Saturday, September 15, 2007

LEASEHOLD YANG JADI SETINGGAN : SATU ULASAN BERASASKAN ISLAM

LEASEHOLD YANG JADI SETINGGAN : SATU ULASAN BERASASKAN ISLAM



3 hari sebelum umat Islam seluruh dunia menyambut bulan Ramadhan, penduduk di Kampung Sentosa, Sungai Buloh Selangor telah didatangi “anjing-anjing” BN/UMNO untuk meruntuhkan rumah-rumah mereka dengan alasan setinggan.

Diketika itu, mengantuk telah menguasaiku. Ianya bersebabkan semalaman tidak tidur ekoran memandu dari Johor ke Selangor yang pemergianku bersama teman-teman kesana dalam misi menyelesaikan satu isu murtad yang melibatkan seorang perempuan yang berasal dari selangor yang telah dimurtadkan di Johor.

Pagi itu, beberapa panggilan telefon dan Sms sampai ke box handsetku, tetapi tidak dilayan disebabkan ketika itu aku sedang menikmati kelenaan tidur dalam keadaan letih. Isteriku menggerakkanku dan menyatakan bahawa, rumah-rumah orang UMNO di Kampung Sentosa sedang di robohkan oleh pihak MBSA dengan dakwaan mereka duduk di tanah Setinggan.

Dalam keadaan yang penat disebabkan kekurangan tidur itu, aku tetap bergegas bangun, terus menuju ke kampong yang dimaksudkan, dan sememangnya dakwaaan tersebut itu tepat.

Amat menyedihkan dengan sikap MBSA beserta seorang wakil Menteri Besar selangor yang berbangsa melayu, mereka sanggup meruntuhkan rumah-rumah penduduk kampong tersebut yang sememangnya berbangsa Melayu yang bermazhab UMNO.

Apa yang menjadi persoalan adalah, berhampiran rumah yang dirobohkan, ada 3 buah rumah yang mengandungi 3 keluarga India beragama Hindu, yang rumah mereka tidak disentuh oleh pihak MBSA. Masakan rumah mereka hendak disentuh, air dan elektrik pun tidak di potong oleh mereka. mengapa ini boleh berlaku?

Direnung kepada India yang mendapat pembelaan dari YB-YB yang sebangsa dengan mereka tetapi keadaan ini tidak dikecapi oleh mereka yang berbangsa Melayu beragama UMNO disebabkan UMNO mengamalkan slogan “biar mati melayu, jangan mati Kroni”.

Hakikat sebenar, pemimpin UMNO mengetahui bahawa orang-orang UMNO sememangnya bodoh. Walaupun rumah mereka ditolak yang berpuncakan dari tindakan pemimpin mereka, tetapi didalam pilihanraya akan datang, pasti mereka akan memangkah parti bangsat itu.

Itulah kebodohan yang sedang menimpa umat Islam berbangsa melayu beragama UMNO di Negara ini. Keadaan ini bersebabkan doktrin kebodohan yang telah ditanamkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang sebenarnya, tindakan itu telah dilakukan oleh Firaun terhadap manusia di zamannya.

Kisah ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;

وَنَادَى فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ * أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هَذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ * فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ * فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ

Maksudnya;
“dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah Yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu melihatnya? *. "Bahkan Bukankah Aku lebih baik daripada orang Yang hina keadaannya ini, dan Yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? * "(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?" * (dengan Yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum Yang fasik – derhaka”

(Surah Az-Zukhruf : 51-54)

Firman Allah ini dengan jelas menggambarkan tindakan “membodohkan rakyat” yang telah dilakukan oleh firaun terhadap rakyatnya. Dan gambaran yang sama juga yang telah dilakukan UMNO terhadap bangsa melayu di Negara ini juga.

