PAS PERLU BERHATI-HATI DENGAN MUSUH DALAM SELIMUT !!!
Seharian aku tidak membaca berita dalam internet. Setelah selesai dari mesyuarat pemuda Kawasan, kami exco-exco Pemuda Kawasan bersama-sama pergi makan di salah sebuah restoran dan membincangkan tentang beberapa perkara untuk melihat kekuatan dalam jemaah, disamping membincangkan juga isu-isu musuh-musuh dalaman PAS yang perlu diperingatkan bersama.
Setelah dihayati, secara individu, aku dapat mengambil satu keputusan peribadi atas “sembang-sembang” tersebut.
Padaku, berhati-hati dengan musuh merupakan satu tindakan yang penting. Musuh tersebut, samada dari luaran atau dari dalaman. Musuh luaran mungkin agak senang untuk ditentang, tetapi musuh dalaman merupakan musuh yang perlu diperingatkan disemua peringkat tentang bahayanya kehadiran mereka ini.
“MUSUH DALAM SELIMUT” DI ZAMAN NABI
Jika di rujuk kepada Al-Quran, Sunnah dan sirah an-nabawiyyah, didapati bahawa Allah SWT telah menceritakan kepada kita tentang musuh luaran yang bernama kafir semata, bahkan disana Allah menyatakan juga musuh-musuh dalaman yang dinamakan sebagai munafiq, atau dalam istilah politik, golongan “oportunis”.
Jika di rujuk didalam “kamus electronic BESTA”, “oportunis” di definisikan sebagai “mencari atau menggunakan peluang untuk mendapat manfaat bagi diri sendiri, tanpa memikirkan sama ada adil atau benar[1]”.
Adapun makna munafik pendefinisiannya dari kamus yang sama menyatakan bahawa, “orang-orang yang berpura-pura beriman tetapi sebenarnya tidak, bermuka dua, orang yang amalan bertentangan dengan pertuturannya[2]”
Adapun jika di rujuk definisi munafik berdasarkan kitab tafsir Ibni kathir pula adalah;
إظهار الخير وإسرار الشر
Maksudnya;
“Menzahirkan kebaikkan dan menyembunyikan kejahatan[3]”
Jika di perhatikan kepada isi kandungan Al-Quran, didalam surah al-baqarah dari ayat 8 hingga 20, Allah memperincikan cirri-ciri golongan munafik ini. Juga, jika di rujuk didalam tafsiran-tafsirannya pula, samada dirujuk dari tafsir Al-Quran al-‘Azim (Ibni Kathir), At-Tafsir Al-Kabir (karangan Imam Fakhrurrazi) dan sebagainya. antara kisah-kisah golongan munafik yang dinukilkan adalah berkenaan dengan Abdullah bin Ubai bin Salul, yang merupakan “bapa munafik” Madinah di zaman Rasulullah SAW.
Firman Allah;
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آَمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ * يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ * فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Maksudnya;
“Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman * Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar * Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta”
(Surah Al-Baqarah : 8-10)
Imam Ibnu Kathir menjelaskan berdasarkan kepada ayat ini bahawa, ayat-ayat munafik semuanya diturunkan di Madinah, ini kerana, golongan munafik tidak lahir pada zaman Makkah yang dipenuhi dengan kesusahan, bahkan ianya lahir pada madinah dikala umat Islam berada dalam keadaan senang berbanding di zaman makkah[4].
Semasa baginda SAW berhijrah ke Madinah, dan baginda SAW telah berjaya mempersaudarakan dua golongan yang berperang, iaitu Aus dan Khazraj. Juga, kehadiran Baginda SAW di Madinah itu, menyebabkan ramailah golongan-golongan penyembah berhala beriman dan sedikit sahaja bilangan dari yahudi yang beriman.
