kena baca balik tulisan ana berkenaan "tahaluf siasi" dalam tulisan ana yang lepas...
kedunya pula, badrul amin bukan orang PAS, bahkan dia adalah pimpinan tertinggi Keadilan
sekian
oh, maaf, saya fikir ustaz badrul amin penyokong pas.. sebab saya pernah dgr ustaz badrul amin berkata, beliau berharap 3 kombinasi anwar-nik aziz-haji hadi akan dapat membawa malaysia menjadi negara islam..
tapi mat sabu tentunya pemimpin pas.. sejak zaman reformasi dulu takde kutukan mat sabu pada anwar, malah dah bertukar menjadi 'mengangkat' anwar pula..
jadi tahaluf dengan PKR? wala pada nik aziz dan haji hadi,dan angkat anwar jadi ketua BA dan bakal PM?
tahniah..
Post a Comment