Antara kebodohan yang telah dilakukan adalah, mereka telah menutup kuasa media untuk disampaikan ke telinga-telinga rakyat disamping menanam doktrin syirik dengan dakwaan bahawa BN sahaja yang layak memerintah dan dapat memberi pembangunan kepada rakyat.

Apa yang dapat dilihat, Malaysia sebuah Negara yang mempunyai hasil bumi yang terlalu banyak, tetapi telah diselewengkan oleh golongan berkepentingan bagi menjaga “perut” dan “dibawah perut” mereka yang akhirnya rakyat menjadi mangsa kerakusan dengan menindas dan memaksa rakyat membayar pelbagai cukai dan sebagainya.

Berbalik kepada isu keruntuhan rumah di Kampung Sentosa, Sungai Buloh Selangor. Didapati bahawa, penempatan itu bermula semenjak merdeka lagi dan telah di mohon pengesahan hak milik mereka pada tahun 1971 lagi. Tetapi, apa yang memelikkan, tanah tersebut telah diserahkan pemilikkannya kepada satu badan korporat iaitu syarikat “siearramas”, sedangkan permohonan tanah dari pihak syarikat pemaju tersebut pada pertengahan 90 an.

Disini dapat dilihat, dasar pemerintahan di Malaysia ini hakikatnya berorentasikan sistem ekonomi Kapitalis yang lebih mementingan orang-orang kaya disamping menekan dan menindas rakyat. Yang lebih mudah untuk mengetahui pemerintahan di Malaysia ini mengamalkan dasar ekonomi kapitalis adalah, kuasa pemaju dapat memaksa pihak MBSA yang berada dibawah kerajaan untuk meruntuhkan rumah-rumah rakyat.

MENGAPA BOLEH JADI SETINGGAN?

Dalam kamus Dewan, Setinggan didefinisikan sebagai “orang yang menempati tanah kerajaan secara haram”[1].

Antara keadaan tanah yang boleh bertukar kepada setinggan adalah sistem tanah yang dinamakan sebagai leasehold atau disebut dalam bahasa melayu sebagai “tanah pajakan”.

Di Malaysia, banyak tanah-tanah yang telah dileaseholdkan oleh pihak kerajaan kepada pihak pemaju untuk dibangunkan rumah-rumah kediaman. Setelah siap rumah-rumah tersebut, maka rumah-rumah itu dijual kepada rakyat dengan harga agak mahal. Rata-rata rakyat tidak menyedari, didalam buku “kanun tanah Negara” akta 56/1965 menyatakan dalam bahagian lima belas, bab 1 (3) (a);

“tempoh maksimum untuk mana-mana pajakan boleh diberi sedemikian hendaklah selama- (a) sembilan puluh sembilan tahun jika berkait dengan seluruh mana-mana tanah berimilik[2]

Dari article ini difahami, mana-mana rakyat yang membeli rumah dikawasan tanah “leasehold”, maka rumah mereka tidak akan dapat di pusakai.

Dan jika dipusakai kepada anak-anak mereka, maka setelah cukup umur tanah itu 99 tahun, maka anak-anak mereka akan dihambat keluar dari tanah kediaman mereka dengan alasan sudah cukup tahun dan secara automatiknya, penduduk ditanah berkenaan akan diisytiharkan sebagai “penduduk setinggan”.

Dari pihak kerajaan pula, mereka tidak menyediakan peruntukan undang-undang untuk memberi gantirugi kepada pihak penduduk di tanah tersebut. Jika mereka memberikan pampasan juga, pemberian itu sekadar ehsan dari pihak kerajaan, bukan tertakluk kepada undang-undang.

Dari keadaan ini, jika penduduk telah diisytiharkan sebagai “penduduk setinggan”, lalu rumah mereka ditolak dan dirobohkan oleh mana-mana pihak dalam keadaan tidak diberikan apa-apa pampasan, lalu diperdebatkan didalam mahkamah, maka pihak “penduduk yang didakwa setinggan” itu tidak dapat mempertahankan hak mereka disebabkan pemberian pampasan itu tidak terkandung dalam peruntukan undang-undang di Negara ini.