Di sebalik ramai yang memeluk Islam itu, ada sebilangan dari mereka yang menzahirkan keislaman mereka, tetapi hakikatnya mereka kufur. Kekufuran itu dizahirkan oleh Allah dengan berlakunya peperangan badar, iaitu tindakan yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul bersama golongan yahudi dalam memperdayakan golongan arab badwi agar tidak pergi berperang[5].
Dari kisah ini, membuktikan bahawa di zaman nabi SAW sendiri sudah ada golongan yang masuk Islam bukan kerana keikhlasan mereka dengan Islam, tetapi penglibatan diri mereka ke dalam islam bertujuan untuk memporak perandakan perjuangan Nabi SAW bersama sahabat-sahabat RA.
REALITI PAS DAN MUNAFIK
Tidak dinafikan bahawa ramai dari kalangan golongan-golongan yang dulunya membenci PAS sudah bersama-sama dengan perjuangan ini. Mereka melibatkan diri itu, kadangkala disebabkan keikhlasan mereka terhadap PAS, dan ada juga sebilangan dari mereka yang melibatkan diri dengan PAS adalah kerana untuk mencari “sesuatu kepuasan”.
Penglibatan mereka itu menyebabkan PAS yang sebelum ini dilihat sebagai satu jemaah Islam yang bertenaga dibawah kepimpinan Ulama-ulama ‘amilin, menjadi sebuah jemaah yang lembab dan malap. Mereka mula menghina ulama-ulama yang berjuang Islam dahulu, disamping mengeluarkan pandangan-pandangan yang agak “ganjil” dari kebiasaan dalam perjuangan Islam.
Pandangan yang mengatakan bahawa “pas tidak perlu terlalu islamic” menjadi buah bicara dalam ucapan-ucapan mereka. Menghina dan mengenepikan pandangan ulama telah dijadikan sebagai satu usaha untuk didoktrinkan kedalam jiwa-jiwa pejuang Islam berwadahkan PAS.
Kehadiran mereka dengan pandangan-pandangan “keUMNOan” ini menyebabkan ada sebilangan dari ahli-ahli PAS yang ikhlas memberontak dan mengecam tindakan mereka sehinggakan Allah menzahirkan kemunafikan mereka dengan lahirnya satu konsep perjuangan yang berbentuk “perjuangan untuk peribadi tertentu”, bukan perjuangan untuk kemenangan Islam.
Mereka berusaha untuk mendapat jawatan-jawatan tinggi di semua peringkat, bermula dari cawangan hinggalah ke Pusat, disamping mengeluarkan “fatwa songsang” bahawa “jawatan adalah keperluan, menghadiri mesyuarat tidak penting”. Usaha ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk berusaha untuk menjadikan PAS sebuah Parti politik semata-mata, tanpa menggambarkan PAS sebagai sebuah jemaah Islam.
Maka dengan itu, tidak hairan, mereka yang berkuasa tersebut menyuruh membatalkan sesuatu program yang berbentuk tarbiyyah disesuatu peringkat.
MUSUH DALAM SELIMUT MELAMBATKAN PERJUANGAN
Jika di baca sejarah gerakan Islam di Malaysia, didapati bahawa di sana ada sebuah gerakan yang dinamakan sebagai IRC (Islamic Representative Council) yang lahir sekitar akhir tahun 60 an dan awal 70 an.
Kelahiran gerakan ini pada asalnya tidak lebih sebagai satu “majlis muzakarah” untuk menyelesaikan pertentangan diantara mereka yang beraliran tabligh dan mereka yang tidak tidak sehaluan dengan aliran tabligh.
Tetapi, amat menyedihkan, gerakan ini sudah melebihi dari matlamat asal, sehinggakan mereka sudah melahirkan satu usaha untuk menjadikan IRC ini sebagai sebuah jamaah, sedangkan ketika itu jemaah Islam sudah wujud, iaitu PAS.
Pada awalnya, PAS melihat usaha mereka dengan pandangan “Husnu Az-Zan”, ini dibuktikan dengan menjemput dua ahli majlis syura IRC untuk sama-sama memimpin lajnah tarbiyyah PAS yang sehinggakan boleh dikatakan kebanyakan program-program tarbiyyah PAS dikendalikan oleh mereka, tetapi amat menyedihkan, golongan ini bukan sekadar mengendali program tarbiyah PAS, bahkan mereka telah mengumpulkan ahli-ahli PAS yang berpotensi secara rahsia dan mereka dibawa keluar daripada PAS untuk menyertai jamaah sulit mereka, iaitu IRC.
Kehadiran jemaah IRC ini melahirkan banyak pertembungan yang ianya melahirkan banyak keraguan dan kelembapan dalam berusaha untuk melawan musuh islam yang paling utama di Negara ini, iaitu UMNO dan Barisan Nasional.
Ulasan ini dilihat dari sejarah yang berlaku pada awal tahun 70 an, tetapi hakikatnya, sejarah itu berulang kembali. Ini dibuktikan bahawa, golongan “seiras-iras IRC” ini sudah wujud didalam PAS sekarang. Dengan sengaja, mereka “menggolakkan” suasana dalaman dengan isu perebutan jawatan dan sebagainya.
Mereka menggambarkan diri mereka sebagai golongan yang terbaik, tetapi hakikatnya, mereka diumpamakan seperti “ular didalam selimut”.
Apabila di seru supaya intima’ dengan program-program tarbiyyah PAS, mereka menuduh bahawa PAS mempunyai tarbiyyah yang bersifat jumud dan sebagainya.
Firman Allah;
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آَمِنُوا كَمَا آَمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آَمَنَ السُّفَهَاءُ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya;
“Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman." Mereka menjawab: "Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?" Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu”
(Surah Al-Baqarah : 13)
APA PERLU DILAKUKAN KEPADA GOLONGAN OPORTUNIS
Golongan oportunis ini perlu dihadapi sepertimana Baginda SAW menghadapi golongan munafik. Ulama berijmak menyatakan bahawa;
أن أحكام الدنيا على الظاهر والله يتولى السرائر
Maksudnya;
“Sesungguhnya hukum-hukum di dunia mengikut pandangan zahir, dan Allah yang menguruskan perkara-perkara rahsia[6]”.
Walaupun begitu, boleh dikenal kepada golongan sebegini mengikut apa yang telah diberitahu oleh Allah SWT.
Firman Allah;
وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya;
“Dan kalau Kami kehendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu”
(Surah Muhammad : 30)
Juga, Allah SWT menyuruh kita berhati-hati dengan mereka, walaupun mereka sudah bertaubat, sehinggakan Allah menyatakan didalam firmannya;
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا * إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَاعْتَصَمُوا بِاللَّهِ وَأَخْلَصُوا دِينَهُمْ لِلَّهِ فَأُولَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ وَسَوْفَ يُؤْتِ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka * Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”
(Surah An-Nisa’ : 145-146)
As-Syaikh Muhammad ‘Ali Sabuni menyatakan, Dari ayat ini Allah menggambarkan betapa bahayanya golongan munafik berbanding kafir. Ini kerana, kafir apabila bertaubat, Allah meletakan kepada mereka satu syarat sahaja, iaitu sepertimana firman Allah;
قُلْ لِلَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ يَنْتَهُوا يُغْفَرْ لَهُمْ مَا قَدْ سَلَفَ
Maksudnya;
“Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu: "Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), niscaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu”
(Surah Al-Anfal : 38)
Adapun orang munafik, apabila mereka bertaubat, mereka wajib menunaikan empat syarat, iaitu berhenti dari nifak, membaiki amalan, berpegang kuat dengan tali Allah dan ikhlaskan dengan agama. Ini dinyatakan oleh Allah dalam surah an-nisa’ ayat 146 yang lepas.
Beserta dengan empat syarat ini, amalan mereka masih lagi dianggap oleh Allah sebagai masykuk (diragui) yang mewajibkan kepada orang beriman berhati-hati dengan mereka. Ini dibimbangi bahawa taubat mereka itu adalah satu penipuan dan perancangan jahat mereka. Maka dengan sebab itu, Allah menyatakan;
فَأُولَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya;
“Maka mereka bersama dengan orang beriman”
(Surah An-nisa’ : 146)[7]
Mereka dikira sebagai orang yang bersama dengan orang beriman, bukan orang beriman.
PENUTUP
Mudah-mudahan dengan penulisan ringkas ini dapat memberi peringatan kepada semua pejuang-pejuang Islam agar berhati-hati dengan golongan “musuh dalam selimut” ini. Juga, dapat memberi satu perhatian yang mendalam bagi menyelamatkan PAS dari usaha golongan-golongan tertentu untuk menjadikannya sebagai sebuah parti politik semata-mata, disamping memisahkan jemaah Islam dari PAS.
Sekian
p/s : tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, tanpa melibatkan kepada mereka yang masih hidup dan yang sudah mati.
Wallahu ‘Alam
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com
e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1] BESTA electronic Dictionary. Rujuk pada carian “opportunism”
[2] BESTA electronic Dictionary. Rujuk pada carian “munafik”
[3] Tafsir Ibni Kathir : 1/48.
[4] Tafsir Ibni Kathir : 1/48
[5] Tafsir Ibni Kathir : 1/48
[6] Fath Al-Bari : 12/273.
[7] Qabasun min Nur Al-Quran al-Karim : 1/60.
Sunday, April 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
sangat bahaya tulisan tuan, kerana bimbang tulisan seperti ini lah yang akan menjahanamkan PAS.
setelah menyesatkan jamaah tabligh, mengkafirkan UMNO,sekarang tuan menyebut IRC sebagai jamaah munafik.
saya mengikuti tulisan tuan sejak awal tuan menulis di dalam blog ini.
kini saya berfikir 2 kali untuk memanggil tuan sebagai 'ustaz'.
semoga tuan mendapat hidayah dan hikmah serta keikhlasan berjuang mencari keredhaan Allah.
ameen.
oh lupa nak sebut kenapa tulisan tuan amat bahaya.. sila semak latar belakang husam musa.
wallahua'lam.
saudara yang dihormati;
saya tidak pernah mengharapkan saudara memanggil saya ustaz...
dalam akhir penulisan saya, saya ada menyebut bahawa tulisan ini adalah nukilan peribadi saya, tanpa melibatkan mereka yang hidup dan yang mati...
walaubagaimanapun, saudara perlu membaca tulisan saya secara menyeluruh.
saya tidak menuduh semua begitu, tetapi sebilangan sahaja.
cuba perhatikan ayat seperti ini;
Tidak dinafikan bahawa ramai dari kalangan golongan-golongan yang dulunya membenci PAS sudah bersama-sama dengan perjuangan ini. Mereka melibatkan diri itu, kadangkala disebabkan keikhlasan mereka terhadap PAS, dan ada juga sebilangan dari mereka yang melibatkan diri dengan PAS adalah kerana untuk mencari “sesuatu kepuasan”.
saya tetap mengakui ada yang melibatkan diri kerana mereka sememangnya ikhlas dengan perjuangan ini.
sekian
ya.. tuan ustaz.. saya baca 7 kali artikel tuan.. tetap sama juga kesimpulannya.
terutama perenggan yang ini.
Pada awalnya, PAS melihat usaha mereka dengan pandangan “Husnu Az-Zan”, ini dibuktikan dengan menjemput dua ahli majlis syura IRC untuk sama-sama memimpin lajnah tarbiyyah PAS yang sehinggakan boleh dikatakan kebanyakan program-program tarbiyyah PAS dikendalikan oleh mereka, tetapi amat menyedihkan, golongan ini bukan sekadar mengendali program tarbiyah PAS, bahkan mereka telah mengumpulkan ahli-ahli PAS yang berpotensi secara rahsia dan mereka dibawa keluar daripada PAS untuk menyertai jamaah sulit mereka, iaitu IRC.
Kehadiran jemaah IRC ini melahirkan banyak pertembungan yang ianya melahirkan banyak keraguan dan kelembapan dalam berusaha untuk melawan musuh islam yang paling utama di Negara ini, iaitu UMNO dan Barisan Nasional.
Ulasan ini dilihat dari sejarah yang berlaku pada awal tahun 70 an, tetapi hakikatnya, sejarah itu berulang kembali. Ini dibuktikan bahawa, golongan “seiras-iras IRC” ini sudah wujud didalam PAS sekarang. Dengan sengaja, mereka “menggolakkan” suasana dalaman dengan isu perebutan jawatan dan sebagainya.
Mereka menggambarkan diri mereka sebagai golongan yang terbaik, tetapi hakikatnya, mereka diumpamakan seperti “ular didalam selimut”.
baca tajuk perenggan itu juga:
MUSUH DALAM SELIMUT MELAMBATKAN PERJUANGAN
penafsiran kalimah oportunis kepada munafik, kemudian digunakan istilah musuh..semuanya itu jelas membuktikan tuan menganggap IRC adalah musuh bersifat munafik.
walaupun tuan menyatakan sebilangan ahli IRC adalah ikhlas berjuang, namun itu tidak memadam dakwaan tuan bahawa IRC adalah musuh pada perjuangan PAS.
teknik tulisan tuan sebegini bukan asing bagi saya apabila sebelum ini, tuan memuji metod dakwah jamaah tabligh, tapi hakikatnya tuan mahu menyatakan tuan menolak tabligh kerana 'kesesatan' jamaah tabligh terutama bab jihad,atau isu melawan sekular,dan sedikit nada berkenaan kekeliruan JT tentang sunnah keluar khuruj.
dan sama juga dengan tulisan tuan menyebut orang UMNo tak kafir tetapi mad'u, dalam masa yg sama tuan berkeras mengatakan UMNO itu pertubuhan kafir, dan barangsiapa menyokongnya adalah menyokong kekafiran,samada dalam isu islam hadhari, isu undi BN, isu ISA dan lain-lain.
saya masih ingat tulisan tuan yg lembut apabila PAS mengadakan pendekatan berlembut dengan mahathir,tetapi jelas tuan berkeras dengan pak lah yang tuan sebut sebagai pengasas ajaran sesat islam hadhari, dan saya tak nampak pendekatan tulisan tuan melainkan
"sebarang hal yang boleh menguntungkan PAS sehingga dapat menubuhkan kerajaan adalah halal dalam perjuangan"
merangkumi isu tahaluf dengan PKR (walaupun anwar jelas berjanji mempertahankan perlembagaan malaysia), isu berdakwah dengan DAP (walaupun lim kit siang jelas menolak negara islam), isu menyokong mahathir (walaupun pas sejak dulu menentang corak mahathir membelanja wang rakyat dlm projek meganya, sejak isu jambatan pulau pinang, proton, litar sepang, KLIA, namun jambatan bengkok pas sokong)
saya harap tuan teruskan mengkaji dunia politik dalam pas sendiri.
Terima kasih atas kritikan saudara yang amat menarik ini..
Apa yang saya ingin nyatakan adalah, didalam pengajian bahasa arab, ada istilah masdar dan isim fail…
Pada pandangan saya, saudara agak tidak memahami kesemua isi tulisan saya, disebabkan saudara tidak memahami dua istilah ini..
Jika saudara memahami dua istilah ini, mungkin saudara tidak akan keliru disebalik isi kandungan semua tulisan-tulisan saya.
Sekian
Tahniah Ustaz. Teguran yang baik kepada semua. Tetapi kekadang membuka kembali luka lama antara PAS dan Jemaah-jemaah yang lain. Mengikut sistem perkaderan PAS memanglah terbaik buat diri ana sehinggalah diberi amanah dengan kepimpinan pemuda PAS. Suatu waktu dulu ana memang tak boleh nak terima ta'adud al-jamaah ni. Tetapi bila terjun ke medan realiti, kita terpaksa kerjasama dengan sahabat-sahabat bekas JIM dan ABIM demi memastikan kerusi kepimpinan PAS tidak dimonopoli oleh mereka yang tidak faham manhaj haraki. Tahniah sekali lagi.
prnh ana dgr org alim bgtau,
seseorg itu bile dia tkde usaha utk mengajak org ke arah kebaikan, lame-kelamaan syaitan akan menghasut dia spy menjadi penghalang kpd usaha agama itu.
allahu'alam
......
teruskan ustaz.
ana sentiasa ingin belaja dan amik tahu dr tulisan2 ustaz.
Penafsiran munafiq dan kafir yang semudahnya dibuat. Saya berani katakan, andalah penjahanam dan batu api antara jamaah.
Berselindung disebalik penafian, namun meneruskan dakwaan. Alangkah mudahnya menghukum orang menjadi munafik dan kafir. Masya-Allah.
Ini adalah antara ulama' jahat akhir zaman ini. Ulama' jahat bukan hanya berada dalam Umno, tetapi juga dalam Pas dan masyarakat.
Ulama Jahat adalah manusia yang tidak beramanah dengan ilmunya. Menghukum melulu dan membiarkan dirinya dikuasai oleh nafsu dan emosi. Ulama' terdahulu cukup berhati-hati. Ntahlah, orang sekarang lebih bagus dari ulama' salaf?
Bagaimana mungkin kita bersatu? Berbeza fahaman dan tafsiran tidak bererti bermusuh. Dalam fiqh (ibadah khusus)terdapat berpuluh aliran. Apatah lagi dalam haraki dan soal pendekatan (yang mana itu adalah perkara umum) dalam melakukan pengislahan terhadap masyarakat. Tentulah pelbagai tafsiran tentang cara bagaimana kita melakukan pengislahan dalam masyarakat. Jelas yang teramat jelas, orang-orang PAS yang seperti anda inilah yang langsung tidak menghormati pihak lain. Apakah PAS bersedia menjadi kerajaan dengan sikap begini? Jangan mimpilah.
Jelas di sini pengikut PAS seperti anda tidak dapat meloloskan diri dari paradigma dan sentimen jamaah. Jelas sekali orang PAS seperti anda gagal meletakkan Islam dan ikhlas lebih tinggi dari sentimen kepartian dan jamaah. Seolah-olah ISLAM itu adalah PAS! Sedangkan dalam banyak perkara tindak tanduk ahli PAS seperti anda ini bertentangan dengan Islam!!
Saya cukup pelik kenapa blog ini dinamakan darul fiqir? Bukankah lebih elok di namakan Darul Syahawat kerana hujah yang dikemukan berteraskan nafsu. Nas-nas yang didatangkan oleh anda juga dihuraikan dari nafsu dan penuh dengan jarum-jarum syaitan yang membisikkan kebencian ke dalam sesama muslim. Bukankan ini bertentangan dengan hadith orang mukmin itu bersaudara? Bukan kah tulisan anda bertentangan dengan roh 'apabila berselisih maka damaikanlah antara keduanya'?
Bertaubatlah wahai orang yang tidak amanah dengan ilmunya. Atau ilmunya ada tetapi tidak tafakkuh dan Allah tidak menghendaki kebaikan dari kamu. Lantas kamu menjadi ulama jahat yang menhukum orang lain munafik dan kafir... Berhati-hatilah.
Post a Comment