ISLAM MENYEDIAKAN CARA

Diperhatikan kepada reality yang telah berlaku, didapati bahawa, dengan alasan kemajuan dan pembangunan, pihak kerajaan sanggup melaksanakan “undang-undang rimba” ini dan dilaksanakan kepada rakyat sendiri.

Ekoran dari keadaan inilah, menyebabkan ramai dikalangan golongan pribumi telah kehilangan tanah dari masa demi masa. Begitujuga, didapati golongan pribumi sendiri akan menjadi bangsa yang merempat dibumi mereka sendiri.

Apa yang lebih menyedihkan lagi adalah, golongan yang mempunyai modal yang besar sahaja yang dapat menguasai tanah-tanah dalam Negara, yang kebanyakan pemodal-pemodal itu bukanlah dari rakyat Malaysia, tetapi sudah menjangkau kepada bangsa-bangsa asing di luar Negara.

Bagi memudahkan urusan golongan asing untuk menguasai tanah, golongan yang menjadi barua dalam penjualan harta Negara ini terdiri dari kalangan pemimpin yang berbangsa melayu. Maka dengan itu, berlakunya rasuah disana sini. Semuanya adalah kerana pengamalan sistem pemerintahan yang tidak berasaskan kepada Islam.

Maka dengan itu, Islam telah menyediakan sistem tanah dalam menyelamatkan semua keadaan ini. Islam menyediakan sistem tanah yang disebut sebagai “ihya’ Al-Mawat” bagi memberi hak kepada rakyat dan Islam menyediakan juga sistem “al-hima” sebagai memberi hak kepada pihak kerajaan dalam menguasai tanah.

IHYA’ AL-MAWAT DAN AL-HIMA

Ihya’ Al-Mawat bermaksud “menghidupkan tanah yang tandus yang tiada kepunyaan sesiapa pun[3]

Sandaran pengamalan sistem Ihya’ Al-Mawat ini adalah kepada hadis Nabi SAW;

مَنْ أَعْمَرَ أَرْضًا لَيْسَتْ لِأَحَدٍ فَهُوَ أَحَقُّ

Maksudnya;
“barangsiapa yang memakmurkan tanah yang bukan kepunyaan sesiapa pun, maka dia adalah orang yang paling berhak[4]

Menurut Jumhur ulama, dari hadis ini menjadi dalil atas pemilikan tanah kepada orang yang menghidupkan tanah tandus yang ketiadaan kepunyaan sesiapa pun. Pemilikan tersebut pula tidak perlu mendapat izin dari pihak kerajaan.

Walaubagaimanapun, menurut Abu Hanifah dan Hakim berpendapat, pemilikan tersebut hendaklah mendapat keizinan dari pihak kerajaan[5].

Imam Ibnu hajar Al-Asqalani menyatakan, mengihya’kan tanah tersebut tidak dibataskan dengan bangunan sahaja, bahkan dikira sebagai ihya’ juga dengan menjadi tanah tersebut sebagai tempat tanaman, ternakan, kolam, bangunan dan sebagainya[6].

Adapun “Al-Hima” pula adalah “bahawa Imam menggezetkan bumi terbiar dengan menguatkuasakan larangan mengambil rumput untuk kepentingan individu. Ianya dibenarkan dengan sebab wujudnya maslahat umum, bukan maslahat individu[7]

Hima dibenarkan berlaku pada tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun. Maka dengan demikian, tanah yang telah di ihya’kan oleh rakyat adalah haram dilakukan hima[8].

Hima juga dilakukan untuk kepentingan umum, bukan untuk kepentingan peribadi pemimpin. Ini didasari kepada sabda Nabi SAW;

لا حمى إلا لله ولرسوله

Maksudnya;
“tidak boleh hima melainkan untuk Allah dan untuk Rasul-Nya[9]

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa, kerajaan yang dibenarkan untuk menghima tanah adalah kerajaan Allah dan kerajaan yang mengikut acuan Rasulullah SAW.

Imam ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan Syafii yang menyatakan, kuasa menghima tanah adalah dikhususkan kepada khalifah[10]. Maka dengan demikian, tidak semua Negara sah melakukan hima, bahkan Negara yang sah untuk menghima tanah adalah Negara yang memerintah mengikut acuan Nabi SAW.

Hima merupakan penguasaan tanah yang disediakan oleh Islam sebagai hak kerajaan. Pun begitu, tanah yang telah diihya’kan oleh rakyat tidak boleh di himakan oleh pihak kerajaan.

Sekiranya ada tanah yang ingin digunakan oleh kerajaan dengan tujuan keperluan yang umum, seperti jalan raya dan sebagainya. Dan dikala itu, tidak ada tempat lain melainkan tanah tersebut sahaja, maka dibenarkan kepada kerajaan mengambil tanah tersebut, tetapi pengambilan tersebut hendaklah di “ta’mim”kan atau dalam kata lain, pihak kerajaan wajib memberi pampasan kepada tuan tanah berkenaan dengan harga yang setimpal dengan harga dan keperluan tanah.

Pun begitu, tanah yang hendak digunakan tersebut hendaklah dipastikan secara yakin pada kegunaannya[11]. Jika kegunaan yang hendak digunakan oleh kerajaan terhadap tanah hanya sekadar sangkaan sahaja, maka dalam keadaan sedemikian, haram pihak kerajaan mengambil tanah tersebut dari pihak tuan tanah.

Dari ini, jika dengan sangkaan kerajaan untuk membangunkan sesuatu tempat pun sudah dilarang untuk mengambil tanah, maka bertambah haramlah jika tanah itu diambil, lalu diberikan kepada pihak pemaju atas nama pembangunan, tetapi hakikatnya adalah untuk kepentingan syarikat-syarikat besar.

Firman Allah;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu”

(Surah Al-hasyr : 7)

Justeru itu, dengan wujudnya sistem-sistem tanah yang bersandarkan Islam ini, nescaya kezaliman yang dilakukan pihak kerajaan kepada rakyat, seperti yang dilihat sekarang tidak akan berlaku. Ekoran dari itu, kezaliman menolak dan merobohkan rumah rakyat dengan menjualkan tanah tersebut kepada pihak pemaju merupakan tindakan yang bercanggah dengan Islam yang sememangnya tindakan itu wajib diserang sehabis-habisnya.

PENUTUP

Kesedaran menguasai hak milik tanah ini agak lemah dikalangan bangsa melayu beragam islam di Negara ini. Mereka yang berduit akan mengambil sikap membeli tanah yang kadangkala mereka sendiri tidak memahami status tanah yang telah mereka beli.

Dengan penjelasan ini, mudah-mudahan kita semua memahami konsep tanah yang telah diberi hak milik oleh Islam, tetapi dihalang pemilikannya oleh kerajaan yang memerintah hari ini.

Apa yang perlu adalah, berusaha untuk mengubah pemerintahan hari ini dengan menggantikan dengan kepimpinan yang berlandaskan Islam agar rakyat tidak lagi dizalimi dari semua sudut, antaranya dalam pemilikkan tanah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com

[1] Kamus Dewan : m/s 1270.
[2] Kanun tanah Negara 1965 (akta 56/1965) : m/s 233.
[3] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 4/426.
[4] Sahih Al-Bukhari : 8/145 : hadis no : 2167.
[5] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 4/426
[6] Fath Al-Bari : 7/192.
[7] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 6/427.
[8] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 6/427
[9] Sahih Al-Bukhari : 8/191 ; hadis no : 2197.
[10] Fath Al-Bari : 7/233
[11] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 7/23.

No comments: